Rabu, 18 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perspektif Fotografi Dalam Air

Posted:

Perspektif Fotografi Dalam Air

Perspektif Fotografi Dalam Air

SEAWAL pukul 9 pagi pelakon merangkap model terkenal Zahnita Dorothy Hussein Wilson sudah mula mengoles wajah menggunakan alat solek asas untuk menambah seri wajahnya.

Biar bukan kebanyakannya daripada jenama mahal, kata Zahnita, 28, ia cukup untuk memberikan bentuk muka dan tidak menjadi terlalu polos apabila berendam dalam air nanti.

"Keselesaan dan ketenangan itu penting apabila berada dalam air. Solekan, rambut dan pakaian adalah ciri-ciri penting untuk memudahkan pergerakan model.

"Sebagai seorang model juga saya perlu mengambil berat banyak aspek. Saya perlu menjaga ekspresi muka, mengelakkan rambut menutup wajah, mengawal pergerakan, membentuk postur dan menahan nafas panjang.

"Paling penting saya perlu bertenang apabila berada dalam air. Ini kerana banyak kemungkinan boleh berlaku sekiranya saya panik," kata Zahnita yang tidak lepas mengucapkan kalimah syahadah setiap kali beraksi di dalam air.

Cerita Zahnita, melalui pengalaman sebelum ini beraksi di dalam air, insiden paling mencemaskan yang pernah dialami ibu kepada dua cahaya mata itu ialah apabila dia hampir lemas ketika menjalani penggambaran untuk sebuah majalah tempatan di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor suatu ketika dulu.

"Ketika itu semuanya menjadi gelap, saya sudah berada di luar kawalan, badan saya menggigil dan air sudah memasuki rongga badan. Saya hanya fikirkan mati!" kongsi Zahnita yang akhirnya diselamatkan oleh penyelia keselamatan.

Zahnita mampu bertahan selama 30 minit di dalam air dengan bantuan alat pernafasan. Berdepan detik cemas hampir lemas tidak mematahkan semangatnya untuk terus aktif sebagai model teknik fotografi yang kian bercambah itu.


KERJASAMA pasukan amat penting dalam memastikan kelancaran penggambaran di dalam air.


Prospek

Bidang fotografi dalam air tidak dinafikan semakin berkembang pesat, namun kekangan daripada segi ilmu selaman skuba, kewangan, teknik, kelengkapan dan permintaan menjadi halangan utama untuk berkembang.

"Manusia dalam air tanpa bantuan alat pernafasan itu sendiri sudah pelik! Belum lagi ditambah elemen seni lain dan permainan kontras yang pelbagai. Itu dinamakan nilai kejutan dalam fotografi.

"Untuk merakamkan fotografi dalam air, semua pihak perlu bekerja sebagai satu pasukan. Tidak boleh lebih atau terkurang.

"Senario terburuk pernah berlaku apabila model itu terlalu mencuba, menolak diri melebihi batas keupayaan dan akhirnya lemas," kata Pengarah Kreatif Aqualight & Motion, Bahaman Hashim.

Berpengalaman 25 tahun dalam bidang fotografi dan selaman skuba, Konsultan Imej Dalam Air lulusan Institut Seni Chicago, Amerika Syarikat itu tidak menolak faktor teknikal akibat peralatan selaman atau kamera boleh menjejaskan proses fotografi.

Tambah Bahaman, Malaysia kekurangan jurufoto yang benar-benar terlatih untuk merakamkan gambar di dalam air, selain kurang berminat dan berdepan masalah mengeluarkan modal yang tinggi untuk membeli peralatan kamera kalis air.

Fotografi dalam air, kata Bahaman memerlukan kelengkapan asas bernilai RM20,000 yang terdiri daripada kamera refleks lensa tunggal (DSLR), kelongsong kamera kalis air, lampu strob, peralatan skuba, pencahayaan sokongan dan beberapa lagi aksesori penggambaran tambahan.

Malah, kos menyewa set kamera lengkap kalis air biasanya boleh mencecah RM1,200 sehari tidak termasuk bayaran lokasi dan latihan sebelum menyelam.


PERKARA yang dititik beratkan semasa melakukan penggambaran dalam air ialah semua peralatan berada di dalam keadaan baik, selain jurufoto dan model sendiri mampu mengawal keadaan dengan tenang.


Teknik

Ujarnya, gangguan yang terjadi sepanjang sesi fotografi dalam air biasanya melibatkan faktor kesihatan jurufoto atau model, persekitaran termasuk air yang kotor dan masalah komunikasi antara pasukan.

"Berbeza dengan darat, fotografi dalam air memerlukan detik terbaik yang biasanya hanya diperoleh dalam 15 saat iaitu 3 saat untuk turun dalam air, 3 saat jurufoto ambil posisi, 3 saat model bergaya, 3 saat untuk shot dan 3 saat lagi untuk masa tambahan.

"Detik terbaik itu merangkumi kesempurnaan dari segi pencahayaan, postur badan, mimik muka dan personaliti," katanya yang akan melatih model asas pernafasan yang dinamakan hyper ventilation sebelum memulakan sesi fotografi.

Bagaimanapun, jelas Bahaman, semua subjek akan membesar lebih 25 peratus daripada saiz asal apabila berada di dalam air.

"Rupa tidak penting, tapi seseorang model yang mahu beraksi di dalam air harus pandai mengawal pernafasan dan pergerakan.

"Tidak semestinya khusus untuk model, artis sama ada pelakon atau penyanyi dan mungkin juga orang biasa tiada halangan untuk beraksi luar biasa di dalam air.

"Genre ini ada keindahan tersendiri dan ia sedang berkembang seiring dengan cara hidup masa kini. Tidak salah saya katakan fotografi dalam air menuntut keberanian," jelasnya.

Bayaran

Sementara itu, kata Zahnita yang sering terbabit dengan sukan renang sejak kecil, dia mengambil inspirasi daripada seorang model antarabangsa, Hannah Mermaid yang sering terbabit dengan fotografi dalam air.

"Jika ditanya bayaran yang dikenakan untuk menjadi model dalam air, tidak banyak bezanya dengan model biasa cuma apa yang saya peroleh adalah pengalaman.

"Biasanya bayaran lebih diutamakan kepada pasukan teknikal dan bergantung pada pelanggan produk yang mahu saya gayakan.

"Sebenarnya, saya mahu berikan lebih pendedahan tentang fotografi dalam air kepada golongan muda kerana di Malaysia pun sudah ada banyak kemudahan tersedia untuk diterokai.

"Fotografi dalam air ibarat mengembara ke satu dunia asing yang tiada orang lain di sana, lebih tenang dan menyeronokkan," simpulnya.

TUGAS sebagai model untuk sesi penggambaran di dalam air bukan mudah, malah Zahnita pernah berdepan detik cemas sehingga dia hampir lemas.


Kaji pakaian

Bercakap tentang pakaian yang sesuai untuk sesi penggambaran, fabrik, potongan dan pemilihan warna yang sesuai antara ciri penting menghasilkan potret menarik di dalam air.

Fesyen kini telah melangkah setapak dalam memberikan dimensi baharu dunia seni.

Hal itu diakui oleh pereka fesyen muda, Kashfi Zulkufli yang mengambil peluang dan risiko melihat hasil ciptaannya 'berenang' di dasar kolam.

"Perspektif yang saya lihat adalah daripada aspek rekaan, potongan, berat dan kesesuaian pergerakan, saya tidak mahu model tersekat dan mengelakkan risiko tinggi.

"Pemilihan warna dan jenis kain yang digunakan juga penting supaya hasil dalam gambar nampak eksklusif sekali gus memantulkan cahaya. Oleh kerana itu kebanyakannya saya gunakan fabrik labuci, sifon dan kain jaring," kata Kashfi.

Pakaian yang disarung oleh Zahnita pada sesi fotografi baru-baru ini, kata Kashfi dihasilkan seberat 500 gram, bagaimanapun apabila ditambah berat air yang meresap ke dalam fabrik, jisim baju dianggarkan mencapai lima kilogram.

Kashfi yang dibantu adiknya, Malique, tidak khuatir akan risiko pakaian yang dihasilkan rosak apabila masuk ke dalam air, sebaliknya lebih menitik beratkan aspek kelasakan fabrik memandangkan model perlu banyak bergerak.

"Pasukan saya mengambil masa lebih seminggu untuk mengkaji reka bentuk yang sesuai tapi masih nampak cantik untuk digayakan di dalam air.

"Antara rujukan utama kami adalah pergerakan ikan duyung dan ciri-ciri utama yang menjadikan haiwan legenda itu unik, pemilihan labuci juga sesuai untuk menampakkan kilauan seumpama sisik ikan," ujarnya mengenai busana emas yang akan menjadi sebahagian koleksi terbaharunya, Meraki.

Fotografi dalam air selebriti antarabangsa

Posted:

Fotografi dalam air selebriti antarabangsa

Fotografi dalam air selebriti antarabangsa

KHAIRUL AMRI HASSAN


DREW BARRYMORE


KREATIVITI itu tanpa sempadan dan kini melangkaui batas pemikiran dengan terjun ke dunia dalam air. Potret dan karya seni yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri berbanding rakaman yang dihasilkan di daratan.

Artis antarabangsa terlebih dahulu mempopularkan seni fotografi dalam air untuk tujuan komersial, kempen kesedaran, fesyen dan pengiklanan.

Berikut disenaraikan beberapa selebriti antarabangsa yang telah terbabit dalam sesi penggambaran di dalam air.

1. Drew Barrymore

Fokus: Penggambaran majalah fesyen antarabangsa Elle

Tahun: 2009

Catatan: Sempena isu kesedaran ekosistem laut, Drew Barrymore digayakan oleh Joe Zee dan imej dalam air itu dirakamkan oleh jurufoto Alexei Hay.

Menerusi temu ramah bersama Drew, katanya:"Saya mahu merasakan pengalaman seperti seekor ikan. Ini pengalaman terbaharu saya sepanjang usia 30 tahun dan saya mahu merasai debaran seperti ini lagi."

2. Fan Bingbing

Fokus: Penggambaran majalah fesyen Cosmo

Tahun: 2011

Catatan: Fotografi muka depan majalah Cosmo keluaran khusus di China itu menampilkan Fan Bingbing menyarung sepasang dres berwarna merah bermotifkan tulisan kaligrafi Pinyin.

3. Nirvana

Fokus: Album kedua berjudul Nevermind

Tahun: 1991

Catatan: Satu-satunya kumpulan rock yang menampilkan kelainan untuk penghasilan muka depan album kedua mereka berjudul Nevermind yang telah diterbitkan pada tahun 1991.

Imej yang memaparkan seorang bayi lelaki berbogel dalam kolam renang itu mengundang kontroversi kerana mempromosi pornografi kanak-kanak. Akibatnya, ada pusat beli-belah utama enggan mengedarkan album tersebut.


CAT DEELEY


4. Cat Deeley

Fokus: Iklan produk Pantene

Tahun: 2012

Catatan: Pelakon, penyanyi dan merangkap model yang popular dengan gaya rambut berwarna keemasan itu merakamkan gambar dalam air sempena promosi terbaharu produk penggayaan rambut, Pantene.

Cat dibantu oleh jurugaya antarabangsa, Peter Lux dan imej itu telah dirakamkan di dalam sebuah tangki besar.

5. Keira Knightley

Fokus: Kempen kesedaran Fresh2o

Tahun: 2013

Catatan: Bersama-sama dengan Kelly Brook, Lily Cole dan Kimberly Stewart, imej dalam air Keira dirakamkan oleh jurufoto terkenal Candice sempena kempen kesedaran krisis air dunia, Fresh2o.

Keira menyarung dres berwarna putih dengan lengannya dililit gulungan filem seakan-akan rumpai laut, sementara Kelly dijelmakan seakan seekor ikan duyung.

Foto-foto itu disiarkan pada 22 Mac 2013 sempena meraikan Hari Air Sedunia.

6. Aishwarya Rai

Fokus: Kempen iklan Kalyan Jewellers

Tahun: 2012

Catatan: Selepas melahirkan anak sulungnya tahun lalu, pelakon merangkap Miss World 1994, Aishwarya Rai beraksi penuh bergaya untuk kempen promosi Kalyan Jewellers di India.

Aishwarya beraksi sebagai 'Golden Girl' untuk iklan rasmi di laman sosial Facebook Diva. Fotografi itu dikendalikan oleh jurufoto Shrikumar.

Dakwah sufi Sheikh Nazim

Posted:

Dakwah sufi Sheikh Nazim

Dakwah sufi Sheikh Nazim


ORANG ramai dari pelusuk dunia sentiasa mengunjungi kediaman Nazim.


DI Cyprus terdapat seorang ahli sufi yang hidup secara sederhana. Beliau mengajak pengikutnya berpegang kepada konsep asas sufisme atau tasauf yang bermaksud kasih sayang. Beliau juga nekad meneruskan perjuangan melawan fahaman Islam radikal.

Sufisme yang menerapkan aspek rohani terutama pengukuhan kepercayaan dan hubungan antara manusia dan Tuhan melalui muraqabah berpegang kepada aliran Naqshbandi yang menjadikan konsep kesederhanaan dan patuh terhadap syariah Islam sebagai garis panduan dalam pengamalannya. Muraqabah ialah amalan menjaga ingatan dan hati semata-mata kepada Allah.

Sheikh Nazim, 91, mengetuai sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Naqshbandi-Haqqani bersifat lebih fleksibel dalam ajarannya sehingga diungkapkan oleh sejarawan Perancis dan pakar sufisme, Thierry Zarcone sebagai antara ahli sufi yang terhebat.

"Islam yang diajar oleh Nazim adalah sangat fleksibel dengan wawasan yang boleh diterima. Pada masa yang sama, Nazim cuba mengurangkan fahaman Islam radikal di Amerika Syarikat dan Eropah dengan menunjukkan sufisme adalah instrumen dalam melawan fahaman radikal itu," katanya.

Keterbukaan Nazim dalam menerima sesiapa sahaja yang berminat mendalami sufisme disambut dengan pelbagai ucapan indah antaranya 'Selamat datang di kediaman yang penuh dengan cinta'.

Di dalamnya terdapat sebuah beranda melengkung dengan pemandangan pokok-pokok dan buah-buahan yang rendang di halaman.

Kehadiran tetamu di kediaman Nazim tidak pernah terhenti yang terdiri daripada pelbagai status warganegara, masyarakat tempatan dan penduduk kampung dengan satu hajat iaitu memohon doa dan pertolongan daripada ahli sufi termasyhur itu.

Antara tetamu yang hadir ialah dari Jerman, Itali, Switzerland, Amerika Syarikat, Rusia dan Turki. Mereka akan berkumpul di sebuah masjid kecil untuk solat berjemaah diikuti khutbah yang disampaikan Nazim berkisar tentang cinta dan kasih sayang sejati terhadap Allah.

Beliau yang mempunyai sepasang mata biru akan berada di tengah-tengah jemaahnya dan menyampaikan khutbah walaupun mengalami kesukaran bercakap. Nazim jarang sekali ditemu bual tetapi pengikutnya gemar memuat naik khutbah beliau di internet untuk dikongsi bersama masyarakat lain di seluruh dunia.

Mencuri tumpuan

Tiga tahun lalu, ketika bekas Pope, Benedic XVI dalam satu siri lawatan ke Cyprus, Nazim mencuri tumpuan masyarakat dunia apabila beliau mengembara dari Lefke ke Gereja Roman Katolik Cyprus yang jaraknya ialah 62 kilometer, menembusi kawasan patrol Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memisahkan Nicosia dalam usaha untuk bertemu dengan Benedict XVI.


WALAUPUN mengalami kesukaran bercakap, Sheikh Nazim masih gigih menyampaikan dakwah.


Sebelum Benedict XVI melangkah kakinya ke gereja, Nazim menahannya dan kedua-duanya berpelukan sambil bertegur sapa dalam momen yang amat memilukan dan syahdu.

Kedua-dua figura itu sempat menghabiskan masa seketika berbual sesama mereka dan Nazim dalam nada sopan berkata: "Tuhan merahmati kamu, doakan saya, saya sudah semakin uzur."

Benedict XVI yang tersentuh dengan sapaan Nazim membalas sambil matanya berkaca: "Saya juga semakin tua." Mereka kemudian berpelukan.

Ia menimbulkan pelbagai tanggapan dalam kalangan masyarakat dunia kerana janggal bagi seorang yang dihormati dan dipandang tinggi dalam Islam memeluk seorang paderi.

Bagaimanapun, tindakan Nazim itu jelas seperti yang tercatat dalam bukunya bertajuk Love yang menegaskan dalam setiap agama kasih sayang adalah kekuatan asas kerana ia akan melahirkan perasaan hormat.

Seorang pengikut Nazim, Jehan Raqab yang berketurunan Itali dan Arab meletakkan jawatannya sebagai pegawai di PBB untuk bersama komuniti Nazim dalam meneruskan perjuangannya.

"Saya datang ke sini sekali sahaja dan sudah mula terasa seperti berada di syurga. Bila saya melihat Sheikh Nazim, beliau menyentuh hati saya bukan dengan kata-kata tetapi renungan matanya," kata Jehan.

Jehan yang pernah dibuang keluarga ketika berkhidmat bersama PBB mengakui masalah itu tidak lagi menghantui dirinya selepas hampir tiga tahun bersama Nazim di Lefke.

Dia yang masih bujang mengakui kehidupannya lebih tenang selepas meninggalkan kehidupan yang mengejar duniawi semata-mata kepada sebuah kehidupan yang sederhana seperti mendirikan solat lima waktu sehari semalam dan muraqabah berzikir.

Sementara itu, Bahauddine yang juga anak kepada Nazim berkata, seseorang manusia akan berada pada landasan yang betul dalam kehidupan sekiranya mencintai sesama manusia, masyarakat dan alam sekitar.

Katanya, penempatan di Lefke menerima saudara baru dan golongan penganut agama Islam dalam usaha mengukuhkan keimanan mereka terhadap Allah.

Sufisme

"Kebanyakan komuniti kami sangat aktif di Eropah terutamanya di London, selain Istanbul di Turki, Los Angeles dan Michigan, Amerika Syarikat," katanya.

Menantu Nazim, Sheikh Hisham Kabbani sangat aktif menyebarkan sufisme di Amerika Syarikat sejak tahun 1990. Malah, selepas serangan bom oleh pengganas di London pada tahun 2005, beliau menerajui pembentukan Majlis Sufi untuk menangani pemikiran radikal mengenai Islam.

"Menjadi tanggungjawab kita menerangkan setiap perincian mengenai Islam kepada orang luar terutamanya fahaman yang dikaitkan dengan keganasan.

"Jika kamu meneliti semula sejarah Islam, apakah pegangan asal dalam agama ini? Kamu dilarang membunuh wanita, kanak-kanak, warga emas atau membakar kediaman mereka. Tiada alasan untuk membunuh sewenang-wenangnya.

"Ini agama kami, ia sebuah agama yang sangat indah. Tetapi ia jatuh ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya minta maaf atas kata-kata saya ini," katanya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved