Selasa, 24 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM tetap tagih aura Kim Swee

Posted:

FAM tetap tagih aura Kim Swee

FAM tetap tagih aura Kim Swee

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

KIM SWEE (kanan) akan terus menggalas tugas sebagai pengendali skuad Harimau Muda A.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil memberikan respons pantas berhubung masa depan jurulatih skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee .

Biarpun Kim Swee sudah memberikan isyarat awal bahawa beliau 'penat' untuk mengharungi Sukan SEA akan datang, FAM tetap mahu mengekalkan khidmat pengendali kelahiran Melaka itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, badan induk itu masih menaruh kepercayaan penuh terhadap Kim Swee biarpun jurulatih terbabit gagal menepati Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar bar-baru ini.

"Dalam mesyuarat Exco yang lepas, FAM telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak beliau yang sepatutnya tamat penghujung bulan ini.

"Buat masa ini, FAM masih menagih khidmat jurulatih berwibawa seperti beliau," kata Hamidin kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini, spekulasi Kim Swee mahu melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad Harimau Muda A mula tercetus sejurus berakhirnya temasya Sukan SEA di Myanmar.

Kim Swee secara terbuka berkata, ramai jurulatih tempatan memiliki keupayaan untuk menggantikan tempatnya.

"Terdapat 1,001 kemungkinan bahawa FAM mungkin akan melantik Kim Swee sebagai jurulatih tetap Harimau Malaya atau terus kekal sebagai jurulatih Harimau Muda A.

"Buat masa ini, beliau kekal sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya dan pengendali Harimau Muda A.

"Seperti yang saya katakan tadi, FAM tidak akan sesekali melepaskan Kim Swee kerana kami masih menagih servis beliau," tambah Hamidin.

Hamidin turut mengulas tindakan pemain tengah Pahang, Amirulhadi Zainal yang didakwa membuat 'pusingan U' dengan menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT).

"Kes Amirulhadi akan dibincangkan pada Mesyuarat Status Pemain FAM pada Jumaat ini... kita tunggu dan lihat," katanya.

Zaquan tekad tampil aksi terbaik

Posted:

Zaquan tekad tampil aksi terbaik

Zaquan tekad tampil aksi terbaik

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

ZAQUAN membuat penampilan sulung bersama Johor DT II musim depan.


ADA misi peribadi yang mahu dilakukan Zaquan Adha Abdul Razak ketika membantu Johor Darul Takzim II (Johor DT II) mengharungi saingan Liga Premier musim depan.

Menurut Zaquan, 26, dia bersama beberapa pemain senior lain berazam mampu memberikan contoh terbaik kepada majoriti pemain muda yang menyarung jersi Johor DT II kali ini di bawah kendalian Azmi Mohamed.

"Layak ke saingan Liga Super (2015) sememangnya satu bonus tetapi saya dan pemain senior yang lain lebih gemar memikirkan peranan kami sebagai role model dalam membantu pemain-pemain muda.

"Ini kerana Johor DT II lebih memberikan keutamaan pembangunan pemain muda sebagai pendedahan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Selain Zaquan, antara pemain senior lain yang menyarung jersi Johor DT II musim depan termasuklah See Kok Luen dan juga bekas kapten Lions XII, Shahril Ishak.

Zaquan juga enggan terlalu memikirkan 'perpisahan' bersama pasangan kembarnya, Aidil Zafuan yang kekal bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam aksi Liga Super musim depan.

"Sudah tentu terasa sedikit ganjil, ini kali pertama kami beraksi dengan pasukan yang berbeza (berbanding Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia dan Johor DT sebelum ini).

"Namun, saya percaya berpeluang beraksi lebih kerap bersama Johor DT II mampu membantu saya supaya kembali menemui semula sentuhan sebenar.

"Soal beraksi di Liga Premier juga bukan satu isu memandangkan kami berada di bawah payung yang sama (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor)," katanya.

Mengulas lanjut, Zaquan juga optimis mampu menemui semula sentuhan penyudah yang berkesan biarpun masih dihantui kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kirinya.

"Saya belum berupaya beraksi sepenuh masa 90 minit atas nasihat doktor.

"Buat masa ini, saya komited menjalani latihan ringan dan berharap mampu beraksi dengan baik bagi membantu Johor DT II mengharungi Liga Premier kelak," katanya.

Skrip badminton tidak berubah

Posted:

Skrip badminton tidak berubah

Skrip badminton tidak berubah

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


VIVIAN (kiri) dan Khe Wei menyumbang pingat emas buat skuad badminton negara pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.


SKRIP hampir sama berulang lagi tahun ini apabila tumpuan peminat sukan badminton sekali lagi terarah kepada jaguh negara yang juga pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Suka duka yang ditempuhi Chong Wei bukan sahaja menjadi tarikan peminat tempatan, malah dia turut menjadi perhatian seluruh dunia terutama pada Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China Ogos lalu.

Jika Chong Wei sebelum ini tewas kepada bintang China, Lin Dan pada aksi final Sukan Olimpik 2012 di London, nasib yang sama dialami pemain berusia 31 tahun itu ketika dia memburu kejuaraan pada Kejohanan Dunia tahun ini.

Malangnya, kekalahan Chong Wei kepada Lin Dan itu dicemari dengan kontroversi ekoran masalah penghawa dingin yang dikatakan sengaja ditutup oleh pihak penganjur.

Kesudahannya Chong Wei sekali lagi kempunan untuk menjadi juara dunia apabila dia terpaksa menarik diri selepas mengalami kekejangan otot di kaki dan perut pada penghujung set ketiga.

Biarpun seperti sengaja disabotaj oleh tuan rumah, Chong Wei tetap akur dengan kegagalan tersebut tanpa mahu menuding jari ke arah mana-mana pihak.

Menyorot kembali pencapaian Chong Wei sepanjang tahun itu, dia meraih tujuh gelaran Siri Super termasuk Masters Akhir di Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Walaupun ada yang mengkritik Chong Wei atas beberapa kekalahannya yang dikaitkan dengan faktor usia, namun jaguh negara itu membuktikan dia masih berada dalam kelas tersendiri.

Selain Chong Wei, kisah beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut menjadi topik hangat di dada-dada akhbar tempatan.

Biarpun digesa menampilkan aksi terpuji pada Kejohanan Dunia tahun ini atau dipisahkan jika gagal, namun mereka masih diberikan 'talian hayat' untuk digandingkan bersama.

Ternyata khidmat juara Seluruh England 2007 itu masih diperlukan lagi untuk mengukuhkan pasukan negara pada kempen Piala Thomas di New Delhi, India, Mei depan.

Bagaimanapun, beregu lelaki seperti mendapat sinar baharu apabila Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dilihat semakin konsisten sejak akhir-akhir ini terutama ketika mereka meraih gelaran sulung pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Macau, 1 Disember lalu.

Beregu wanita turut memperlihatkan peningkatan yang baik apabila pasangan utama, Vivian Hoo-Woon Khe Wei membuat kejutan meraih pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar baru-baru ini.

Berbeza pula dalam skuad beregu campuran kerana harapan yang diletakkan terhadap gandingan No. 6 dunia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying nampak tidak menjadi tahun ini.

Juara Terbuka Jepun 2012 bukan sahaja tidak konsisten, malah mereka tidak ubah seperti pasangan baharu yang masih mencari rentak.

Tahun ini turut menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh enggan mempertahankan jawatan Presiden ketika Mesyuarat Agung Tahunan pada Julai lalu.

Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dipilih sebulat suara untuk menerajui BAM dan beliau membuat pembaharuan apabila membawa masuk Tan Aik Mong dan pakar beregu, Razif Sidek sebagai penilai bebas.

Ketika itu juga berlaku kepincangan apabila jurulatih perseorangan, Rashid Sidek meletak jawatan pada September lalu kerana tidak berpuas hati dengan rombakan struktur kejurulatihan.

Rashid menarik semula surat peletakan jawatannya selepas Tengku Mahaleel mengubah kembali struktur kejurulatihan yang dilakukan Aik Mong.

Begitupun, Aik Mong yang turut dilantik sebagai Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) pula mengundur diri kerana berasakan dirinya sudah tidak diperlukan.

Kini barisan pemain dan bahagian pengurusan BAM harus bekerjasama mencari formula terbaik dan membentuk 'pasukan impian' kerana mereka bakal berdepan jadual yang lebih padat tahun depan.

Saingan musim 2014 dijangka lebih mencabar kerana mereka akan menghadapi empat kejohanan besar - Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan Piala Thomas.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved