Selasa, 5 November 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Pengajaran maya Frog VLE

Posted:

Pengajaran maya Frog VLE

Pengajaran maya Frog VLE

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

MOHD. HANIFF HAFISZAL SEMAN, 33, berjalan mundar-mandir di sekeliling bilik makmal komputer yang terletak di tingkat dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), Putrajaya. Sesekali matanya liar memerhatikan gerak-geri pelajar-pelajar tahun tiga Alfa yang leka mengadap komputer masing-masing.

Mereka tampak begitu fokus, mungkin sedang gigih memerah otak menyelesaikan beberapa latihan matematik yang diberikannya sebentar tadi.

"Kelas, kamu semua ada 15 minit lagi. Pastikan semua soalan dijawab dengan sempurna dan disemak sebelum dihantar. Sesiapa mempunyai masalah, sila angkat tangan nanti cikgu akan bantu kamu," katanya sambil melihat jam tangan yang dipakainya.

Lazimnya, begitulah kaedah pengajaran yang dipraktikkannya sejak setahun yang lalu.

Selepas menerangkan sesuatu konsep seperti yang ditetapkan dalam silibus, dia akan memberikan latihan kepada pelajar untuk meningkatkan kefahaman mereka.

Menariknya, Mohd. Haniff Hafiszal tidak menggunakan kaedah pengajaran konvensional di bilik darjah, sebaliknya selesa mengajar dengan bantuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi sistem pembelajaran maya, Frog VLE.

"Melalui sistem ini, kaedah pengajaran bukan sahaja menjadi mudah dan pantas malah lebih interaktif.

"Semua bahan pengajaran juga boleh diakses melalui satu pangkalan data membolehkan guru dan pelajar berkongsi maklumat yang sama," ujarnya yang sudah tujuh tahun bergelar pendidik.

SK Putrajaya Persint 8(1) merupakan salah satu daripada 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di negara ini yang mengguna pakai aplikasi Frog VLE.

Diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama YTL Communications menerusi projek 1BestariNet sejak awal tahun lalu, sistem yang dibangunkan di United Kindom itu membolehkan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah dan lancar.


PENGGUNAAN Frog VLE menjadikan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah serta lancar.


Menerusinya juga, semua sekolah bakal dilengkapi akses internet berkelajuan tinggi 4G, platform pembelajaran bertaraf dunia dan akses kepada sumber dan teknologi sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.

Berasaskan web

Pengarah Eksekutif Frog Asia Sdn. Bhd., Yeoh Pei Lou berkata, Frog VLE adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Katanya, melalui sistem itu pendidikan tidak lagi terbatas dalam bilik darjah sahaja sebaliknya boleh dilakukan di mana jua, pada bila-bila masa.

"Sistem ini membenarkan pelajar dan guru untuk menghasilkan dan mengakses sebuah tapak pembelajaran secara dalam talian. Ia membolehkan mereka memperoleh hampir semua maklumat di internet seperti video, gambar, sumber pendidikan dan membinanya menjadi sebuah laman yang menarik tanpa memerlukan sebarang kepakaran teknikal.

"Apa yang lebih penting, limpahan sumber pengajaran dan aplikasi hebat yang ditawarkan itu adalah selamat dan telah ditapis," katanya kepada Kosmo!

Mengulas lanjut, Pei Lou berkata, sistem itu menggunakan platform Google Cloud yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi Google seperti Google Email, Google Drive dan sebagainya.

Pada masa yang sama, katanya, platform itu juga menawarkan bahan pengajaran berkualiti secara percuma seperti Khan Academy, Ted Education, National Georgaphic dan British Council selain apa yang disediakan oleh KPM.

"Ini akan memberi kelebihan kepada para guru untuk mencari bahan-bahan pengajaran yang sesuai dengan minat dan kemampuan pelajar mereka.

"Pada masa sama, mereka juga boleh menghasilkan bahan pengajaran sendiri dan berkongsi bersama guru lain di sekolah atau di seluruh negara," ujarnya.


PEMBELAJARAN secara interaktif melalui Frog VLE mampu meningkatkan minat dan kefahaman pelajar terhadap sesuatu subjek.


Jelas Pei Lou, syarikat itu tidak sekadar menyediakan platform Frog VLE malah bertanggungjawab memastikan sistem itu dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

"Fasa-fasa akhir kini giat dilaksanakan termasuk menyediakan rangkaian internet berkelajuan tinggi di samping merangka sistem latihan dalam kalangan mereka yang terlibat di semua peringkat.

"Sebanyak 351 buah sekolah telah dipilih di bawah Program Sekolah Champion dan telah diberi bimbingan mengenai penggunaan Frog VLE secara komprehensif. Pada masa sama, kami turut melatih lebih 671 kakitangan di kementerian bagi tujuan yang sama," katanya.

Kelebihan

Sementara itu, Tan Mui Meng, Ketua Panitia Bahasa Cina di sekolah itu berkata, sistem itu memberi kelebihan kepada semua pihak sama ada dalam kalangan pentadbir, para guru, pelajar dan ibu bapa.

Ujarnya, melalui sistem itu, semua maklumat dalam buku teks termasuk latihan dan kerja sekolah akan disimpan dalam satu pangkalan data.

"Ia dapat mengurangkan jumlah buku teks yang perlu dibawa oleh pelajar ke sekolah dan jumlah buku latihan yang perlu ditanda oleh guru setiap hari kerana peranan itu telah diambil alih oleh komputer.

"Dengan ini, guru dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajar serta merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.

"Sementara itu, ibu bapa pula bukan sahaja dapat memantau perkembangan anak-anak mereka malah dapat mengetahui acara-acara di sekolah menerusi ruang kalendar, papan notis sekolah dan sebagainya melalui laman yang tersedia," katanya.

Mudah

Bagi Tengku Amirah Zahiyah Tengku Amir Zakri, 10, pada mulanya dia sendiri agak kekok belajar menggunakan sistem itu namun semuanya menjadi mudah selepas mencubanya beberapa kali.

Katanya, penggunaan sistem pembelajaran maya membolehkannya berinteraksi atau bertanya soalan dengan guru biarpun selepas sesi persekolahan tamat.

"Sistem Frog VLE tidak sekadar boleh digunakan di sekolah semata-mata sebaliknya di mana-mana sahaja asalkan ia mempunyai kemudahan capaian internet," katanya.


SISTEM Frog VLE membolehkan guru memberi lebih tumpuan kepada para pelajar.


Ujarnya, sistem itu juga menarik minatnya untuk belajar sesuatu subjek kerana bahan pengajaran yang disediakan berorientasikan pelbagai sumber dan bersifat interaktif.

"Pelajar mempunyai kebebasan membuat rujukan dan ulang kaji sehingga benar-benar faham mengenai subjek dipelajari biarpun tanpa bantuan guru. Ia menjadikan mereka lebih berdikari.

"Saya sendiri turut merasai kesan positif daripada Frog VLE. Jika sebelum ini purata markah bagi subjek matematik ialah sekitar 80 peratus, kini ia telah meningkat lebih 90 peratus dalam tempoh kurang setahun," katanya tersenyum.

Rakannya, Wan Syamirul Azhan Shahrul Azman, 10, berkata, selain pembelajaran melalui nota dan video, pelajar juga boleh menjawab soalan kuiz, latihan, mendapatkan contoh soalan peperiksaan malah dapat mencuba permainan di akhir topik.

"Ia merupakan alternatif kepada kaedah pengajaran konvensional yang lazim berpusat di bilik darjah dan buku teks. Menerusi sistem ini pelajar bukan sahaja lebih tertarik untuk belajar, malah pada masa yang sama berpeluang meneroka ilmu lain yang terkandung di dalamnya," jelasnya.

Racun sianida 'pembunuh' hidupan liar

Posted:

Racun sianida 'pembunuh' hidupan liar

Racun sianida 'pembunuh' hidupan liar


SEORANG pekerja Taman Negara Hwange memeriksa bangkai gajah yang mati akibat keracunan.


LEBIH 80 ekor gajah ditemui mati selepas meminum sumber air yang dicemari oleh racun sianida. Ia merupakan jumlah kematian terbesar pernah dicatatkan di Taman Negara Hwange, Zimbabwe.

Menteri Alam Sekitar, Saviour Kasukuwere berkata, gajah-gajah tersebut ditemui mati sejak beberapa minggu lalu. Pihak sekuriti taman tersebut tidak berada di lokasi kerana sibuk dengan pilihan raya umum pada 31 Julai lepas.

"Kami mengisytiharkan perang secara besar-besaran terhadap pemburu-pemburu haram tersebut. Aktiviti tersebut telah memusnahkan khazanah alam yang menjadi kebanggaan rakyat Zimbabwe," ujarnya.

Sianida ialah garam tak organik yang sangat beracun dan mengandungi ion sianida. Dalam satu serbuan pihak polis dan renjer menemui 19 gading, sianida dan jerat selepas melakukan serbuan di kampung-kampung berdekatan.

Sehingga Julai lepas, dicatatkan sebanyak 300 ekor gajah dan beberapa haiwan ditemui mati yang berpunca daripada aktiviti pemburuan haram.

"Kematian tersebut berpunca daripada racun sianida yang diletakkan oleh pemburu haram," ujar Pengerusi Pasukan Petugas Pemuliharaan Zimbabwe, Johnny Rodrigues.

Dia menambah, beberapa spesies haiwan yang turut terkorban ialah singa, burung hering, anjing hutan dan dubuk.

"Pihak berkuasa hanya mengambil tindakan pada bulan September," ujarnya. Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai jumlah sebenar kematian haiwan-haiwan itu.

Pihak berkuasa taman dan hidupan liar menyatakan, empat orang pemburu telah ditangkap dan dikenakan hukuman sekurang-kurang 15 tahun penjara atas setiap kesalahan yang dilakukan.


PENGUNJUNG Taman Negara Hwange melihat dari jauh hidupan liar yang terdapat di situ.


Rasuah

Rodrigues menuduh pihak berkuasa tidak mengenakan tindakan yang sepatutnya malah menerima rasuah daripada pemburu-pemburu haram tersebut.

"Masalah yang berlaku di sini ialah banyak kes telah disembunyikan tanpa sebarang tangkapan.

"Mereka yang ditangkap merupakan kambing hitam kepada penjenayah yang lebih besar. Terdapat dalang yang tidak disentuh dan tidak dikenakan sebarang tindakan kerana sebilangan besar kumpulan tersebut merupakan ahli politik dan ahli perniagaan," kata Rodrigues.

Pihak polis memberi masa sehingga penghujung bulan Oktober kepada penduduk kampung sekitar taman tersebut untuk menyerahkan racun sianida yang dimiliki mereka atau penangkapan besar-besaran akan dilakukan.

Namun begitu, ketua-ketua kampung meminta pihak berkuasa untuk melepaskan pemburu-pemburu haram yang telah ditangkap. Mereka memberitahu, sebilangan pemburu yang melakukan aktiviti tersebut adalah disebabkan desakan kemiskinan bukan kerana ketamakan.

Hanya terdapat 50 orang penjaga mengawasi Taman Negara Hwange yang berkeluasan 14,650 kilometer persegi. Menurut petugas hidupan liar, ia memerlukan lima kali ganda penjaga untuk berada di taman tersebut. Setakat ini, taman itu mempunyai 120,000 ekor gajah yang hidup dalam habitat asal.

Gading gajah dan bahagian-bahagian lain mempunyai permintaan yang tinggi dari Asia dan Asia Barat untuk dijadikan sebagai perhiasan, azimat dan perubatan tradisional.

Perdagangan antarabangsa gading telah diharamkan pada tahun 1989 selepas populasi gajah di Afrika jatuh mendadak. Pada pertengahan abad ke-20 terdapat sejuta gajah di Afrika dan pada penghujung tahun 1980-an hanya tinggal 600,000 ekor.

Para pakar hidupan liar menjangka aktiviti perdagangan itu mencatatkan jumlah keuntungan sebanyak AS$10 bilion (RM31.72 bilion) setahun.

Telefon pintar lebih praktikal

Posted:

Telefon pintar lebih praktikal

Telefon pintar lebih praktikal


WALAUPUN hanya bersaiz 10.9 sentimeter, telefon pintar HTC One Mini padat dengan teknologi terkini yang menarik.


SYARIKAT pengeluar alat telekomunikasi, HTC memperkenalkan produk terbaharu iaitu HTC One mini yang merupakan edisi kompak bagi telefon mudah alih HTC One.

Ia dipertingkatkan dengan beberapa teknologi terkini seperti HTC BlinkFeed, HTC Zoe dan HTC BoomSound yang memberi kelebihan berbanding produk-produk terdahulu.

HTC One mini mempunyai keluasan 10.9 sentimeter yang dilengkapi dengan skrin definisi tinggi 729 piksel. Ia dikeluarkan dengan dua warna pilihan iaitu Glacial Silver dan Stealth Black dengan permukaan aluminium yang mudah digenggam dalam tapak tangan.

Revolusi sistem bunyi yang hebat pada HTC One turut dilengkapkan dalam produk baharu tersebut. Pengguna akan mengalami alunan bunyi yang berkualiti ketika mendengar muzik atau bermain permainan video. Ia merupakan integrasi daripada sistem Beats Audio yang membawa muzik ke aras yang lebih baik.

Aplikasi HTC BlinkFeed membolehkan pengguna mendapat informasi terkini yang terdapat dalam laman-laman sosial mereka. Setiap status, berita atau gambar tersebut boleh diselenggarakan mengikut kehendak pengguna di mana-mana ruang yang diingini. Ia mampu mempamerkan 10,000 berita atau status dalam sehari bagi membolehkan pengguna terus mendapat maklumat baharu.

Aplikasi kamera dan video menjadi faktor utama kepada kebanyakan pengguna ketika memilih produk telefon pintar. Melalu HTC One mini, ia dilengkapkan dengan kamera UltraPixel dan HTC Zoe yang memberi 300 peratus cahaya, membuatkan gambar lebih terang dan jelas berbanding jenama-jenama telefon pintar lain.

Selain itu, menerusi UltraPixel, gambar lebih berkualiti dan terperinci walaupun dalam keadaan cahaya yang kurang, manakala HTC Zoe membolehkan pengguna mengambil video tiga saat dengan sistem edit yang mudah dan kreatif.

Selain itu, kamera bahagian hadapan mempunyai 1.6 megapiksel yang menangkap gambar yang lebih jelas dan terang.

Pengguna juga boleh membuat video ringkas menggunakan gambar-gambar yang terdapat dalam telefon dengan menggunakan aplikasi Video Highlights.

Ia ditawarkan pada harga RM1,699 dan boleh didapati di kedai-kedai alat telekomunikasi HTC seluruh negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved