Rabu, 20 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berkarya bukan kerana duit

Posted:

Berkarya bukan kerana duit

Berkarya bukan kerana duit

SEKIRANYA masih hidup, arwah Tan Sri P. Ramlee yang lahir pada 22 Mac 1929 kini sepatutnya sudah berusia 84 tahun - empat tahun lebih muda daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 88, yang masih kelihatan kacak dan sihat.

Andai juga seniman agung itu masih hidup, sudah tentu Kosmo! berusaha bertemu dan menemu bual serta mendengar sendiri daripada mulutnya tentang kisah hidup dan bagaimana karya-karya hebatnya dihasilkan.

Hakikatnya, itu hanyalah harapan dan impian yang tidak akan kesampaian kerana pada hakikatnya beliau sudah lama meninggal dunia iaitu sejak 29 Mei, 1973.

P. Ramlee akan terus hidup dalam jiwa kita dan mereka yang tidak pernah kenal mahupun yang lahir selepas kematiannya juga boleh menjadi peminatnya menerusi filem-filem lakonannya.

Sememangnya, P. Ramlee meninggalkan legasi seni yang tidak akan padam dan terus diperkatakan sampai bila-bila.

Pujian terhadap karya P. Ramlee itu bukan sekadar retorik sebaliknya beliau adalah insan genius anugerah Allah dalam bidang seni dan budaya kepada rakyat Malaysia.

Kehebatan dan karya-karya P. Ramlee akan sentiasa ditonton dan diperkatakan tanpa rasa jemu apatah lagi membuatkan penonton kering gusi menontonnya.

Begitu juga dialog dan telatahnya dalam filem juga sering diajuk dan ditiru oleh peminatnya.

Sehingga kini, filem-filemnya seperti Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu Labi, Ibu Mertuaku, Do Re Mi, Anak Bapak, Tiga Abdul dan banyak lagi masih ditayang di kaca TV.

Biarpun sudah 40 tahun P. Ramlee meninggal dunia, generasi baharu termasuk dalam kalangan kanak-kanak kecil mengenali P Ramlee.

Mereka hanya mengenali fizikal serta gelagat P. Ramlee menerusi lakonan tetapi mungkin tidak mengetahui akan kisah hidup dan pemikiran seniman agung tersebut.

Justeru, menerusi teman-teman seangkatan dengannya sahaja kisah hidup penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah dan penerbit filem yang tiada penggantinya itu dikupas buat bacaan para peminatnya.

Dia seorang pemikir dan pemerhati - Sarimah

Mengenalinya sebagai teman lakonan dan juga pengarah, menurut Datuk Sarimah Ahmad, 71, P. Ramlee adalah seorang yang ikhlas dalam bekerja dan melakukan sesuatu kerja bukan kerana duit tetapi kerana cintanya yang begitu kuat terhadap seni.


NOSTALGIA. P. Ramlee (tengah) bergandingan dengan S. Samsudin (kanan) dan Aziz Satar dalam filem Seniman Bujang Lapok.


"Dia ada banyak kelebihan yang Allah berikan dan paling penting, dia buat sesuatu benda seperti filem atau lagu kerana perasaan cintanya terhadap seni.

"Dia ikhlas menghasilkan karya bukan semata-mata untuk mendapatkan duit, disebabkan itu karyanya bermutu dan kekal sehingga kini," jelas Sarimah mengenai rahsia di sebalik ingatan yang tidak pernah padam terhadap karya-karya ciptaan P. Ramlee.

Mengulas lanjut, kata Sarimah, P. Ramlee adalah seorang pemikir dan pemerhati, malah seorang yang berfikiran melangkaui masa depan.

Kata Sarimah, karya-karya P. Ramlee juga meliputi kisah benar yang berlaku terhadap masyarakat.

"Dia banyak bergaul dan banyak melakukan kajian. Dia hasilkan filem melalui kisah masyarakat yang berlaku di sekelilingnya," ujarnya yang memberitahu, P. Ramlee juga pandai mengambil hati penonton melalui karya-karyanya.

Memberi beberapa contoh, Sarimah memberitahu, filem-filem P. Ramlee juga banyak diselitkan dengan mesej-mesej berguna.

Antara filem yang terselit mesej bagi Sarimah adalah Anakku Sazali. Katanya, filem yang menyaksikan P. Ramlee membawakan dua watak iaitu bapa dan anak derhaka itu mempunyai banyak mesej dan pengajaran.

Begitu juga filem Antara Dua Darjat yang membawa mesej manusia dari dahulu sememangnya mementingkan darjat sedangkan budi bahasa sepatutnya diberi keutamaan dulu.

"Semua filem-filem P. Ramlee dibuat ada mesej, bukan kosong. Dia juga bijak menggunakan dialog-dialog yang menarik sehingga menbuatkan orang ingat sehingga kini.

"Contoh dialog filem yang masih orang cakap kepada saya sampai sekarang adalah yang terdapat dalam filem Tiga Abdul," jelasnya.

Menurut Sarimah, P. Ramlee juga seorang pengarah yang lain daripada lain.

"Dia seorang pengarah yang serius. Dia tidak suka pada pelakon yang tidak buat homework sebelum memulakan penggambaran," ujarnya.

Begitupun, dedah pelakon filem Madu Tiga itu, di luar bidang pengarahannya, P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri dan suka berjenaka.

Ujar Sarimah, P. Ramlee juga tidak pernah merendah-rendahkan orang lain.

"Jika ada pelakon yang lupa dialog berkali-kali dia tidak pernah memaki hamun pelakon tersebut, sebaliknya dia akan hentikan penggambaran dan menyambungnya pada keesokan harinya," jata Sarimah yang mengakui pernah menangis kerana usikan P. Ramlee.

Sarimah mendedahkan lagi, P. Ramlee merupakan seorang yang suka mengusik tetapi usikannya terkandung kata-kata nasihat.

Sarimah turut bercerita tentang pengalaman dirinya sendiri bersama P. Ramlee ketika mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan.

"Ketika mula berlakon pada usia 17 tahun saya masih lagi tidak pandai bergaya. Ketika itulah, P. Ramlee sering menggelarkan saya sebagai 'Sarimah Kayu' berdasarkan penampilan saya ini.


SARIMAH pernah melalui pengalaman pahit semasa mula-mula berlakon di bawah arahan P. Ramlee.


"Saya pula terasa hati dan menangis. S. Sudarmaji yang banyak memujuk dan memberitahu saya, sebenarnya usikan P. Ramlee itu untuk memberi kesedaran agar mengubah penampilan saya itu," ceritanya.

P. Ramlee tidak tamak - Aziz Satar

Menurut Datuk Aziz Satar, 88, pula, semasa zaman kegemilangan P. Ramlee, dia pernah menasihati sahabatnya itu agar mengambil peluang untuk membuat duit lebih banyak. Namun, P. Ramlee memberikan jawapan yang tersendiri.

"Dia (P. Ramlee) cakap, 'Seni bukan untuk duit tetapi untuk masyarakat'," ujar Aziz mengenai kata-kata P. Ramlee yang diulang semula kepada dirinya sebelum seniman agung itu meninggal dunia.

Mengulas lanjut, kata Aziz, walaupun P. Ramlee mendapat bayaran sedikit hasil lakonan atau arahannya, dia tidak mempedulikannya kerana apa yang penting baginya, karya yang terhasil adalah bermutu.

Tambah Aziz, sifat diri P. Ramlee yang tidak ingin menjadi bagus seorang diri juga menjadikan dia istimewa dan lain daripada lain.

"P. Ramlee kalau berlakon atau mengarah dia tidak mahu bagus seorang diri. Sebaliknya, dia mahu semua orang bagus. Walaupun ada sebilangan pelakon pada masa dulu yang sukar menghafal dialog tetapi P. Ramlee sanggup menunggu dan mendidik sehingga pelakon tersebut menjadi bagus. P. Ramlee juga tidak mengajar setiap pelakonnya separuh jalan tetapi memberi tunjuk ajar secara menyeluruh.

"Disebabkan itu, pelakon-pelakon dahulu bagus daripada segi mutu lakonan," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Mengulas mengenai karya P. Ramlee, kata Aziz, P. Ramlee adalah seorang yang sangat teliti dalam menghasilkan karya.

Ujar Aziz, P. Ramlee akan menjaga daripada segala aspek sama ada dari segi skrip, jalan cerita termasuklah pakaian setiap pelakonnya.

Ujarnya, P. Ramlee juga boleh berfikir sehingga ke 40 tahun akan datang melangkaui zamannya.

"P. Ramlee menghasilkan karya yang tidak ditelan zaman. Walaupun sudah 40 atau 50 tahun, nilai karyanya masih dihargai. Buktinya, adalah menerusi filem-filem dan lagu-lagu ciptaannya yang masih ditonton dan didengar tanpa rasa jemu sehingga kini."

"Dia menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat. Benda yang berlaku dan diamalkan oleh masyarakat sehingga kini diselitkan dalam karyanya.

"Ceritanya juga mengandungi macam-macam. Hiburan ada. Sindiran ada. Mesej ada. Semuanya ada. Dengan segala ramuan tersebut filem-filemnya bermutu dan menarik," jelas Aziz.

Tegas Aziz: "Jika generasi sekarang mahu menghasilkan karya bermutu seperti P. Ramlee, contohilah cara kerjanya. Dia begitu teliti dan mengambil kira semua aspek dalam menghasilkan karya."

Bercerita mengenai pengalaman dirinya bekerja dengan P. Ramlee, akui Aziz, hanya kenangan manis yang terpahat dalam memori dirinya.

"P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri. Saya banyak belajar cara-cara mengarah, menyanyi dan menulis skrip daripada dia. Tetapi kalau dari segi membuat pertunjukan di pentas, dia hormat pada saya.

"Sebabnya, saya lebih berpengalaman daripada dia. Kalau saya suruh dia buat apa sahaja, dia akan ikut, "jelasnya yang ketika dahulu mengadakan pertunjukan pentas di merata negeri bersama P. Ramlee, Saloma dan Norizan.

Tidak sempat kenali P. Ramlee - Najua

Tidak lengkap kalau tidak menemu bual individu yang mempunyai perkaitan darah dengan P. Ramlee. Cucu P. Ramlee, Najua Mohd. Nasir, 27, dikatakan antara yang paling mirip dengan seniman agung itu.

Menurut Najua, walaupun dia tidak sempat mengenali P. Ramlee semasa hayatnya dan juga tidak pernah diberi apa-apa pendedahan mengenai datuknya itu oleh bapanya, Nasir P. Ramlee, dia bersyukur kerana mengenali karya-karya seniman agung itu.

Ujarnya, melalui karya-karya P. Ramlee itu dia dapat mengetahui bahawa datuknya adalah seorang pengkarya yang sangat hebat.

"Saya tidak diberi apa-apa pendedahan mengenai P. Ramlee oleh bapa saya tetapi kawan-kawannya seperti Datuk Aziz (Satar) dan nenek Mariani (Ismail) banyak bercerita tentang dia (P. Ramlee) kepada saya. Daripada situ, saya mengenalinya.

"Saya juga bersyukur kerana berpeluang melihat karya-karyanya. Bagi saya, karya-karya yang dihasilkan dia sangat hebat," ujarnya.

Jelasnya, filem-filem P. Ramlee juga banyak dihasilkan berkisar kisah hidupnya dan juga masyarakat di sekelilingnya. Itu menyebabkan karya-karyanya hebat dan masih diterima sehingga kini.

Kata Najua lagi, lagu-lagu ciptaan P. Ramlee juga tidak hanya menjurus kepada cinta semata-mata sebaliknya menjurus tentang seluruh aspek.

Biografi P. Ramlee

Posted:

Biografi P. Ramlee

Biografi P. Ramlee

Kad pengenalan merupakan antara peninggalan P. Ramlee buat tatapan peminat.


SIAPA yang tidak mengenali Tan Sri P. Ramlee. Beliau digelar seniman agung negara kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Perjuangannya dalam arena seni selama 25 tahun membawa P. Ramlee ke mercu kejayaan sebagai penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah filem, dan sebagai penerbit filem.

Latar belakang

Hasil perkongsian hidup Teuku Nyak Putih Teuku Karim dengan Che Mah Hussein sejak tahun 1925, P. Ramlee dilahirkan pada 22 Mac 1929 pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Beliau dilahirkan di rumah neneknya di Pulau Pinang.

P. Ramlee memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya di Francis Light School. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Semasa Perang Dunia Kedua, P. Ramlee telah mendapat pendidikan di Japanese Navy School.

P. Ramlee telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa, 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


Menerima pingat kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1962.


Perkahwinan

P. Ramlee pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Junaidah Daeng Harris (1950), Noorizan Mohd. Noor (1955) dan Salmah Ismail atau Saloma (1961).

Beliau hanya dikurniakan dua orang anak melalui hasil perkahwinannya bersama Junaidah iaitu Mohd. Nasir dan Arfan. P. Ramlee juga mempunyai anak tiri iaitu Abdul Rahman (anak Junaidah), Norma (anak Noorizan) dan Armali (anak Saloma dan A.R.Tompel). Bukan itu sahaja, P. Ramlee juga mempunyai anak angkat iaitu Sazali, Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan Dian.

Filem dan lagu

P. Ramlee telah berlakon dalam 66 buah filem. Bermula dengan filem pertama Chinta (1948) sehinggalah filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi (1972). Dalam dunia seni suara pula, P. Ramlee telah mendendangkan sebanyak 359 buah lagu termasuklah hit seperti Dendang Perantau, Azizah, Bunyi Gitar, Getaran Jiwa dan Madu Tiga.


Meraikan kejayaan meraih anugerah pada Festival Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun pada tahun 1960 bersama pelakon Bat Latiff.


Penghargaan

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya terhadap negara, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

Selain itu, rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur telah diubah suai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee pada tahun 1986.

Nama P. Ramlee turut diabadikan pada sebatang jalan di tengah ibu kota Kuala lumpur iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982.

Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran Doktor.

Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.

Timbunan tayar cemari Madrid

Posted:

Timbunan tayar cemari Madrid

Timbunan tayar cemari Madrid


MADRID merupakan sebuah destinasi popular pelancongan namun penduduk di pinggir bandar itu khususnya Sesena sedang gelisah.


KIRA-KIRA 40 hingga 60 juta kilogram tayar pelbagai saiz dilonggokkan di sebuah bandar yang terletak 80 kilometer dari selatan Madrid, Sepanyol. Kawasan lapang di bandar Sesena itu menjadi pusat buangan tayar kereta dan trak yang sebahagiannya masih dalam keadaan baik.

"Ia amat menyakitkan mata dan memusnahkan keindahan alam sekitar. Kekotorannya dapat dilihat dengan jelas dari lebuh raya menghala ke Andalusia," ujar aktivis, Vicente Garcia de Paredes, yang berkhidmat untuk sebuah kumpulan pejuang alam sekitar di Sepanyol, Ecologists in Action.

Menurut Datuk Bandar Sesena, Carlos Velazquez, timbunan tayar itu mula terjadi pada tahun 1990-an ketika sebuah syarikat menggunakan lokasi tersebut sebagai tapak longgokan sementara tayar sebelum dikitar semula.

Bagaimanapun, jumlah tayar kemudiannya meningkat dari tahun ke tahun. Berjuta-juta tayar terkumpul di kawasan berkeluasan 10 hektar itu yang kini menjadi kediaman arnab liar. Kawasan itu juga masih diselia pengawal keselamatan.

Golongan pencinta alam sekitar memberi amaran bahawa penyakit yang dibawa nyamuk mungkin tersebar ekoran air bertakung yang terbentuk di dalam ruang kosong tayar-tayar tersebut.

LONGGOKAN tayar di Sesena meningkatkan kebimbangan penduduk di sekitarnya.


Penduduk bandar Sesena juga bimbang terhadap kemungkinan timbunan barangan getah itu untuk terbakar.

Kata Velazquez: "Tayar yang dibuang ke sini akan kekal dan tiada satupun tayar dibawa keluar. Sekiranya ia terbakar, memang sukar untuk memadamkannya.

"Barang buangan itu terkumpul sedikit demi sedikit. Syarikat yang bertanggungjawab itu pula tidak memiliki lesen meninggalkan tayar-tayar tersebut tetapi inilah kenyataannya."

Abai pengurusan

Selepas tapak buangan itu diharamkan pada tahun 2003, syarikat yang menyelia operasi buangan itu telah diheret ke mahkamah dan terus mengabaikan pengurusannya.

Pada tahun 2010, hakim memutuskan bahawa tayar-tayar tersebut adalah bahan buangan terbiar dan tugas membersihkannya terletak pada bahu majlis perbandaran.

"Kawasan tersebut hanya terletak 500 meter dari bandar yang mempunyai penduduk seramai 10,000 orang. Lebih menakutkan apabila mengetahui bahan buangan itu mudah terbakar," tutur Vicente Garcia.

Garcia turut menunjukkan sebuah kawasan perumahan yang terletak di pinggir bandar. Jelasnya, pihak pemaju telah membina perumahan itu ketika industri pembangunan Sepanyol sedang berkembang pada penghujung tahun 1990-an.


SELAIN menjadi tumpuan haiwan perosak, longgokan tayar ini juga menjadi tempat pembiakan nyamuk.


Ia bertujuan menarik ribuan orang bagi membeli rumah di situ. Namun hari ini, Sesena seperti bandar hantu yang melambangkan kejatuhan ekonomi Sepanyol bermula tahun 2008.

Seperti yang diberitahu Velazquez, dewan perbandaran telah menandatangani perjanjian bersama sebuah syarikat berpangkalan di Senegal yang akan melakukan kerja-kerja pembersihan tayar selama tiga tahun.

Syarikat tersebut akan menggunakan mesin bagi memecahkan tayar-tayar itu sebelum pecahan-pecahan kecilnya dihantar ke pusat kitar semula.

Tayar terpakai itu berkemungkinan dijadikan bahan pembinaan untuk jalan raya, trek sukan dan taman permainan kanak-kanak. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Asakan ganas sang sebarau

Posted:

Asakan ganas sang sebarau

Asakan ganas sang sebarau

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

BOT gentian kaca sepanjang tujuh meter menyusuri tasik dengan perlahan sementara empat orang pemancing tidak henti-henti membaling umpan tiruan (gewang) ke arah tebing.

Mata masing-masing melilau melihat kelibat ikan yang muncul di permukaan air, perasaan ketika itu agak berdebar-debar kerana spesies yang diburu bukan sembarangan ikan.

Jika tidak kena gaya, harapan hendak menangkap ikan sebarau yang menjadi idaman kaki pancing hancur lebur.

Ini merupakan kali keempat penulis berpeluang untuk memburu sebarau. Kali pertama di Tasik Kenyir, Terengganu namun hasilnya hampa, kali kedua di Empangan Bersia, Perak, dapat juga menaikkan sebarau sebesar tapak tangan, manakala kali ketiga di Empangan Pergau, Kelantan juga pulang kecewa.

Sebaik sahaja mendapat tahu Nahar Desa (Pokcik), seorang pemancing tegar dari Gerik, Perak menganjurkan trip Taman Negeri Royal Belum Perak (Royal Belum) baru-baru ini, peluang tersebut tidak boleh boleh dilepaskan begitu sahaja.

Penulis terus menghubungi Pokcik dan bertanya sama ada masih ada peluang untuk turut serta dan jawapan yang diberikan cukup menggembirakan hati.

Provokasi

Apabila tarikh kunjungan semakin dekat, Pokcik mula melakukan provokasi dengan menunjukkan gambar-gambar ikan yang berjaya ditangkap, gewang yang pecah, mata kail lurus dihentam ikan toman dan laporan cuaca di kawasan itu menyebabkan hati penulis menjadi semakin tidak keruan.

Ikan sebarau atau nama saintifiknya Hampala macrolepidota iaitu sejenis ikan air tawar yang mempunyai banyak tulang halus, hidup di sungai-sungai yang mengalir deras dan tasik. Spesies itu juga aktif selepas hujan.

Ini bererti, waktu terbaik untuk mencari sebarau ialah ketika musim hujan antara bulan Disember sehingga Mac.

Ikan tersebut mampu membesar sehingga lima hingga enam kilogram (kg) dan suka makan anak-anak ikan kecil dan udang yang banyak terdapat di tepi-tepi tebing tasik, pokok-pokok kayu balak di dalam sungai dan kawasan berbatu.

Umpan tiruan

Sebarau begitu kuat hingga berupaya memutuskan tali pancing, menyebabkan mata kail yang bengkok menjadi lurus dan bijak melepaskan diri dengan membelitkan tali pancing ke pokok-pokok kayu dalam air.


PENULIS akhirnya berjaya mendapat 'lesen' sebarau.


Disebabkan ia begitu agresif maka penggunaan umpan tiruan cukup berkesan untuk menangkap sebarau.

Antara umpan tiruan yang berkesan ialah spoons, top water, soft plastic, spinnerbaits dan minow.

Penggunaan mata tiga juga tidak digalakkan kerana ia mampu meloloskan diri dan mudah tersangkut di pokok-pokok kayu. Sebab itulah ramai pemancing sebarau akan menggunakan mata kail tunggal.

Sebarau yang dicari sejak awal pagi masih belum memunculkan diri. Hujan yang mula turun renyai-renyai menyebabkan empat pemancing terpaksa mengenakan baju hujan masing-masing.

Umpan tiruan jenis spoon atau sesudu berwarna emas dibaling tepat menuju ke celah-celah pokok kayu balak lalu tenggelam ke dasar sebelum dikarau dengan laju.

Disentap kuat

Tiba-tiba, batang pancing terasa disentap kuat, ia melentur membentuk huruf 'U', tali pula tegang menahan asakan ikan. Permainan bermula!

Drag mesin pancing diketatkan, dengan hati berdebar penulis cuba tidak panik dan memberi tumpuan sepenuhnya.

Asakan demi asakan seolah ia tidak mahu menyerah kalah. Selepas beberapa minit akhirnya sang ikan mula keletihan dan mula kelihatan dipermukaan. Sah! Ikan yang menjadi impian selama ini berjaya ditangkap.

Dengan berhati-hati, penulis membawa naik ikan seberat satu kilogram (kg) itu ke dalam bot dan seterusnya sesi bergambar bersama hasil tangkapan adalah satu kewajipan sebagai kenangan.

Tangkap dan lepas

Ikan itu tidak diambil dan dibawa pulang sebaliknya dilepaskan kembali ke dalam air.

Mungkin ada yang beranggapan tindakan itu sebagai merugikan sedangkan segala usaha dan wang ringgit yang dihabiskan untuk memburu sebarau bukan sedikit bahkan mencecah ratusan ringgit.

Inilah perkara yang hendak diterapkan kepada pemancing di negara ini iaitu amalan tangkap dan lepas (CNR). Amalan ini adalah bagi memastikan ikan tersebut tidak pupus dan terus membiak dalam habitatnya. Hanya ikan bersaiz melebihi 2kg sahaja akan dibawa pulang.

Walaupun terdapat banyak perdebatan mengenai amalan ini dalam kalangan pemancing namun perkara yang paling penting ialah penggunaan mata kail tunggal, cara memegang ikan dan melepaskan kembali dengan cara yang betul perlu diketahui.

Pemancing yang turut bersama penulis dalam trip tiga hari itu bukan calang-calang orang, seorang daripadanya ialah Sham Piman, seorang warga Malaysia yang sudah lebih 20 tahun menetap di Jepun.


HASIL tangkapan yang menjadi santapan para pemancing di atas bot.


Terkejut

Menurut Sham, jika orang Jepun melihat cara memancing orang Malaysia, sudah tentu mereka akan terkejut dan kagum.

"Kawasan tasik di Jepun tidak ada pokok-pokok kayu dalam air dan mereka tidak ada kemahiran memancing di celah-celah pokok balak," katanya yang berasal dari Perak dan bertugas dengan sebuah syarikat pelancongan khusus untuk pelancong Muslim ke Jepun.

Penyertaan Sham dalam lawatan ini begitu mengujakan kerana dia membawa bersama teknologi Negara Matahari Terbit terutamanya dari segi peralatan memancing, malah penulis berpeluang menyaksikan sendiri umpan-umpan tiruan yang dibawa oleh Sham.

Agak melucukan kerana ada antara umpan yang dibawa berbentuk pelik seperti botol susu bayi dan bibir wanita yang besar.

"Saya tertarik dengan teknik casting sejak beberapa tahun dahulu apabila abang saya sering mengirim umpan tiruan dari Jepun," katanya yang turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan mengimport umpan tersebut ke Malaysia.

Jika anda ingin melihat koleksi barang-barang memancing daripada Jepun boleh melayari laman web milik Sham iaitu www.pimantackle.com.

Kejadian tidak diingini

Hari terakhir memancing di Belum, berlaku kejadian yang tidak diingini apabila tekong bot yang dikenali sebagai Lebir terpijak mata kail umpan tiruan Risto Rap jenama Rapala.

Mata kail itu tertusuk masuk ke ibu jari kaki Lebir menyebabkan dia hampir pengsan dan muntah kerana menahan kesakitan.

Mujur sebuah bot berhampiran memberikan pertolongan kerana kesemua pemancing yang ada dalam bot tidak berani menarik keluar mata kail itu.

Bagaimanapun kejadian yang bukan pertama kali berlaku itu dapat diuruskan dengan baik apabila rakan Lebir mencelupkan jari kakinya ke dalam minyak petrol sehingga menjadi kebas dan akhirnya berjaya dikeluarkan dengan menggunakan playar.

Lawatan sepanjang tiga hari itu berakhir dengan penuh kepuasan dan keseronokan terutamanya di wajah rakan-rakan.

Pokcik pula diberikan penghargaan kerana menganjurkan trip dengan baik kerana makanan yang disediakan oleh tukang masak sangat sedap malah keselesaan dan tunjuk ajar yang diberikan juga cukup bermakna.

Rumah bot dinamakan sebagai Sahabat Alam dimiliki oleh Zulkarnain atau Abang Nan juga selesa dan boleh menampung seramai 15 orang pemancing pada satu-satu masa.

Bagi mereka yang berhajat untuk memburu sebarau bolehlah menghubungi Abang Nan di talian 019-590 0144 atau emel shbt_alam@yahoo.com.

Dipukau salji putih Korea

Posted:

Dipukau salji putih Korea

Dipukau salji putih Korea


AKTIVITI meluncur bukan sahaja menguji kemahiran peserta malah ketahanan tubuh terhadap cuaca sejuk.


TANPA keluarga mahupun teman, saya bertekad untuk menjejakkan kaki ke negara empat musim yang sering menjadi igauan para peminat K-Pop di Malaysia.

Sebelum ini, saya hanya menonton di kaca televisyen tentang Korea Selatan yang sering memaparkan kehebatannya sebagai kota kosmetik, terutamanya produk krim BB. Saya juga ingin merasai perasaan romantik seperti drama Lovers in Paris dan Full House yang banyak kali saya tonton.

Saya memilih pakej pelancongan musim sejuk kerana ingin mengabadikan kenangan indah tersebut dalam rintik salji. Ejen pelancongan Safirgotravel telah membuatkan mimpi saya menjadi kenyataan pada 5 hingga 10 Disember lalu.

Meskipun kali pertama melakukan perjalanan bersendirian, ia tidak tidak menggusarkan kerana saya mudah mendapat kenalan baharu.

Rombongan tersebut juga disertai selebriti seperti Iqram Dinzly yang tidak asing dalam drama-drama Melayu yang selalu saya tonton.

Sebaik perjalanan bermula, saya sudah cukup teruja. Boleh dikatakan, saya seperti rusa masuk kampung, maklumlah kali pertama keluar negara.

Belum lagi menjejakkan kaki ke bumi Korea, saya sudah merasai perasaan terharu dan bersyukur ke hadrat Allah dan orang yang disayangi kerana memberi peluang serta keizinan.

Penerbangan malam memakan masa selama tujuh jam tetapi saya tidak mampu melelapkan mata dek perasaan berdebar dan tidak sabar untuk melihat salji.

Rasa teruja

Akhirnya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Icheon, mungkin ada yang tersengih melihat mulut saya sedikit terlopong kerana melihat salji di tempat pesawat kami mendarat. Susah hendak digambarkan perasaan saya ketika itu, cuma ungkapan 'Subhanallah' mampu diucap di dalam hati.

Pemandu pelancong muncul untuk memandu perjalanan kami dengan jadual perjalanan yang padat selama lima hari empat malam. Ketika mula mengenakan pakaian musim sejuk, perasaan teruja kembali menguasai diri dan saya tidak melepaskan peluang menikmati keindahan kota Seoul yang putih bersih.

Saya seperti tidak percaya apabila dapat bermain salji di Pulau Nami yang terkenal dalam drama Winter Sonata. Pulau ciptaan manusia itu memperlihatkan keindahan deretan pokok yang unik serta panorama indah.


PARA peserta mengabdikan kenangan melancong di Korea Selatan.


Begitu juga ketika menyusuri sepanjang Sungai Han sambil menikmati cahaya lampu kota, terasa suasana yang romantik.

Kami turut dibawa meluncur di Oak Valley Ski Resort. Harapan saya di situ adalah untuk menguasai kemahiran meluncur, namun ia bukan mudah kerana beberapa kali saya terjatuh ketika cuba mengimbangkan diri.

Dalam pada saya teruja menikmati aktiviti tersebut dan keindahan panorama, adakalanya saya berasa tidak mampu menahan kesejukan walaupun matahari terik di atas kepala.

Berbeza pula apabila kami berada di dalam taman tema terbesar iaitu Lotte World. Baju yang berlapis-lapis tebalnya membuat saya berpeluh-peluh, ditambah lagi apabila bermain pelbagai permainan yang sangat menghiburkan sambil menikmati persembahan sempena Krismas yang memukau mata.

Di restoran Korea, mungkin kerana kesukaran mendapatkan makanan yang halal, biasanya kami dihidangkan dengan sup sayur, telur goreng dan kimchi yang terkenal sebagai sajian tradisi. Bagaimanapun, lidah saya yang sudah bertahun-tahun sebati dengan belacan susah hendak menelannya. Justeru, mi segera menjadi antara sajian setia buat saya ketika lapar.

Dari segi harga makanan, untuk secawan milo panas dan setongkol jagung harganya ialah RM15. Sememangnya Korea Selatan bukanlah tempat yang sesuai untuk membeli-belah apatah lagi orang yang tidak mementingkan fesyen macam saya.

Menyusuri jalan-jalan di kota Iteowon memberi persepsi positif tentang cara hidup orang Korea yang amat menitikberatkan kebersihan terutamanya tandas.

Kulit cantik

Jika didengar cerita daripada pemandu pelancong, kami tidak perlu khuatir tentang jenayah di sini termasuk jika berlaku kehilangan barang pasti akan ditemui semula. Selain itu, Korea Selatan juga terkenal dan berbangga dengan teknologi kosmetik mereka.

Saya terpegun melihat artis-artis Korea di kaca televisyen yang mempunyai kulit mulus serta potongan badan yang cantik.

Apabila berada di sini, kenyataan itu sememangnya benar kerana orang biasa juga boleh jadi secantik atau setampan artis. Ia ditambah pula dengan cara mereka berpakaian mengikut fesyen semasa.


KEDAMAIAN suasana dalam salji yang sempat dirakamkan.


Seorang teman saya pernah berkata tentang trend remaja Korea. Apabila mencapai usia 18 tahun, anak-anak itu akan meminta daripada ibu bapa membuat pembedahan plastik sebagai hadiah hari lahir.

Cuma bagi saya fesyen yang digayakan segelintir lelaki di sana agak keterlaluan. Setiap hari saya akan tersenyum simpul melihat fesyen pemandu pelancong kami yang agak keterlaluan dan feminin.

Pada hari kelima, kami bersiap sedia untuk pulang ke tanah air. Terus terang, memang saya sedih untuk meninggalkan Korea Selatan. Hendak menangis pun ada. Bagi saya, pengalaman di negara itu tidak ternilai harganya.

Semua tempat yang kami lawati sangat mengagumkan dan kami dapat mengenali budaya, sejarah dan adat resam sebuah bangsa yang sangat berbeza. Begitu juga dengan pelbagai kenangan manis sepanjang bersama ahli rombongan.

Kehadiran beberapa wartawan menambahkan lagi seri dalam rombongan kami. Keakraban yang ditunjukkan membuat saya terharu dan ia sangat berharga untuk dikenang seumur hidup. Kamsahamnida! (Terima kasih!).

Hotel butik UTM

Posted:

Hotel butik UTM

Hotel butik UTM

Oleh NASRI JAMALUDIN


KAKITANGAN sedia menyambut ketibaan tetamu di Scholar's Inn, Johor Bahru.


BERKONSEP hotel butik, Scholar's Inn, Johor Bahru, Johor menjanjikan satu suasana penginapan yang berbeza kepada para pengunjung. Lebih menarik, kedudukannya dalam kawasan kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai mampu mengimbau kembali zaman anda menuntut di menara gading.

Anak-anak pasti teruja apabila dapat menyaksikan kehidupan pelajar universiti secara lebih dekat sekali gus memberikan semangat kepada mereka agar belajar lebih tekun.

Sebaik sahaja melangkah kaki dalam kawasan hotel, para pengunjung disambut oleh landskap-landskap hasil kreativiti para pelajar dan kakitangan UTM.

Ketika berjalan di koridor hotel menuju ke bilik, tubuh bakal disapa siliran udara yang menyegarkan. Perasaan terasa tenang saat menikmati keindahan panorama alam di sekitar kampus tersebut.

Para ilmuwan

Apabila tiba di hadapan pintu bilik jenis Scholar, pengunjung disambut papan tanda yang memaparkan nama para ilmuwan dunia seperti Ibnu Sina, Isaac Newton dan Raja Ali Haji. Kesemua 40 bilik jenis tersebut dinamakan dengan nama tokoh-tokoh berkenaan.


KESEMUA bilik jenis Scholar dinamakan sempena nama tokoh-tokoh ilmuwan dunia.


Di setiap bilik diletakkan rak buku bagi kemudahan para tetamu membaca bahan-bahan yang disediakan.

Seiring dengan pemilihan nama-nama tokoh terkenal dari seluruh dunia itu, para tetamu berpeluang meminjam buku berkaitan tokoh-tokoh berkenaan daripada pihak hotel. Sesetengah buku tersebut sukar diperoleh di tempat lain dan sesetengah daripadanya mencecah ribuan ringgit.

Justeru, para tetamu dinasihatkan menjaga buku-buku tersebut dengan baik dan memulangkannya semula selepas dibaca supaya orang lain berpeluang membacanya.

Bilik asrama

Sepanjang anda berada di hotel tersebut, anda pasti berasa pelik ekoran keadaan bangunan yang seakan-akan bilik asrama.

Telahan anda itu memang tepat kerana bangunan tersebut asalnya bangunan asrama pelajar dan telah diubah suai secara berperingkat menjadi hotel.

"Pembukaan hotel ini pada mulanya bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahu menginap ketika melawat anak-anak mereka. Selain itu, para tetamu UTM seperti pelawat akademik lebih berminat tinggal dalam kawasan UTM kerana mereka mahu melihat kehidupan dan suasana sebenar di sini.


BAHAGIAN ruang tamu bilik yang sesuai untuk aktiviti santai.


"Pada tahun 2005, bangunan asrama ini dinaik taraf secara berperingkat dan dibuka kepada orang ramai. Istimewanya, hotel ini berkonsep hijau. Selain dikelilingi kehijauan pokok-pokok, kita turut menggunakan produk atau peralatan boleh membantu mengurangkan pencemaran alam," katanya Pengurus Scholar's Inn, Ismadi Ismail.

Susun atur

Ketika berada di dalam bilik, pemilihan perabot dan susun aturnya membuatkan diri terasa teruja untuk berehat. Kedudukan kerusi di bahagian ruang tamu juga memberi kelebihan kepada mereka yang ingin melakukan perbincangan tentang sesuatu perkara.

Suasana sunyi dan kehijauan alam pasti perbincangan yang dilakukan berjalan lancar.

"Para pelawat akademik UTM memilih bilik hotel ini untuk bertemu tetamu mereka dan melakukan perbincangan di dalam bilik. Mereka lebih selesa berada di dalam bilik berbanding bilik-bilik seminar," kata Ismadi lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


MB Terengganu luang masa bersama 2,000 belia, artis

Posted:

MB Terengganu luang masa bersama 2,000 belia, artis

MB Terengganu luang masa bersama 2,000 belia, artis


AHMAD (tengah) bersama artis dan belia yang hadir bertemu dengannya di Kuala Terengganu baru-baru ini.


SANTAI. Kira-kira 2,000 anak muda Terengganu berpeluang untuk bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di kediaman rasminya di Batu Buruk, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Majlis santai selama kira-kira dua jam itu membolehkan peserta bertemu dengan pemimpin nombor satu Terengganu dan meluahkan permasalahan mereka secara terus.

Selain itu, beberapa artis seperti Zizan Raja Lawak, pelakon Sariyanti, Elfira Loy dan Intan Ladyana turut memeriahkan majlis itu bersama ahli kelab Riders United.

Econsave serah sumbangan

Posted:

Econsave serah sumbangan

Econsave serah sumbangan


ZAMZURI (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd. Mohaidin di PDK Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.


TANGGUNGJAWAB. Pusat beli-belah Econsave Bandar Puteri Jaya, Jalan Kuala Ketil, Kedah menyerahkan pelbagai barangan makanan sempena Program Kami Prihatin kepada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sungai Petani baru-baru ini.

Pengurus Cawangan Econsave berkenaan, Zamzuri Mansor menyerahkan barangan tersebut kepada Pengerusi PDK Sungai Petani, Mohd. Mohaidin Hashim.

Pusat pemulihan itu menempatkan seramai 55 pelatih berusia setahun hingga 30 tahun yang menghidap pelbagai penyakit termasuk Sindrom Down.

Penyelia PDK yang sama, Ida Suhaila Husain pula berkata, setakat ini, pihaknya berjaya menubuhkan Tabung Kebajikan PDK Sungai Petani dan bagi mereka yang ingin menghulur sumbangan boleh menghubunginya di talian 04-442 5562.

Gotong-royong TNB Pulau Pinang bersama penduduk

Posted:

Gotong-royong TNB Pulau Pinang bersama penduduk

Gotong-royong TNB Pulau Pinang bersama penduduk


ISMAIL (tengah) bersama sebahagian kakitangan TNB yang terlibat pada program Gotong-royong TNB bersama penduduk di Kampung Jarak Atas, Pulau Pinang baru-baru ini.


KHIDMAT. Seramai 100 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pulau Pinang bersama penduduk kampung berganding bahu menjayakan program Gotong-Royong TNB Bersama Penduduk Kariah Jarak Atas, Tasek Gelugor Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Jurutera TNB negeri, Ismail Luthfi Teh berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk selain turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai.

"Pelbagai aktiviti dijalankan pada gotong-royong ini seperti mengecat dan menghias dewan serbaguna, membersihkan kawasan padang, dan menanam pokok," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


'Si Tanggang' sepak ibu dijel 24 bulan

Posted:

'Si Tanggang' sepak ibu dijel 24 bulan

'Si Tanggang' sepak ibu dijel 24 bulan

MUHAMAD HAFIZ dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Perbuatan biadab dan kurang ajar seorang penganggur yang tergamak menyepak, menumbuk kepala serta mengugut hendak menikam ibu kandungnya berbalas apabila dia dipenjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd. Noor memerintahkan Mohd. Syaridan Awang Ahmad, 27, menjalani hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut dengan menggunakan sebilah pisau dan gunting selepas ibunya, Che Saniyah Che Soh, 56, enggan memberinya wang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan di rumah mereka di Kampung Kedai Buloh Badang di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 13 Januari lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ambil amah guna saluran sah

Posted:

Ambil amah guna saluran sah

Ambil amah guna saluran sah


YULIANA


KUALA LUMPUR - Majikan di negara ini diingatkan agar mengambil pembantu rumah asing menggunakan saluran yang sah bagi mengelak kes penderaan terhadap anak-anak majikan berulang, kata Duta Besar Indonesia, Herman Prayitno.

Herman juga mengesahkan pembantu rumah Yuliana, 24, yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun semalam kerana mendera bayi majikannya yang berusia empat bulan, diambil majikan berkenaan secara tidak sah.

"Inilah natijahnya jika mengambil pembantu rumah asing tanpa saluran yang sah. Ia patut menjadi pengajaran agar majikan lebih berhati-hati pada masa depan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Bantuan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) kepada Mangsa Banjir di Manado yang diadakan di Kedutaan Indonesia di sini.

Menurut Herman, pembantu rumah Indonesia yang ditawarkan bekerja secara sah di negara ini akan menjalani latihan terlebih dahulu dan melepasi ujian psikologi sebelum dihantar ke negara ini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Perniagaan dalam talian dipantau

Posted:

Perniagaan dalam talian dipantau

Perniagaan dalam talian dipantau

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

PUTRAJAYA – Semua perniagaan dan perkhidmatan dalam talian diwajibkan mematuhi Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bertujuan menjaga kepentingan pelanggan dan mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan urus niaga secara elektronik.

Jelasnya, peraturan tersebut mewajibkan peniaga menyediakan maklumat seperti nama, nombor pendaftaran perniagaan, nombor telefon, alamat, e-mel dan ciri-ciri utama barang atau perkhidmatan kepada pelanggan.

"Kerajaan juga tidak benarkan sebarang kos tersembunyi, jadi peniaga perlu meletakkan harga penuh barangan atau perkhidmatan termasuk kos sampingan.

"Selain itu, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran pesanan pelanggan harus dinyatakan dengan jelas," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


KAFA 'pilihan' FAM

Posted:

KAFA 'pilihan' FAM

KAFA 'pilihan' FAM

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

INSIDEN membaling mercun oleh segelintir penyokong Kelantan mengakibatkan KAFA didenda RM62,500.


NAMPAK gayanya, Kelantan terus menjadi persatuan 'pilihan' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk 'menyumbang' sumber kewangan kepada badan induk bola sepak negara itu.

Mana tidaknya, hampir setiap tahun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berada dalam senarai pasukan yang dihukum oleh FAM atas kesalahan-kesalahan membabitkan faktor keselamatan.

Hukumannya bukan belasan ringgit Malaysia, tetapi puluhan ribu.

Boleh dikatakan bahawa KAFA setakat ini, antara penyumbang sumber kewangan terbanyak kepada FAM menerusi denda yang dikenakan, hanya disebabkan kerenah penonton.

Sejak beberapa tahun lalu, FAM kecewa kerana setiap kali berlangsungnya perlawanan liga, stadium di semua negeri kosong, tetapi apabila penonton kembali membanjiri stadium, FAM pula yang mencari peluang untuk menghukum pasukan.

Penonton buat hal sikit, FAM 'senyum' kerana bagi mereka, pasukan terbabit pasti akan didenda.

Bila denda yang begitu tinggi nilainya dikenakan kepada pasukan terbabit, tidak mustahil selepas ini, stadium akan kembali kosong, dan peluang FAM untuk raih duit daripada denda, akan berkurangan.

Semalam, FAM sekali lagi menghukum KAFA dengan jumlah yang begitu besar iaitu RM62,500.

Selain itu, FAM juga memberi amaran kepada KAFA bahawa pasukan mereka bakal beraksi tanpa kehadiran penyokong sekiranya aspek keselamatan tidak diberi keutamaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman mengesahkan bahawa KAFA telah didenda dengan jumlah tersebut berdasarkan empat kesalahan ketika aksi perlawanan menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV pada 15 Januari lalu.

Ednan memberitahu, keputusan itu dibuat berdasarkan bukti serta laporan daripada pegawai pertandingan yang melibatkan isu keselamatan di Stadium Sultan Muhammad ke pada aksi Liga Super.

Jelasnya, KAFA didenda sebanyak RM20,000 atas kesalahan penyokong membaling mercun dalam stadium ketika perlawanan berlangsung.

"Bagi kesalahan kedua, KAFA didenda sebanyak RM2,500 ekoran kesalahan penonton membaling objek di luar padang serta kesalahan ketiga, penyokong membaling objek kepada penyokong-penyokong Johor DT yang menyebabkan KAFA didenda sebanyak RM20,000.

"Kesalahan keempat KAFA adalah gagal menyedia piawaian keselamatan yang lebih terjamin yang mana KAFA didenda sebanyak RM20,000.

"Hukuman tersebut adalah paling minimum dan KAFA tidak dibenarkan membuat rayuan, namun Kelantan tidak mengaku salah (atas pertuduhan itu).

"FAM menangguhkan (hukuman) seketika untuk menghukum KAFA beraksi tanpa kehadiran penyokong selepas menyaksikan kegagalan mereka berhubung dengan isu keselamatan.

"Begitupun, kami memberikan peluang kepada KAFA dan pihak kami akan menghantar pegawai-pegawai untuk menilai tahap keselamatan di Stadium Sultan Muhammad IV (bermula pada perlawanan menentang Perak pada 1 Mac depan).

"Jika masih gagal berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan hukuman beraksi tanpa penonton," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tatatertib FAM di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Pada mesyuarat tersebut, Ednan turut memutuskan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar kecil) digantung dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah melanggar Statut FAM iaitu Artikel 88.

Katanya, Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kewangan FAM dan AJK Bola Sepak Wanita didenda sebanyak RM38,000 di atas tiga kesalahan mempersoalkan kredibiliti FAM.

Selain itu, Shahidan turut didenda RM1,000 selepas didakwa menghina jawatankuasa tatatertib FAM apabila gagal membalas surat pertuduhan pada masa yang ditetapkan.

Cabaran pasti sengit

Posted:

Cabaran pasti sengit

Cabaran pasti sengit

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


PASUKAN kebangsaan dibarisi muka lama dan baharu pada Le Tour de Langkawi tahun ini.


PERLUMBAAN yang pantas dan mencabar. Itulah situasi yang dijangka berlaku pada edisi ke-18 kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 yang akan membuka tirainya hari ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2013, Emir Abdul Jalal menjangkakan, kehadiran lima pasukan profesional serta beberapa pelumba terbaik dunia akan menjadikan perlumbaan kali ini lebih pantas, sekali gus menjanjikan cabaran yang sengit.

Rentak kayuhan akan mencapai tahap maksimum kerana para pelumba akan bersaing sesama sendiri bagi membuktikan kejaguhan masing-masing.

Pelumba daripada lima pasukan profesional iaitu Garmin Sharp (GRS – Amerika Syarikat), Astana Pro Team (AST – Kazakhstan), Orica-GreenEDGE (OGE – Australia), Blanco Pro Cycling Team (BLA – Belanda) dan Omega Pharma-Quick-Step Cycling Team (OPQ – Belgium) dijangka mendominasi perlumbaan kali ini.

Bagaimanapun, pasukan lain mampu memberikan saingan yang sengit, terutamanya enam pasukan profesional benua iaitu Vini Fantini-Selle Italia (VIN – Itali), Unitedhealthcare Pro Cycling Team (UHC – Amerika Syarikat), Champion System Pro Cycling Team (CSS – China), Team Europcar (EUC) dari Perancis, Androni Giocattoli-Venezuela (AND – Itali) serta MTN-Qhubeka (MTN – Afrika Selatan).

Selain pelumba Itali, Andrea Guardini daripada pasukan AST yang berazam untuk mencatat kemenangan hatrik, persaingan bagi merebut gelaran Raja Pecut pasti sengit dengan kehadiran Theo Bos (Blanco Pro Cycling Team), Bryan Coquard (Team Europcar), Francesco Chicchi (Vini Fantini-Selle Italia), Anuar Manan (Synergy Baku Cycling Project) dan Harrif Saleh (Terengganu Cycling Team).

Gelaran Raja Bukit pula dijangka menjadi rebutan antara pemenang Jersi Kuning 2011, Yonatha Mosalve dari pasukan Vini Fantini-Selle Italia, Nathan Haas (Garmin Sharp), Pierre Rolland (Team Europcar), Jackson Rodrigues (Androni Giocatolli-Venezuela dan Victor Nino Corredor (RTS Racing Team).

Ekoran daripada itu, barisan 16 pelumba Malaysia yang mewakili enam pasukan berlainan, perlu bekerja lebih keras untuk memberi saingan kepada pelumba daripada pasukan profesional ini.

Pada edisi kali ini, pelumba berpengalaman negara, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi akan mengetuai skuad kebangsaan bersama-sama Amir Mustafa Rusli, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Muhamad Rauf Nur Misbah, Yusrizal Usoff dan Muhammad Zulhilmi Afif Ahmad Zamri.

Pakar pecut, Hariff pula memimpin cabaran Terengganu Cycling Team (TSG) bersama-sama Mohd. Shahrul Mat Amin, Mohd. Saufi Mat Senan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Mohd. Nor Umardi Rosdi dan Mohd. Zamri Salleh.

Raja Pecut 2010, Anuar tampil lebih bersemangat bersama pasukan baharu manakala Mohammed Adiq Husainie Othman (Champion System Pro Cycling Team), Ng Yong Li (RTS Racing Team) dan Loh Sea Keong (OCBC Singapore Continental Cycling Team).

"Saya tidak sangka dapat berlumba dengan ramai pelumba terbaik dunia. Cabaran pasti sukar tetapi saya akan bekerja keras untuk memberikan saingan yang sengit kepada mereka," kata Harrif kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pasukan dan pelumba LTdL 2013 di Dataran Lang, Langkawi, Kedah semalam.

Sementara itu, keputusan Telekom Malaysia memperkenalkan anugerah baharu pasti menyuntik semangat para pelumba Malaysia untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.

Tiga anugerah tersebut iaitu Pelumba Pecut Terbaik Malaysia (Raja Pecut), Pelumba Pendaki Terbaik Malaysia (Raja Bukit) dan Juara Keseluruhan Pelumba Malaysia dilihat mampu menghangatkan pertarungan dalam kalangan pelumba negara.

Sehari selepas menyertai sesi kayuhan santai, Hot Ride di Langkawi, Kedah, cabaran pelumba akan bermula sebaik melepasi garisan permulaan di Padang Jubilee, Jalan Tun Razak, Kangar, Perlis.

Sebanyak 22 pasukan termasuk pasukan profesional, profesional benua, benua dan kebangsaan akan menyertai LTdL 2013 melibatkan 10 peringkat perlumbaan yang meliputi jarak sejauh 1,469.7 kilometer.

Tunku Ismail minta FAM bertindak

Posted:

Tunku Ismail minta FAM bertindak

Tunku Ismail minta FAM bertindak

OLEH TAUFIK SALIMIN
sukan@kosmo.com.my

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, (PBNJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan segera terhadap mutu pengadilan yang dikatakan lemah, bukan sahaja pada perlawanan membabit- kan Johor Darul Takzim (Johor DT) tetapi juga dalam semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Tunku Ismail dalam sidang medianya kelmarin memberitahu, tindakan beberapa pengadil yang dianggap 'menutup mata' terhadap kekasaran atau kesalahan pemain, jelas menunjukkan tiadanya 'standard' dalam mutu pengadilan.

Malah, Tunku Ismail juga mempersoalkan FAM dan mana-mana pihak yang gagal mengambil tindakan terhadap perkara ini.

"Saya hanya nak persoalkan apakah tindakan yang dibuat FAM terhadap pengadil, sebab mereka ini tiada standard sama ada mereka tidak layak atau sebaliknya?" katanya.

Menurut baginda lagi, PBNJ sudah mengambil semua rakaman video dan akan menyerahkannya kepada pihak tertentu untuk menjalankan siasatan.

Baginda menyatakan kekecewaannya dengan mutu pengadilan tempatan yang dianggap tidak adil dan ia jelas dapat dilihat dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia setakat ini.

"Perkara ini sudah berlaku sejak dari awal musim liga dan kita telah mengharungi tujuh perlawanan, namun perkara sama tetap berulang. Di mana mutu pengadilan sebenar?

"Perkara ini sangat mendukacitakan buat penyokong setia, penaja, para pemain dan saya sendiri sebagai Presiden PBNJ," katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail menjelaskan yang baginda sanggup menerima segala kecaman dan hukuman FAM sekiranya apa yang dinyatakannya salah.

"Sekiranya apa yang saya cakap salah, hukum saya, sekurang-kurangnya saya sudah luahkan apa yang selama ini menjadi permasalahan besar.

"Apa yang saya buat ini adalah untuk memastikan mutu pengadilan kita diyakini semua dan saya perjuangkan yang benar, kita sudah bekerja keras, menang atau kalah itu lain cerita.

"Sekarang ini kita jadi mangsa dan ia sesuatu yang sangat mengecewakan sebab kita sudah berusaha untuk meningkatkan mutu bola sepak tetapi tiada orang peduli," katanya.

Baginda mengambil contoh dalam beberapa perlawanan terdahulu, terutamanya perlawanan membabitkan ATM menentang Selangor yang mencetuskan kontroversi, namun sehingga kini masih tiada tindakan.

"Saya tidak menuduh sesiapa, cuma siasatan perlu dijalankan. Saya hanya kesal dengan prestasi pengadil dan saya harap perkara sebegini tidak akan didiamkan begitu sahaja," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Makhluk tercantik dunia fantasi

Posted:

Makhluk tercantik dunia fantasi

Makhluk tercantik dunia fantasi

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my

BEAUTIFUL CREATURES


MINGGU ini sarat dengan variasi filem menarik untuk ditonton dan Layar Perak kali ini mengajak kaki wayang menyaksikan fantasi arahan Richard LaGravenese berjudul Beautiful Creatures.

Bergerak dalam jalan cerita yang penuh keanehan, kisah percintaan dua remaja bernama Ethan Wate dan Lena Duchannes yang berdepan dengan kuasa misteri yang mereka sendiri tidak fahami. Fantasi tersebut tentunya mengisi waktu tontonan dengan keseronokan.

Meneruskan pelayaran fantasi, filem Cloud Atlas menyediakan pengembaraan menarik di ruang angkasa. Penggemar filem fiksyen sains pastinya bakal terhibur dengan filem lakonan mantap Daniel Day-Lewis, Sally Field dan Joseph Gordon-Levitt itu.

Sebuah filem biografi presiden Amerika Syarikat berjudul Lincoln turut menjenguk pawagam pada minggu ini selain beberapa buah filem lain antaranya filem seram Spiders lakonan mantap Brad Pitt, Flight dan Dark Skies.

Selain itu, dua buah filem tempatan berjudul Gangster Celop dan Pada Suatu Cinta Dahulu turut ditayangkan.

Beautiful Creatures

Tarikh tayangan: 21 Februari 2013

Durasi: 2 jam 04 minit

Genre: Drama, Romantik, Fantasi

Pengarah: Richard LaGravenese

Pelakon: Alice Englert, Ethan Wate, Viola Davis, Jeremy Irons

Sinopsis: Beautiful Creatures mengambil latar tempat di Gatlin, Carolina Selatan, Amerika Syarikat. Ethan Wate tinggal dengan ayahnya dan seorang pembantu rumah.

Pada suatu hari, Ethan terjaga daripada mimpi yang berulang mengenai seorang gadis yang tidak dikenalinya. Dalam mimpi itu, gadis berkenaan menjumpai sebuah lagu dalam iPodnya berjudul Sixteen Mood. Ethan kemudiannya terjumpa seorang pelajar baharu di sekolahnya, Lena, yang meminati lagu yang sama. Adakah mereka berdua mempunyai perkaitan antara satu sama lain dan sejarah tentang asal usul Gatlin?

GANGSTER CELOP


Gangster Celop

Tarikh tayangan: 21 Februari 2013

Durasi: 1 jam 40 minit

Genre: Aksi, Jenayah

Pengarah: Ahmad Idham

Pelakon: Kamal Adli, Syamsul Yusof, Hanis Zalikha

Sinopsis: Aman dan Adam ialah bekas gengster yang ingin bertaubat selepas dibebaskan dari penjara lima tahun lalu. Tugas pertama mereka ialah menjaga Suzana, anak perempuan Mat Jambu, seorang ketua gengster yang pernah melindungi mereka.

Lincoln

Tarikh tayangan: 21 Februari 2013

Durasi: 2 jam 10 minit

Genre: Sejarah, Biografi

Pengarah: Steven Spielberg

Pelakon: Daniel Day-Lewis, Sally Field, Joseph Gordon-Levitt, Gulliver McGrath, Tommy Lee Jones

Sinopsis: Lincoln merupakan sebuah filem biografi tentang Presiden Amerika Syarikat ke-16 pada hari-hari terakhirnya menjawat kedudukan tersebut. Negara itu bergelumang dengan peperangan dan revolusi industri yang menuntut perjuangan tinggi presiden itu untuk mengembalikan kestabilan negara, menyatupadukan rakyat serta memansuhkan hamba abdi. Keazamannya yang tinggi itu menentukan nasib generasi seterusnya.

CLOUD ATLAS


Cloud Atlas

Tarikh tayangan: 21 Februari 2013

Durasi: 2 jam 50 minit

Genre: Drama, Sains Fiksyen, Misteri

Pengarah: Andy Wachowski, Lana Wachowski

Pelakon: Tom Tykwer, Tom Hanks, Halle Berry, Jim Broadbent, Hugo Weaving, Jim Sturgess, Doona Bae, Ben Whishaw

Sinopsis: Setiap benda saling berkaitan, daripada sebuah diari tahun 1849 tentang pengembaraan merentas Lautan Pasifik, ke surat yang ditulis seorang penulis lagu kepada seorang kawan. Plot Cloud Atlas bergerak dalam kes pembunuhan di sebuah jana kuasa nuklear dan sandiwara tentang seorang penerbit di rumah orang tua. Ibarat sebuah pengembaraan yang tidak berpenghujung, filem ini menceritakan penciptaan klon di Korea pada masa depan dan kisah puak yang tinggal di Hawaii selepas malapetaka dahsyat.

Flight

Tarikh tayangan: 21 Februari 2013

Durasi: 2 jam 18 minit

Genre: Drama

Pengarah: Robert Zemeckis

Pelakon: Denzel Washington, Kelly Reilly, Bruce Greenwood, Don Cheadle, John Goodman, Melissa Leo

Sinopsis: Flight menceritakan kehidupan seorang pemandu kapal terbang yang menjadi rumit selepas satu kemalangan kapal terbang. Denzel Washington melakonkan watak pemandu kapal terbang yang berjaya menyelamatkan 100 nyawa daripada terhempas. Dia kemudiannya dianggap sebagai seorang wira, namun siasatan mendapati kandungan alkohol dalam ujian darah pemandu kapal terbang tersebut tinggi. Mungkinkah alkohol itu ialah punca kemalangan kapal terbang tersebut?

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Seorang lelaki didakwa sebabkan kematian rakan

Posted:

Seorang lelaki didakwa sebabkan kematian rakan

Seorang lelaki didakwa sebabkan kematian rakan

20/02/2013 6:16pm

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang rakannya di sebuah pangsapuri di Salak Selatan, tahun lepas.

Kuen Poh Wah, 39, dari Desa Petaling, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Gan Chee Hoe, 28, di Desa Seri Puteri, Salak Selatan, Cheras antara 5 petang hingga 7 malam pada 11 Disember 2012 mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes. - BERNAMA

Latihan SAREX LIMA 2013 selama dua hari

Posted:

Latihan SAREX Lima 2013 selama dua hari

Latihan SAREX Lima 2013 selama dua hari

20/02/2013 6:14pm

LANGKAWI - Satu latihan mencari dan menyelamat (SAR) diadakan selama dua hari di sini bermula hari ini bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan semua agensi menghadapi sebarang kemungkinan semasa Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima 2013).

Selain itu latihan berkenaan, SAREX Lima 2013 bertujuan mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara pelbagai agensi di bawah organisai SAR Nasional bagi meningkatkan kecekapan serta kelancaran pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, objektif latihan itu adalah untuk menguji keberkesanan koordinasi SAR semasa dan prosedur komunikasi antara agensi yang terlibat.

Lebih 100 pegawai dan anggota yang terlibat dalam SAR mengambil bahagian pada latihan SAREX Lima 2013 yang membabitkan latihan di laut. - BERNAMA

Ops Selamat berjaya capai objektif - Ismail

Posted:

Ops Selamat berjaya capai objektif - Ismail

Ops Selamat berjaya capai objektif - Ismail

20/02/2013 7:28pm

KUALA LUMPUR - Pendekatan advokasi serta penguatkuasaan yang berterusan ternyata memberi impak positif kepada penurunan kadar kemalangan dan jenayah pada musim perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata, kaedah penguatkuasaan serta kesedaran yang diterapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pendekatan kepada pengguna jalan raya ternyata membuahkan hasil serta mencapai objektif asal iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kejadian jenayah pada musim perayaan.

"Untuk laporan kes pecah rumah, ia mencatat penurunan sebanyak 124 kes atau 11 peratus iaitu sebanyak 986 kes direkod sepanjang dua minggu Ops Selamat 2 berbanding 1,110 kes pecah rumah yang dilapor pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lepas.

"Jumlah kemalangan secara keseluruhan mencatat 16,287 kes dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 767 kes berbanding Ops Sikap ke-25 sebanyak 17,054 kes," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis penganugerahan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen serta daerah terbaik sempena Ops Selamat 2, di sini, hari ini. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved