Ahad, 3 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rezeki Aishah di lapangan terbang

Posted:

Rezeki Aishah di lapangan terbang

Rezeki Aishah di lapangan terbang

SEBAGAI wajah baharu dalam lapangan seni, ujian pertama yang perlu dihadapi Siti Aishah Ilias sudah tentu berhadapan skeptikal keluarga.

Pelakon yang mesra disapa Aishah itu mendakwa karier baharunya tidak dipersetujui keluarga namun atas yakin diri dan nekad Aishah, mereka sudah memahami kehendaknya.

Cerita Aishah, dia memasuki dunia glamor secara tidak sengaja. Dia dan rakannya disapa seseorang yang pada awalnya menyangka Aishah berasal dari Indonesia. Sebaik dia membuka mulut barulah empunya syarikat Zeel Production itu mengetahui wanita cantik di depannya itu ialah orang Malaysia.

Antara ragu dan percaya dengan apa yang mahu dilakukan, Aishah melangkah menuju pejabat Haji Zeel atau nama sebenarnya Md. Fadzil Teh beberapa waktu selepas insiden di lapangan terbang. Benar kata orang tua, tuah ayam nampak di kaki dan tuah buat Aishah ialah apabila dia membenarkan kata hatinya untuk mencuba sesi uji bakat atas dorongan kakaknya.

Ragu-ragu

"Saya ke pejabat Haji Zeel dalam takut-takut. Diberikan skrip, saya cuba baca dan tidak sangka akhirnya ditawarkan watak utama dalam drama yang bertajuk Mencari Athira untuk siaran saluran RTM," ujar si tinggi lampai ini.

Apabila tawaran yang diterima membenarkan kata hatinya, dia meyakinkan diri untuk terus berada di arena ini. Lapangan hiburan yang bakal memberi dia seribu kemungkinan di hadapan dan dia sedang sedar akan hakikat itu.

"Hidup saya berubah secara automatik. Walau belum benar-benar dikenali tetapi saya sedar tidak lama lagi saya perlu berkongsi tentang kehidupan saya. Saya fikir masak-masak namun pada masa yang sama sebenarnya hidup saya tidaklah banyak privasi," senyumnya manis.


FILEM Paku akan menyaksikan aksi 'panas' antara Aishah Ilias yang membawakan watak Rania dan suaminya dalam filem tersebut lakonan Johan A'sari. Aishah bersedia untk menerima respons yang diberikan atas lakonannya di layar lebar.


Awalnya juga pelakon baru berusia 26 tahun ini mengaku bahawa melakukan kerjaya baharu ini demi wang. Tetapi selepas satu demi satu tawaran datang, dia merubah fikiran untuk menjadikan lakonan sebagai kerjaya selepas merasa keseronokan berhadapan kamera.

"Saya berhenti kerja sebagai setiausaha. Saya mahu jadikan lakonan sebagai kerja tetap. Berlakon itu sudah sampai tahap seronoknya buat saya. Dalam masa yang sama saya mahu lebih banyak belajar. Sambil berlakon sambil memperbaiki kelemahan dan mempelajari ilmu lakonan," ceritanya tenang.

Selepas Mencari Atirah, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu ditawarkan berlakon dalam drama Atas Nama Cinta dan Cerita Ameera. Malah dia juga berpeluang menjayakan Dejavu Di Kinabalu yang diarahkan Erma Fatima. Kini wajahnya boleh ditonton di saluran TV3 melalui siri drama kesukaan ramai, Love You Mr. Arrogant .

Jadi hantu filem

Menjala pengalaman di aliran drama, kini dia mendapat satu lagi imbuhan dalam portfolio lakonannya. Membawakan watak utama dalam sebuah layar lebih besar bergelar filem.

Aishah selesai menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelakon utama filem terbitan Nusantara Seni Karya (NSK Production). Filem yang berjudul Paku itu sebuah buku baharu kerana dia membawakan watak puntianak, ibu dan juga isteri. Lebih berat kerana dia mengandungkan emosi hantu dan manusia dalam satu jalur.

"Solekan sangat membantu sewaktu saya menjadi puntianak. Malah saya membuat semua lagak ngeri secara sendiri. Saya masuk dalam kubur dan dikafankan. Saya berada lima minit dalam keranda untuk satu adegan.

"Adegan dalam kubur tidak terlalu menakutkan saya sebaliknya paling seram ialah apabila diletakkan seekor kambing yang baru disembelih di atas badan saya untuk satu adegan. Saya ketakutan sampai menangis," ujar pembawa watak Rania ini.

Tambahnya, dia berdebar menantikan filem itu yang dijangka mula ditayangkan pada 12 Disember ini.

"Saya tidak sabar melihat hasilnya kerana ini merupakan produk perdana saya untuk filem," ketawanya walaupun belum pernah merasakan detik cemas bersalin.

Jujurnya juga, dia mengaku pada tahap awal berada di set penggambaran Paku, dia digenangi rasa takut. Seriau kalau tidak terbawa dengan baik watak Rania yang diberikan. Namun atas pertolongan pengarah, P. Rameesh dan pelakon lelaki utama, Johan A'sari, dia menepis rasa takut itu.

SOLEKAN banyak membantu penumbuhan emosi. Itu yang dirasakan oleh pemegang watak puntianak dalam filem Paku ini.


Adegan ranjang

Sebut sahaja nama Johan yang merupakan pasangan Aishah dalam filem seram ini, dia tidak dapat menepis persoalan yang sudah panas di pentas laman sosial. Tentang kononnya mereka melakukan ranjang dalam membawakan realiti watak suami dan isteri yang penyayang. Berdua di atas katil dan menunjukkan kemesraan yang mungkin jadi buah mulut penonton filem ini kelak.

Senyum lagi, Aishah tahu soalan ini akan jadi momokan awal buat karier lakonan filem yang bermula dengan watak hantu. Dia menghela nafas sebelum menjawab tentang persoalan yang sudah ditebak akan sampai di telinganya.

"Saya tahu adegan ini akan menjadi kontroversi. Tetapi nanti kalau khalayak tengok adegan itu, ia nampak macam biasa. Lagipun saya dalam solekan hantu. Awalnya risau juga tanggapan orang tetapi saya diyakinkan oleh pengarah. Saya juga kena belajar menerima," terangnya yang semakin faham dengan metod berlakon filem apabila berada dalam set Paku.

Tambahnya, Johan tahu batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

"Dia juga mahu jaga namanya dan meletakkan syarat dalam lakonan kami. Jadi adegan itu normal sebenarnya.

"Untuk melakonkan watak puntianak ini, selepas dapat skrip, hari-hari saya menonton filem hantu seorang diri. Saya mempelajari adegan yang seram dan fahami cerita. Paling saya gemari ialah filem Thailand iaitu Nang Nak dan Phobia," ujarnya lagi yang akan muncul juga dalam filem Pilot Kafe dan Husin UFO.

Ujian kedua bakal muncul tidak lama lagi. Berjayakah puntianak baharu ini berjaya muncul 'cantik' di hadapan khalayak kelak? Lebih penting, berjayakah puntianak baharu ini menghantui pemikiran khalayak dengan tebaran emosi dan bakat lakonannya bergentayangan ke pohon-pohon filem yang lain pula?

Trio pelapis pengacara

Posted:

Trio pelapis pengacara

Trio pelapis pengacara

WAJAH-WAJAH baharu program 3R ini menjanjikan program tersebut akan menyediakan pelbagai isu menarik berkaitan wanita.


NAMA-NAMA seperti Azah Yasmin Yusof, Rafidah Abdullah, Low Ngai Yuen, Kartini Ariffin dan Celina Khor terlebih dulu mencipta nama menerusi rancangan televisyen 3R (Respek, Relaks, Respon).

Selepas 13 musim ke udara, untuk edisi pada tahun 2013, 3R muncul semula bersama tiga muka baharu. Tiada jalan mudah untuk mereka, sebaliknya trio 3R versi baharu yang terdiri daripada Dayah Bakar, Amirah Azmi dan Yvonne Lee sebenarnya tiga peserta terbaik yang lulus ujian menerusi program pencarian pengacara baharu, Projek 3R baru-baru ini.

Pada minggu lalu, wanita muda itu mula bersiaran dalam episod pertama 3R yang mengenengahkan isu bertajuk Lelaki Kaki Pukul.

Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar, 24 yang sebelum ini pernah menjadi pengacara rancangan Hijabista di TV9 menjelaskan bahawa penglibatannya dalam 3R merupakan platform untuk mengembangkan potensi diri.

"Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada keluarga 3R dan seperti berada dalam mimpi. Tetapi jika kita bersungguh-sungguh mahu melakukannya, pasti mimpi boleh menjadi realiti. Itulah yang telah saya lakukan," katanya.

Bagi Amirah, 22, atau nama penuhnya Siti Nor Amirah Mohammad Azmi, dia menggunakan platform itu untuk memberi sumbangan kepada remaja perempuan dalam bentuk pendidikan hiburan.

"Saya berharap dapat berkongsi idea dan isu semasa berkaitan gadis seperti saya supaya mereka tahu bagaimana untuk menangani isu-isu berkenan. Semoga mereka memberi respons yang menggalakkan kepada saya," ujar graduan ijazah sarjana muda dalam perakaunan daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu.

Dalam pada itu, Yvonne yang merupakan bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2012/13 pula menjanjikan perkongsian pengetahuan yang menyeronokkan buat penonton.

"Team 3R bagaikan sebuah keluarga buat saya. Berada di sini membuatkan saya melalui proses mengenali diri serta membantu perkembangan pemikiran dan cara saya melihat dunia.

"Pastinya saya mahu menarik lebih ramai penonton baharu kerana kami menjanjikan pelbagai isu berkaitan wanita yang terkini, lebih hangat dan menarik. Ia akan diolah dengan cara yang menyeronokkan," kata graduan ijazah komunikasi media tersebut.

Syafinaz tidak takut tua

Posted:

Syafinaz tidak takut tua

Syafinaz tidak takut tua


SYAFINAZ akan muncul dalam konsert Koir Kebangsaan Malaysia, Kembara Muzikal Teater dan Filem pada 23 dan 24 November ini.


GURU vokal, pensyarah muzik yang juga penyanyi bernama Syafinaz Selamat ini masih berjuang dalam memartabatkan seni dengan caranya tersendiri. Cuma wajahnya jarang jadi tatapan di kaca televisyen mahupun media cetak. Dia banyak terlibat dengan undangan tertutup dan hanya baru-baru ini muncul sebagai pengkritik bebas menerusi program AF Buzz bersempena kehadiran Akademi Fantasia 2013.

Seperti biasa, rutin mengajarnya masih diteruskan. Penyanyi bersuara soprano ini perlu membahagi masa meneruskan komitmennya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan International College Of Music (ICOM).

Dalam pada itu pada 23 dan 24 November ini, Syafinaz turut akan terbabit dalam konsert Koir Kebangsaan Malaysia, Kembara Muzikal Teater dan Filem di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) bermula jam 8.30 malam. Turut serta ialah penggiat Mak Yong, Rosnan Rahman dan dua lagi kumpulan baharu iaitu Memento dan Vox Aurora. Tiket berharga RM30 dan untuk pelajar hanya perlu membayar separuh sahaja. Persembahan ini anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved