Rabu, 27 November 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Kontroversi makin parah

Posted:

Kontroversi makin parah

Kontroversi makin parah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

NAZRI membuat 'pusingan U' selepas menandatangani kontrak persefahaman dengan Selangor.


KONTROVERSI membabitkan kes bekas pemain pertahanan Johor Darul Takzim, Nazri Ahmad dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semakin parah.

FAS telah membawa kes tersebut ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan selanjutnya.

Biarpun mendapatkan 'permintaan' untuk menyelesaikannya di luar 'mahkamah' FAM tetapi FAS kekal pendirian untuk membawa kes bekas pemain Johor DT itu ke muka pengadilan.

Nazri telah mencetuskan kontroversi apabila didakwa melanggar kontrak FAS selepas dia menandatangani perjanjian untuk menyertai pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, tetapi sebaliknya membuat 'pusingan U' untuk menyertai Kelantan.

Perkhabaran itu diketahui sebaik Nazri diperkenalkan oleh penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sebagai pemain baharu The Red Warriors di Wisma Majlis Amanah Raya (MARA), kelmarin.

Justeru, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad (gambar kecil) tidak mahu lagi imej dan kredibiliti FAS tercalar dengan situasi seperti itu selepas turut 'dipermainkan' oleh Mohd. Safee Sali sebelum ini.

Berbeza dengan kes Nazri, Safee sekadar bersetuju menerusi perjanjian lisan untuk menyertai Selangor dan kes itu selesai sejurus pihak Johor DT juga bersetuju membayar semula pampasan kepada FAS.

Mengulas lanjut, Mokhtar mendedahkan, FAS memiliki bukti iaitu perjanjian kontrak itu telah pun ditandatangani pemain berusia 23 tahun.

"Saya ada bukti di tangan saya yang mana kontrak perjanjian yang ditandatangani oleh pemain itu sendiri (Nazri). Kita boleh tahu siapa yang tipu nanti.

"Saya tidak tahu jika ada sesetengah pihak mendakwa Nazri hanya bersetuju secara lisan untuk menyertai Selangor tetapi secara realitinya, dia telah mengikat kontrak dengan FAS.

"Jadi, satu perbuatan yang tidak bermoral apabila seorang pemain yang sudah menandatangani kontrak tetapi membuat 'pusingan U' dengan menyertai pasukan lain.

"Saya menghormati pandangan (Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM), Datuk Takiyuddin Hassan yang memberikan saranan supaya menyelesaikan kes ini dengan lebih berhemah.

"Namun di mata FAS, pemain seperti ini perlu diberikan pengajaran bahawa dia tidak sesekali memandang ringan berhubung isu kontrak dan FAS tetap akan membawa kes ini kepada FAM demi keadilan," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, Takiyuddin mengesahkan mana-mana pemain yang didapati bersalah melanggar kontrak boleh menerima hukuman paling maksimum iaitu digantung perlawanan untuk satu musim.

Tambah Mokhtar, beliau menyeru kepada pihak FAM agar melaksanakan atau menggubal peraturan perpindahan lebih ketat bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang.

"Kalau begini sikap pemain, maka mudahlah mana-mana pasukan membeli pemain. Sikap inilah harus kita kikis dan saya berharap FAM dapat melakukan sesuatu untuk menghalang pemain-pemain yang telah menandatangani kontrak, berhijrah ke pasukan lain.

"Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu kes Nazri ini dijadikan sebagai pengajaran kepada pemain-pemain lain agar jangan sesekali membuat 'pusingan U' selepas menandatangani kontrak," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima aduan mengenai kes berkenaan.

Jelas Hamidin, perkara itu bakal dirujuk kepada Jawatankuasa Status Pemain yang diketuai Datuk Takiyuddin Hassan untuk tindakan lanjut.

Thien How-Wee Kiong lepasi halangan pertama Terbuka Macau

Posted:

Thien How-Wee Kiong lepasi halangan pertama Terbuka Macau

Thien How-Wee Kiong lepasi halangan pertama Terbuka Macau


THIEN How (belakang) dan Wee Kiong meneruskan kemaraan selepas melepasi halangan pada pusingan pertama Terbuka Macau semalam.


BEREGU lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong mudah mengesahkan slot pusingan kedua Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau 2013 selepas menewaskan beregu Hong Kong, Chan Dick Long-Or Chin Chung 21-19, 21-13 semalam.

Thien How-Wee Kiong akan bertemu beregu senegara, Chooi Kah Ming-Teo Ee Yi yang turut mencatatkan kemenangan 23-21,22-20 ke atas Chen Zhuofu-Kai Lu dari China.

Turut mara ialah Lim Khim Wah-Ow Yao Han selepas beregu baharu negara itu menumpaskan pasangan Hong Kong, Chan Yun Lung-Lee Chun Hei 21-15, 13-21, 21-15.

Begitupun, Goh V Shem-Teo Kok Siang tumpas pada pusingan pertama kepada beregu China, Huang Kaixiang-Zheng Si Wei 11-21, 15-21.

Dalam aksi perseorangan lelaki pula, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang mudah mengetepikan rakan senegara, Ikmal Hussai Jaafar 21-7, 21-6.

Kemaraan yang sama turut dilakar oleh dua lagi pemain negara, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chun Seang.

Zulfadli menyingkirkan pemain tuan rumah, Wan Wai Chi 21-4, 21-9 manakala Chun Seang mengalahkan seorang lagi pemain kebangsaan, Kuan Beng Hong 21-19, 21-18.

Sementara itu, beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei mara selepas menewaskan pasangan Thailand, Phataimas Muenwong-Kilasu Ostermeyer 21-15, 21-12.

Bagaimanapun, beregu kedua, Lee Meng Yean-Lim Yin Loo yang tewas kepada Taiwan, Cheng Wen Hsing-Hsieh Pei Chen 17-21, 17-21 pada pusingan pertama.

Skrip yang sama dilakarkan dalam beregu campuran apabila hanya Tan Aik Quan-Lai Pei Jing yang melangkah ke pusingan kedua, namun Ong Jian Guo-Lim Yin Loo ditunjukkan jalan keluar.

Aik Quan-Pei Jing mara selepas menewaskan beregu Taiwan, Lin Chia Yu-Wang Rong Pei 21-16, 12-21, 21-17, manakala Jian Guo-Pei Jing tumbang kepada Chen Hung Ling-Lee Chia Hsin (Taiwan) 18-21, 11-21.

Ahmad Said kecewa

Posted:

Ahmad Said kecewa

Ahmad Said kecewa

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) kecewa dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengetepikan Terengganu sebagai penganjur beberapa acara sukan utama khususnya lumba basikal ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Beliau berkata, kementerian berkenaan tidak sepatutnya mengambil keputusan terburu-buru sehingga mengecewakan harapan Terengganu.

"Terengganu memang diketahui mempunyai ramai atlet mewakili negara. Bahkan, ketika ini terdapat seramai 65 atlet kelahiran Terengganu yang bakal beraksi mewakili Malaysia dalam pelbagai acara sukan khususnya lumba basikal dan kenu.

"Kadang-kadang, dia orang (KBS) buat keputusan tergesa-gesa dan terburu-buru. Sedangkan Terengganu berjaya melahirkan ramai atlet khususnya dalam lumba basikal, kenu dan sukan lain. Sepatutnya KBS pertimbangkan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad mengulas keputusan kementerian berkenaan yang memberikan hak penganjuran beberapa acara sukan kepada negeri lain iaitu Negeri Sembilan dan Johor pada Sukan SEA 2017 yang menyaksikan Malaysia bakal menjadi tuan rumah.

Ahmad juga memutuskan bahawa Terengganu akan menarik diri daripada sebarang penganjuran peringkat akhir Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

"Kita benar-benar kecewa, jadi kita akan tarik diri menjadi tuan rumah LTdL. Kita tak akan sediakan tajaan. Tahun lepas kita taja RM2 juta, maknanya tiada lagi penajaan sebanyak itu untuk tahun ini.

"Kita berlembut dengan orang kalau orang berlembut dengan kita, tapi kalau orang dah tak hirau, begitu juga kita," katanya.

Beliau turut terkilan dengan tindakan KBS yang seolah-olah tidak menghargai sumbangan Terengganu melahirkan ramai atlet yang telah mengharumkan nama negara.

Mengenai penganjuran Piala Monsun pula, beliau berkata, terserah kepada pihak penganjur untuk meneruskan kejohanan itu di Terengganu atau negeri lain.

"Terengganu mempunyai kemudahan dan kelengkapan mencukupi bagi menganjurkan kejohanan itu pada masa akan datang.

"Terpulang pada penganjur, kita ada kemudahan yang cukup untuk menganjurkannya, kalau buat di tempat lain, perlu ada kemudahan lain," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved