Sabtu, 7 September 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Felda United mahu siasat sendiri

Posted:

Felda United mahu siasat sendiri

Felda United mahu siasat sendiri

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

FELDA United mempunyai sebab tersendiri untuk menarik balik kes melibatkan masalah disiplin pemainnya, Muhammad Kaironnisam Sahabudin Hussain, 34, yang sepatutnya dibincangkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu lalu.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Kamarruddin Mohamad berkata, ini kerana pihaknya mahu meneliti sendiri kes pemain itu yang didakwa tidak memiliki semangat kesukanan.

Katanya, pihaknya sendiri akan menjalankan prosiding dan siasatan terperinci bagi menilai ketelusan pemain itu yang kini direhatkan buat sementara waktu.

"Sepanjang penilaian dan pengamatan oleh pihak Felda, kami mendapati dia beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar selain menganggapnya tiada semangat kesukanan.

"Memang benar, pada mulanya kami mahu kes ini diputuskan oleh pihak FAM tetapi kami bertindak menarik diri dua hari sebelum Mesyuarat Tatatertib diadakan.

"Ini kerana kami turut mengambil kira masa depan pemain itu yang sudah pada penghujung kariernya. Kami tidak mahu menjejaskan 'periuk nasi' pemain itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya, jika kes tersebut gagal diselesaikan, pihaknya akan merujuknya kembali kepada FAM

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak hanya mendedahkan tiga daripada empat pertuduhan kes tatatertib dalam saingan Liga Malaysia.

Ia melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor didenda RM40,000 kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dan pemain Kuala Lumpur, Hafizie Roslee digantung enam bulan dan denda RM2,000 ekoran tiada semangat kesukanan pada aksi menentang Sime Darby, 17 Mei lalu.

Satu lagi kes melibatkan pertahanan Kelantan, Zamri Ramli yang digantung enam bulan atas kesalahan mengambil dadah jenis methamphetamine.

Sementara itu, Kamarruddin memberi amaran keras kepada pemain Felda agar tidak sesekali terjebak dengan skandal rasuah.

"Pemain harus tahu siapa yang bayar gaji mereka. Bermainlah dengan setimpal demi pihak yang membayar gaji mereka.

"Kita tidak teragak-agak untuk menghukum mana-mana pemain yang terjebak dengan gelaja rasuah kerana ia akan menjejaskan bola sepak negara," katanya.

Julang piala jadi hadiah terbaik kemerdekaan

Posted:

Julang piala jadi hadiah terbaik kemerdekaan

Julang piala jadi hadiah terbaik kemerdekaan



KETUA pasukan Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail bertekad menghadiahkan trofi kejuaraan Pestabola Merdeka 2013 yang bermula hari ini di Kuantan, Pahang kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan kemerdekaan negara ke-56.

Irfan (gambar kecil), 22, yang merupakan tonggak tengah skuad Harimau Muda negara kendalian Ong Kim Swee itu mengakui pasukan negara berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

Katanya, para pemain akan berjuang bermati-matian bagi memastikan Malaysia menjulang trofi Pestabola Merdeka buat kali ke-10 sejak ia mula dipertandingkan pada 1957.

"Sememangnya saya bersama rakan sepasukan bertekad menghadiahkan trofi kejuaraan kali ini buat seluruh rakyat Malaysia.

"Kejohanan ini ada magisnya tersendiri kerana diadakan sempena bulan kemerdekaan negara dan kami berharap semangat kental para pejuang negara dapat dihayati pemain ketika menentang Singapura nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.

Menyentuh pertemuan dengan Singapura petang ini, Irfan berkata, dia sedar tugasan berat menanti pasukan Harimau Muda kerana skuad kendalian V. Sundramoorthy itu yang dibarisi sebahagian besar pemain Lions XII sangat mantap di setiap posisi.

Bagaimanapun, jelasnya jurulatih negara sudah ada strategi tersendiri untuk memerangkap skuad Singa itu yang pasti mempertaruhkan beberapa pemain tonggak seperti Hariss Harun, Fazrul Nawaz, Shahfiq Ghani dan Izwan Mahbud.

Sementara itu, penyerang, Md. Rozaimi Ab. Rahman berharap akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama negara dalam perlawanan bertemu skuad negara jiran itu.

Katanya, dia mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dengan menjaringkan gol serta membantu kemenangan buat pasukan negara.

"Jika diberi peluang, saya berazam membuktikan kemampuan sebenar. Saya sudah tidak sabar untuk turun bagi menyarung jersi negara dan menghadiahkan kejuaraan Pestabola Merdeka ini buat seluruh peminat bola sepak tanah air.

"Saya berharap para peminat membanjiri Stadium Darulmakmur bagi membakar semangat kami dan kami janjikan aksi terbaik buat mereka," katanya.

Selepas bertemu Singapura, skuad negara akan menghadapi dua lagi aksi menentang lawan kental iaitu Myanmar pada Isnin dan Thailand (Rabu).

Tiba masa untuk tunjuk belang

Posted:

Tiba masa untuk tunjuk belang

Tiba masa untuk tunjuk belang

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@ kosmo.com.my


KIM SWEE (kanan) memerhatikan pemain-pemain Harimau Muda menjalani latihan bagi menghadapi Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.


PENGENDALI skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee menegaskan, kini sudah tiba masa buat anak-anak buahnya menterjemah ilmu yang dipelajari sepanjang lebih tiga bulan 'berguru' di Eropah.

Menurut Kim Swee, misi pertama buat skuad Harimau Muda bermula petang ini apabila menentang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Singapura dalam aksi pertama kejohanan Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Kata Kim Swee, bagaimanapun beliau terlebih dahulu terpaksa membuat keputusan sukar apabila perlu menggugurkan tiga pemain daripada senarai awal 25 pemain bagi melengkapkan kuota 22 pemain untuk didaftarkan pada kejohanan edisi ke-41 ini.

"Saya terpaksa menggugurkan tiga pemain iaitu Muhd. Ramadan Abd. Rahman, Mohd. Riduan Abdunloh Pula dan Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris bagi melengkapkan senarai 22 pemain.

"Saya menganggap perlawanan dengan Singapura sebagai pertemuan menarik dan agak sukar buat kita. Singapura yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemain skuad Lions XII yang muncul juara Liga Super baru-baru ini.

"Mereka mempunyai kelebihan kerana telah bergabung sejak awal tahun serta bermain dalam satu pasukan dalam saingan Liga Malaysia," kata Kim Swee pada sidang akhbar di Kuantan semalam.

Selain itu, Kim Swee juga menuntut semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain Harimau Muda dalam aksi pertama tersebut serta tidak terikut-ikut rentak pemain lawan.

Ujarnya, berdasarkan pengalaman mengendalikan skuad B-23 negara itu, mereka cenderung untuk mengikut rentak lawan yang akhirnya memakan diri.

"Jika bertemu pasukan handal, mereka akan bermain baik manakala jika bertemu pasukan lemah, mereka akan turut mengikut rentak lawan itu.

"Saya harap mereka akan berubah kali ini dan bermain mengikut perancangan yang telah saya lakukan. Saya sedar Singapura akan menurunkan barisan terbaiknya dan saya anggap penyerang Singapura, Hariss Harun sebagai pemain yang perlu dirantai," katanya.

Kim Swee berkata, beliau percaya dengan barisan yang dimilikinya kali ini ditambah dengan kehadiran beberapa tonggak pasukan negeri seperti Nik Shahrul Azim Ab. Halim (Kelantan), Mohd. Nazmi Faiz Mansor (PKNS), Putera Nadher (Sarawak) dan Zubir Azmi (Terengganu).

Menurutnya, kejohanan Pestabola Merdeka kali ini juga merupakan pentas terbaik untuk persediaan skuad negara dalam misi mengekalkan pingat emas dalam Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Perlawanan antara Malaysia dengan Singapura akan berlangsung pada pukul 5.30 petang ini manakala Thailand bakal berentap dengan Myanmar pada pukul 8.45 malam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved