Jumaat, 13 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pengawal keselamatan bukan kerjaya pilihan

Posted:

Pengawal keselamatan bukan kerjaya pilihan

Pengawal keselamatan bukan kerjaya pilihan

SUASANA pada waktu pagi di sekitar asrama pekerja berhampiran Lebuh Raya Damansara-Puchong, Petaling Jaya itu tampak tenang. Sesekali kelihatan beberapa buah motosikal berlegar-legar di kawasan tersebut sambil diselangi kehadiran beberapa individu pejalan kaki dari tempat letak kereta bersebelahan asrama tersebut.

Ramli Ahmad, 58, asyik memerhatikan kehadiran mereka dari satu sudut pondoknya yang terletak di tepi pintu masuk kawasan asrama tersebut.

Kadang-kadang dia disapa oleh orang yang lalu-lalang di situ dan dia membalasnya dengan senyuman sambil mengangkat tangan jika individu tersebut dikenalinya.

Begitulah, rutin harian Ramli sebagai seorang pengawal keselamatan di kawasan tersebut sejak lebih setahun lalu.

Dia yang segak berbaju putih, berseluar biru gelap dan berkasut hitam itu ditemani cota yang sering dibawanya ke mana-mana sahaja tanpa rasa jemu dan lelah.

Kehadirannya kadangkala melahirkan rasa gerun dan curiga kepada setiap individu yang memandangnya.

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu memutuskan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur setelah mendapatan pekerjaan dengan tawaran gaji yang lebih lumayan berbanding di tempat asalnya.

"Saya memilih kerjaya ini kerana tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi selain sanggup berhijrah ke ibu kota ekoran tawaran gaji yang lebih.

"Selepas lebih sebulan bekerja, saya telah mengenali ramai orang di sini sekali gus kami menjadi lebih mesra.

TAWARAN gaji lebih lumayan menarik minat Ramli ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.


"Situasi ini menjadikan suasana tempat kerja saya menjadi lebih selesa dan menyeronokkan," katanya yang mempunyai lima orang anak.

Hasil titik peluh itu, Ramli memperoleh pendapatan sekitar RM1,500 sebulan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM800 akan diserahkan kepada isterinya yang tinggal di Perak.

Selain itu, dia membayar wang ansuran rumah di Perak sebanyak RM250 dan bakinya untuk kegunaan harian seperti membeli makanan.

"Sebenarnya gaji yang saya dapat sebagai pengawal keselamatan ini, cukup-cukup makan sahaja, bolehlah untuk menampung kami sekeluarga.

"Gaji soal nombor dua bagi saya, yang penting saya dapat menjaga keselamatan harta benda dan nyawa orang di sini," katanya.

Perihal kerja

Bercerita mengenai perihal kerja, dia yang tinggal di asrama akan bangun seawal pukul 5.30 pagi sekiranya bekerja syif pagi. Jarak asrama ke tempat kerjanya kira-kira 10 kilometer.

Majikannya turut menyediakan kemudahan pengangkutan pergi dan balik ke tempat kerja.

Katanya, pekerjaan sebagai pengawal keselamatan memerlukan disiplin tinggi dan kesabaran kerana perlu berada dalam keadaan setempat secara berseorangan dalam tempoh lama iaitu sehingga 12 jam.

Ia merupakan punca utama golongan muda tempatan kurang berminat menceburi kerjaya sebagai pengawal keselamatan sekali gus menyaksikan pekerjaan tersebut disambar pekerja asing.

Bagaimanapun, situasi tersebut berbeza bagi Mohd. Hafiz, 24, yang merupakan seorang graduan dari sebuah universiti tempatan.

Dia terpaksa memilih kerjaya sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah selepas gagal mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya.

"Selepas lebih setahun keluar universiti, saya memohon dan telah dipanggil menghadiri beberapa temuduga oleh syarikat yang menawarkan jawatan bersesuaian dengan kelulusan saya.

"Namun, tiada sebarang panggilan kerja yang saya diterima, maka daripada menganggur lebih baik saya bekerja, walaupun sebagai pengawal keselamatan," katanya yang masih bujang.

Menurut Hafiz, bapanya juga merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah sejak lebih 10 tahun lalu dan ia merupakan salah satu faktor dia memilih kerjaya tersebut.


KES seorang pengawal keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya, Selangor yang merompak dan membunuh mangsa menggemparkan masyarakat tempatan baru-baru ini.


Tanggungjawab

Selain dapat membantu ekonomi keluarga, Hafiz juga berpeluang merasai cabaran bergelar seorang pengawal keselamatan seperti yang pernah dirasai bapanya.

"Kerjaya ini sangat mulia dan turut mempunyai cabaran yang tersendiri. Apabila melalui sendiri barulah saya tahu bahawa tanggungjawab yang dipikul adalah berat dan memerlukan kesabaran.

"Sebelum ini, saya menganggap kerjaya sebagai pengawal keselamatan hanya duduk dan tengok sahaja, rupa-rupanya banyak cabaran yang perlu dihadapi," jelasnya.

Menurutnya lagi, dia terpaksa membuang sifat malu selain terdapat sesetengah pihak yang memandang sinis pekerjaannya itu.

"Masyarakat sekeliling pasti ramai yang menganggap saya tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi," katanya dengan nada perlahan.

Hafiz turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang rendah kerjaya pengawal keselamatan sepertinya.

Selain itu, katanya, masyarakat harus menerima setiap arahan yang diberikan oleh setiap pengawal keselamatan kerana mereka hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh pihak syarikat.

"Kadang-kadang orang awam tidak mahu mengikut arahan kami. Mereka anggap kami tidak layak memberi arahan kerana mereka lebih berpelajaran dan mempunyai kerjaya yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, pelajar Kolej Politeknik Mara, Mohd. Izzat Amir, 22, mengakui kerjaya sebagai pengawal keselamatan bukan kerjaya pilihannya.

Ini kerana, katanya, selain tawaran gaji yang kurang lumayan, kerjaya tersebut juga tidak glamor.

"Pengawal keselamatan juga berdepan risiko kehilangan nyawa terutama yang bekerja di sektor yang membabitkan wang atau benda berharga.

"Sehubungan itu, walaupun saya ditawarkan gaji yang tinggi, saya tidak akan menerimanya," katanya.

Tambahnya, rata-rata pengawal keselamatan bekerja dalam tempoh panjang dan sukar mengambil cuti terutama pada hujung minggu.

"Saya dapati, pengawal keselamatan juga terpaksa bekerja pada hari raya atau cuti umum. Mereka sukar untuk mendapat cuti yang panjang dan jika hendak bercuti mesti ada pengganti.

"Mereka juga terpaksa bersekang mata sekiranya bekerja pada waktu malam," katanya.

Kes jenayah

Sementara itu, kebelakangan ini, kerjaya sebagai pengawal keselamatan mendapat perhatian luar biasa daripada masyarakat di negara ini.

Ia berikutan, berlaku beberapa kes jenayah membabitkan pengawal keselamatan termasuk merompak bank, kedai emas dan kilang.

HAFIZ komited menjalankan tugasan sebagai pengawal keselamatan.


Kes-kes tersebut melahirkan rasa kurang senang masyarakat terhadap kerjaya tersebut, walaupun hanya segelintir pengawal keselamatan yang bersikap sedemikian.

Ia turut diakui Haryati Abdullah, 45, seorang kakitangan di sebuah syarikat swasta.

Dia berkata, isu-isu jenayah yang membabitkan pengawal keselamatan kebelakangan ini menyebabkan imej mereka terjejas teruk di mata masyarakat.

"Pihak majikan perlu mengambil pengawal keselamatan yang berkelayakan dan bukan tangkap muat sahaja kerana pelbagai perkara buruk boleh berlaku sekiranya tersalah pilih.

"Selain itu, majikan juga perlu mengutamakan warga tempatan berbanding warga asing atas faktor keselamatan. Ini kerana, terdapat kes warga asing yang menipu mengenai diri mereka semata-mata untuk bekerja di negara ini. Tindakan mereka amat membahayakan orang ramai terutama di sektor perbankan.

"Bagi menarik minat warga tempatan bekerja sebagai pengawal keselamatan, majikan perlu menawarkan gaji atau elaun yang setimpal dengan risiko yang mereka hadapi," katanya.

Cerita mural di seluruh dunia

Posted:

Cerita mural di seluruh dunia

Cerita mural di seluruh dunia


MURAL aktivis remaja Pakistan, Malala Yousafzai dilakarkan pada dinding di seksyen Bushwick, New York, Amerika Syarikat.


SEJARAH seni mural bermula sejak zaman Paleolitik dengan penemuan sebuah lukisan di gua Chauvet di selatan Perancis. Mural tersebut dipercayai dilukis sekitar 30,000 tahun sebelum Masehi.

Mural merupakan satu karya seni yang menggunakan cat sebagai bahan utama dengan menjadikan dinding, siling dan permukaan yang kekal sebagai mediumnya.

Seni ini menjadi medium untuk meluahkan sesuatu yang terpendam dalam fikiran ke dalam bentuk seni.

Di seluruh dunia, terdapat pelbagai mural yang dilukis pada dinding-dinding yang mengandungi seribu makna tersirat.

Antaranya, sebuah mural anti-Israel di Gaza City yang memaparkan imej sebuah kereta kebal Israel dibom bagi menggambarkan perjuangan komuniti di Gaza.

Berbeza pula dengan cerita mural di dinding sebuah rumah swasta di Singapura yang dilukis oleh Ernest Zacharevic.

Mural anak seni dari Republik Lithuania, di bahagian utara Eropah itu telah mencetuskan kontroversi di Malaysia kerana imej lego yang dilukisnya memegang pisau.

Namun, di Singapura, dia lebih gemar melukis mural dengan tema yang lebih santai.

Sementara itu, di Sekolah Tinggi Coachella Valley, California, mural yang melukis maskot orang Arab yang ingin mencapai sesuatu yang bertujuan untuk mempromosikan sukan turut menimbulkan kemarahan komuniti Arab-Amerika.

Imej itu menggambarkan orang Arab sebagai individu yang berhidung besar, berjanggut dan kepala yang bertutup.

ARTIS India, Ranjit Dahiya melukis mural pemain kriket terkenal India iaitu Sachin Tendulkar.


Mangsa korban

Mural di Ireland utara pula memaparkan imej separa tentera yang siap memegang senjata bagi menggambarkan situasi pembunuhan yang berlaku sebelum perjanjian Good Friday iaitu antara Ireland Utara bersama Republik Ireland dan Republik Ireland bersama Britain.

Di Jalan Mohamed Mahmoud, Mesir, kelihatan mural seorang pemuda yang terkorban dalam pemberontakan di Dataran Tahrir di Kaherah.

Ia dibuat bagi memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam pertempuran sengit di kawasan tersebut dua tahun lalu antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan semasa proses revolusi.

Mural juga dilukis bagi memberi penghargaan terhadap kejayaan seseorang ahli sukan.

Di India misalnya, seorang pelukis Ranjit Dahiya sibuk menyiapkan mural Sachin Tendulkar, seorang pemain kriket India yang akan bersara setelah lebih 24 tahun terlibat dalam sukan tersebut.

Di Cuba, kelihatan imej seorang lelaki di hadapan mural wira revolusi negaranya iaitu Che Guevara yang sangat popular di seluruh dunia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved