Ahad, 13 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sejarah panjang cipta Sudoku

Posted:

Sejarah panjang cipta Sudoku

Sejarah panjang cipta Sudoku

BERMAIN teka-teki yang memerlukan seseorang meneka angka dalam grid kotak, Sudoku, seolah-olah menjadi trend dalam kalangan orang ramai tanpa mengira usia dan latar belakang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permainan itu perlahan-lahan mengambil tempat menerusi paparan di akhbar, majalah mahupun buku-buku yang secara meluas dijual di pasaran.

Kehebatan teka-teki yang menduga akal pemainnya dalam mencari kaitan nombor antara petak-petak kecil itu mempunyai sejarah tersendiri.

Pada mulanya, ada seorang lelaki yang percaya bahawa permainan teka-teki seperti silang kata akan menjadi popular sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun selepas diperkenalkan. Siapa sangka, permainan yang diperkenalkan kurang 30 tahun dahulu, mula mendapat perhatian dan menjadi antara permainan atas kertas atau skrin telefon mudah alih yang paling digemari.

Kepekaan lelaki Jepun bernama Maki Kaji apabila melihat teka-teki bernombor, Number Place, di sebuah akhbar di Amerika Syarikat pada tahun 1984 menjadi titik tolak dalam penghasilan Sudoku dan disusuli pelbagai teka-teki lain di bawah syarikat beliau, Nikoli Co. Ltd. (Nikoli).


MAKI KAJI (kiri) seronok mendekati para pemain Sudoku dalam siri kejohanan di banyak negara.


"Ketika itu, saya tidak tahu apa syarat atau peraturan permainan yang tertera dalam majalah kecil itu. Walau bagaimanapun, saya cuba selesaikan menggunakan logik dan rasional sendiri. Selepas itu, apa yang saya lakukan ialah sedikit pengubahsuaian dan tampil dengan idea baharu," kata lelaki yang menjangkau usia enam dekad itu.

Beliau yang menjadi tulang belakang 'jenama' Sudoku berkata, nama Sudoku terdiri daripada dua patah kata iaitu, su yang bermaksud nombor dan doku yang bererti tunggal.

"Ketika itu saya percaya, Sudoku ini akan menjadi trend pada suatu hari nanti di Jepun. Ini kerana sifat orang Jepun yang sukakan permainan penyelesaian yang mencabar. Namun, ia mestilah satu teka-teki yang boleh diselesaikan.

"Pada masa yang sama, saya tidak sangka Sudoku akan berjaya mempengaruhi minda antarabangsa dalam masa kurang 30 tahun ia diperkenal," ujar Maki Kaji semasa ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Serata dunia

Menurut perangkaan kasar Nikoli, 400 juta orang sudah mengenali teka-teki Sudoku dan 100 juta orang pula sudah berlatih permainan tersebut. Nikoli juga menganggarkan, Sudoku kini boleh ditemui di lebih 100 negara dunia dengan kira-kira 20 negara menggunakan Sudoku daripada syarikat Nikoli.

Lelaki yang berasal dari Hokkaido dan pernah menjadi antara lapan pemain tenis terbaik di Negara Matahari Terbit itu memberitahu, selepas menemui Sudoku, beliau turut menghasilkan 250 jenis teka-teki logik yang lain untuk pasaran Jepun. Permainan-permainan tersebut dibekalkan oleh Nikoli secara meluas menerusi penerbitan majalah namun, hanya Sudoku yang memiliki pengikut tersendiri dan di luar Jepun.

Sebagaimana reaksi beliau apabila pertama kali melihat permainan itu, Maki Kaji melihat generasi sekarang mempunyai sifat yang sama.

Buku Sudoku pertama Maki Kaji diterbitkan pada awal 1980-an. Ia mempunyai 28 muka surat dan mengandungi 10 teka-teki dan teka silang kata.

"Sewaktu buku tersebut diterbitkan, saya lupa meletakkan tanda harga dan orang ramai tidak membelinya malah mendapatkan secara percuma. Selepas itu, saya mendekati sebuah toko buku di Tokyo dan minta buku itu dijual pada harga 10 yen. Kira-kira 300 salinan dijual dalam tempoh dua hingga tiga bulan," ujar lelaki itu yang mengimbas percubaan pertama menjual Sudoku.


KANAN: Semakin ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang meminati Sudoku.


Walau bagaimanapun, beliau mendapati ramai pelanggan tidak berpuas hati lantaran buku tersebut mengandungi beberapa kesilapan yang ketara hinggakan teka-teki beliau tidak boleh diselesaikan.

Akibatnya, beliau terpaksa memulangkan wang jualan untuk buku edisi pertamanya itu.

Maki Kaji walau bagaimanapun tidak berputus asa. Selepas tiga tahun, bertungkus-lumus menghasilkan teka-teki Sudoku yang bebas kesilapan, beliau tampil dengan penerbitan buku kedua. Menariknya, ia menerima respons positif dengan jualan mencapai 10,000 salinan dalam tempoh masa setahun. Sambutan itu menjadi titik mula Maki Kaji membuka syarikat Nikoli dan menghasilkan lebih banyak majalah teka-teki lain terutamanya Sudoku.

Sumbangan ramai

Ditanya tentang keunikan teka-teki berangka dan cara ia dihasilkan, Maki Kaji mengakui kesemua usaha itu dijalankan oleh pengarang Nikoli yang berkolaborasi dengan kira-kira 50,000 orang penyumbang termasuk orang perseorangan yang bermain teka-teki itu.

Katanya, oleh kerana pihak Nikoli sangat teliti dalam pemilihan teka-teki yang berkualiti, maka ia akan dirujuk dan diperiksa berkali-kali oleh sidang pengarang Nikoli.

"Terdapat teka-teki Sudoku yang dibuang walaupun ia adalah hasil rekaan pengarang Nikoli sendiri. Jika ia gagal menawarkan kepuasan permainan Sudoku yang dikehendaki, maka ia dianggap gagal.

"Oleh kerana hampir semua teka-teki dihasilkan oleh manusia, kami antara syarikat yang mengekalkan keunikan itu," katanya merujuk kepada kebanyakan Sudoku di pasaran yang dihasilkan menggunakan perisian komputer.

Lebih dikenali dengan gelaran God Of Sudoku, Maki Kaji sebenarnya seorang yang sukakan cabaran, menyelesaikan teka-teki dan cepat bosan apabila membuat satu perkara yang sama berulang kali. Itu mungkin antara pencetus dirinya mampu merintis teka-teki bernombor itu.

Pelbagai bidang

Menyorot kisah hidup Maki Kaji, beliau sebenarnya merupakan seorang pelajar bidang kesusasteraan di Universiti Keio, iaitu antara institusi pengajian tertinggi swasta berprestij di Jepun.

Bagaimanapun, beliau nekad untuk berhenti daripada pengajian itu kerana menurutnya, ia membosankan. Saat itu beliau sendiri berteka-teki dengan masa depan sendiri. Untuk melarikan diri daripada masalah tersebut, minat dan hala tujunya selepas itu lebih tertumpu untuk berjudi dan bermain tenis.

Berjudi bagi beliau adalah satu permainan yang menguji faktor kebarangkalian. Minat terhadap judi khususnya lumba kuda secara tidak langsung telah mempengaruhi nama Nikoli iaitu nama kuda yang terlibat dalam perlumbaan kuda Irish 2000 Guineas pada tahun 1980.

"Saya juga cuba bekerja di beberapa lapangan termasuk menjadi pekerja binaan, sebelum membina perniagaan penerbitan sendiri," katanya.

Populariti Sudoku Nikoli oleh Maki Kaji bertambah hebat apabila ia dibawa ke United Kingdom pada tahun 2005 selepas diterima baik di seluruh Jepun dan negara di sekitarnya. Langkah itu sekali gus menjadikan Sudoku diterima sebagai permainan teka-teki dunia.

Paling kreatif

Dalam satu artikel akhbar The New York Times, Nikoli disifatkan sebagai penerbit majalah permainan teka-teki logik yang merangsang kecerdasan otak dan paling kreatif di dunia. Ia juga mengakui Sudoku oleh Nikoli sebagai permainan teka-teki paling popular selepas teka silang kata.

Sungguhpun begitu, Maki Kaji memberitahu bahawa beliau sudah tidak bermain mahupun menghasilkan Sudoku pada masa sekarang.

"Sekarang saya hanya menikmati kehidupan ini dengan Sudoku. Misalnya dengan menghadiri kejohanan Sudoku di luar negara, menghadiri ceramah atau apa-apa pelawaan kehormat," jelas beliau.

Mencungkil sedikit cerita tentang keluarga, bapa kepada dua orang anak perempuan itu mendedahkan, tiada seorangpun daripada ahli keluarganya yang berminat dalam bermain Sudoku.

"Isteri saya akan menjadi orang terakhir di dunia yang akan bermain Sudoku," selorohnya sambil tersenyum.

Maki Kaji ditemui di Malaysia selepas beliau menjadi tetamu kehormat bagi Kejohanan Sudoku oleh Persatuan Sudoku Malaysia.

Beliau berharap semoga trend rakyat Malaysia yang mula meminati Sudoku akan meningkat supaya negara ini akan mengadakan lebih banyak kejohanan dan penglibatan antarabangsa dalam Sudoku.

Permainan teka-teki angka yang juga menjadi senaman minda kepada semua orang tanpa batasan usia itu juga diakui boleh menghindarkan pelbagai penyakit berhubung sakit tua termasuk nyanyuk dan Alzheimer.

Maki Kaji masih optimis dalam kepakarannya. Beliau mahu berkongsi wawasan untuk menghasilkan komuniti teka-teki bernombor bersama penerbit luar negara, tidak kira sama ada menerusi platform multimedia seperti permainan video, telefon bimbit atau permainan dalam talian di nikoli.com.

Akhbar Kosmo! merupakan akhbar berbahasa Melayu pilihan syarikat Nikoli untuk menyiarkan teka-teki Sudoku. Ia boleh didapatkan pada setiap hari Sabtu di muka surat 28.

Ambil pesanan guna bahasa isyarat

Posted:

Ambil pesanan guna bahasa isyarat

Ambil pesanan guna bahasa isyarat


PELANGGAN di restoran Atfaluna menggunakan bahasa isyarat atau terus menunjuk pada menu untuk membuat pesanan.


PADA pandangan pertama, restoran Atfaluna di bandar Gaza kelihatan seperti mana-mana tempat makan lain yang menyediakan hidangan yang biasa. Namun, ia sebenarnya mempunyai perbezaan. Hampir semua kakitangannya adalah mereka yang pekak dan bisu.

Di dalam restoran, pelanggan berbual antara satu sama lain dan mengimbas menu yang disediakan, tetapi apabila pesanan dibuat, permintaan mereka diambil oleh pelayan yang berkomunikasi dalam bahasa isyarat. Semua makanan yang dipesan itu juga dimasak oleh chef yang mengalami kelainan upaya yang sama.

Ia adalah satu-satunya konsep yang terdapat di Gaza dan merupakan idea yang dilahirkan oleh sebuah organisasi tempatan, Atfaluna yang bermaksud 'Anak-Anak Kita' dalam bahasa Arab, yang berfungsi untuk memperbaiki kehidupan individu pekak dan bisu di wilayah itu.

Projek tersebut mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu meningkatkan kesedaran tentang keperluan dan keupayaan orang-orang pekak, dan dalam masa yang sama menyediakan peluang buat mereka menyara hidup di negara yang penganggurannya sebanyak 45 peratus.

Ahmed Dahman, sambil malu-malu memberitahu melalui seorang penterjemah bahasa isyarat, betapa peluang bekerja di restoran itu telah mengubah hidupnya.

"Ia membuatkan saya rasa selamat mengenai masa depan dan pergantungan diri kerana peluang pekerjaan adalah hampir tidak wujud sebelum ini.

"Kami telah mendapat banyak sokongan dan kerjasama daripada orang ramai. Ramai daripada mereka juga menunjukkan minat untuk belajar bahasa isyarat," katanya.

Bagi Ahmed Dahman dan lain-lain yang bekerja di restoran yang dihiasi dengan simbol bahasa isyarat itu, mendapat kerja di Atfaluna merupakan peluang yang jarang berlaku.


PELBAGAI menu tempatan dan luar disediakan di restoran ini oleh staf yang pekak dan bisu.


Sehingga beberapa bulan yang lalu, peluang pendidikan untuk orang pekak dan bisu di Gaza hanya sehingga ke gred sembilan dan tiada pendidikan peringkat menengah atau universiti.

Sebuah sekolah menengah baru sahaja dibuka dan Atfaluna bekerjasama dengan universiti untuk mengadakan kursus-kursus bagi orang pekak dan bisu. Begitupun, ramai orang pada usia bekerja mendapati diri mereka kekurangan kemahiran yang boleh dipasarkan.

"Terdapat kekurangan pekerjaan yang ketara untuk orang pekak di Gaza. Sudah tentu mereka juga mempunyai kekurangan dari segi pendidikan," kata Dalia Abu Amr daripada organisasi Atfaluna.

Papan tanda

Para pelanggan restoran tersebut masuk melalui pintu khas yang di atasnya tergantung papan tanda dalam bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa isyarat.

Di dalamnya, para pelayan yang berpakaian tradisi gaun bersulam Palestin mengalu-alukan mereka ke meja makan. Kraf tangan yang dibuat dalam program pekerjaan Atfaluna juga sedia untuk dijual di restoran itu.

Menu yang ditawar adalah daripada makanan Asia Barat tipikal seperti hummus dan baba ghanouj hingga ikan goreng, ayam atau hidangan kari.

"Kami datang untuk melihat tempat ini. Tempat ini hebat. Kami akan datang ke sini untuk memberi sokongan moral," kata Shahd al-Iyla, 21, yang ke restoran itu bersama rakan-rakannya.

Abu Amr berkata, 12 daripada 14 kakitangan restoran itu adalah pekak dan bisu. Pengecualian hanya diberikan kepada chef dan akauntan yang menjawab telefon untuk mengambil tempahan serta penghantaran.

"Kesemua 12 pekerja kelainan upaya itu menerima latihan kulinari dan hospitaliti. Projek ini diharapkan dapat mengasimilasi golongan berkenaan ke dalam masyarakat di Gaza dengan memberikan mereka peluang pekerjaan," kata Abu Amr.

Kira-kira 1.5 peratus daripada penduduk Gaza yang berusia lima tahun ke atas mempunyai beberapa bentuk masalah pendengaran, menurut Atfaluna, tetapi kecacatan itu masih membawa stigma.

"Tiada siapa yang mengalu-alukan idea orang pekak dan bisu untuk bekerja di Gaza," kata Niveen al-Quqa, 35, yang menyediakan makanan sebelum meninggalkan dapur.

Dia mengikuti kelas seni dan menjahit dalam usaha untuk mencari kerja, tetapi sehingga restoran dibuka, usaha dan percubaannya itu tidak berjaya.

Kini, dia merupakan salah satu daripada lima wanita yang bekerja di Atfaluna, empat di dapur dan seorang sebagai pelayan.

"Saya berusaha untuk meningkatkan kemahiran masakan saya supaya saya rakan-rakan yang lain boleh membuktikan kemampuan kami. Di samping kekurangan yang dihadapi ini, dan saya amat gembira sekarang," katanya dengan senyuman.

Chef restoran itu, Hassan Addabus, 30, sentiasa mengambil tanggungjawab untuk bersama mereka, memberi mereka petunjuk teknik bahasa isyarat mereka.

"Saya melakukan tugas ini selama 10 tahun yang lepas dan ia adalah satu pekerjaan yang saya suka, tetapi hari ini ia lebih bermakna daripada itu. Ia mempunyai kepentingan moral dan kemanusiaan," ujarnya.

Amina al-Omari, 22, juga bertungkus-lumus di dapur. Dia berkata pekerjaannya telah memberikan satu perasaan baharu dalam diri sendiri.

"Masyarakat tidak mempunyai sebarang idea tentang keperluan kami. Saya pernah berasa ketidakadilan dan penindasan kerana kekurangan ini, tetapi semua perasaan itu mula hilang selepas saya bekerja di sini.," kata Amina. - AFP

Catatan kehidupan Ruslan Khalid

Posted:

Catatan kehidupan Ruslan Khalid

Catatan kehidupan Ruslan Khalid

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


AUTOBIOGRAFI Ruslan mencerminkan keprihatinan beliau mengenai industri seni bina dan juga seruan kemajuan bangsa.


WALAUPUN tanpa kehadirannya, suasana Dewan Banquet, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ketika sesi pelancaran buku Quest For Achitectural Excellence: A Malaysian Experience berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Pelancaran buku tersebut merupakan amanat dan wasiat seorang arkitek yang disegani di Malaysia iaitu Datuk Ruslan Khalid sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika berumur 79 tahun pada 11 November lalu akibat jangkitan paru-paru sejak setahun sebelum pemergiannya.

Quest For Achitectural Excellence: A Malaysian Experience merupakan sebuah buku autobiografi yang ditulis sendiri oleh Allahyarham sejak empat tahun lalu.

Buku tersebut menceritakan pengalaman hidupnya dalam usaha untuk mencipta nama dalam arena seni bina bangunan di Malaysia dan kebanyakan negara Eropah.

Tidak hanya menyentuh aspek seni bina, buku autobiografi itu juga meceritakan mengenai kehidupannya sebagai seorang anak kampung yang dilahirkan pada 27 April 1933 di Perlis. Beliau kemudian berjaya melanjutkan pelajaran ke Regent Street Polytechnic di England seterusnya mempunyai firma seni bina di London pada tahun 1973 iaitu Ruslan Khalid Associates.

Tidak hanya terlibat dalam bidang seni bina, dia juga merupakan anak Melayu pertama yang dilantik sebagai pensyarah senior di Universiti Portsmouth pada tahun 1974.

Sahabat lama beliau, Richard Leete memberitahu, buku tersebut berbeza dengan buku autobiografi yang ditulis oleh kebanyakan ahli politik yang berada di pasaran.

Menurutnya, latar belakang pendidikan dan kerjaya Ruslan mampu menunjukkan bahawa beliau seorang arkitek yang disegani di Malaysia dan luar negara.

"Buku ini menerangkan mengenai realiti kehidupan seorang arkitek yang bermula daripada bawah untuk mengecapi kejayaan dalam bidang yang telah diceburinya.

"Beliau mempunyai idea yang amat bernas dan mempunyai pemikiran yang kritis dalam setiap penghasilan seni bina bangunan yang dihasilkan olehnya," ujar Leete.

Dua mesej utama yang ditekankan dalam buku autobiografi tersebut ialah untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan muda dalam mengecapi kejayaan dalam sesuatu bidang dan untuk memastikan kerajaan Malaysia memainkan peranan utama untuk merancang pembangunan negara.

Bagi cetakan pertama buku tersebut, ia dicetak sebanyak 2,000 naskhah dan ia telah berada di pasaran sejak Disember lalu. Hasil daripada jualan buku akan diserahkan kepada badan kebajikan Persatuan Chopin Malaysia.

Arkitek terkemuka, Hijjas Kasturi turut diberi penghargaan berucap dalam sesi pelancaran buku tersebut. Beliau memberitahu, autobiografi berkenaan merupakan pandangan Ruslan mengenai perkembangan sosial masyarakat di Malaysia menurut kaca matanya sendiri.

"Setiap topik yang dibincangkan dalam buku ini tidak kira sama ada hal ehwal kehidupan atau pun seni bina Malaysia dan luar negara, ia merupakan catatan ikhlas daripadanya dan ia merupakan kisah benar mengenai perkara yang berlaku terhadapnya.

"Bagi golongan muda yang terlibat dalam industri seni bina, buku ini merupakan salah satu naskhah yang harus dijadikan contoh untuk anda. Ia sedikit sebanyak memberi panduan kepada anda untuk menjadi arkitek yang mampu berdiri di atas kaki sendiri," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


JPJ Perak diarah sedia laporan

Posted:

JPJ Perak diarah sedia laporan

JPJ Perak diarah sedia laporan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

ORANG ramai yang berang menterbalikkan sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ di Ayer Tawar, Sitiawan Jumaat lalu.


IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak diarah menyediakan laporan terperinci berhubung insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda milik agensi itu yang rentung dibakar orang awam di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Ayer Tawar Jumaat lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, laporan tersebut perlu diserahkan kepada kementeriannya dalam tempoh seminggu.

"Pelbagai versi cerita telah keluar. Apa yang terjadi di Ayer Tawar terpulang kepada pihak polis untuk siasat.

"Saya tidak melindungi sesiapa pun dan yang paling baik tunggu polis beritahu apa sebenarnya berlaku," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ yang remuk dan rentung angkara tindakan agresif orang awam yang berang selepas kenderaan itu didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan lapan kenderaan lain.

Beberapa saksi mendakwa kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki tiga penguat kuasa JPJ dari arah Sitiawan itu secara tiba-tiba menyeberang pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di laluan bertentangan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Misteri ikan naga berterusan

Posted:

Misteri ikan naga berterusan

Misteri ikan naga berterusan

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang tetap menarik perhatian orang ramai walaupun terdapat pelbagai cerita misteri mengenainya.


BALIK PULAU – Empangan Teluk Bahang yang merupakan empangan tadahan air terbesar di Pulau Pinang kekal dengan misteri tersendiri yang semakin membimbangkan apabila ia dikatakan menjadi habitat ikan naga dan toman yang boleh mengancam keselamatan pengunjung terutama pemancing.

Beberapa penduduk mendakwa pernah melihat kedua-dua jenis ikan bersaiz gergasi di empangan tersebut yang kini sudah diwartakan sebagai kawasan larangan bagi kaki pancing.

Selain bahaya kedalaman empangan tersebut yang menjadi punca ia diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam, cerita dari mulut ke mulut mengenai kewujudan ikan toman di empangan tersebut turut memberikan kesan tersendiri.

Seorang penduduk, Rosnani Ahmad, 37, berkata, dia pernah diberitahu rakannya yang juga seorang kaki pancing tentang penemuan ikan besar di situ sejak beberapa tahun lalu.

Kata rakannya, kali terakhir dia pernah terlihat kelibat ikan naga dan ikan toman bersaiz sebesar pemeluk sewaktu dia mengunjungi empangan tersebut pada Oktober tahun lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ubah kerajaan negeri Selangor

Posted:

Ubah kerajaan negeri Selangor

Ubah kerajaan negeri Selangor

Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my

NAJIB (tengah) melawat kawasan Little India selepas majlis sambutan Pesta Ponggal 2013 di Padang Chetti, Klang semalam.


KLANG - Rakyat di Selangor khususnya para pengundi diminta supaya mengubah kerajaan negeri pada masa ini dengan menolak barisan pimpinan yang disandang Pakatan Rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor bagaimanapun mahu pengundi di negeri itu untuk mengekalkan kerajaan Pusat yang ketika ini diterajui oleh BN.

Menurut beliau, rakyat boleh berbuat demikian ketika membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang yang akan diumumkan pada bila-bila masa.

"Kita tahu banyak masalah rakyat di Selangor yang tidak dapat diselesaikan oleh Pakatan Rakyat, janji mereka janji kosong.

"Janganlah kerana semata-mata hendak pancing undi dekat PRU-13, kita jual janji macam-macam janji. Orang Selangor sudah kena tipu. Kita boleh kena tipu sekali tetapi bukan dua kali.

"Masanya akan tiba tidak lama lagi. Jangan kita ubah kerajaan Pusat, ubah kerajaan negeri," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 masyarakat kaum India pada majlis sambutan Pesta Ponggal 2013 di Padang Chetti di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Urban

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Sedar makanan luar kurang khasiat

Posted:

Sedar makanan luar kurang khasiat

Sedar makanan luar kurang khasiat

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

MENYEDIAKAN makanan hasil masakan sendiri adalah antara kepuasan bagi suri rumah, Mariana Mat Saad, 32. Ibu kepada dua orang anak itu akan memastikan dapurnya berasap setiap hari dan hidangan yang disediakan itu pula berkhasiat, khusus untuk keluarganya.

Mungkin kerana tidak bekerja dan tertumpu kepada tugas menjaga anak dan rumah, Mariana mengakui wanita yang hidup di bandar besar sepertinya sukar meluangkan masa di dapur jika mempunyai kerjaya.

"Menjaga anak-anak kecil ini pun sungguh memenatkan, apatah lagi jika bekerja. Ketika bekerja dulu sebelum kahwin, saya memang jarang memasak," kata Mariana yang tinggal di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Apabila ditanya tentang pilihan makanan segera, Mariana memberitahu, dia memang sedar bahawa ia bukan pilihan yang sihat, tetapi ramai orang yang tidak boleh mengelakkannya. Adakalanya makanan seperti mi segera terpaksa dijadikan pilihan.

Dalam senario lain, kesibukan sepanjang hari bertugas di pusat perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pegawai penerangan dan kemudian kembali ke rumah untuk melaksanakan tugas menjaga anak, tidak sama sekali menghalang wanita muda, Nurul Hayati, 32, daripada mengamalkan rutin memasak di rumah.

Tatkala ramai wanita yang berkeluarga dan berkerjaya merungut tentang masalah tidak dapat meluangkan masa di dapur, Nurul yang tinggal di Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pula memastikan dirinya sedaya upaya untuk memasak.

Nurul memberitahu, dia lazimnya hanya sempat masak satu atau dua menu selain nasi, ataupun sekadar memasak nasi goreng, mi goreng dan lain-lain hidangan yang mudah.

"Saya suka memasak. Suami juga memilih masakan rumah berbanding dari luar. Apabila memikirkan tentang khasiat makanan itu sendiri khususnya kepada anak, saya tidak keberatan memasak," kata ibu kepada anak yang baru berusia setahun lapan bulan itu.


MARIANA (tengah) memastikan keluarganya dapat menikmati makanan yang berkhasiat hasil daripada air tangan sendiri.


Sejuk beku

Wanita urban sering kali memilih untuk makan di luar, mengambil makanan segera atau yang disejuk beku untuk mengimbangi masa di pejabat dan urusan domestik.

Segolongan lagi gemar memilih makanan siap yang hanya perlu dipanaskan semula sementara selebihnya pula memesan makanan melalui telefon dan dalam talian.

Alternatif tersebut kini dianggap rutin kerana kebanyakan daripada wanita yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur sudahpun dilimpahi pilihan makanan dan perkhidmatan seumpama itu.

Kaedah tersebut memudahkan mereka menyediakan hidangan buat keluarga kerana sebahagian besar masa telah 'terkorban' di tempat kerja dan di dalam kesesakan lalu lintas.

"Walaupun penat, sebenarnya saya rasa berpuas hati kalau dapat masak sendiri. Namun, ini tidak bermakna kami tidak makan di luar atau memilih makanan segera sekali sekala. Dalam situasi tertentu seperti waktu banyak kerja, saya terpaksa menerima hakikat tersebut sebagai wanita urban," katanya.

Bagaimanapun pada hujung minggu, Nurul tetap akan memasak malah menggunakan peluang cuti itu untuk mencuba lebih banyak resipi baharu.

Berbeza dengan Nurul, Amyza Azura Omar dari Shah Alam pula berpendapat, lebih elok makan di luar sahaja. Katanya, selain sibuk sepanjang hari di tempat kerja dan kepenatan sekembalinya ke rumah, dia merasakan bahawa memasak memerlukan kudrat yang banyak.

"Lagipun kami tinggal suami isteri sahaja. Saya rasa, daripada memasak sendiri, adalah elok dan jimat jika kami makan di luar. Dalam sebulan, kira-kira 10 kali saya masak dan selebihnya makan di luar," katanya yang bagaimanapun tetap bersetuju bahawa makan di luar lebih mendedahkan seseorang pada masalah kesihatan.

Menurut Amyza, sebab utama dia memilih untuk makan di luar adalah kerana belum mempunyai cahaya mata. Begitupun, dia mengakui tidak mengamalkan budaya makanan segera atau dibekukan.

"Saya rasa ramai wanita seperti saya kurang memasak di rumah, kalau ada pun mungkin kerana anak-anak," katanya yang percaya ramai lagi wanita bekerjaya pada masa ini mempunyai minat terhadap skil memasak.


MAKAN di luar menjadi pilihan Amyza (kiri) dan rakan-rakannya.


Kesesakan lalu lintas

Bagi pasangan suami dan isteri yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, V. Danny Kumar, 28 dan Jaya Shalini Selver Dass, 28, mereka mengakui jarang memasak tetapi pada masa yang sama menolak pengambilan makanan segera atau makanan yang diproses.

Pasangan dari Klang Jaya itu sememangnya meminati makanan masakan di rumah. Begitupun, oleh kerana masing-masing terikat dengan kerja, mereka akur dengan keadaan lalu terpaksa makan di luar.

"Sesudah diketepikan pilihan makanan segera atau sejuk beku, maka pilihan yang kami ada ialah makan di restoran atau kafe yang menyediakan makanan panas," kata Danny.

Pasangan tersebut lazimnya tiba di rumah dari pejabat pada pukul 9.30 malam setiap hari memandangkan Danny bekerja di Cyberjaya manakala Jaya pula di Petaling Jaya.

Jika berlaku situasi tertentu seperti hujan lebat ataupun insiden yang mengganggu kelancaran jalan raya, alamatnya mereka akan tiba lebih lewat.

"Sebaik sahaja sampai di rumah, melalui Lebuh Raya Persekutuan yang sentiasa sesak pada waktu puncak, saya sudah kepenatan.

"Selepas membersihkan diri, kami perlu beristirehat demi mengulang rutin yang sama keesokannya," ujar Jaya.

Hanya jika mereka berdua atau salah seorang daripada mereka dapat sampai lebih awal, maka makanan yang ringkas seperti sambal, telur goreng dan sayur goreng dapat disiapkan.

Terjemahan lensa pelajar UiTM

Posted:

Terjemahan lensa pelajar UiTM

Terjemahan lensa pelajar UiTM

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


PARA pelajar bergambar beramai-ramai selepas perasmian pameran fotografi Malaysia:Dari Lensa Mahasiswa di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah, UiTM Shah Alam.


JABATAN Fotomedia Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan pameran fotografi di Galeri Seni Tuanku Zahirah pada penghujung tahun lalu.

Galeri yang bertempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itumenjadi tumpuan ramai bagi menghayati pameran fotografi Malaysia: Dari Lensa Mahasiswa.

Ia melibatkan hail karya seramai 60 pelajar dengan bimbingan pensyarah fakulti tersebut.

Tajuk yang ditonjolkan menerusi pameran itu memberi penekanan kepada kepentingan fotografi dalam penyampaian mesej perpaduan yang mengandungi mesej 1Malaysia.

Pameran yang menampilkan 400 karya fotografi pelajar semester akhir FSSR itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Pensyarah yang mengetuai projek tersebut, Mohamad Azlan Mohamed Amin memberitahu, dengan menggunakan teknik-teknik yang dipelajari semasa sesi kuliah, pelajar-pelajar berpeluang merakamkan momen sebenar kehidupan masyarakat di Malaysia.


BANYAK yang boleh dihayati daripada setiap gambar yang dipamerkan.


"Karya fotografi yang dihasilkan penuh dengan elemen semula jadi dan ia dirakamkan di seluruh Malaysia. Projek ini juga merupakan tugasan terakhir mereka sebelum menamatkan pengajian di UiTM.

"Pihak JPNIN turut memberi dana untuk digunakan oleh pihak fakulti bagi membawa rombongan pelajar ke beberapa negeri seperti Kelantan, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Kedah," ujarnya ketika ditemui selepas sesi pelancaran pameran itu baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut hadir sebagai tetamu terhormat bagi merasmikan pameran Malaysia: Dari Lensa Mahasiswa.

Selain itu, karya-karya fotografi yang dipamerkan cukup unik kerana ia mengalunkan nada-nada visual yang harmoni, penceritaan yang berbentuk visual dan hujahan visual yang padat dengan mesej perpaduan di Malaysia.

Momen penting

Seorang pelajar yang terlibat dalam pameran tersebut, Amierah Noor Ibrahim, 22, memberitahu, tema 1Malaysia yang ditetapkan oleh JPNIN itu telah memberi idea kepadanya untuk merakamkan momen penting sekitar Festival Citrawarna Malaysia 2011.

"Saya telah menghabiskan banyak masa ketika berada di festival itu untuk mendapatkan momen semula jadi yang bertepatan dengan tema yang diberikan. Hasilnya ialah ia melambangkan pertukaran budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menggunakan aspek pakaian subjek utama.

"Pilihan pelbagai acara yang melibatkan perpaduan ketika itu juga banyak dan saya serta rakan-rakan terpaksa berkejar-kejar untuk ke setiap acara itu," ujarnya yang telah menamatkan pengajian di UiTM hujung tahun lalu.

Sementara itu, pelajar semester lima Jabatan Fotomedia Kreatif, FSSR, Aiman Zhafran, 22, pula berpendapat bahawa pameran itu telah memberikan sumber inspirasi kepadanya untuk menghasilkan karya fotografi yang mantap.

"Saya dapat melihat bahawa sumber rujukan kebanyakan senior saya menerusi pameran ini lebih terarah kepada teknik fotografi yang dihasilkan oleh saluran dokumentari National Geographic. Ini juga telah memberi pendedahan kepada saya mengenai pelbagaian dalam teknik fotografi," ujarnya.

Nilai kepada wang jaminan TLC

Posted:

Nilai kepada wang jaminan TLC

Nilai kepada wang jaminan TLC

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my


MODEL terkenal, Amber Chia turut memeriahkan majlis pelancaran pasar raya besar TLC.


GAYA hidup warga urban dalam membeli barangan runcit sudah lama berubah, khususnya mereka yang tinggal di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur.

Perubahan yang dilakukan seiring dengan trend yang dikemas kini oleh peruncit dengan menawarkan pengalaman beli-belah yang sempurna semakin mendapat perhatian.

Kini, ramai pengguna memilih untuk membeli barangan di pasar raya yang sudah sedia ada di kompleks niaga, pusat beli-belah atau di kawasan yang paling strategik lagi selesa. Mengambil kira cita rasa dan keperluan pengguna kota, pasar raya besar TLC baru-baru ini dibuka di tingkat 3, pusat beli-belah 1 Shamelin, Shamelin Perkasa, Cheras.

Dilengkapi prasarana moden dan persekitaran kontemporari, pasar raya besar TLC adalah rangkaian pertama dan mempunyai sejarahnya tersendiri.

"TLC berasal daripada nama kedai runcit tradisional yang dibuka oleh datuk saya lebih 80 tahun dahulu di Tongkah Morib, Banting. Sebagai menghormati dan menghargai pengorbanan beliau, saya menamakan kedai ini seperti yang dinamakannya dahulu, iaitu akronim bagi Tong Lee Chan," demikian kata Pengarah Urusan TLC Supersaver Sdn. Bhd., Yong Kee Mee.

Tambahnya, TLC menjamin pelanggan mendapat nilai yang lebih daripada wang yang dibelanjakan. Pihaknya amat optimis dalam memastikan wang yang dibelanjakan itu mendapat pulangan kepuasan di samping memastikan pengalaman beli-belah dalam suasana mesra pelanggan.


SUSUN atur barangan yang kemas dan ruang laluan yang lebar memudahkan orang ramai membeli-belah.


Beroperasi di kawasan seluas 115,000 kaki persegi (10,680 meter persegi), pasar raya besar itu membekalkan hampir semua jenis produk baik daripada produk makanan segar seperti sayur-sayuran, daging, ayam dan ikan hinggalah kepada keperluan umum lain termasuk produk sanitasi, kecantikan, kosmetik dan barangan bayi.

Sementara itu, bahagian jualan produk bukan halal diasingkan sebagai menghormati sensitiviti pelanggan Islam.

"Kami mahu pelanggan berasa selesa dan mendapatkan semua produk di dalam satu hentian pada harga murah," kata Kee Mee yang teruja dengan respons oleh pelanggan pada hari pertama pembukaan.

Dibuka di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah kawasan perumahan dan komersial yang sibuk, TLC di pusat beli-belah 1 Shamelin mempunyai akses pengangkutan yang sangat mudah.

Pusat beli-belah 1 Shamelin itu sendiri menawarkan pelbagai kemudahan dan prasarana seperti pusat gim Gorgeous Fitness, pawagam TGV, karaoke K-City Family, Akademi Badminton Pioneer, pelbagai gerai makanan dan minuman serta butik pakaian.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pasar raya besar TLC, sila layari www.TLChypermarket .com.my.

Dalam pada itu, TLC juga mengalu-alukan para pelanggan berdaftar sebagai ahli kad kesetiaan untuk mendapatkan lebih banyak manfaat dan keistimewaan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Permulaan bergaya

Posted:

Permulaan bergaya

Permulaan bergaya

CHONG WEI meraih gelaran pertamanya musim ini selepas muncul juara pada Terbuka Korea semalam.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei membuka tirai kalendar 2013 penuh bergaya selepas merekodkan kejuaraan sulung pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Korea.

Kejayaan itu hadir selepas dia melakar kemenangan ke atas pemain China, Du Pengyu 21-12, 21-15 pada aksi final yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan semalam.

Sebagai rekod, ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat pemain No. 1 dunia itu selepas dia berjaya bergelar juara tahun lalu.

Sebelum itu, Chong Wei turut menggenggam trofi kejuaraan Terbuka Korea pada 2010.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock memuji corak permainan yang dipamerkan Chong Wei yang tampil dengan aksi penuh bertenaga selain fokus terhadap lawannya yang menghuni ranking kelima dunia.

"Chong Wei beraksi dengan baik dan dia berjaya memberikan fokus sepenuhnya dalam perlawanan (final) tersebut. Itu yang membuatkan dia tenang merencanakan serangan ke atas Pengyu," kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! di Seoul semalam.

Menurut Seu Bock, kejuaraan tersebut sudah pasti memberi tonik terbaik buat Chong Wei dalam misi merekodkan kejuaraan kesembilan pada Terbuka Malaysia yang akan bermula esok.

"Saya harap dia boleh mengekalkan konsistensinya seperti mana yang ditunjukkan pada Terbuka Korea kali ini. Saya percaya, jika dia boleh melakukannya, dia akan bergelar juara pada Terbuka Malaysia," kata Seu Bock.

Chong Wei yang tampil pada musim 2013 dengan imej serba putih, sudah lapan kali bergelar juara Terbuka Malaysia bermula pada 2004, 2005, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Dia yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan akan memulakan cabaran pada Terbuka Malaysia menentang Viktor Axelsen dari Denmark pada aksi pusingan pertama.

Terbuka Malaysia akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil bermula esok hingga Ahad ini.

Kelantan belum temui rentak

Posted:

Kelantan belum temui rentak

Kelantan belum temui rentak

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


PENYERANG Kelantan, Nor Farhan (kanan) masih belum tampil dengan aksi sebenarnya.


JUARA trebel musim lalu, Kelantan memulakan misi mempertahankan kejuaraan dengan langkah yang agak sumbang apabila tewas dua kali dan hanya menang sekali dalam tiga perlawanan sejak memulakan kempen menerusi perlawanan Piala Sumbangsih 5 Januari lalu.

Bergaya membuka tirai Liga Super musim 2013 dengan mengatasi PKNS di laman sendiri Rabu lalu, The Red Warriors terpaksa menanggung kekalahan pertama apabila diaibkan oleh T-Team pada pertemuan petang kelmarin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak mempamerkan riak kebimbangan malah, percaya aksi anak-anak buahnya akan berada pada tahap sebenar sedikit masa lagi selain menyifatkan aksi terumbang-ambing yang dipamerkan ketika ini hanya bersifat sementara.

Menurutnya, beliau mengakui bahawa aksi menentang T-Team adalah di bawah keupayaan sebenar selain keadaan padang dan cuaca juga dilihat mempengaruhi persembahan kebanyakan pemainnya sehingga terpaksa akur dengan tahap 'kesegaran' anak-anak didik Peter James Butler.

"Aksi kita kurang baik kerana beraksi di atas padang yang tidak begitu baik. Itu memberi tekanan terutama pemain seperti Keita (Mandjou), Obinna (Nwaneri) Daudsu (Jamaluddin) dan Norfarhan (Mohamad) yang kurang selesa beraksi di atas padang sebegitu menyebabkan pergerakan mereka agak berat dan tersekat.

"Sebelum ini, kita juga beraksi di atas padang yang basah dan becak ketika menentang PKNS di Kota Bharu, menyebabkan pemain juga mempamerkan aksi perlahan dan keletihan. Kita memerlukan sedikit masa untuk memulihkan keadaan itu dan saya tidak fikir ia merunsingkan," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, perlawanan tersebut seimbang malah, Kelantan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun, digagalkan dengan penyudah yang tumpul berbeza dengan T-Team yang tidak mempunyai banyak ruang tetapi, berjaya memanfaatkan satu peluang yang mereka peroleh.

Dalam pada itu, Hodak memberitahu, faktor keletihan kerana mengharungi jadual perlawanan yang padat juga menyebabkan anak-anak buahnya gagal mempamerkan aksi yang berkualiti selepas beraksi dalam tiga perlawanan untuk tempoh lapan hari.

"Ia merupakan perlawanan yang cukup sengit dan secara jelas anda terpaksa beraksi dalam tempoh setiap tiga hari dan sudah tentunya anda tidak akan melihat kualiti dalam bola sepak. Pada separuh masa pertama, cuacanya sangat panas, namun, ia sedikit selesa pada separuh masa kedua.

"Mungkin semua orang menjangkakan kita akan menang pada perlawanan tersebut, saya juga merasakan demikian tetapi kadangkala bola sepak boleh jadi begini dan boleh jadi begitu. Adakala anda boleh menang tetapi tempoh hari nasib kita tidak begitu baik," ujarnya.

Marlon enggan dabik dada

Posted:

Marlon enggan dabik dada

Marlon enggan dabik dada

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


MARLON mula pamer taring sebenar.


PENYERANG berbisa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James berjaya menutup mulut pengkritik sebaik meledak hatrik semasa membantu pasukannya membenam cabaran Selangor PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Selepas dikritik hebat gara-gara beberapa kali mensia-siakan peluang keemasan semasa pasukannya tewas 0-1 kepada Lions XII dalam aksi pembuka tirai liga minggu lalu, Marlon kembali membuktikan sentuhannya masih berbisa sekali gus membantu ATM membawa pulang tiga mata berharga.

Begitupun, Marlon enggan mendabik dada dengan ledakan hatrik tersebut, sebaliknya menegaskan misi memburu kemenangan menjadi keutamaannya musim ini.

"Sudah tentu saya gembira dapat menjaringkan gol, tetapi yang lebih utama ialah berjaya membantu ATM memenangi perlawanan.

"Sejujurnya, saya tidak ambil peduli berapa jumlah gol yang berjaya saya hasilkan asalkan ATM membawa pulang tiga mata penuh," kata Marlon.

Dalam perlawanan itu, ATM terlebih dahulu di depan seawal minit kelapan apabila Marlon tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas bola dikatakan terkena tangan salah seorang pemain PKNS.

Begitupun, PKNS kembali menyamakan kedudukan menerusi Fazli Baharuddin pada minit ke-27 dan kedudukan kekal 1-1 pada separuh masa pertama.

Namun, ketiadaan penyerang import, Patrick Ronaldinho yang diperintahkan keluar padang pada minit ke-60 gara-gara mengutip kad kuning kedua selepas didakwa sengaja merebahkan badan jelas mengundang padah buat PKNS.

Hasilnya, ATM kembali menguasai perlawanan sebelum Marlon meledak dua lagi gol pada minit ke-64 dan 71.

"Saya harap jaringan hatrik ini dapat menyuntik moral saya supaya memberikan yang terbaik serta berterusan menjaringkan gol dalam perlawanan akan datang," kata Marlon.

Selepas ini, ATM bakal melayan kunjungan pasukan berstatus kelab, T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok sementara PKNS menanti kunjungan Lions XII di Stadium Shah Alam.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Pongu Tamil sempena Ponggal

Posted:

[unable to retrieve full-text content]SETIAP tahun, pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Hindu yang lazimnya jatuh pada pertengahan bulan Januari kalendar Inggeris, menandakan satu perayaan besar bagi penganut agama Hindu, iaitu Ponggal.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


46 maut tanah runtuh di China

Posted:

46 maut tanah runtuh di China

46 maut tanah runtuh di China


PEKERJA penyelamat menggali timbunan lumpur selepas tanah runtuh melanda Kampung Gaopo di daerah Zhenxiong, dalam wilayah Yunnan kelmarin.


BEIJING - Usaha mencari tiga orang yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di barat daya China berakhir semalam apabila mayat mereka dikeluarkan dari dalam lumpur dengan angka kematian keseluruhan bencana berkenaan kini 46 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Pihak berkuasa Wilayah Yunnan memberitahu, mayat tiga mangsa terakhir itu ditemui pagi semalam selepas 1,000 pekerja penyelamat melancarkan usaha mencari selama semalaman di Kampung Gaopo.

Agensi berita Xinhua melaporkan, mereka yang tertimbus dalam tanah runtuh tersebut termasuk 27 orang dewasa dan 19 kanak-kanak.

Menurut agensi berita tersebut, dua lagi mangsa dimasukkan ke hospital selepas bencana itu menimpa pagi kelmarin dengan menyebabkan 16 kediaman tertimbus,

Usaha mencari dan menyelamat segera dikerahkan dengan disertai sejumlah anggota tentera, polis, bomba dan pekerja penyelamat serta dibantu 20 jentera berat.

Seorang wanita, Li Yongkju berkata, dia mendengar bunyi dentuman tanah runtuh itu ketika membersihkan halaman rumahnya.

Yongkju, 50, memberitahu, dia dan beberapa penduduk kampung lain bergegas ke lokasi bencana itu dengan membawa penyodok dan cangkul.

"Kami mengeluarkan beberapa mangsa, seorang daripada mereka sukar bernafas. Dia mati tidak lama kemudian," dia dipetik sebagai berkata oleh Xinhua.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Zhou Benju menangis ketika menceritakan kejadian itu.

"Beberapa saudara-mara ibu bapa saya termasuk nenek, saudara lelaki, bapa saudara dan anggota keluarga ibu saudara saya terbunuh," katanya.

Satu klip video yang disiarkan di sebuah laman jaringan sosial China menunjukkan sekumpulan penduduk kampung menemui satu mayat ketika menggali lumpur dan serpihan. Mayat itu kemudian dibawa keluar menggunakan pengusung.

Menurut Xinhua, tanah runtuh itu berpunca daripada hujan dan salji tanpa henti selama 10 hari.

Menurut pihak berkuasa, tanah runtuh itu melitupi kawasan sepanjang 120 meter, dan selebar 110 meter.

Wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Myanmar, Thailand, Laos dan Vietnam merupakan kawasan miskin dengan rumah-rumah dibuat menggunakan bahan murah.

Gaopo terletak di daerah Zhenxiong, timur laut Yunnan dengan kawasan pergunungannya cenderung dilanda tanah runtuh dan gempa bumi. - AFP

Struktur terbesar alam semesta ditemui

Posted:

Struktur terbesar alam semesta ditemui

Struktur terbesar alam semesta ditemui


KELOMPOK kuasar LQG yang merupakan struktur terbesar di cakerawala.


LONDON - Ahli-ahli astronomi menemui struktur terbesar di alam semesta yang terdiri daripada beberapa kuasar amat besar sehingga masa empat bilion tahun diperlukan untuk merentasinya pada kelajuan cahaya.

Penemuan yang dibuat oleh ahli-ahli akademik Universiti Lancashire Pusat, Britain itu disiarkan dalam jurnal Notices of the Royal Astronomical Society dan dilaporkan dalam laman web persatuan berkenaan kelmarin.

Kuasar merupakan objek paling terang dan bersinar di alam semesta dengan cahayanya terpancar dari pusat sejumlah galaksi sejak awal kewujudan cakerawala. Cahaya kuasar dapat dilihat dari jarak beberapa bilion tahun cahaya.

"Sejak tahun 1982 ahli-ahli sains mendapati kuasar cenderung terbentuk secara berkelompok sekali gus membentuk struktur besar yang terdiri daripada gugusan kuasar besar atau LQG," kata persatuan itu.

Menurutnya, gugusan kuasar yang baru ditemui itu memiliki dimensi 500 megaparsek dengan setiap megaparsek bersamaan jarak 3.3 juta tahun cahaya.

Berikutan LQG berbentuk memanjang, dimensi paling panjang gugusan kuasar itu berukuran 1,200 megaparsek atau empat bilion tahun cahaya.

Saiz tersebut adalah 1,600 kali ganda jarak dari Galaksi Bima Sakti ke galaksi paling hampir, Andromeda.

Bumi terkandung dalam Galaksi Bima Sakti. - Reuters

Pengguna komputer diminta tutup program Java

Posted:

Pengguna komputer diminta tutup program Java

Pengguna komputer diminta tutup program Java

WASHINGTON - Jabatan Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) menasihati orang ramai agar menutup sementara perisian Java dalam komputer mereka bagi mengelakkan risiko serangan penggodam.

Saranan itu dibuat dalam satu pekeliling pada Khamis lalu susulan kebimbangan yang ditimbulkan oleh pakar-pakar keselamatan komputer.

Mereka percaya penggodam-penggodam telah menemui kelemahan dalam kod perisian Java yang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah dan penipuan siber.

Java digunakan secara meluas sebagai bahasa teknikal yang membolehkan pengatur cara menulis pelbagai jenis aplikasi internet dan program perisian lain yang boleh digunakan dalam hampir semua sistem pengoperasian komputer.

Firma Oracle Corp memiliki Java apabila membeli syarikat yang menghasilkan perisian itu, Sun Microsystems pada harga AS$7.3 bilion pada 2010. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Kelantan terima tamparan awal

Posted:

Kelantan terima tamparan awal

Kelantan terima tamparan awal

13/01/2013 2:33am

KUALA LUMPUR - Juara trebel musim lepas, Kelantan, menerima tamparan hebat pada awal musim apabila kalah 1-0 kepada pasukan kelab T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam ini.

Keputusan tidak diduga itu sudah pasti mengundang kritikan penyokong "The Red Warriors" apabila skuad bimbingan Bojan Hodak yang nampak tidak bermaya untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan.

Bagaimanapun, T-Team, di bawah kendalian Peter James, mencipta kemenangan pertama selepas dua perlawanan apabila Mohd Aizulridzwan Razali menjaringkan gol tunggal seawal minit kesembilan.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, pasukan jemputan Lions XII mencapai kemenangan kedua apabila mengalahkan Selangor 1-0, hasil jaringan Fazrul Nawaz pada minit ke-24.

Di Stadium Shah Alam, naib juara Piala Malaysia musim lepas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengutip tiga mata pertama selepas menewaskan pasukan PKNS Selangor 3-1.

Pemain import ATM, Marlon Alex James beraksi cemerlang apabila melakukan hatrik menerusi jaringan pada minit ketujuh, ke-64 dan ke-72.

Manakala gol saguhati PKNS disumbangkan oleh Mohamad Fazli Baharudin pada minit ke-26. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Sherry mendarat di lapangan seni

Posted:

Sherry mendarat di lapangan seni

Sherry mendarat di lapangan seni

SHERRY menyimpan impian untuk kembali menjadi pelakon sebelum usia 30 tahun. Dia berjaya menggapai impian itu.


TUBUH kecil dengan ketinggian 160 sentimeter itu terbiasa memakai persalinan rona merah manggis. Wanita itu juga mengenakan topi kecil di kepala, warna yang sama. Busana yang selalu lekat dengan kostum pekerjaan dirinya di saat itu yang menggalas tanggungjawab pramugari di bawah payung syarikat penerbangan Qatar Airlines.

Wanita berusia 29 tahun dengan nama Syarizad Ibrahim atau nama komersialnya Sherry Ibrahim itu pernah bergelar anak seni selama dua tahun setengah bagaimanapun ia terhenti di tengah jalan. Mungkin ada yang terlupa namanya.

Untuk jangka waktu tugasan berlatarkan awan, Sherry menyusun langkah kaki dari kerusi ke kerusi, kelas ekonomi dan bisnes melayan kerenah dan mengenal asam garam kehidupan. Di awan biru berulang alik pelbagai negara, dia mengutip perjalanan hidup. Warna sebenar manusia bila duduk jauh dari atas darat.

Lebih yakin

Digayakan semula dalam busana selebriti, solekan lebih tebal dan baju rekaan pereka terkenal Syaiful Baharim, Sherry mengaku sedikit kekok. "Lama tidak bergambar begini," akuinya ketawa namun masih berbaki lenggok seorang artis.

Pernah bertugas terdahulu bersama Malaysia Airlines (MAS) dan kemudian mengutip pengalaman berbeza di Qatar Airlines, dia mengaku banyak belajar makna hidup.

"Dunia pramugari mengajar saya menjadi matang, lebih yakin. Jujur, pengalaman tersebut tidak akan saya dapat di mana-mana," senyumnya yang semakin rancak berceloteh, gaya Sherry dulu-dulu.

"Saya bertemu orang yang menarik. Belajar daripada sebuah hubungan yang dinamakan persahabatan menjadi akrab sebagai famili. Kepercayaan adalah kunci utama apabila berada jauh daripada keluarga dan tanah air sendiri," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Menariknya untuk pengisian diri sendiri, Sherry yang pernah membintangi drama Renjis bersama Elyana ini juga mengenal lebih dalam satu perkara.

"Saya belajar untuk menjadi tidak semberono. Rasa dihargai dan yang penting mengerti erti tidak hipokrit lebih dalam," tambahnya berkata jujur dengan harapan ketulusan ini tidak disalah ertikan. Dia bercakap atas dasar pemerhatian dan pengalaman.

Penulis bertanyakan destinasi yang paling digemari sementelah pasportnya pasti penuh dengan cop pelbagai negara.

"Saya sukakan Amerika Syarikat kerana orangnya tidak bersifat perkauman. Mereka boleh menerima orang Asia. Lihat sahaja penerimaan mereka terhadap kehadiran penyanyi Yuna," ujar si peminat tegar Yuna ini.

Paling banyak mengajar katanya adalah apabila dia menjejak kaki ke negara Asia Barat. Kata Sherry, jika tidak memiliki karakter yang kuat, seseorang tidak dapat bertahan lama di negara tersebut. Perlu kuat dan tegas berhadapan dengan orang di sana, tambah Sherry.

"Tetapi saya banyak juga belajar tentang fesyen daripada orang Arab. Ada alat solek dan pewangi yang khas untuk kaum Hawa, daripada situ kita sudah nampak kuasa beli mereka dalam bab fesyen," ulas Sherry yang teringin ke Santorini, Greece dan Rio de Janeiro, Brazil.

Berlakon semula

Menghampiri tarikh 3 April 1983, satu masa di mana usianya bertukar ke kepala angka tiga, Sherry senyum dan puas menyatakan dia berjaya mengejar impian yang pernah disulam.

"Saya pernah menyimpan hasrat untuk kembali menjadi aktres sebelum usia masuk ke angka 30 tahun," sambungnya yang sudah habis kontrak bersama syarikat penerbangan sejak tahun lalu.

Namun dia mengambil masa enam bulan untuk merehatkan diri. Lebih menghampiri famili dan rakan-rakan yang pernah ditinggalkan ketika di awan biru. Demi tugasan dahulu, waktu senggang bersama yang tersayang perlu dikorbankan.

"Lepas habis kontrak, saya tidak putuskan untuk buat apa-apa lagi. Lagi pun ayah dan ibu ketika itu mahu mengerjakan ibadat haji. Rakan artis, Ryzal Jaafar yang akhirnya tolong dapatkan pekerjaan semula dalam dunia lakonan. Saya bersyukur dengan tawaran tersebut memandangkan sekarang sangat ramai pelakon pelapis yang muda-muda," katanya.

Hayunan semula dalam jiwa pelakon dimasukkan ke dalam karakter Eriza, wanita muda sofistikated dan lahir dalam legasi orang berada. Dalam drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang kini disiarkan di saluran TV3 pada pukul 7 malam, Sherry kembali menyarung persalinan aktres.

"Ini tawaran pertama saya. Drama arahan Amie Maziah di bawah produksi Suhan Movies. Mulanya saya hanya patut berlakon beberapa belas adegan tetapi kemudian dilanjutkan oleh sutradara. Saya bersyukur dengan lanjutan ini dan membuatkan saya lebih bersemangat berlakon," katanya yang berlakon bersama Talha dan Asraf dalam drama adaptasi novel tulisan Fatin Nabila tersebut.

"Rasa gemuruh itu datang bila turun padang semula. Tertanya-tanya saya sendiri adakah saya boleh berlakon lagi? Hasil sokongan padu rakan-rakan dan keluarga yang menyatakan saya patut kembali membuatkan saya mengumpul semangat," ujarnya.

Untuk Sherry, drama 26 episod ini turut membuka lembaran baharu buatnya. Dia diberikan sebuah karakter yang lebih matang dan 'dalam' permainan jiwa. Seakan-akan tahu bahawa dia mahu menangkis karakter komedi yang pernah sekejap melekat pada dirinya.

"Mungkin sebab saya pernah muncul dalam drama Chaparela yang ada sentuhan komedi. Juga muncul dalam watak-watak ceria seperti Dunia Baru dan Renjis, jadi saya lebih terdorong diberikan watak-watak yang hampir sama. Bukan tidak bersyukur tetapi setiap pelakon pasti mahukan kematangan dalam jalur lakonan mereka," senyum pelakon yang juga pernah muncul dalam drama Jelatang, Cinta Untuk Ain, Lara Rindu Mahsuri, Dira dan Nina serta Cik Ah Cik Nin.

"Tahun ini adalah tahun fokus dalam dunia seni. Ada beberapa projek seni lagi yang sedang dirangka dan saya harap dapat dilaksanakan," nekadnya yang masuk ke dunia seni pada tahun 2006.

Setelah berlangitkan cuaca pengalaman dan bintang pesona sebagai anak kapal, kini Sherry kembali ke landasan lapangan seni.

Mungkin kembali hijau rumput yang ditatihnya, namun tidak mustahil bunga-bunga jaya bakal tumbuh meriah selepas dia mendalami kepelbagaian kerenah manusia dan jalur pengalaman dalam dunia sebenar. Hanya perlu diadaptasi dalam dunia rekaan yang dinamakan drama dan filem berpredikatkan tugasan pelakon.

Sisi psiko Sharnaaz Ahmad

Posted:

Sisi psiko Sharnaaz Ahmad

Sisi psiko Sharnaaz Ahmad


LAN TODAK jadi simbol baharu kepada kejahatan remaja pesalah juvenil dalam filem yang bakal ke panggung tidak lama lagi itu.


SATU demi satu kontroversi melanda Sharnaaz Ahmad. Pada hujung tahun lepas, dia berkelahi di Twitter usai Anugerah Industri Muzik di Singapura, barangkali aktor paling banyak kontroversi sepanjang 2012.

Tidak seperti kekasihnya Shila Amzah dan keluarga yang sudah kerap meleraikan kusut plot percintaan mereka baru-baru ini, giliran Sharnaaz yang selama ini sukar ditembusi pendirian akhirnya terpaksa membuka mulut. Itu pun ketika ditemui sewaktu hadir ke pratonton filem terbaharu lakonannya, Juvana, Rabu lalu.

Buat pertama kalinya dia mengizinkan dirinya ditemui media secara terbuka. Sharnaaz tidak mampu mengelak lagi. Biarpun memberi alasan berkejaran untuk ke lokasi penggambaran pula, mahu tidak mahu dia harus bersikap optimis.

"Jika dia (Shila Amzah) tidak mahu cakap pasal cinta untuk tahun 2013, saya pun sama. Tahun ini saya hanya mahu bercakap pasal kahwin," ada nada serius di sebalik jawapan berseloroh Sharnaaz ketika merumuskan 'drama Twitter' antara dirinya dengan Shila, Disember lalu.

Kedengaran ringkas namun Sharnaaz seperti memberi penegasan tentang cintanya kepada anak sulung ND Lala itu tidak pernah tergugat. Dalam erti kata lain, Sharnaaz mahu membuang persepsi negatif ramai kononnya dia dan Shila sudah tidak sehaluan.

Tinggalkan seketika kisah Juvana yang mengangkat lakonannya sebagai Lan Todak, alang-alang bertemu Sharnaaz, bukan soal cinta sahaja yang dibangkitkan. Aktor yang pernah terkait isu panas baran serta kuat cemburu itu ditebak dengan persoalan yang sama.

"Memang saya mengongkong dia kerana dia bakal isteri saya dan kami amat serius dengan hubungan yang dijalinkan. Jika dia hanya teman wanita biasa saya, mungkin saya tidak perlu peduli dengan apa yang dia lakukan tetapi dia adalah bakal isteri saya," tegas Sharnaaz.

Enggan mengulas lanjut kerana mahu menutup kontroversi dengan jalan terbaik, Sharnaaz bagaimanapun mengakui, tahun 2012 merupakan tahun panas dalam hidupnya.

"Tahun 2012 memang tahun panas buat saya sedangkan tahun 2012 sepatutnya menjadi tahun saya. Angka 12 itu sendiri sebenar angka kegemaran saya. Tapi, apa boleh buat, kita tidak rancang pun semua itu.

"Tahun ini saya mahu kembali untuk menjadi diri saya dan nak fokus pada kerjaya. Terus-terang, saya tak mahu buat hal lagi," janjinya sambil mengharapkan keganasan dan kegilaan Lan Todak dalam Juvana dapat diterima umum.

Akui Sharnaaz lagi: "Shila sendiri tidak menyukai karakter Lan Todak."

Lan Todak watak antagonis baharu yang masuk menyertai filem arahan Faisal Ishak itu. Tidak peduli tanggapan sesetengah pihak bahawa watak itu persis membayangkan satu sisi dirinya yang psiko, bagi Sharnaaz, setiap manusia ada sikap sebegitu dalam diri masing-masing.

"Setiap manusia ada sifat psiko sendiri, tetapi antara hendak ditonjolkan atau tidak, peluang itu datang hanya sekali. Tapi psiko saya itu hanya dalam lakonan semata-mata," tutup Sharnaaz.

Perempuan minat lelaki nakal

Posted:

Perempuan minat lelaki nakal

Perempuan minat lelaki nakal


DARI kanan: Adam Shah, Johan A'sari, Syazwan Zulkifly dan Idzham Ismail antara pelakon membesar daripada Juvana.


DEKAT dengan masyarakat tetapi terasing daripada masyarakat normal, dunia gelap remaja pesalah juvenil merupakan antara satu topik yang menarik dan terbukti mempunyai daya tarikan yang kuat untuk diteroka.

Buktinya, kisah remaja pesalah juvenil yang didramakan dua tahun lepas menjadi hits dan fenomena baharu kepada corak drama televisyen. Tahun ini, Juvana akan kembali menemui khalayak. Bezanya, medium penceritaan yang masih ditangani Faisal Ishak itu beralih bentuk menjadi sebuah karya layar lebar.

Juvana adaptasi drama ke filem itu masih sebuah kesinambungan kepada kisah Daim lakonan Zahiril Adzim, Botak (Johan A'sari), Apek (Syazwan Zulkifly) dan Ayam (Adam Shah), Panjang (Idzham Ismail), Kicap dan Komeng yang pernah menjadi fenomena kepada penggemar drama tersebut.

Di samping karakter asal yang telah diketahui latar belakang hitam itu, produk terbitan Filmscape Sdn. Bhd. dan Juita Viden Sdn. Bhd. itu menampilkan kelainan dengan kehadiran watak-watak baharu seperti Lan Todak lakonan Sharnaaz Ahmad, Jamal (Syafie Naswip), Sara (Sara) dan Ali (Adlin Aman Ramli).

Sementara Juvana bakal masuk panggung pada 24 Januari nanti, dua pelakon yang popular hasil daripada Juvana, Johan A'sari dan Adam Shah diajak bercerita tentang keterujaan serta penjanaan karakter yang mereka lalui. Biarpun tidak seperti Johan yang mencanak popular hasil persembahan sebagai Botak, Adam Shah juga tidak ketinggalan membina karier bersandarkan gelaran Ayam Juvana.

Bagaimana impak Juvana ke dalam hidup kalian hingga hari ini?

JOHAN A'SARI (JA): Juvana banyak bawa tuah kepada kami. Selepas drama Juvana disiarkan saya dikenali dengan nama Botak. Tawaran untuk berlakon mencurah-curah. Kalau dulu saya hanya tengok Rosyam Nor berlakon dan menang anugerah di Anugerah Bintang Popular (ABP). Saya pula langsung tiada asas lakonan tapi tiba-tiba saya pula berjalan di karpet merah dan menang di ABP. Saya juga dapat jadi hero terakhir sebelum Fasha Sandha kahwin. Tahun ini juga saya tercalon lagi dalam Top 5 Pelakon Lelaki TV Popular. Permainan Juvana sangat bererti buat saya.

ADAM SHAH (AS): Watak Ayam memang sangat kuat sebab sampai ke hari ini, ada orang masih panggil saya sebagai Ayam. Rasanya, itu habuan apabila kita bekerja keras. Masa mula dapat tawaran Juvana dulu, saya tidak sangka pun drama itu akan jadi fenomena. Saya anggap ini semua anugerah.

Ceritakan perkembangan watak dalam filem Juvana ini?

JA: Meneruskan watak Botak ke filem tidaklah sukar sebab sudah terbiasa dengan pelakon dan kru yang sama. Adlin dan Sharnaaz juga masuk tanpa banyak cerita sebab mereka itu pelakon profesional. Babak paling sukar untuk saya cuma babak mengaji di surau.

AS: Karakter Ayam masih dengan sikapnya yang jenis ambil jalan selamat. Saya jadi pengikut dan akan bertenggek pada siapa yang kuat. Apabila saya bersama budak-budak juvana dari Sekolah Wira Bakti berpindah ke sekolah yang baharu, kami kena jadi baik. Sebenarnya Ayam pun bukannya jahat sangat, dia masuk sekolah juvenil pun sebab menghamilkan budak perempuan dan cuba buang bayi. Jadi dalam drama atau filem itu, Ayam cuma pura-pura jadi jahat. Mula-mula dia ikut Botak dan kemudian bila sesuatu terjadi kepada Botak, dia beralih jadi pengikut Apek pula.

Melihat kepada trend adaptasi drama ke filem dan sebaliknya, adakah itu satu jaminan kejayaan?

JA: Filem ini khas untuk peminat Juvana dan kalau pun ada yang belum menonton drama sebelum ini, mereka masih boleh berhibur dengan filem ini.

AS: Situasi ini memang biasa berlaku, apabila drama meletup itu satu alasan kukuh untuk buat filem pula. Ada yang menjadi dan ada yang tidak. Tetapi, apa yang lebih penting daripada filem ini adalah gambaran yang mahu ditunjukkan kepada para remaja. Kami mahu penonton melihat sisi positif daripada kejahatan yang ditonjolkan. Jika mesej itu sampai, saya kira itu satu kejayaan kepada Juvana.

Jadi apa pula risiko tidak baik daripada trend berkenaan?

JA: Kami berdepan harapan tinggi daripada peminat. Apa yang akan terjadi kepada Botak penting untuk disaksikan oleh peminat Juvana. Botak boleh jadi ikon. Saya tak risau sangat sebab Juvana ramai pengikut terutamanya penonton lelaki, jadi mereka akan bawa kekasih atau isteri tengok filem ini.

AS: Sejak di lokasi lagi kami sudah berbincang tentang soal itu. Semasa penggambaran drama, kami tiada idea tentang reaksi peminat tapi semasa buat filem, perasaan itu berlainan. Kami agak tertekan memikirkan jangkaan penonton tetapi semua itu letak tepi yang penting kami sudah buat apa yang terbaik dan ikut landasan asal. Risiko tetap ada. Setahun Juvana tinggalkan penonton itu tidak lama, rasanya orang masih ingat tentang Ayam.

Apa yang kalian belajar daripada dunia samseng dalam Juvana?

JA: Saya belajar bahawa kita tidak perlu nak tunjuk handal dengan keganasan. Guna akal bukan tangan.

AS: Semasa remaja dan di sekolah dulu, saya juga budak nakal dan pernah pukul pelajar lain. Cuma nakal itu tidak melampau. Saya sebenarnya buat rujukan berpandukan dua buah filem iaitu Crows Zero dan Young and Dangerous untuk watak Ayam.

Dalam kehidupan realiti, adakah benar bahawa lelaki nakal lebih digemari gadis?

JA: Saya akui wanita memang suka lelaki nakal berbanding yang lurus dan nampak baik. Lelaki pula janganlah ikut buku sangat, kena praktikal dan terokai perkara baharu yang boleh mendatangkan kebaikan, tapi nakal sangat pun tak bagus juga. Perkara nakal yang pernah saya buat masa sekolah dulu cuma hisap rokok.

AS: Boleh jadi. Kalau penonton di luar sana gemar watak Botak dan Ayam, saya mahu ambil kesempatan itu sebagai tarikan ke arah kebaikan.

Selain filem Juvana, apakah perkembangan terbaharu ketika ini?

JA: Saya kini terlibat dengan drama episod Surat Dari Langit. Tahun ini khabarnya filem-filem lakonan saya seperti Tokai, Paku dan Pencinta akan masuk panggung.

AS: Saya ada beberapa projek antaranya drama bersiri untuk RTM, Lamunan Terhenti dan sebuah drama komedi bertajuk Musang Berjanggut.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved