Ahad, 22 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Jironi pahat sejarah tersendiri

Posted:

Jironi pahat sejarah tersendiri

Jironi pahat sejarah tersendiri

JIRONI membanggakan Malaysia apabila meraih dua pingat emas pada temasya Sukan SEA kali ini.


NAY PYI TAW, Myanmar - Pelari jarak sederhana, Mohd. Jironi Riduan berhak dijulang sebagai atlet terbaik Malaysia pada temasya Sukan SEA 2013.

Jironi, 27, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Johor, seharusnya menerima penghormatan itu selepas dia berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara 800 dan 1,500 meter lelaki.

"Secara peribadi, saya memilih Jironi sebagai atlet terbaik negara pada temasya kali ini," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong kepada pemberita dalam satu sidang akhbar semalam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jamil Salleh dan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Wira Amiruddin Embi.

Zolkples berkata, beliau memilih Jironi selepas atlet tersebut terpaksa bergelut untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya kali ini atas urusan kerja.

Pada masa sama, Jironi juga tidak banyak menyertai kejohanan dan hanya melakukan latihan pusat selama tiga minggu.

Jironi tidak meraih sebarang pingat pada Sukan SEA 2007 Korat, Thailand dan edisi 2011 di Palembang, Indonesia tetapi berjaya memenangi pingat perak di Vientiane, Laos pada 2009.

Dalam pada itu, Zolkples berkata, terdapat beberapa pencapaian cemerlang yang menyaksikan kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan dalam acara disertai.

Beliau berkata, kejayaan atlet terjun negara menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan pada temasya kali ini cukup membanggakan.

"Hoki turut memenangi kedua-dua pingat emas yang dipertandingkan manakala skuad karate merangkul tujuh daripada 17 pingat emas yang ditawarkan.

"Seramai 10 atlet negara berjaya memenangi lebih daripada satu pingat emas tetapi tidak melebihi tiga pingat emas seperti mana yang dilakukan pada temasya sebelum ini," katanya.

Penerjun negara, Ooi Tze Liang mengetuai senarai atlet paling banyak menggondol pingat emas iaitu tiga, diikuti dua emas oleh Muhammad Nazreen (terjun), Christina Loh (renang), Mohd. Sulaiman Muda (ekuestrian), Lim Chee Wei, Nisha Alagasan, S. Shree Sharmini, Syakilla Sharmini Segaran (karate), Jironi dan Khairul Anuar Mohammad (memanah).

Dalam pada itu, enam rekod kebangsaan berjaya diperbaharui menerusi acara lompat bergalah, lompat kijang, baling tukul besi, lempar cakera, renang 4x100 gaya bebas lelaki dan angkat berat (68kg wanita).

Sukan SEA labuh tirai

Posted:

Sukan SEA labuh tirai

Sukan SEA labuh tirai


PERCIKAN bunga api menghiasi ruang legar di Stadium Utama Wunna Theikdi pada majlis penutup temasya Sukan SEA 2013 malam tadi.


NAY PYI TAW - Selepas 11 hari obor Sukan SEA 2013 menyala megah, malam tadi di bawah cuaca sejuk bersuhu 14 darjah Celsius, ia perlahan-lahan dipadamkan sebagai menandakan berakhirnya secara rasmi temasya dwitahunan itu di Myanmar untuk kesekian kalinya.

Majlis penutupan yang disempurnakan Timbalan Presiden Myanmar, U Nyan Tun itu berlangsung dalam suasana meriah dan penuh warna-warni dengan diselangi persembahan kebudayaan, nyanyian dan pertunjukan bunga api.

Ini merupakan kali kedua Myanmar menjadi tuan rumah Sukan SEA dalam tempoh 44 tahun. Kali pertama ialah pada 1969 yang mana ketika itu temasya ini hanya dikenali dengan nama Sukan SEAP.

Dengan Singapura akan menjadi tuan rumah dalam tempoh 18 bulan dari sekarang dan Malaysia pada 2017, penganjuran yang dilakukan Myanmar kali ini pastinya bakal menjadi penanda aras yang tinggi dan bukti betapa sebuah negara miskin juga masih mampu menjadi tuan rumah setanding negara lebih maju yang lain di rantau Asia Tenggara ini.

Tugas berat Singapura ini sudah pun bermula dan bertukar tangan secara simboliknya sebaik Menteri Sukan Myanmar, U Tint San menyerahkan bendera temasya kepada Menteri Kuasa Utama Singapura yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Olimpik Singapura, Tan Chong Jin malam tadi.

Secara keseluruhannya, walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi bahasa, teknologi, kejutan budaya penduduknya serta sistem keputusan dan pengangkutan yang tidak teratur, ia tidak menghalang kesungguhan Myanmar dalam memastikan kejayaan penganjuran kali ini terutama acara pembukaan dan penutupannya yang hebat sekali.

Apatah lagi segala kekurangan itu boleh dimaafkan dan diterima memandangkan mereka boleh dianggap baru sahaja membuka pintu kepada dunia luar selepas diperintah Junta tentera sebelum ini.

Kejayaan Myanmar ini turut diperakui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang begitu mengagumi dan terkejut dengan kemampuan Myanmar kerana berjaya memberikan yang terbaik dalam segala aspek penganjuran terutama penyediaan gelanggang pertandingan biarpun berstatus negara miskin.

Dengan mengambil kira faktor-faktor inilah di samping kejayaan menyediakan infrastruktur sukan yang baharu dan moden dalam sekelip mata hasil bantuan China, komitmen Myanmar ini sewajarnya mendapat pujian.

Maka tidak hairanlah, tiada masalah besar yang timbul sepanjang tempoh 20 hari penganjuran tidak rasmi dan 11 hari secara rasminya di bawah kawalan ketat dan pengawasan sulit pasukan keselamatan Myanmar.

Sebanyak 33 acara dipertandingkan pada temasya kali ini dengan Thailand muncul juara keseluruhan. Negara Gajah Putih ini turut menguasai 'ibu emas' dengan menjuarai acara bola sepak lelaki.

Hoki, terjun paling cemerlang

Posted:

Hoki, terjun paling cemerlang

Hoki, terjun paling cemerlang


SKUAD hoki lelaki negara menepati ramalan selaku pasukan berkelas dunia apabila merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA kali ini.


NAY PYI TAW, Myanmar - Dua acara sukan yang dianggap paling berjaya pada temasya Sukan SEA kali ini adalah hoki dan terjun kerana masing-masing menyapu bersih kesemua emas yang dipertandingkan.

Jika skuad hoki lelaki dan wanita sama hebat, barisan penerjun pula lebih unggul dengan meraih lapan emas tanpa langsung memberi peluang kepada negara lain untuk mencuri satu pun daripadanya.

Dalam erti kata lain, kedua-dua acara itu bukan tandingan Malaysia di peringkat Asia Tenggara tetapi sudah bertaraf dunia.

Maka tidak hairanlah kemenangan yang dicatat hoki dan terjun ini, jumlah jaringan golnya dan jurang pungutan matanya cukup besar.

Hoki misalnya, skuad wanita mencatat sejarah apabila membelasah Kemboja 36-0 dalam perlawanan yang dilangsungkan secara liga sepusingan. Aksi lain termasuklah membelasah Indonesia 15-0.

Bagi skuad lelaki, kemenangan terbesar mereka ialah dengan membelasah Vietnam 13-0 dan selebihnya tidak kurang daripada tiga gol mereka mampu jaringkan.

Bukan mahu mendabik dada, skuad hoki terlalu unggul buat negara Asia Tenggara lain yang nampaknya tidak begitu berminat membangunkan sukan tersebut sejak dahulu lagi kecuali apabila ia dipertandingkan pada Sukan SEA.

Begitu juga bagi acara terjun yang boleh dinobatkan sebagai 'lubuk emas' No. 1 buat kontinjen negara apabila menyapu bersih kesemua lapan emas yang dipertandingkan.

Dari segi kualiti terjunan, penerjun negara lain masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia sehingga ada yang menyaksikan jurang pungutan mata melebihi daripada 10.

Penerjun-penerjun negara seperti Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong (wanita) sudah tentu merupakan mereka yang cukup berpengalaman dan tidak perlu diperkenalkan dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Dengan meletakkan penerjun pelapis seperti Ng Yan Yee, Loh Zhiayi dan Nur Dhabitah Sabri sekalipun, negara-negara lain masih sukar untuk mencapai kualiti yang dimiliki Malaysia.

Namun, apa yang paling melegakan, ketiadaan Bryan Nickson Lomas langsung tidak dirasai apabila Ooi Tze Liang, Muhd. Amsyar Azman, Chew Yi Wei, Danial Sabri dan Muhd. Nazreen Abdullah mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu dengan mudah sekali.

Seharusnya prestasi ini jika boleh dapat dikekalkan pada temasya-temasya yang akan datang terutama selepas acara renang kini semakin ketinggalan dan hilang cengkaman di peringkat Asia Tenggara.

Pencapaian yang tidak seimbang ini menyebabkan pungutan pingat akuatik terus merudum berbanding dua temasya sebelumnya.

Di Thailand pada 2007, pungutan pingat akuatik adalah 14-11-11, diikuti Laos (2009), 15-6-8 dan Indonesia (2011), 12-13-4.

Di Myanmar, pungutan pingat adalah 12-7-4. Bayangkan jika acara terjun tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2015 di Singapura pada 2015 nanti, harap-harap ia tidak akan berlaku.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved