Khamis, 5 Disember 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Sindrom minat artis melampau

Posted:

Sindrom minat artis melampau

Sindrom minat artis melampau

KONTROVERSI yang dicetuskan oleh Miley seharusnya menjadi sempadan kepada para peminatnya.


BERITA mengenai perkahwinan artis popular, Rozita Che Wan menjadi topik yang hangat diperbualkan di media massa dan laman sosial. Ia menjadi sensasi bukan sahaja kerana jumlah tajaan perkahwinan yang mencecah nilai jutaan ringgit, tetapi kerana ada peminat yang merasakan artis idola mereka tidak sewajarnya menjadi milik orang lain.

Begitulah yang biasa terjadi kepada hampir kebanyakan artis popular di seluruh dunia. Gerak geri mereka diperhatikan. Setiap aktiviti mereka mendapat perhatian. Malah, apa sahaja yang dilakukan oleh artis pujaan mereka ini dianggap istimewa.

Peminat fanatik ini sanggup membelanjakan wang yang banyak bagi membolehkan mereka dapat melakukan apa yang dilakukan oleh artis kesayangan mereka ini. Antaranya termasuklah fesyen rambut, gaya pakaian, solekan, mahupun cara berjalan.

Sindrom puja artis

Walaupun minat yang melampau ini bukanlah sesuatu yang janggal, tetapi penyelidikan psikologi oleh Dr. John Maltby dari University of Leicester beranggapan, ia adalah sebahagian sindrom psikologi yang dikenali sebagai sindrom memuja selebriti.

Ia merupakan sindrom yang menyebabkan peminat merasakan mereka seolah-olahnya ada ikatan secara langsung dengan artis idola mereka tadi, walaupun hakikatnya artis tadi mungkin tidak mengenalinya.

PENAMPILAN Yuna menjadi ikutan sebahagian anak-anak muda.


Peminat yang biasa mungkin hanya sekadar mengambil tahu mengenai kehidupan artis idola mereka, tetapi kepada yang ekstrem, mereka merasakan bahawa artis yang mereka minati ini sebagai kekasih. Tahap yang kritikal ini dinamakan sebagai borderline-pathological.

Walaupun minat yang melampau terhadap artis ini mungkin sesuatu yang normal dalam dunia hari ini, bagaimanapun ia tidak semestinya baik dalam semua keadaan.

Terutamanya apabila ada peminat yang terlalu fanatik dengan idola mereka. Ada perlakuan-perlakuan buruk yang dilakukan oleh artis terbabit mungkin diikuti oleh peminat yang merasakan bahawa apa sahaja yang dilakukan adalah betul dan istimewa.

Mereka akan melakukan apa sahaja yang mampu menjadikan mereka sama seperti artis yang diminati.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, kematian artis popular Hong Kong, Leslie Cheung yang membunuh diri dengan terjun dari bangunan pada 1 April 2003 telah diikuti oleh lima kes membunuh diri dengan cara yang sama oleh beberapa individu lain dalam tempoh sembilan jam berikutnya.

Malah, satu laporan yang dikeluarkan oleh University of Hong Kong, menunjukkan peningkatan mendadak kes bunuh diri dengan cara terjun dari bangunan sepanjang bulan April itu kebanyakannya berumur antara 25 hingga 39 tahun.

Pada tahun 1986, seorang penyanyi wanita popular Jepun, Okada Yukiko telah terjun dari bangunan pejabatnya. Ketika itu, beliau berusia 20 tahun. Berdasarkan statistik, daripada 500 kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 1985, angka tersebut meningkat kepada 800 kes pada tahun tersebut.

Majoritinya ialah mereka yang berumur kurang 20 tahun.

Walaupun kes bunuh diri ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor lain, bagaimanapun sesetengah pengkaji melihatnya sebagai satu bentuk sindrom minat yang melampau terhadap artis kesayangan mereka.

Apa yang berlaku kepada idola mereka menyebabkan mereka berasa kecewa dan merasakan hidup tidak lagi bermakna.

Lihatlah, betapa hubungan antara artis dan peminat adakalanya menjangkaui tahap kewarasan manusia. Bagi sesetengah individu, mereka mungkin tidak merasakan apa-apa dengan kehadiran seseorang artis.

Tetapi, ia berbeza dengan golongan yang terlalu obses dengan seseorang artis.


CHEUNG yang membunuh diri menyebabkan tragedi yang sama berulang dalam tempoh sembilan jam selepas kematiannya.


Imej baharu

Dalam pada itu, kehadiran Yuna dan Najwa Latif dalam persada seni tanah air bukan sekadar menceriakan industri seni tanah air, lebih penting penampilan mereka setidak-tidaknya menggalakkan anak-anak gadis tampil sopan dan bertudung. Ia mungkin satu perubahan yang baik, setidak-tidaknya mampu memberikan imej baharu kepada anak muda.

Bagaimana pun, bayangkan jika ada artis idola yang membawakan imej yang mungkin tidak sesuai dalam norma masyarakat tertentu.

Kontroversi penyanyi muda Amerika, Miley Cyrus yang berbogel dalam satu klip videonya mungkin bukanlah satu imej baik kepada mereka yang terlalu fanatik dengan kehidupan artis.

Tidak kurang juga berita yang mengaitkan artis-artis tertentu yang menjalani kehidupan tidak bermoral dan menyimpang daripada norma masyarakat dan agama.

Semua ini tentu sahaja merosakkan peminat yang tidak mampu menyaring antara minat terhadap karya seni dan individu.

Kesimpulannya, sejauh mana sekali pun kita meminati seseorang artis, ia harus ada batasan. Mereka mempunyai kehidupan peribadi sendiri, sebagai peminat kita juga harus mempunyai sempadan dalam meminati mereka. Mereka adalah milik peminat, tetapi bukanlah dalam semua perkara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved