Jumaat, 8 November 2013

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tragedi genting: Bas dipandu melebihi had laju - Hishammuddin

Posted:

Tragedi genting: Bas dipandu melebihi had laju - Hishammuddin

Tragedi genting: Bas dipandu melebihi had laju - Hishammuddin

08/11/2013 9:55pm

KUALA LUMPUR - Nahas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lepas, yang mengorbankan 37 nyawa manakala 16 lagi cedera, berpunca daripada beberapa faktor antaranya dipandu laju ketika menuruni kawasan berbukit.

Rumusan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu, yang didedah pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media hari ini, menunjukkan bas berkenaan dipandu melebihi 50 kilometer (km) sejam.

Beliau berkata, hasil analisis dan rekonstruksi terhadap kemalangan itu oleh Miros mendapati bas berkenaan dipandu laju semasa menuruni kawasan berbukit yang berselekoh sehingga menyebabkan ia hilang kawalan dan merempuh tembok penghadang sebelum terhumban dan melanggar batu besar di dalam gaung.

"Enam kesan brek ditemui di lokasi kemalangan dan pada kesan brek kelima, ditemui kesan geseran bahagian bawah bas akibat tayar pecah sebelum bas itu melanggar tembok penghadang dalam kelajuan 61.2km sejam," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata faktor penyumbang lain ialah brek tidak cekap berfungsi selain lokasi Truck Escape Ramp (TER) yang terlindung oleh geometri jalan menyukarkan pemandu menggunakan TER untuk mengelak daripada terjatuh ke dalam gaung.

Lorong jalan terlebih lebar iaitu antara 4.2 dan 4.9 meter daripada standard iaitu 3.25 meter menyebabkan pemandu cenderung memandu melebihi had kelajuan dan penggunaan tembok penghadang serta penghadang jalan didapati tidak sesuai sebagai halangan keselamatan di kawasan cerun dan turut menjadi punca kemalangan itu, katanya.

Hishammuddin berkata, kajian Miros juga mendapati implimentasi syarikat bas itu, Genting Highlands Transport Sdn. Bhd. terhadap kod amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran, khususnya berkaitan aspek polisi keselamatan serta sokongan pengurusan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan dan pengurusan laluan dan risiko, adalah sangat tidak memuaskan.

Beliau berkata, Miros bertemu pihak bertanggungjawab dalam melengkapkan kajian itu termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Hospital Kuala Lumpur, Lembaga Getah Malaysia, Puspakom Sdn. Bhd., Genting Malaysia Bhd., Scania (Malaysia) Sdn. Bhd., Bridgestone Tire Sales (Malaysia) Sdn. Bhd. dan pengusaha bas berkenaan.

Justeru, katanya, beberapa langkah segera diambil mulai 1 Disember, termasuk menubuhkan satu seksyen baharu dalam JPJ yang dinamakan Seksyen Profil Pemandu bagi memfokus kepada isu berkaitan pemanduan dan JPJ berkuasa menggantung atau membatalkan lesen memandu.

Hishammuddin berkata, pegawai JPJ dan Puspakom akan ditempatkan di Genting Highlands bagi menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap bas untuk menjamin keselamatannya dari sudut teknikal.

Turut dilaksanakan penguatkuasaan terhadap pemandu bas di Genting Highlands bagi memastikan kesihatan pemandu di tahap baik tanpa pengaruh dadah atau alkohol.

Hishammudin berkata, kementeriannya menubuhkan Panel Penasihat Bebas kepada Menteri Pengangkutan pada 29 Oktober lepas untuk mengkaji semua aspek laporan siasatan oleh setiap agensi terbabit.

Beliau berkata, panel itu diketuai Tan Sri Lee Lam Thye dan dianggotai lima lagi iaitu Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu, Presiden Institusi Jurutera Malaysia, Choo Kok Beng, Presiden Chartered Institut of Logistics and Transport Malaysia, Datuk Abd Radzak Abd Malek, Pakar Jurutera Perunding Mekanikal dan Kenderaan Bertauliah, Datuk Foong Choy Chye dan Pakar Jurutera Perunding Lebuhraya/Juruaudit Keselamatan Jalan Bertauliah, Aik Siaw Kong.

Panel itu akan mengemukakan syor serta penambahbaikan bagi mengelak risiko kemalangan yang sama di Genting Highlands sebelum dibawa kepada jemaah menteri untuk pertimbangan.

"Panel itu juga bertanggungjawab menasihati saya mengenai usaha bagi mempertingkat tahap keselamatan jalan raya di seluruh negara," katanya.

Mengulas pengusaha bas terbabit, Hishammuddin berkata tindakan undang-undang akan diambil termasuk tindakan sivil ke atas pengarah syarikat itu.

Selain itu, pihaknya juga akan mengarahkan operasi bas berkenaan dihentikan. - Bernama

Sambutan rasmi kejayaan Tok Gajah esok

Posted:

Sambutan rasmi kejayaan Tok Gajah esok

Sambutan rasmi kejayaan Tok Gajah esok

08/11/2013 9:11pm

KUANTAN - Sambutan rasmi kejayaan skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia 2013 selepas 21 tahun akan bermula di sekitar bandar sebelum acara kemuncak di Stadium Darul Makmur di sini esok.

Piala berprestij itu akan diarak menaiki bas tanpa bumbung di sekitar bandar Kuantan mulai pukull 5.15 petang.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim berkata, semua pemain kendalian jurulatih Dollah Salleh, kecuali Azamuddin Md Akil dan Razman Roslan yang terlibat dengan latihan skuad kebangsaan, akan menyertai perarakan itu.

"Dua pemain import Matias Ruben Conti dan Damion Delano Stewart akan turut serta, perarakan berkenaan dijadual bermula di Padang Kemunting ke Jalan Mahkota, Jalan Teluk Sisek, Jalan Beserah, Jalan Gambut, Jalan Sekilau, Jalan Tun Ismail.

"Kemudian perarakan akan terus ke Jalan Haji Ahmad, Jalan Lim Hoe Lek, sebelum memasuki ke pusat membeli-belah Capital Mall dan seterusnya ke Stadium Darul Makmur," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di Stadium Darul Makmur, para penyokong skuad Tok Gajah akan turut dihiburkan dengan nyanyian artis tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi Indonesia, Datuk Rossa dan barisan selebriti Raja Lawak seperti Johan, Jepp Sepahtu, Rahim R2 dan Kumpulan Shiro serta pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah.

Pada perlawanan akhir Ahad lepas, Pahang menewaskan juara bertahan Kelantan 1-0. - Bernama

Skuad Harimau Muda A gagal ke final Piala BIDC

Posted:

Skuad Harimau Muda A gagal ke final Piala BIDC

Skuad Harimau Muda A gagal ke final Piala BIDC

08/11/2013 9:09pm

KUALA LUMPUR - Hasrat skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) untuk melangkah ke final Kejohanan Jemputan Piala BIDC di Kemboja tidak kesampaian apabila kalah 1-0 kepada Myanmar pada saingan separuh akhir hari ini.

Thura Aung menjaringkan gol tunggal Myanmar pada minit ke-20 pada perrlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik di Phnom Penh.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan berkenaan membuat perhitungan menentang Thailand pada aksi final selepas skuad Gajah Perang muda itu menundukkan Kemboja 2-1 pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlarutan sehingga masa tambahan.

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh televisyen berbayar Astro Arena itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dan pasukan lawan mempamerkan permainan seimbang dan berusaha menembusi lawan masing-masing.

Kesilapan komunikasi antara pertahanan negara dengan penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan nyata membawa padah apabila Thura Aung bijak menyambar bola sebelum mudah menolak masuk bagi memberikan gol pendahuluan kepada Myanmar.

Bersambung babak kedua, skuad muda negara terus menyerang kubu pasukan Myanmar namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan pasukan lawan.

Myanmar ditimpa malang pada minit ke-51 selepas Chit Min Soe diperintahkan keluar padang oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas pemain negara.

Bagaimanapun, situasi itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak didik Kim Swee. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved