Jumaat, 1 November 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Pil perancang bawa faedah

Posted:

Pil perancang bawa faedah

Pil perancang bawa faedah

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

SEBELUM ini, pelbagai kisah negatif didengari Rohani Ilyas tentang pengambilan pil perancang. Ada yang mengatakan, pil perancang menyebabkan kanser payudara, pertambahan berat badan dan jerawat.

Bagaimanapun, wanita berusia 28 tahun itu bertindak bijak apabila berjumpa dan meminta nasihat daripada doktor sakit puan berhubung perkara tersebut.

Sehingga kini, ibu kepada sepasang anak kembar itu telah menggunakan pil perancang selama setahun tanpa menghadapi risiko kesihatan.

"Selepas mendapat khidmat nasihat daripada doktor dan penjelasan tentang pil perancang oral gabungan (COC), saya memutuskan untuk menggunakannya.

"Doktor memberitahu saya bahawa pil perancang ini tidak mendatangkan kesan negatif," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Rohani mengambil pil perancang bagi merancang kelahiran anak, sekali gus dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada sepasang anak kembarnya.

"Saya mahu mereka membesar dulu selain pandai menguruskan diri sendiri. Pengambilan pil perancang merupakan usaha saya untuk memastikan perkara tersebut dapat dicapai.

"Selain itu, ia dapat menjamin kesejahteraan rumah tangga saya dan anak-anak tidak terabai," katanya lagi.

Situasi yang dihadapi Rohani dialami kebanyakan wanita di negara ini yang bimbang pengambilan pil COC mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Bagaimanapun, pil perancang telah disahkan tidak memberikan kesan sampingan, sebaliknya ia mengandungi kandungan semula jadi yang mampu memberi kebaikan kepada tubuh manusia.

Menurut Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. K.K. Iswaran, pil COC telah dihasilkan bersesuaian dengan kitaran hormon tubuh badan manusia.

"Pil ini mengandungi dua hormon wanita sintetik iaitu hormon progestron dan estrogen yang berperanan untuk mencegah kehamilan.


PENGGUNAAN pil perancang membolehkan wanita merancang jarak kelahiran anak mereka. - Gambar hiasan


"Selain itu, pil COC ini mempunyai faedah kesihatan yang banyak berbanding kesan sampingan yang minimum.

"Pil COC ini dapat membantu meredakan senggugut, mengurangkan gangguan emosi, kanser ovari, endometrium dan merawat masalah jerawat," katanya pada satu sidang akhbar mengenai pengambilan pil perancang di Hotel Hilton, Petaling Jaya baru-baru ini.

Jelasnya, di negara maju, pil COC digunakan untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid seperti kitaran haid tidak menentu, endrometriosis dan sindrom prahaid (PMS).

Dalam pada itu, Ahli Majlis Perancang Keluarga Asia Pasifik, Prof. Dr. Jamiyah Hassan berkata, kajian mengenai pil COC sebagai punca kanser payudara sudah lama diperdebatkan, namun ia tidak mempunyai keputusan yang mantap.

"Isu tentang kesan sampingan pil COC menyebabkan kanser payudara sudah lama dibincangkan oleh pihak-pihak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, tiada keputusan yang mengatakan pil COC menjadi penyebab penyakit ini dan tidak ada pula yang menafikannya," katanya.

Menurut satu kajian yang jalankan oleh Women's Contraceptive and Reproductive Experience antara 1994 dan 1998, pil COC tidak menyebabkan peningkatan risiko kanser payudara.

Seseorang berisiko mengalami kanser payudara sekiranya dia pembawa genetik BRCA1 dan BRCA2.

"Selain itu, mereka yang mempunyai saudara-mara yang menghidap penyakit kanser ovari juga berisiko tinggi menghidapi kanser payudara," katanya.


SEMPENA Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.


Jamiyah berkata, individu yang mempunyai masalah tersebut berkemungkinan menjadi penyumbang ralat dalam kajian pengambilan pil COC.

"Ini kerana, katanya, mereka tidak mengetahui genetik yang dibawa atau sejarah penyakit kanser payudara dalam kalangan keluarga masing-masing.

"Seseorang penghidap kanser payudara mungkin memberitahu doktor yang dia mendapat penyakit itu selepas mengambil pil COC tanpa mengetahui ahli keluarga terdekatnya mempunyai sejarah kanser payudara," jelasnya.

Sempena Hari Kontraseptif Sedunia, anak syarikat Chemo Group yang merupakan bahagian penjagaan kesihatan sepadu, Exeltis Pharma baru-baru ini mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.

Keputusan kajian menunjukkan penggunaan pil COC di Malaysia masih lagi rendah iaitu kurang daripada empat peratus dalam kalangan wanita lingkungan umur 15 hingga 49 tahun.

Pakar penjagaan kesihatan mendapati bahawa pil COC drospirenone mewakili standard tertinggi terapi hormon wanita kerana keberkesanannya dan selamat digunakan.

Bagaimanapun, kos pil COC drospirenone dikatakan menjadi faktor utama yang mengehadkan pilihan wanita Malaysia untuk menggunakannnya.

Dalam pada itu, walaupun Malaysia antara negara paling rendah menggunakan pil COC, kajian menunjukkan yang jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon meningkat kepada 12 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

MENURUT Dr. Jamiyah Hassan, sehingga kini tiada kajian kukuh yang mengatakan pil perancang boleh menyebabkan kanser payudara.


Menurut Pengarah Urusan Farmasi Exeltis Malaysia dan Singapura, Andy Siow, peningkatan tersebut disebabkan oleh kehidupan seks yang aktif dan kesedaran tentang pencegahan kehamilan dalam kalangan wanita Malaysia.

Berdasarkan peningkatan tersebut, seorang daripada tiga wanita diberikan pil COC untuk merawat keadaan kesihatan termasuk pencegahan kehamilan, masalah haid, jerawat dan endometriosis.

Tambahnya, selain menjalankan kajian, sempena Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma turut memperkenalkan risalah pendidikan kepada pesakit.

"Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang faedah kesihatan tambahan pil COC dan menggalakkan wanita Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan diri mereka.

"Exeltis Pharma sendiri menawarkan tiga pil COC yang mengandungi drospirenone untuk memenuhi keperluan wanita yang berbeza-beza. Pada masa tertentu, kami juga memberikannya pada kos yang berpatutan dan mampu dimiliki.

"Bagaimanapun, golongan wanita disarankan mendapatkan saranan daripada doktor terlebih dulu kerana setiap individu memerlukan jenis pil yang berbeza," katanya yang memberitahu, risalah tersebut diedarkan di klinik, hospital, farmasi dan institusi pengajian tinggi.

Meraikan kemeriahan Deepavali

Posted:

Meraikan kemeriahan Deepavali

Meraikan kemeriahan Deepavali

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


PENGUNJUNG di Pavilion Kuala Lumpur disajikan dengan persembahan tradisonal masyarakat India yang penuh warna-warni.


PALUAN padu gendang dholak dan chimta yang dimainkan oleh sekumpulan penghibur keturunan Sikh menukarkan suasana sibuk di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur menjadi seakan-akan sebuah perkampungan yang meriah meraikan suatu berita gembira.

Rentak itu dijulang dengan laungan "Hoi! Hoi! Hoi!" yang menggambarkan kebahagiaan dalam tarian Bangra.

Penari-penari wanita dan lelaki pula tidak jemu menguntum senyuman sambil menggerakkan badan mereka mengikut rentak irama yang penuh semangat dan mengujakan.

Sebagai pelengkap, persembahan itu menampilkan pakaian dan aksesori tradisional yang menarik dan penuh warna-warni.

Rata-rata para pelancong yang datang bertandang ke negara ini ternyata terpukau dengan kekayaan budaya Malaysia apabila mereka tidak melepaskan peluang merakamkan detik tersebut menggunakan peralatan elektronik masing-masing.

Dalam pada itu, suasana menjadi semakin gamat apabila seorang demi seorang pengunjung ditarik untuk menari bersama-sama dan merasai kegembiraan sambutan itu.

Seorang pengunjung pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, Nur Akmal Hashim, 26, memberitahu, dia terkejut, namun teruja apabila ditarik untuk menyertai tarian masyarakat India.

"Saya sangat terkejut apabila ditarik untuk menari bersama-sama mereka (penari) tetapi pada masa yang sama berasa sangat teruja kerana ini adalah pengalaman pertama saya menyertai tarian masyarakat India," katanya.

ORANG ramai berpeluang menyalakan pelita dan meletakkannya di atas kolam.


Kolam kontemporari

Acara yang bertemakan Shine a Light on Style itu telah dianjurkan oleh Pavilion Kuala Lumpur bagi meraikan warna-warni perayaan Deepavali yang akan disambut esok.

Sambutan Deepavali tentunya tidak lengkap tanpa kehadiran kolam-kolam indah di pintu masuk utama suatu kediaman atau bangunan. Kolam merupakan satu bentuk seni yang menggunakan tepung beras, beras atau sagu yang dipercayai membawa kesejahteraan terhadap kediaman itu.

Di Pavilion Kuala Lumpur, pihak penganjur telah menyediakan empat rekaan kolam unik dengan rekaan kontemporari yang memaparkan gandingan gaya fesyen, wangian mewah, keenakan manisan dan haruman rempah ratus bagi menarik perhatian pengunjung kepada kepelbagaian dan kekayaan budaya masyarakat India.

Kolam Chic Bergaya dihiasi dengan butang dan manik, jelas melambangkan gaya, fesyen dan sifat elegan manakala a Kolam Haruman Membelai menampilkan lilin-lilin wangi dan mewah.

Selain itu, Kolam Rempah dan Gaya terdiri daripada pelbagai rempah-ratus yang merupakan ramuan asas dalam hidangan masyarakat India dan Kolam Manisan Lazat menampilkan kepelbagaian manisan yang menggambarkan sifat positif, terang dan warna-warni kehidupan.

Menurut Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur, Kung Suan Ai, acara sambutan perayaan Deepavali itu ia akan terus disambut pada 3 November ini.

"Kami akan meneruskan sambutan Deepavali ini dengan persembahan tarian kontemporari Dandirass dan Karagattam di Pintu Masuk Utama Bukit Bintang Pavilion Kuala Lumpur pada hari itu," katanya.

Selain daripada itu, sehingga 3 November ini (Ahad), pelanggan berpeluang menerima barangan eksklusif Gift to Style untuk setiap resit pembelian bernilai RM300 dan ke atas.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sosial Facebook PavilionKL dan Twitter Pavilion KL.

Jadilah jiran yang memuliakan tetangga

Posted:

Jadilah jiran yang memuliakan tetangga

Jadilah jiran yang memuliakan tetangga


SIKAP bantu-membantu dapat menyuburkan semangat kejiranan. - Gambar hiasan


BERADA di Madinah merupakan suatu nikmat. Namun, beramal ibadat di dalam Masjid Nabawi yang hanya terdapat di kota bercahaya ini suatu nikmat lain.

Ia tidak datang serentak. Saya sering berpesan kepada jemaah haji atau umrah perkara yang sama. Mereka boleh datang beberapa kali ke Madinah atau Mekah tetapi belum tentu lagi mereka dapat merasai nikmat berada di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.

Ia ternyata pengalaman jelas, setelah kami bermukim lebih dua tahun di sini. Jemaah haji dan umrah secara purata berada antara empat atau lima jam di dalam masjid dan selebihnya dihabiskan di hotel, berehat-rehat atau membeli-belah.

Begitulah, setiap kali kami pulang bercuti dan kembali semula ke Madinah, maka Masjid Nabawilah tempat yang kami tuju.

Jarum jam sudah tidak berfungsi. Pagi atau petang, malam atau siang, sejurus meletakkan bagasi, kami akan terus ke masjid untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, insya-Allah.

Itulah tanda kami mengucapkan syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan peluang untuk berada di sini. Nanti, bila kami perlu pulang ke Malaysia, kami berharap tiada rasa kesal dan gelisah kerana tidak merebut peluang yang tersedia.

Ia agak normal untuk merasai kehilangan apabila apa yang ada di genggaman terlepas pergi. Ia kelihatan tidak berharga apabila ia mudah dan senang diperoleh.

Jiran tetangga

Masya-Allah, Subhanallah, Allahuakbar. Minggu ini saya ingin mencatatkan satu elemen yang memberikan kedamaian di hati. Di mana pun kita tinggal, terdapat perkara seiras yang perlu kita tempuhi. Misalnya, jiran tetangga.

Mereka merupakan kehidupan bernyawa yang mempunyai hati dan perasaan. Lalu itulah ujian berjiran yang paling besar. Tersentuh hati, mati. Tersentuh rasa, binasa kerana kebiasaannya, itulah tempat tinggal bersama, menunggu masa dipanggil pulang jika kediaman itu merupakan hak sendiri.

Allah ya Allah, dalam keadaan biasa, jiran tetangga boleh menjadi seperti sanak saudara rapat yang sentiasa dirindui. Ia juga boleh menjadi musuh paling ketat yang sangat dibenci.

Namun, Islam melihat jiran tetangga sebagai isu besar yang perlu difahami. Baginda SAW pernah bersabda melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Maksudnya: "Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah mereka memuliakan jiran tetangganya."

Itulah tahap hubungan yang perlu terjalin. Maksudnya, ia melibatkan hati dan perasaan. Mereka yang memuliakan tetamu, tentu sekali mempunyai hati yang bersih. Lalu lahirlah perasaan damai yang bukan boleh dipaksa-paksa.


JIRAN yang baik sentiasa menjaga hubungan dengan jiran yang lain. - Gambar hiasan


Asas kepada memuliakan jiran tetangga kelihatan sangat mudah. Pertama, kita mahu bertemu mereka semula di syurga Firdaus. Natijahnya, perlumbaan kehidupan di dunia tidak membawa sebarang kebaikan.

Perasaan dengki, cemburu, iri hati atau berdendam bukanlah suatu sifat yang memuliakan jiran tetangga. Apa yang mereka miliki merupakan anugerah Allah SWT. Usah berduka atas sebab tersebut. Ia tidak membawa kita ke mana-mana.

Jika kita pula mempunyai pelbagai kelebihan sama ada harta atau ilmu, maka ia juga merupakan milik Allah SWT. Bersifat merendah diri dan saling bantu-membantu tidak akan merugikan. Agak saya begitu.

Kedua, kita boleh memuliakan jiran tetangga dalam diam. Saya sering menganjurkan agar mereka yang hampir termasuk jiran tetangga dimasukkan dalam senarai doa yang dipanjatkan kepada-Nya.

Jika jiran tetangga bukan kaki masjid, maka tidak usahlah membawa cerita kepada kaum keluarga yang datang bertandang ke rumah.

Tidak perlulah berasa gembira dengan menghebohkan kekurangan mereka. Kemuliaan kita yang suka ke masjid tentunya menjadi lebih hebat dengan mendoakan mereka pada sepertiga malam tersisa agar sama-sama menunaikan solat jemaah di rumah-Nya.

Berhati mulia

Itulah konsep memuliakan jiran tetangga yang paling mudah untuk diamalkan. Kami juga mempunyai jiran tetangga. Jiran paling hampir adalah sebelah pintu berbangsa Arab. Mereka masih muda berumur sekitar 30-an dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun.

Jauh, sebelum berhijrah saya mendengar khabar betapa orang-orang Arab sangat sukar bercampur dengan orang luar. Mereka dikatakan mempunyai persepsi tertentu yang menghalang untuk menjalin hubungan.

Entah, saya sendiri tidak dapat memahaminya. Namun, dengan maklumat yang terbatas inilah saya memohon kepada-Nya agar hati kami sekeluarga tenang apabila sampai di Madinah.

Malah, kami memohon secara spesifik agar ditemukan dengan jiran tetangga yang bersifat mulia. Ia doa yang tidak henti-henti.

Alhamdulillah. Itulah yang dimakbulkan Allah SWT. Mereka sangat baik hati. Acapkali mereka menghantar makanan ke rumah apabila melihat kami terlalu kerap menerima tetamu. Mereka tahu saya meraikan jemaah haji.

Malah, setiap kali mahu pulang ke kampung halaman, seisi peti sejuk mereka diserahkan kepada kami sekeluarga. Hubungan kami ibarat keluarga yang hampir.

Benar, jiran tetangga yang mulia akan mendamaikan hati. Namun, janganlah menunggu mereka menjadi jiran yang baik. Biar ia bermula dari kita. Insya-Allah, nanti kita berkumpul semula di Firdaus.

Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved