Rabu, 4 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Gedung khazanah seni, warisan negara

Posted:

Gedung khazanah seni, warisan negara

Gedung khazanah seni, warisan negara

SETIAP hari selepas tamat sesi persekolahan pada sebelah pagi sekitar dua dekad lalu, Sharifah Radzieh Tuan Ismail akan dibawa ke Pasar Seni oleh ayahnya yang mengusahakan perniagaan kraftangan tradisional, Tuah KTC di Kuala Lumpur.

Anak sulung daripada enam beradik yang mesra dengan panggilan Diana itu sudah menganggap destinasi persinggahan pelancong dari dalam dan luar negara itu sebagai rumah pertamanya kerana sebahagian kehidupannya bermula di Pasar Seni sejak dia berusia dua tahun.

Kehidupannya yang berlatar bangunan ikonik tersebut juga menyebabkan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini arif dengan selok-belok dan setiap penjuru di lokasi berkenaan.

Jika ada masa terluang, Diana akan membantu ayah dan ibunya menguruskan perniagaan yang dibawa dari Kelantan ke ibu kota sejak tahun 1981.

Tanya sahaja mengenai mana-mana lokasi di setiap penjuru Pasar Seni pasti Diana dapat menceritakan kisah silamnya dengan panjang lebar. Jelasnya, ruang di tingkat bawah bangunan bersejarah tersebut dahulunya banyak kosong dan para pengunjung tidak mempunyai banyak pilihan kerana jumlah premis tidak bercambah seperti sekarang.

Selain suasana yang sunyi, Diana menyifatkan susun atur perniagaan di Pasar Seni pada waktu tersebut kurang tersusun dan tidak menarik.

Bicara wanita lulusan Pengurusan Perniagaan dari Management and Science University (MSU) itu lagi, orang ramai pernah melontarkan pelbagai persepsi negatif terhadap mercu tanda hebat ini sebagai kawasan hitam kerana lokasinya menjadi sarang penyeluk saku dan penagih dadah sekitar dua dekad lalu.

Namun, sejak pengurusan baharu, Central Market Sdn. Bhd. mengambil alih operasi Pasar Seni pada tahun 2004, banyak perubahan dilakukan terutama dari aspek dekorasi bangunan, keselamatan dan keselesaan kepada para pengunjung.


KIOS konsep kepala kereta api antara inisiatif pihak pengurusan.


Pengunjung juga tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana kawasan Pasar Seni dipantau ketat oleh pengawal keselamatan dan diawasi televisyen litar tertutup (CCTV) sepanjang masa.

"Jika sebelum tahun 2004, imej Pasar Seni seperti pasar biasa tetapi, sekarang keadaan sudah berubah sebab banyak bahagian telah dinaik taraf dan peluang pekerjaan semakin bertambah.

"Kedai-kedai sekarang dihias cantik dengan dekorasi tradisi pelbagai budaya," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Walaupun kewujudan pusat beli-belah moden di Kuala Lumpur bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, Pasar Seni tetap memiliki aura tersendiri kerana produk-produk yang ditawarkan berbeza daripada tempat lain.

Ambil alih

Diana menganggap Pasar Seni ini sebuah lokasi tarikan pelancongan yang istimewa sejajar dengan pengiktirafannya sebagai gedung khazanah kesenian dan warisan negara yang unggul di Malaysia.

"Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada Pasar Seni dan sudah sebati dengan persekitarannya kerana saya telah berada di sini selama 24 tahun," katanya.

Di sebalik kisah lampau yang melatari hidupnya, Diana yang kini berusia 26 tahun diberi amanah oleh bapanya untuk menguruskan lapan buah kedai dan satu kios serta dibantu 15 kakitangan di Pasar Seni.

"Saya mengambil alih perniagaan kraftangan ini daripada bapa ketika berumur 22 tahun selepas menamatkan pengajian.

"Perniagaan ini dibawa oleh ayah saya dari Kelantan dan mula bertapak di Pasar Seni sejak tahun 1989. Ia merupakan kedai pertama keluarga kami di Pasar Seni," jelasnya yang kini bertindak sebagai Pengurus Tuah KTC.

Syarikat Tuah KTC menawarkan produk kraftangan tradisional seperti perak, piuter, hasil ukiran kayu, mengkuang, wau, congkak, batik dan pelbagai lagi hasil seni dari Kelantan selain menawarkan produk antik yang diperoleh dari Malaysia dan rantau Asia. Pelbagai acara dianjurkan sempena sambutan ulang tahun Pasar Seni ke-125 pada hari ini.


PADA awal penubuhannya, Pasar Seni merupakan sebuah pasar basah.


Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah ialah pameran gambar-gambar lama dan baharu berkaitan monumen bersejarah itu di Galeri Annexe, Central Market Annexe yang bermula dari 25 November lalu hingga 8 Disember ini.

Turut berlangsung sempena ulang tahun tersebut ialah Festival Makanan Warisan Malaysia yang bermula pada 4 Disember hingga 8 Disember ini di Pasar Seni.

Sementara itu, Pheng Kian Kok yang merupakan seorang pelukis dan antara penghuni terawal Pasar Seni memberitahu, minat melukis sejak di bangku sekolah rendah menyebabkan dia berada di bangunan ikonik itu hingga hari ini.

Mengimbau penglibatannya sebagai seorang pelukis, Kian Kok berhijrah ke Kuala Lumpur kerana menyangka ibu negara pada waktu itu sudah memiliki sebuah pusat seni lukis bagi mengembangkan bakatnya. Namun, Kuala Lumpur ketika itu tidak memiliki fasiliti khas untuk para artis seni mencurah bakat seperti yang terdapat di negara-negara Eropah.

Selepas kecewa dengan keadaan itu, dia memohon pekerjaan lain dan berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) di bahagian kejuruteraan di Mahameru, Kuala Lumpur selama tujuh tahun.

Kian Kok yang kini berusia 59 tahun mula jatuh cinta dengan Pasar Seni selepas dia menyertai program Sunday Art Market sekitar Oktober 1985 secara sambilan.

"Saya terlihat satu artikel di akhbar pada tahun 1985 mengenai pasar basah nak ditukarkan kepada pasar budaya. Inilah tempat saya sebenarnya kerana saya suka melukis sejak darjah satu," ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Menurut lelaki yang peramah dan suka ketawa itu lagi, Sunday Art Market memberi peluang kepada para pelukis tempatan menjual karya masing-masing tanpa perlu membayar sewa tapak berhampiran pintu utama Pasar Seni.

Selepas beberapa bulan menjual hasil lukisan di bawah panas terik, Kian Kok mendapat satu kios berdekatan pintu belakang di dalam bangunan Pasar Seni pada tahun 1986.


PELANCONG dari luar negara menjadikan Pasar Seni sebagai lokasi wajib dikunjungi.


Disebabkan minat yang mendalam terhadap lukisan, pelukis cat minyak kelahiran Kuah, Langkawi itu sanggup meninggalkan pekerjaannya di Jabatan Kerja Raya semata-mata ingin mencapai cita-cita sebagai seorang pelukis sepenuh masa.

Selepas 27 tahun berkarya di situ, Kian Kok kini memiliki dua premis di bangunan Annexe yang terletak di belakang bangunan Pasar Seni.

Katanya, inisiatif Central Market Sdn. Bhd. memindahkan semua pelukis ke bangunan Annexe kira-kira lima tahun lalu merupakan idea yang bijak kerana kawasan di bahagian belakang Pasar Seni sebelum diambilalih oleh pengurusan baharu umpama hidup segan mati tak mahu.

"Mula-mula kita risau juga untuk dipindahkan kerana kita sudah biasa di dalam Pasar Seni selama 20 tahun dan masa itu kita kelam-kabut takut pengunjung tak datang sebab kita tahu tempat itu sunyi.

"Sebelum ini mana ada orang datang di depan bangunan Annexe tetapi, kita mula sedar usaha pihak pengurusan melakukan perubahan dengan pelbagai promosi dan tarikan menarik telah memeriahkan suasana di bangunan Annexe," ujarnya yang pernah bekerja dengan seorang hartawan Arab dari Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.

Mahu kekalkan identiti Pasar Seni

Posted:

Mahu kekalkan identiti Pasar Seni

Mahu kekalkan identiti Pasar Seni

Oleh IKHWAN IDERUS


SOO yakin dengan pencapaian Pasar Seni di bawah pengurusan Central Market Sdn. Bhd.


KHA SENG GROUP mengambil alih pengurusan Pasar Seni pada tahun 2004. Menerusi syarikat Central Market Sdn. Bhd. sejumlah RM10 juta dilaburkan untuk kerja-kerja naik taraf bangunan bersejarah itu.

Dengan tempoh pajakan selama tujuh dekad, Kha Seng mempunyai perancangan besar untuk mengekalkan Pasar Seni sebagai kawasan tarikan pelancong utama di ibu kota selain menyokong operasi perniagaan penyewa dan menawarkan produk menarik buat pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kha Seng, Aaron Soo ketika ditemui begitu berbangga dengan pencapaian Pasar Seni di bawah pengurusan kumpulannya setakat ini.

Pasang surut

"Kini Pasar Seni boleh dikatakan sudah berjaya, kadar sewaan bagi kira-kira 360 unit lot kedai dan kios di sini ialah sekitar 99 peratus dan kami memperoleh antara 70,000 sehingga 80,000 pengunjung setiap minggu.

"Ia merupakan tempat yang unik dan mesti dikunjungi di Kuala Lumpur. Ini memberikannya satu kelebihan yang tidak dapat ditandingi pusat beli-belah lain.

"Pasar Seni boleh dikatakan tidak mempunyai pesaing, tidak ada tempat yang boleh memberikan tawaran serupa seperti Pasar Seni," katanya.

Meskipun merupakan sebuah kawasan yang istimewa dan berpotensi besar, Pasar Seni tidak pernah terlepas mengalami pasang surutnya, sama ada dari segi perniagaan, kebersihan mahupun tanggapan pelancong dan dan tempatan.

Pernah satu ketika dahulu ia dianggap sebagai kawasan yang memiliki kadar jenayah tinggi, selain bermasalah dari segi kebersihan.

Soo berpendapat, perkara utama yang menjadi kunci untuk membezakan Pasar Seni sekarang berbanding ketika 'zaman gelapnya' ialah pengurusan yang jauh lebih baik dan teratur.

Jelasnya, bukan saja Pasar Seni, bagi mana-mana bangunan atau pusat beli-belah lain sekali pun, pengurusan yang terancang dan baik akan menentukan jatuh bangun sesebuah kawasan.

"Meskipun sudah berusia, pengunjung boleh melihat sendiri fasiliti seperti lif masih beroperasi dengan baik, manakala keadaan lantai, tandas dan persekitaran Pasar Seni kini jauh lebih kemas berbanding sebelumnya," katanya ketika ditemui.


PERSEMBAHAN kebudayaan dan jalanan merupakan antara penarik pengunjung ke Pasar Seni. - Gambar hiasan


Menurut Soo, cabaran terbesar dalam menguruskan bangunan bersejarah itu ialah memelihara keadaan dan mengekalkan struktur asalnya.

"Kami membelanjakan kira-kira RM1 juta sehingga RM2 juta setahun hanya untuk proses penyelenggaraan, seperti memperbaiki bumbung atau lantai yang pecah.

"Kawasan tanah yang menjadi tapak Pasar Seni ini agak berlumpur, sesuai dengan nama Kuala Lumpur. Pergerakan tanah kerap berlaku di sini.

"Kadangkala, terdapat jubin yang pecah dan perlu diganti, namun disebabkan usianya yang lama, jubin daripada jenis yang sama sudah tidak dihasilkan lagi. Sesetengah jubin di sini boleh dianggap sebagai antik.

"Sebagai langkah penyelesaian, kami terpaksa mengambil kepingan jubin yang sama di lantai Pasar Seni, bezanya ia berada di kawasan yang sedikit tersorok, misalnya di bawah almari untuk menggantikannya," kata Soo.

Menyentuh mengenai visi dan perancangan Kha Seng Group untuk memastikan Pasar Seni kekal relevan pada tahun-tahun mendatang, Soo menjelaskan Pasar Seni hanya perlu mengekalkan identitinya yang sedia ada untuk terus menjadi kawasan tumpuan pengunjung.

Promosi budaya

"Konsep Pasar Seni sedia ada sebagai pusat untuk mempromosikan kebudayaan, kesenian, warisan dan kraftangan harus dikekalkan. Kadang-kadang kita memang perlu membawakan konsep-konsep baharu sesuai dengan kehendak semasa. Misalnya, fenomena minuman Bubble Tea yang melanda baru-baru ini dan Pasar Seni pun sebenarnya turut sama menawarkan minuman tersebut.

"Bagaimanapun, 70 peratus daripada ruang runcit Pasar Seni akan diperuntukkan kepada penawaran utamanya yang melibatkan perniagaan berunsurkan kesenian dan kebudayaan. Hanya 30 peratus diberi untuk fasiliti sokongan seperti kedai makan dan lain-lain," katanya.

Soo turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang merancang dua projek utama yang dijangkakan dapat meningkatkan daya tarikan Pasar Seni kepada pelancong dan pengunjung tempatan.

"Kami berhasrat untuk menarik semula penghibur jalan ke Pasar Seni. Kami masih memiliki ruang untuk digunakan dan akan menyediakan kemudahan seperti kanopi untuk berlindung daripada hujan dan panas.

"Selain itu, kami juga sedang berusaha untuk menjemput Datuk Mohd. Nor Khalid, yang lebih dikenali sebagai Lat untuk menghasilkan mural bertemakan sejarah Kuala Lumpur pada tembok sungai yang menghadap Pasar Seni," katanya.

Solidarity Grub bantu orang miskin

Posted:

Solidarity Grub bantu orang miskin

Solidarity Grub bantu orang miskin


SEORANG lelaki pertengahan usia menjual arnab di tepi jalan untuk menyara kehidupan.


SETIAP pagi pada waktu kemuncak di sebuah kedai roti di Belgrade, Lidija Milanovic membeli dua croissant sebagai sarapan tetapnya. Tetapi, dia hanya mengambil satu manakala sekeping lagi diberikan pada mereka yang tidak berkemampuan membelinya.

Di Serbia, sebuah negara yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi, tiga anak muda yang berwawasan telah melancarkan satu laman web untuk membantu golongan miskin.

Ia menyeru rakyat negara tersebut untuk membeli makanan perpaduan tambahan yang kemudian akan ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

"Adalah sesuatu yang hebat apabila seseorang telah menemui cara yang mudah untuk membantu orang ramai tanpa menghabiskan banyak masa dan tenaga," kata Milanovic, seorang ahli perniagaan wanita berusia 37 tahun yang mengetahui tentang inisiatif itu di rangkaian sosial.

Selongkar tong

Seorang pelajar sekolah tinggi, Jovana Bogavas yang beratur di belakang Milanovic tertanya-tanya apa yang berlaku.

Selepas mendengar penerangan mengenai projek yang dipanggil Solidarity Grub (Solidarna Klopica) itu, dia terus membuat keputusan untuk menyertainya.

"Ini satu idea yang sangat menarik. Di kawasan kejiranan ini, saya selalu melihat ramai orang menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan. Namun, saya rasa tidak selesa untuk menawarkan bantuan kepada mereka. Inilah cara yang terbaik untuk melakukannya," ujar Bogavas.

Statistik menunjukkan bahawa 9.2 peratus daripada 7.2 juta penduduk Serbia hidup dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada satu euro (RM4.40) sehari. Hampir satu perlima daripada populasi tersebut memperoleh kurang daripada RM17.50 sehari.

Bagi kanak-kanak, jumlah yang hidup dalam kemiskinan mutlak meningkat kepada 12.2 peratus dan 6.2 peratus menderita akibat pemakanan tidak seimbang.

Solidarity Grub telah dimulakan pada bulan April oleh tiga pekerja di portal internet Kioskpages.com, satu laman dalam talian yang menawarkan katalog, perkhidmatan dan promosi istimewa.

Mereka mengatakan, satu video dalam talian mengenai rakyat Itali yang memberi kopi kepada gelandangan menjadi inspirasi untuk menjayakan program tersebut.

"Kami suka idea tersebut, tapi kami mahu menawarkan lebih banyak. Jadi, kami pilih makanan," ujar koordinator program, Nina Milos, 24.


POSTER yang tertampal di sebuah kedai roti di Belgrade yang menyertai projek Solidarity Grub.


Trio tersebut pada mulanya menghubungi kedai-kedai roti memandangkan mereka mahu lebih ramai orang menyertainya kerana harga produk pastri agak berpatutan. Setakat ini, sebanyak 60 kedai roti telah menyertai projek itu.

Lebih mengejutkan di negara yang mencatat kadar pengangguran sehingga 24 peratus, tindakan tersebut telah tersebar luas dan mendapat respons memberangsangkan.

"Projek ini berjaya kerana ia tidak memerlukan banyak penglibatan peribadi dan kosnya sangat minimum. Malah, hasil pengalaman sebelum ini menunjukkan individu yang berpendapatan rendah memberi respons pantas dan kuat untuk projek sebegini.

"Mereka dapat membayangkan diri sendiri berada dalam situasi sedemikian," terang pakar psikologi, Anika Stojanovic.

Di kedai roti tempat Milanovic membeli sarapan paginya, jurujual Silvija memberitahu, projek tersebut sangat berjaya.

Poster iklan

"Pada mulanya, saya tidak percaya dengan projek ini. Tetapi, hari demi hari semakin ramai yang meninggalkan makanan mereka untuk orang lain," katanya sambil meletakkan makanan tersebut di dalam bakul di depan tingkap agar dapat dilihat oleh mereka yang kelaparan.

Poster di tingkap juga menunjukkan iklan bahawa kedai roti tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Solidarity Grub.

Bagaimanapun, antara cabaran yang mereka hadapi ialah untuk menyebarkan maklumat berkenaan kepada golongan sasaran yang tidak mempunyai akses internet.

Sehubungan itu, pihak penganjur telah mengatur promosi besar-besaran mengenai projek itu di dalam akhbar dan menjalin kerjasama dengan rangkaian rumah perlindungan serta kumpulan sokongan.

Mereka turut merayu kepada penduduk setempat untuk menyampaikan maklumat itu kepada golongan gelandangan di kawasan kejiranan masing-masing.

Bagi Mirjana, ibu kepada tiga anak yang hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai buruh telah melihat laporan mengenai Solidarity Grub di televisyen dan gembira dengan perkara tersebut.

"Keluarga saya selalu kelaparan dan ada hari-harinya kami langsung tidak makan. Kini, kami memperoleh sekurang-kurangnya satu makanan setiap hari," tutur Mirjana.

Sementara itu, bagi Milos, projek berkenaan merupakan sumber kebanggaan mereka.

"Hidup tidak mudah di Serbia. Apabila masyarakat menunjukkan perpaduan seperti itu, ia benar-benar layak dipuji. Itu perkara terbaik yang telah berlaku kepada saya." - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved