Ahad, 3 November 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Ketua Taliban Pakistan dibunuh

Posted:

Ketua Taliban Pakistan dibunuh

Ketua Taliban Pakistan dibunuh

GAMBAR fail menunjukkan Hakimullah (kiri) melepaskan tembakan dengan menggunakan selaras raifal di Mamouzai, Pakistan pada 26 November 2008.


DERA ISMAIL KHAN, Pakistan - Beberapa anggota pejuang pergerakan Taliban di Pakistan mengebumikan secara rahsia pemimpin mereka, Hakimullah Mehsud selepas dia mati dibunuh dalam satu serangan dron milik tentera Amerika Syarikat (AS).

Puak Taliban itu juga berikrar akan melakukan satu siri serangan pengebom berani mati selepas Hakimullah mati kelmarin di kubu kuat pergerakan tersebut di Miranshah, barat laut Pakistan.

Kerajaan Pakistan turut mengutuk pembunuhan itu.

Seorang pejuang Taliban berkata, serangan dron itu berlaku semasa Hakimullah menaiki sebuah kenderaan setelah menghadiri satu mesyuarat dengan para pemimpin pergerakan tersebut.

Menurutnya, mayat Hakimullah dapat dikenal pasti selepas serangan tersebut berlaku.

Dia berkata, seorang pengawal peribadi dan pemandu Hakimullah turut terbunuh.

Sumber-sumber keselamatan Pakistan menyatakan, beberapa anggota Taliban mengebumikan ketua mereka secara rahsia pada waktu malam kerana takut tentera AS akan menghantar dron untuk melakukan serangan di kawasan pengebumian itu.

"Setiap darah yang mengalir dari tubuh Hakimullah akan diganti dengan satu serangan pengebom berani mati," kata seorang jurucakap Taliban, Azam Tariq.

"Amerika dan rakan-rakannya tidak sepatutnya gembira kerana kami akan melakukan serangan balas untuk darah pejuang syahid kami," tambahnya.

Hakimullah mengambil alih sebagai ketua pergerakan tersebut yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda pada tahun 2009.

Dua ketua pergerakan itu terbunuh dalam serangan dron milik tentera AS sebelum ini.

Beberapa komander Taliban akan mengundi untuk memilih timbalan Hakimullah, Khan Said sebagai ketua yang baharu.

Khan dipercayai dalang dalam satu serangan ke atas sbeuah penjara di barat laut Pakistan yang menyebabkan 400 orang banduan dibebaskan pada tahun 2012 serta serangan terhadap sebuah pangkalan tentera laut Pakistan. - Reuters

Lelaki AS amuk di lapangan terbang

Posted:

Lelaki AS amuk di lapangan terbang

Lelaki AS amuk di lapangan terbang

LOS ANGELES - Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles kelmarin menyebabkan seorang ejen keselamatan tidak bersenjata terbunuh.

Insiden tembakan itu mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai sehingga menyebabkan mereka lari untuk menyelamatkan diri.

Penyerang terbabit dikenal pasti sebagai Paul Anthony Ciancia, 23, (gambar kecil) yang merupakan penduduk Los Angeles.

Suspek yang bersenjatakan sepucuk raifal berjaya menceroboh masuk melalui sebuah pusat pemeriksaan di lapangan terbang itu sejurus selepas pukul 9 pagi waktu tempatan kelmarin.

Tembakan rambang itu berakhir kurang dari 10 minit selepas polis menembak dan mencederakannya.

Media Amerika Syarikat melaporkan, Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) pada malam kelmarin mengenal pasti pegawai yang maut sebagai Gerardo Hernandez, 39.

Ciancia yang dipercayai mempunyai dendam terhadap pegawai TSA turut mencederakan tujuh orang.

Menurut Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti, Ciancia masih membawa sejumlah peluru ketika dia ditahan polis.

"Terdapat lebih 100 peluru lagi yang boleh membunuh sesiapa sahaja di terminal pada hari ini (kelmarin)," kata Garcetti.

Sementara itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memberitahu bahawa Ciancia merupakan seorang yang suka bersendirian.

Sejumlah 750 penerbangan tergendala selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan membatalkan jadual penerbangan pada hari kejadian.

Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung motif serangan itu. - Agensi

Stodden–Hutchison berpisah

Posted:

Stodden–Hutchison berpisah

Stodden–Hutchison berpisah

LOS ANGELES - Penyanyi lagu berentak country, Courtney Stodden yang berusia 19 tahun berpisah dengan suaminya, aktor Doug Hutchison selepas mereka berkahwin selama tiga tahun, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.

"Stodden mengumumkan perkahwinannya sudah berakhir," kata satu sumber seperti dipetik dari portal hiburan RadarOnline.

Stodden berkahwin dengan bintang filem The Green Mile dan drama bersiri Lost itu pada Mei 2011 semasa dia berusia 16 tahun manakala Hutchison berumur 51 tahun.

Dia dilaporkan meninggalkan suaminya dalam keadaan kecewa.

Baru-baru ini, Stodden dilihat berparti tanpa Hutchison, 53, di London. Stodden dilihat bersama seorang lelaki muda yang identitinya tidak dikenal pasti.

Satu sumber menyatakan bahawa Hutchison dan Stodden bakal mengumumkan perpisahan mereka secara rasmi tidak lama lagi. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved