Rabu, 18 Disember 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Misi serampang dua mata Kinabalu

Posted:

Misi serampang dua mata Kinabalu

Misi serampang dua mata Kinabalu

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM

MENGGARU kepala Nor Azmi Mustafa, 34, apabila dimaklumkan oleh majikannya, STT Technologies Sdn. Bhd. (STT Tech) yang mahu menjadikan puncak Gunung Kinabalu sebagai matlamat untuk ditawan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan syarikat tersebut yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Bisik hatinya, mengapa aktiviti pendakian yang memerlukan stamina tinggi menjadi pilihan majikannya?

Ini kerana ia berlawanan dengan persekitaran kerja yang dilakukan oleh 151 kakitangan syarikat itu yang menawarkan perkhidmatan perundingan sistem keselamatan.

Bukan mahu merendah diri atau memperkecil-kecilkan semangat diri sendiri dan rakan-rakan lain, namun misi tersebut seperti sukar untuk dilakukan, lebih-lebih lagi masing-masing terikat dengan rutin harian kerja yang ketat.

"Ini pengalaman pertama kami mendaki, macam mustahil hendak sampai ke puncak gunung tertinggi ini.

"Persiapan kena rapi, latihan tidak boleh culas untuk memastikan semua peserta mempunyai stamina dan kecergasan tinggi ketika mendaki gunung.

"Takut tidak sempat hendak hadap semua itu sebab masing-masing tengah sibuk bekerja," ujar Azmi yang mesra dipanggil Tomoi kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

Latihan

Bagaimanapun, demi memastikan ekspedisi itu berjalan lancar, Tomoi dan rakan lain mula melakukan latihan pada setiap minggu. Mereka turut mendaki bukit-bukau untuk membiasakan otot-otot badan dengan aktiviti pendakian sebelum tiba hari yang dinanti.


BERADA pada ketinggian kira-kira 914 meter dari aras laut sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal kakitangan STT Tech.


Biarpun terikat dengan jadual kerja yang ketat, latihan yang dirangka oleh Pengarah Projek misi tersebut, Muhammad Zharif Suhaimi, 24, tetap dilakukan.

Kesemua 20 pendaki yang terbabit tekun berlatih dan semangat mereka berkobar-kobar untuk menawan puncak gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara itu.

Bagaimanapun, sebelum berlepas ke Sabah, peristiwa yang tidak diduga berlaku.

Setiausaha syarikat itu, Rozita Abd. Rasid yang turut menyertai kembara, memaklumkan kepada para peserta bahawa Tomoi terlibat dalam kemalangan motosikal dan mengalami kecederaan serius sekali gus terpaksa menarik diri.

Dalam perut pesawat, kesemua peserta termenung mengenang nasib Tomoi yang sedikit sebanyak melunturkan semangat mereka untuk mendaki gunung kebanggaan rakyat negeri Sabah itu.

Tidak lama selepas menjejak kaki di bandar Kota Kinabalu, masing-masing ceria apabila mendapat perkhabaran gembira yang Tomoi akan turut serta dalam pendakian tersebut.

"Saya tetap ingin teruskan pendakian bagi memastikan misi syarikat ini tercapai," tegas Tomoi.

Tepat pukul 8.30 pagi pada 2 Disember lalu, selepas mengisi perut, kumpulan tersebut memulakan pendakian melalui hutan tropika yang dipenuhi dengan anak-anak tangga menuju ke Laban Rata sejauh 6 kilometer melalui pintu Timpohon.

Tomoi walaupun cedera seperti tidak menunjukkan sebarang kelemahan dan kekurangan kudrat untuk mendaki.

PESERTA berehat seketika di sebuah pondok sebelum meneruskan pendakian.


Sebaliknya, dia bersama-sama rakan lain turut membantu Rozita, 39, yang mula keletihan lantaran laluan trek yang mendaki.

Semangat berpasukan terbentuk tanpa memerlukan arahan apabila masing-masing saling bantu.

Selain dihidangkan dengan landskap flora dan fauna yang indah sepanjang pendakian itu, ada sesuatu yang menarik berlaku dalam misi tersebut.

Kata-kata semangat menyegarkan halwa telinga sentiasa dilaungkan oleh mereka yang masih mempunyai daya ketahanan tinggi untuk menaikkan motivasi rakan-rakan yang sudah keletihan.

"Ayuh kawan, sikit lagi nak sampai pondok rehat. Kita semua boleh, percaya diri sendiri." Ini antara kata-kata pembakar semangat yang menguatkan ketahanan diri para peserta.

Beberapa ahli kumpulan itu berjaya tiba di Laban Rata kira-kira pukul 4 petang termasuk Tomoi.

Bagaimanapun, masih ramai lagi yang ketinggalan di belakang dek langkah mulai perlahan sekali gus memerlukan lebih banyak masa rehat sebelum mengumpul sisa-sisa tenaga untuk meneruskan pendakian.

Suasana di Lata Raban telah gelap-gelita, namun rakan-rakan lain masih belum juga sampai. Tanpa berfikir panjang, Tomoi memberanikan diri untuk turun semula membantu rakan lain.

Kehabisan tenaga

Akhirnya, semua peserta berjaya tiba di Lata Raban iaitu pukul 8 malam. Waktu beberapa jam sebelum pukul 2 pagi dimanfaatkan masing-masing untuk berehat sebelum memulakan baki pendakian ke puncak sejauh 3.7 kilometer yang memakan masa antara empat hingga lima jam lagi.

Rozita memujuk dirinya untuk meneruskan pendakian meskipun sudah kehabisan tenaga meredah laluan sejauh 6 kilometer sebelum ini kerana ia adalah matlamat yang hendak dicapai.

"Saya fikir, kalau saya tidak teruskan pendakian, mesti yang lain terutama golongan yang masih muda patah semangat kerana terkejut dengan cabaran pendakian ini," katanya.

Semangat juang Rozita itu dan ditambah kecekalan Tomoi yang cedera untuk menjayakan misi tersebut membuahkan hasil apabila semangat rakan sekerja lain untuk meneruskan pendakian kembali membara.


DARI kiri: Mohd. Fikrie, Abdul Azim dan Nursyafiq menuruni laluan selepas berjaya sampai ke puncak Low's Peak.


Meskipun pada penghujung skrip pendakian ini hanya enam orang warga kerja STT Tech yang berjaya sampai ke puncak, namun misi serampang dua mata ekspedisi itu berjaya dicapai.

Warga kerja yang sampai ke puncak ialah Muhammad Al Fatih Aris, 21, Azizan Harris, 27, Mohd. Fikrie Ruslan, 23, Mohd. Nursyafiq Mohd. Najib, 24, Abdul Azim Nasir, 24 dan Siti Fatimah Alias, 36.

Seramai 14 pendaki pula berjaya menjejak kaki sehingga ke kawasan South Peak, St. John Peak, Ugly Sister Peak dan Oyayu Peak yang berada 800 meter lagi dari puncak sebenar, Low's Peak.

Tomoi dan rakan-rakan lain berasa bertanggungjawab untuk menjaga Rozita yang seperti putus nyawa ketika berada dalam atmosfera dengan suhu serendah 1 darjah Celcius.

Masing-masing mengorbankan pencapaian peribadi untuk berasa megah menjejak kaki di puncak gunung tersebut.

Merasai pahit maung mendaki dalam kumpulan yang kecil mengajar erti semangat berpasukan antara satu sama lain dalam memastikan keselamatan insan-insan yang tidak berdaya dijaga.

Benar, puncak Low's Peak itu menjadi matlamat awal, namun pengurusan STT Tech memandang lebih jauh daripada itu dan ia jelas berhasil dalam aktiviti kali ini.

Bukit Merah Platform warga UiTM kukuh hubungan

Posted:

Bukit Merah Platform warga UiTM kukuh hubungan

Bukit Merah Platform warga UiTM kukuh hubungan

NURIL MUTMAINNAH ROSLAN


PARA peserta kursus bergambar bersama Mustapha Kamal (tengah) selepas sesi perkongsian pengalamannya mengenai perniagaan dan pelaburan di BMLR.


MELALUI kerja berpasukan, matlamat dan misi sesuatu organisasi dapat dicapai secara lebih menyeluruh dan berkesan. Kerja berpasukan yang baik juga akan mengurangkan masalah pembaziran tenaga dan meningkatkan motivasi dalam kalangan anggota sesebuah organisasi.

Baru-baru ini, seramai 40 orang kakitangan Jabatan Komunikasi Korporat (JKK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor telah menyertai kursus Pengukuhan Kerja Berpasukan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Perak.

Sebelum bertolak ke destinasi, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Sahol Hamid sempat meluangkan masa bertemu warga JKK bagi memberi kata-kata semangat dan nasihat agar memanfaatkan peluang sepanjang kursus itu.

Keterujaan para peserta jelas terpancar sepanjang perjalanan selama empat jam ke BMLR. Sebaik sahaja tiba di destinasi, peserta diberi taklimat oleh pihak BMLR mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Alfina Bakar berkesempatan menyampaikan ucapan alu-aluan dan merasmikan kursus tersebut.

AKTIVITI tali Tarzan menguji kecekapan dan kekuatan fizikal peserta.


Matlamat

Menurutnya, matlamat utama penganjuran program tersebut ialah bagi memantapkan dan menambah baik gerak kerja berpasukan dalam kalangan warga JKK.

"Program seperti ini merupakan platform terbaik untuk memupuk sifat setia kawan dan saling memahami antara satu sama lain dalam satu jabatan. Melalui setiap aktiviti, peserta dapat menguji tahap ketahanan fizikal, mental dan emosi.

"Kesemua peserta diharap dapat meneruskan semangat kerja berpasukan dan mengamalkan interaksi yang baik. Ia juga bertujuan untuk memahami konsep bekerjasama dan terus bersemangat melaksanakan tanggungjawab masing-masing," ujarnya.

Sepanjang kursus itu, peserta dihidangkan dengan pelbagai aktiviti lasak dan menguji minda. Setiap aktiviti menerapkan sifat kepimpinan dan tanggungjawab.

Para peserta juga diberi pendedahan mengenai kepentingan berfikiran positif, berdisiplin dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Peserta dibahagikan kepada empat pasukan sepanjang program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu.

Aktiviti lasak

Antara aktiviti lasak yang ditempuh oleh peserta ialah ujian halangan, mencari harta karun, sukaneka, merentas hutan pada waktu malam, Laketown Amazing Race dan memburu.

Bagi aktiviti ujian halangan, peserta dikehendaki mengharungi halangan seperti sarang labah-labah gergasi, merangkak seperti komando, tali Tarzan, survivor hunt dan abseiling.

Aktiviti merentas hutan pada waktu malam merupakan antara aktiviti yang mencabar. Peserta juga berpeluang merasai keindahan alam flora dan fauna di Bukit Merah.

Laketown Amazing Race menyajikan sukaneka yang menyelitkan elemen kerjasama dalam setiap permainan. Peserta perlu menyelesaikan teka-teki, mengasingkan lima jenis kekacang dan menangkap belut.


PERJALANAN ke Pulau Orang Utan Bukit Merah dengan menaiki bot hanya mengambil masa selama lima minit.


Puas hati

Salah seorang peserta, Rozita Nordin, 47, memberitahu, dia amat berpuas hati dengan program yang dianjurkan oleh pihak UiTM itu.

"Bagi saya, survivor hunt merupakan aktiviti yang amat mencabar. Kami perlu menyiapkan dua hidangan makanan dalam masa satu jam menggunakan arang dan dapur batu yang dibuat sendiri," ujarnya yang menjalankan kesemua aktiviti tersebut secara santai.

Peserta juga berpeluang mengadakan lawatan ke Pulau Orang Utan Bukit Merah untuk melihat kehidupan orang utan secara lebih dekat.

Seorang lagi peserta, Hasrullah Hasmi, 24, berkata, kursus itu memberi peluang kepada peserta untuk bekerjasama dalam menyelesaikan setiap tugasan.

"Saya merupakan peserta paling muda dalam kursus ini dan dilantik sebagai ketua kumpulan. Tugasan itu ternyata memberi cabaran yang besar terutama untuk menguruskan ahli kumpulan yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

"Bagaimanapun, setiap ahli kumpulan memberi kerjasama yang baik dengan mengikuti setiap arahan yang diberikan. Saya dan pasukan juga berjaya menyelesaikan setiap tugasan dengan sempurna," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Abu Bakar turut menyampaikan ceramah tentang kisah kejayaannya dalam perniagaan termasuk menguruskan BMLR.

Kota Mati tumpuan pelancong

Posted:

Kota Mati tumpuan pelancong

Kota Mati tumpuan pelancong


BARISAN nama mereka yang terkorban diabadikan pada sebuah plak.


BERSESUAIAN dengan gelarannya sebagai Kota Mati, perkampungan Oradour-sur-Glane di Haute-Vienne, Perancis menjadi satu-satunya kota memori kekal Perang Dunia Kedua.

Dahulu, ia merupakan sebuah perkampungan yang aman dan sering dihiasi gelak tawa golongan kanak-kanak, tetapi musnah dalam satu malam selepas diserang tanpa sebab oleh tentera Nazi.

Dalam pembunuhan beramai-ramai itu, seramai 642 penduduk kampung termasuk wanita dan kanak-kanak mati sama ada dibakar atau ditembak selain kebanyakan bangunan seperti kediaman, dewan orang ramai dan pusat keagamaan dimusnahkan.

Terletak kira-kira 412 kilometer dari selatan Paris, kebanyakan bangunan di situ menjadi bukti kekal kekejaman Nazi selain realiti perang yang berlaku pada 10 Jun 1944 itu.

Selepas lebih lima dekad kawasan perkampungan itu ditutup, ia dibuka semula kepada pengunjung dan orang awam pada 4 Oktober 2012.

Sebelum itu, bekas Presiden Perancis, Charles de Gaulle bertindak membuka sebuah perkampungan lain berdekatan tapak asal Oradour-sur-Glane.

Alasannya, beliau mahu setiap monumen di Oradour-sur-Glane dikekalkan seperti asal.

Saat menyusuri lorong-lorong diantara bangunan yang wujud, terdapat cerita pengunjung yang meremang bulu roma kononnya roh mangsa yang dibunuh berkeliaran di kawasan itu.


SETIAP tahun Kota Mati berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung dari seluruh dunia.


Kebanyakan keadaan bekas tapak dan monumen bangunan yang musnah masih kekal seperti enam dekad lalu.

Dibunuh

Antara lokasi yang menjadi tarikan ialah gereja perkampungan itu yang menjadi tempat ratusan wanita dan kanak-kanak dikurung sebelum dibunuh.

Lebih menarik, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung yang melawat tapak Oradour-sur-Glane. Pusat Peringatan pula tidak dibuka kepada pengunjung bermula pada pertengahan Disember hingga akhir Januari setiap tahun.

Laman web rasmi http://www.oradour.org yang menyediakan maklumat lengkap mengenai perkampungan tersebut turut menyenaraikan pakej melawat kawasan perkampungan pada waktu malam.

Seramai 300,000 pelancong dari seluruh dunia berjaya dikumpulkan setiap tahun. Malah, pada 4 September lalu, Presiden Jerman, Joachim Gauck berkunjung ke Perancis untuk melawat perkampungan itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved