Selasa, 10 Disember 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Penghubung baharu Pulau Pinang

Posted:

Penghubung baharu Pulau Pinang

Penghubung baharu Pulau Pinang

Oleh ZAKI SALLEH

UJIAN lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang ini turut diserikan dengan pertunjukan bunga api.


DARI pesisir pantai Queensbay, Jambatan Kedua Pulau Pinang yang kini siap sepenuhnya kelihatan telah bersedia untuk dibuka kepada orang ramai. Struktur mega yang bakal menjadi ikonik terbaharu Pulau Mutiara ini hanya menanti kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya yang dijangka diperoleh hujung bulan ini.

Jambatan sepanjang 24 kilometer (km) itu menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau. Pembinaannya adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang biarpun telah dinaik taraf menjadi tiga lorong.

Sebelum ini, Pulau Pinang telah dihubungkan dengan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang yang pembinaannya dimulakan pada 1982 dan siap tiga tahun kemudian dengan kos sebanyak RM850 juta.

Jambatan sepanjang 13.5 km itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos 1985 menghubungkan Pulau Pinang melalui Lebuh Raya Jelutong di Gelugor dengan tanah besar di Seberang Jaya.

Projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah usahasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd. dan UEM Builders Bhd. yang dilaksanakan sejak tahun 2008. Ini merupakan projek kerajaan pertama yang mendapat pinjaman kewangan daripada kerajaan China.

Pinjaman berjumlah AS$300 juta (RM1 bilion) itu diberikan oleh sebuah bank republik bagi membiayai 20 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan jambatan tersebut yang menelan belanja RM4.5 bilion.

Walaupun jumlahnya tidak banyak berbanding kos keseluruhan, tetapi signifikan yang lebih besar ialah termeterainya kerjasama antara kedua-dua negara bagi projek berskala besar.

Selain menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, ia juga adalah jambatan terpanjang di dunia yang mengaplikasikan penggunaan Gegelung Getah Redaman Tinggi (HRDB).

Konsep binaan ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter dengan pusat pada kira-kira 300 km. Binaan menaranya pula dilindungi besi, berbanding Jambatan Pulau Pinang sedia ada yang dilindungi pulau buatan.


JAMBATAN kedua ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter.


Amat kuat

Difahamkan, kabel jambatan ini amat kuat yang digunakan bagi menampung berat dek jambatan. Jambatan Kedua Pulau Pinang turut menyediakan lorong khas untuk motosikal selain atas faktor keselamatan.

Pada 30 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin pertama negara menggunakan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Maung di bahagian pulau ke Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.

Beliau tiba di rentang tuju (bahagian tengah) utara jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu kira-kira pukul 3.15 petang dengan diiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri kemudiannya diberi penerangan ringkas berhubung kerja-kerja akhir pembinaan jambatan tersebut sebelum beramah mesra bersama kakitangan JKSB sambil menikmati minum petang.

Najib bersama rombongan kemudian menaiki kenderaan untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Kepala Batas.

Ketika ditemui pemberita, Najib memberitahu Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah hadiah kerajaan Persekutuan kepada rakyat negeri itu.

"Kita harap bila projek ini siap, ia dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan kita juga harap pemimpin di negeri ini bertindak lebih proaktif untuk menarik lebih ramai pelabur," ujar beliau.

Dalam pada itu, gemerlapan limpahan cahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang buat pertama kali disaksikan ribuan warga negeri ini semasa ujian lampu hiasan yang dilakukan JKSB pada malam menjelang kemerdekaan 30 Ogos lalu.

Semasa ujian ini, lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang dipasang selama enam jam bermula pukul 9 malam sehingga pukul 2 pagi, dan diserikan dengan pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahannya, Jambatan Kedua Pulau Pinang telah tercalit episod duka.

Tanjak penyambung jalan sepanjang kira-kira 50 meter di susur keluar jambatan ini di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Batu Maung runtuh.

Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 7.15 malam pada 6 Jun lalu menghempap sebuah kereta mengorbankan seorang lelaki, Tajuddin Zainal Abidin, 45, manakala tiga termasuk dua buruh asing pula cedera akibat terkena serpihan runtuhan.


JAMBATAN Lake Pontchartrain, Amerika Syarikat ini merupakan jambatan terpanjangdi dunia iaitu sepanjang 38.4 km.


Runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada tanjak atau ramp di bawah kerja-kerja pembinaan dalam pakej 3A yang giat dijalankan.

Selamat

Jambatan ini disahkan selamat setelah melepasi ujian beban berat selama tiga hari melibatkan 17 buah treler dengan jumlah berat keseluruhan ialah kira-kira 595 tan ditempatkan di sepanjang 240 meter jarak utama itu.

Ujian itu dilakukan oleh CHEC Construction (M) Sdn. Bhd., anak syarikat China Harbour Engineering Co. (CHEC) dan kontraktor dilantik untuk Pakej 1 projek pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua.

Pengarah Urusan JKSB, Datuk Dr. Ismail Mohamed Taib berkata, siri-siri ujian beban itu adalah yang pertama dikendalikan di Malaysia dan Asia Tenggara sebelum ia boleh diperakui untuk perkhidmatan dan dibuka kepada orang ramai.

"Ujian beban itu dijalankan di jambatan kabel 475 meter bagi menentukan kapasiti beban jambatan siap bersamaan dengan yang telah diramalkan oleh teori dan seterusnya menentu ukur model pengiraan," kata beliau.

Ismail berkata, ujian itu amat penting bagi memastikan jarak utama itu dibina mengikut spesifikasi reka bentuk dan menentu ukur struktur sebenar berbanding yang diramalkan oleh teori.

Puisi terapi Alzheimer

Posted:

Puisi terapi Alzheimer

Puisi terapi Alzheimer


SUKARELAWAN daripada program amal Kissing it Better menganjurkan program membaca puisi untuk warga emas yang menghidap Alzheimer.


SUARA seorang remaja memecah kesunyian beberapa warga emas yang beruban dan kelihatan mengantuk. "Anda boleh menyimpan maklumat mengenai diri anda apabila semua tentang anda sedang dilupakan dan salahkan diri sendiri," katanya sambil membaca bait-bait puisi. "Anda akan menjadi manusia biasa semula, anak-anakku," kata salah seorang pesara tersebut.

Alzheimer telah mencuri hampir seluruh kenangan Margaret, tetapi dia masih ingat puisi terkenal Rudyard Kipling yang dipelajarinya beberapa tahun lalu, saat yang amat berharga tentang kejelasan yang tersembunyi di sebalik kabus penyakit kejam ini.

Rumah persaraan di tengah England adalah salah satu daripada institusi dan hospital di seluruh negara menggunakan puisi untuk terapi gejala demensia. Demensia merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan seseorang hilang ingatan, komunikasi dan kemahiran asas.

Kembalikan kenangan

Walaupun ia tidak menyediakan rawatan, irama dan rentak daripada ayat-ayat terkenal boleh bertindak sebagai pencetus yang mengembalikan kenangan dan pertuturan, kata Jill Fraser, yang menganjurkan sesi amal bertema, Kissing it Better untuk warga emas membaca puisi.

"Jika pesakit mendengar satu perkataan dan mereka boleh mengingati puisi itu, ia mencerahkan hari mereka," tambah Elaine Gibbs. Dia mengendalikan rumah persaraan Hylands House di Stratford.

Miriam Cowley, kelihatan elegan dalam pakaian bercorak bunga, rambut ubannya diikat sanggul, mendengar dengan penuh perhatian puisi yang dibacakan seorang remaja bertajuk, Daffodils oleh William Wordsworth.

"Saya tahu puisi itu tetapi saya telah melupakannya. Saya belajar ketika masih kanak-kanak di sekolah, suatu masa yang dahulu," kata guru yang telah bersara dan mengalami hilang ingatan jangka pendek itu.

"Ia membawa kembali kenangan yang baik. Saya dapat melayan beberapa kenangan yang baik menerusi Daffodils."


COWLEY kelihatan elegan dengan pakaian bercorak bunga, rambut ubannya diikat sanggul sambil mendengar puisi.


Rumah penjagaan itu mungkin menjadi tempat yang suram kerana lazimnya penduduk yang menghidap penyakit Alzheimer, diucapkan selamat tinggal yang panjang kerana penyakit itu secara perlahan-lahan mencuri segala-galanya tentang diri seseorang.

Lemparan pinggan oleh seorang wanita tanpa henti ke arah meja di hujung sebuah bilik, seolah-olah menyedarkan semua orang di sekeliling. Salah satu daripada pembaca sukarelawan remaja berkata, menghabiskan masa di rumah itu menyediakan dirinya terhadap cabaran sebenar.

"Anda datang ke sini melihat semua orang duduk melayan diri sendiri," kata Hannah Ciotkowski, 15. Kemudian apabila seseorang mula membaca puisi dengan kuat, secara tiba-tiba anda boleh melihat keghairahan dalam diri mereka, lalu mereka tersenyum."

"Lebih menarik apabila mereka turut serta bersama anda," tambah Anita Wright, 81, seorang bekas pelakon Syarikat Royal Shakespeare yang turut membaca puisi di Hylands.

Beliau mengimbas bagaimana seseorang pesakit dengan masalah demensia yang teruk menangis sejurus mendengar sebuah puisi tentang seorang lelaki mengucapkan selamat tinggal kepada kekasihnya. Dia mula menceritakan kisah tunangnya yang telah meninggal dunia.

"Dia tidak pernah berkata apa-apa sejak tinggal di rumah ini dan puisi itu tiba-tiba membuka mindanya," kata Wright.

Tidak menyembuhkan

Ketua Vokal di Syarikat Royal Shakespeare, Lyn Darnley, berkata, puisi sebagai sangat berkuasa.

"Irama ini mampu menusuk ke dalam diri lalu menyentuh kenangan yang bukan sahaja membabitkan emosi tetapi deria bahasa," katanya.

Walau bagaimanapun, para pakar memberi amaran bahawa puisi tidak akan menghentikan serangan demensia yang dilapor menyerang kira-kira 800,000 orang di Britain.

"Puisi tidak menyembuhkan demensia," kata Dave Bell, seorang jururawat pakar yang bekerja dengan Dementia UK iaitu sebuah badan amal yang beroperasi untuk meningkatkan kualiti hidup mereka yang terjejas akibat penyakit ini.

"Namun, ia tetap memberi suatu pencapaian dan harga diri kerana mereka boleh mengingati sesuatu," kata beliau sambil menambah bahawa ia juga membantu mereka berhubung dengan orang lain.

Hannah yang berusia 15 tahun cukup yakin. "Saya berharap apabila tua nanti, orang akan datang melawat saya, membacakan puisi dan menyanyi kepada saya," katanya. - AFP

Kreativiti Mural SMK Sultanah Bahiyah

Posted:

Kreativiti Mural SMK Sultanah Bahiyah

Kreativiti Mural SMK Sultanah Bahiyah


PARA pelajar dan guru SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar mengabdikan kenangan selepas muncul juara Pertandingan Mural Sekolah Clean & Clear baru-baru ini.


LUKISAN mural pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah berjaya merangkul hadiah utama dalam Pertandingan Mural Sekolah Clean & Clear baru-baru ini sekali gus memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Pertandingan tersebut diinspirasikan daripada Clean & Clear Fruit Essentials, iaitu rangkaian pembersih muka baharu untuk membersih, menyegarkan dan mencerahkan kulit yang dicipta khas untuk gadis remaja.

Dengan kombinasi buah-buahan yang berwarna-warni dan penggunaan bentuk geometri yang baik, kumpulan lapan orang pelajar tingkatan empat itu berjaya menghidupkan tema pertandingan iaitu Segar-Yakin-Pasti OK dalam mural mereka.

Inspirasi

Lynn Yeo, Pengarah Pemasaran Bersekutu Johnson & Johnson Malaysia, iaitu syarikat pemasar produk Clean & Clear di negara ini menjelaskan, seni mural dipilih kerana ia berkait rapat dengan ekspresi kumpulan remaja.

"Ia membolehkan mereka mengolah hasil seni secara bebas di tempat awam sekali gus membolehkan orang ramai melihat hasil kreativiti mereka.

"Ia selaras dengan semangat di sebalik rangkaian produk Fruit Essentials iaitu membersih, menyegarkan dan menyerlahkan masa remaja agar mereka boleh mencapai potensi diri sepenuhnya setiap hari," katanya.


PERMAINAN Candy Crush Saga memberi inspirasi kepada pasukan SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar menghasilkan mural ini.


Sebanyak 12 penyertaan diterima untuk pertandingan tersebut dengan setiap satu diadili berdasarkan daya kreativiti dalam menterjemahkan tema, teknik, pematuhan syarat kemasukan, kerja berpasukan dan bilangan 'like' yang dikumpulkan di laman sosial Facebook.

Salah seorang ahli pasukan pemenang, Fathin Maisarah berkata, permainan Candy Crush Saga memberikan inspirasi besar dalam penghasilan mural yang membawakan kemenangan kepada pasukannya.

"Kami merupakan peminat Candy Crush Saga. Warnanya yang menarik serta ikonnya yang unik memberi pengaruh besar dalam lukisan kami.

"Bagi kami, ia mencerminkan kesegaran dan keceriaan rangkaian Clean & Clear Fruit Essentials," katanya.

Rangkaian Clean & Clear Fruit Essentials terdiri daripada tiga varian iaitu Energizing Berry, Purifying Apple dan Brightening Lemon.

Ketiga-tiga produk tersebut boleh didapati di premis-premis perniagaan utama seluruh negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved