Rabu, 4 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Orang cacat penglihatan boleh mengaji al-Quran

Posted:

Orang cacat penglihatan boleh mengaji al-Quran

Orang cacat penglihatan boleh mengaji al-Quran

SEPULUH jarinya diseret secara perlahan-lahan dari kiri ke kanan sambil menyentuh titik-titik yang timbul pada helaian kertas putih tanpa dakwat itu sambil mulutnya terkumat-kamit.

Sebaik selesai membaca tiga muka surat kitab berwarna hijau itu, lantas Muhammad Lee Abdullah, 46, menutpnya perlahan-lahan. Rupa-rupanya, dia baru selesai membaca al-Quran Braille.

Melihat kefasihan saudara baharu itu membaca al-Quran dengan sistem tulisan titik-titik, timbul persoalan bagaimanakah dia boleh menguasai bacaannya?

"Walaupun terdapat enam titik pada kotak Braille, namun ia memerlukan tumpuan dan kepekaan yang tinggi di hujung jari bagi mengenali huruf alif hingga ke ya.

"Ia bukan mudah, namun saya tidak putus asa sebaliknya berusaha mengaji secara perlahan-lahan termasuk melagukan bacaan ayat al-Quran, tajwid dan sebagainya," katanya sambil memberitahu dia mempelajari al-Quran daripada seorang ustaz di Johor.

Muhammad Lee mengakui sejak berusia sembilan tahun beliau telah mengambil mata pelajaran Pengetahuan Islam kerana gemar mendengar ayat-ayat al-Quran di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu, Johor.

Belajar al-Quran

Dalam subjek itu, beliau diajar mengenai mengenali huruf di peringkat asas. Sekitar tahun 1987, Muhammad Lee memeluk Islam dan mula mempelajari al-Quran Braille di Darul Kifayah yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Beliau hanya mengambil masa sebulan untuk mempelajari al-Quran dan pernah menjadi johan qari istimewa pada Majlis Tilawah Al-Quran Saudara Kita tujuh tahun lalu.

"Ketika itu, saya menyertai pertandingan berkenaan bukan untuk memenangi sebarang hadiah tetapi ingin mengetahui kemampuan saya mengaji al-Quran," ujarnya yang mempunyai seorang adik yang memeluk agama Islam.

Sebaik menamatkan pendidikan di tingkatan enam, Muhammad Lee pernah menjadi Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), jurukomputer Braille sebelum menjadi penyelia penerbitan al-Quran Braille. Bagaimanapun, dia meninggalkan semua pekerjaan tersebut kerana mendapat peluang yang lebih baik.

Lelaki yang tidak lekang dengan senyuman itu kini berkhidmat sebagai Penyelia Penerbitan al-Quran Braille di Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM), sekitar tahun 1994 sebelum beliau mendapat idea untuk menyalin sendiri al-Quran Braille.

Segala-galanya bermula selepas adiknya, Muhammad Adam Lee Abdullah, 41, mengikuti kursus komputer di Felicia, Amerika Syarikat selama sembilan bulan.

Di situ, terdapat sebuah alat Braille, Eureka Au yang menggunakan perisian JAWS yang mengeluarkan suara. Dengan sokongan kewangan daripada sebuah keluarga dari Pulau Pinang, Muhammad Lee membeli alat berkenaan yang dijual pada harga RM8,000.


KAEDAH membuat lubang pada al-Quran Braille.


Menerusi alat itu, beliau mula menyalin tulisan al-Quran Braille milik seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu, Sulaiman Syafie.

Sekolah tersebut merupakan sekolah pertama yang ditubuhkan pada tahun 1954 untuk kanak-kanak cacat penglihatan di negara ini. Menyentuh proses persalinan, Muhammad Lee menjelaskan al-Quran asal diimbas terlebih dahulu di atas mesin imbasan yang dimulakan daripada muka surat pertama.

Kemudian, segala butiran yang diimbas akan tertera di komputer menerusi perisian text document dalam huruf rumi. Ketika proses ini berjalan, perisian JAWS boleh mengeluarkan suara dan membaca satu persatu ayat yang diimbas daripada al-Quran tersebut.

Sehubungan itu, kerja-kerja penyuntingan dan mengenal pasti kesalahan ejaan dapat dilakukan oleh golongan cacat penglihatan sendiri tanpa bantuan sukarelawan.

"Seingat saya, hampir 24 jam saya menumpukan kerja-kerja penyalinan Braille dalam bentuk ayat al-Quran. Alhamdullillah, ia hanya mengambil masa setahun untuk menyiapkan 30 juzuk al-Quran.

Bagi senaskhah lengkap al-Quran Braille, ia memiliki enam jilid mewakili 30 juzuk. Sekitar tahun 1995, beliau menghantar al-Quran itu kepada pelbagai pihak agama termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas tujuan semakan untuk menentukan sama ada ayat al-Quran yang disalin itu betul atau sebaliknya.

Diiktiraf

Tindakan itu perlu sebelum ia dicetak kerana khuatir mempunyai kesalahan bacaan. Begitupun, selepas menjalani proses semakan yang panjang, akhirnya pada tahun 1998, al-Quran Braille yang dihasilkan itu telah diberi pengesahan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Setelah mendapat kelulusan, beliau menyerahkan al-Quran itu kepada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis) supaya golongan itu mendapat manfaat daripadanya.

"Saya bersyukur kerana hasil itu diiktiraf dan apa yang lebih penting, golongan senasib seperti saya kini boleh membaca al-Quran," ujarnya sambil mengakui bahan-bahan agama dan ilmiah dalam bentuk tulisan Braille dilihat masih kurang di negara ini.

Pendapat Muhammad Lee turut disokong oleh Anuar Biden, 41. Menurut pekerja swasta itu, dia gemar membaca buku, malangnya ia sukar didapati di pasaran.

Selain buku-buku ilmiah, al-Quran Braille juga sukar didapati.

"Saya berminat mengikuti perkembangan yang berlaku di negara ini baik dari segi ekonomi, sosial mahupun politik tetapi saya tidak tahu di mana saya boleh mendapatkan bahan-bahan bacaan itu," katanya.

Ditanya mengenai al-Quran Braille, Anuar menyambut baik keluaran al-Quran dalam bentuk Braille.

"Pada mulanya, ia agak sukar untuk dibaca tetapi setelah membiasakan diri, lama-kelamaan ia boleh dikuasai," katanya ketika ditemui di PPOBM yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur.


MEREKA yang cacat penglihatan harus diberi peluang menguasai pembacaan al-Quran menerusi al-Quran Braille.


Proses berbeza

Menyentuh mengenai percetakan tulisan Braille, Abd. Munaaim Abd. Hakim, 56, mengakui mencetak buku mahupun al-Quran dalam bentuk tulisan itu bukan satu kerja yang mudah.

Walaupun berpengalaman dalam bidang percetakan hampir sedekad, anak jati Sekinchan, Selangor itu menjelaskan, proses tersebut menuntut kesabaran dan ketelitian yang tinggi kerana ia berbeza berbanding percetakan biasa.

Bercerita mengenai cabaran dalam pekerjaan itu, Abd. Munaaim yang pernah bekerja sebagai kerani di sebuah bank sebelum bersara kemudiannya memohon bekerja di PPOBM sebagai pencetak.

Menurut bapa kepada lapan orang anak itu, dia pernah membuang hampir 10 jilid al-Quran gara-gara kurang mahir mengendalikan percetakan Braille.

"Tulisan Braille ini timbul, jadi apabila dicetak di kedua-dua belah muka surat kesemua tulisan itu terhimpit sekali gus hurufnya tidak dapat difahami," katanya.

Menyedari masalah tersebut, Pengerusi PPOBM, Jaafar Md. Isa menghantar Abd. Munaaim mengikuti kursus percetakan Braille selama beberapa minggu.

Setelah mempelajari dalam proses percetakan, timbul masalah lain pula apabila setiap helai muka surat yang digam menyebabkan tulisan Braille bertindih.

"Kami terpaksa mencari jalan bagi mengelakkan masalah itu berulang. Hasil idea kesemua kakitangan, kami berjaya mencipta peruang yang diperbuat daripada karbon supaya tulisan itu tidak bertindih.

Dapat kelulusan

Setiap lima helai muka surat, peruang diletakkan termasuk menjahit setiap jilid itu dengan benang biasa.

Sambil menunjukkan proses memotong peruang, Abd. Munaaim berkata, daripada proses menggam, memotong karbon, menjahit dan mengepil, ia perlu dilakukan secara teliti.

Abd. Munaaim juga mengambil imisiatif mempelajari tulisan Braille daripada huruf A hingga Z dan tulisan Jawi, daripada Muhammad Lee.

Menurutnya, dia mengambil tindakan itu kerana tidak mahu berlaku kesilapan apabila mencetak al-Quran Braille.

"Saya menggalas tanggungjawab yang besar, jadi saya perlu mempelajari tulisan itu," tuturnya yang hanya mengambil masa tiga bulan untuk menguasai tulisan itu dengan cara menutup mata.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Zakaria Yahya berkata, pihaknya merupakan persatuan pertama yang mendapat kelulusan daripada bahagian Teks Kawalan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.

Kelulusan itu diperoleh selepas pensyarah kanan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mustaqim Mohd. Zafri membuat kajian terhadap al-Quran termasuk panel-panel lain dari Jakim.

Sejak tahun 2010 hingga tahun kini, pihaknya telah mencetak lebih 500 naskhah al-Quran Braille yang berharga RM200 sahaja.

"Kami juga mengimportnya ke Bangladesh, Indonesia, Thailand termasuk Afrika dan Kazakhstan," jelasnya.

Bagaimanapun, pihaknya hanya menjual al-Quran itu apabila ada permintaan dan tidak dijual di kedai-kedai buku.

Rahsia Qayyim cepat membaca al-Quran

Posted:

Rahsia Qayyim cepat membaca al-Quran

Rahsia Qayyim cepat membaca al-Quran

Oleh ADHAM SHADAN

QAYYIM merupakan pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan Khas peringkat negeri Kelantan dua tahun lalu.


VISUAL matanya kabur dan kelam kerana penyakit hipoplastik tahap tiga yang dihidapi sejak lahir. Namun, pendengarannya barangkali lebih tajam, sentuhan jarinya lebih peka dan hatinya lebih terang berbanding insan lain yang sempurna.

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, murid tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, Kelantan ini istimewa.

Bukan sahaja kerana dia seorang kelainan upaya tapi juga kerana kemampuannya menjadi johan qari tilawah al-Quran yang menewaskan peserta-peserta normal di negara ini sejak di bangku sekolah rendah.

Ketika sesetengah kanak-kanak, remaja atau dewasa lain masih merangkak-rangkak membaca al-Quran dengan batang lidi sebagai penunjuk, Qayyim melarikan jarinya di atas timbulan-timbulan bintik pada kertas kitab al-Quran Braille dan mengalun bacaan penuh fasih dihiasi bunga taranum.

Demam kuning

Qayyim, 14, semasa bayinya pernah mendiami inkubator selama hampir sebulan ekoran demam kuning bukan sahaja bergelar Johan Tilawah al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan 2012 dan 2013 bahkan naib johan program televisyen, Adik-Adikku dan pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan Khas peringkat negeri Kelantan pada tahun 2011 dengan 3A 2B.

Malah, dia diberi penghormatan memperdengarkan bacaan pada majlis akad nikah mempelai diraja, adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'ishah Putri dengan anak saudara Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Qawi tempoh hari.

Anak kepada bekas pemain bola sepak Kelantan skuad Semi Pro 1989, Sarimi Yusoff, 48 dan guru bahasa Inggeris, Rozan Mohamed, 40, ini juga pandai bermain alat muzik dan mampu memainkan lagu yang didengarinya dengan keyboard hanya dengan intuisi sendiri, tanpa dilatih.

Sarimi berkata, anaknya itu mempunyai telinga yang cepat menangkap. Sebelum memasuki sekolah dia membaca al-Quran melalui pendengaran dan hafazan.

"Minatnya untuk membaca al-Quran tercetus sendiri apabila mendengar bacaan ayat suci itu di televisyen atau cakera padat yang dipasang di rumah atau kereta. Dia mendengar dan menghafalnya.

"Hanya selepas masuk darjah satu di sekolah rendah barulah dia belajar membaca al-Quran secara Braille. Dia belajar mengenal huruf al-Quran dengan seorang guru yang cacat penglihatan," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.

Sarimi memberitahu, menjadi rutin anaknya setiap malam sebelum tidur untuk mendengar bacaan al-Quran imam-imam terkenal yang dipasang pada komputernya sehingga matanya terlelap.

Pada bulan Ramadan, dia akan tidur awal dan minta dikejutkan sekitar pukul 2.30 pagi untuk mendengar bacaan imam tarawih di Masjidilharam, Mekah yang disiarkan secara langsung di televisyen. Kemudian, dia terus bersahur. Sarimi memberitahu ada imam dari Mesir yang mengenali anak sulung daripada lima beradik itu seperti Sheikh Hisyam Abdul Bari yang dijemput menjadi imam solat tarawih di Kelantan.


QAYYIM (dua dari kanan) bersama kedua-dua ibu bapa dan adik-beradiknya.


Qayyim juga boleh memainkan pelbagai alat muzik seperti gendang dan bongo. Dia meminati keyboard dan boleh memainkannya untuk sesuatu lagu selepas hanya dua atau tiga jam mendengarnya.

Seorang yang tidak banyak bercakap, Qayyim seorang yang berhati-hati ketika bertutur. Hakikatnya, Qayyim bukanlah tidak nampak langsung tetapi dia melihat pada jarak yang terlalu dekat.

Kesempatan menemui Qayyim di sekolahnya baru-baru ini menggambarkan betapa dia seorang yang tegar dengan kekurangan yang dimilikinya. Dia selesa berjalan tanpa dipimpin, bergaul dengan murid normal dan menaip di mesin braille.

Suara lunak

Remaja berkulit cerah itu agak malu-malu untuk diwawancara namun apabila dia memperdengarkan bacaan surah Luqman menggunakan al-Quran Braille yang terdapat di dalam bilik Kelab Braille al-Quran sekolah tersebut, suara lunaknya yang berkumandang dan kefasihannya membaca al-Quran amat mempesonakan.

"Saya suka baca al-Quran, bila baca al-Quran hati saya tenang. Tidak kira bagaimanapun kita, kita kena memuliakan al-Quran," katanya yang memberitahu dia sudah menghafal dua juzuk al-Quran.

Qayyim berkata, dia belajar mengaji al-Quran Braille semasa darjah satu dan mengambil masa setahun untuk mahir membaca. Taranum pula dipelajari daripada seorang ustaz di sekolah rendahnya.

Meskipun dia dilihat cenderung pada bidang agama, apabila ditanya akan cita-citanya, Qayyim menjawab dengan menguntum senyum: "Saya mahu menjadi guru Bahasa Inggeris."

Guru pendidikan khas yang bertanggungjawab menjadi pengantara antara Qayyim dan guru-guru yang mengajarnya, Nor Safarin Shamshudden berkata, Qayyim seorang yang sangat memanfaatkan pendengaran dan ingatannya.

"Dia cekap dalam hal-hal yang menggunakan deria dengar dan mengingat. Sebab itu, dia bagus dalam subjek-subjek bahasa. Guru Bahasa Arabnya berkata, Qayyim lebih mudah dan cepat menerima pelajaran Bahasa Arab berbanding murid-murid lain (normal). Bila dia sebut, siap dengan lahjah (bunyi loghat) Arab," katanya.

Nor Safarin memberitahu, SMKA Melor merupakan sekolah pertama atau perintis bagi penubuhan Kelab Braille Al-Quran di negara ini iaitu pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dan Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pengetua sekolahnya, Ahmad Sulaiman berpendapat, Qayyim murid yang berpotensi tinggi, berkeyakinan, popular dan disenangi semua.

"Dia berbakat. Apa yang ada padanya ialah anugerah Tuhan," katanya.

Cinta maya belia Teluk Arab

Posted:

Cinta maya belia Teluk Arab

Cinta maya belia Teluk Arab


RATA-RATA belia di Teluk Arab berkomunikasi dengan kekasih hati mereka dengan Skype sebelum dapat bersemuka.


JABER dan teman wanitanya saling melayan perasaan cinta sepanjang masa dan meluahkan kata-kata manis tentang impian masa depan mereka. Namun, seperti kebanyakan golongan belia di Teluk Arab, mereka hanya boleh melakukannya secara maya.

Di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan di semua negara teluk yang konservatif, amalan berpacaran tidak boleh diterima dalam kalangan rakyat mereka. Sebaliknya, perkahwinan yang diatur oleh keluarga merupakan satu perkara biasa.

Dalam usaha untuk mengatasi pengasingan masyarakat, lelaki dan wanita muda akan bersemuka melalui aplikasi-aplikasi perbualan yang disediakan di telefon-telefon pintar masa kini.

Dilamun cinta

Duduk di sebuah kedai kopi, lelaki yang sedang dilamun cinta itu sibuk menaip mesej di papan kekunci BlackBerrynya, pada masa yang sama menghirup secawan teh panas.

"Kali pertama saya bertemu dengannya ialah ketika di sebuah panggung wayang. Terpesona, saya terus meminta seorang pekerja di situ untuk menyerahkan kod nombor pengenalan peribadi (PIN) BlackBerry saya kepadanya.

"Saya tidak menyangka dia akan memasukkan nama saya ke dalam senarai orang-orang yang dihubunginya, apatah lagi kisah cinta yang terjalin antara kami berdua," katanya tersenyum lebar mengimbau hari pertemuan penuh bersejarah itu.

Pertemuan dua insan itu di alam siber berlangsung dua bulan kemudian apabila wanita muda itu memberanikan diri untuk menghubungi Jaber melalui aplikasi perbualan Skype.

"Ia satu pertemuan yang singkat. Namun ia sudah cukup untuk kami meluahkan rasa cinta kami," kata Jaber yang berkeras enggan mendedahkan nama teman wanitanya atas alasan ia boleh mencetuskan skandal dalam masyarakat di negaranya itu.

Akhirnya dia telah berjaya memujuk cinta hatinya bertemu secara rahsia. Kini pasangan itu sedang mempertimbangkan langkah seterusnya iaitu Jaber perlu mengatur pertemuan dengan bapa wanita itu dan meminta kebenaran untuk berkahwin.

Nilai tradisi

Penasihat Penyelidikan dan Kajian Yayasan Pembangunan Keluarga di Abu Dhabi, Jamila Khanji berkata, sungguhpun merupakan sebuah negara moden, keluarga-keluarga di UAE masih berpegang kepada nilai-nilai tradisional.

"Kaum keluarga masih mengatur perkahwinan anak-anak mereka. Namun, kini mereka lebih fleksibel dengan membenarkan pasangan yang telah bertunang untuk bertemu atau membenarkan tempoh pertunangan yang lebih lama untuk memberi peluang kepada pasangan mengenali antara satu sama lain," ujarnya.

Itu merupakan keadaan di UAE yang dianggap sebagai salah satu negara Teluk yang paling liberal. Senario yang berbeza dilihat di Arab Saudi kerana adalah mustahil pasangan yang bercinta dapat bertemu kerana kerajaan negara tersebut melarang pergaulan antara jantina.


DI Arab Saudi, hampir mustahil untuk lelaki mendekati seorang wanita secara terbuka.


Di pintu masuk sebuah kafeteria sebuah pusat beli-belah yang terletak di Jalan Al-Tahliya, salah satu daerah Riyadh yang paling sibuk, berpuluh-puluh lelaki muda melihat gadis berpurdah yang memakai kasut tumit tinggi dan beg tangan berjenama berjalan dan menuju ke kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk wanita dan keluarga.

Di Arab Saudi, hampir mustahil untuk lelaki mendekati seorang wanita secara terbuka. Kehadiran teknologi-teknologi terkini, termasuk aplikasi telefon mudah alih, telah membuka ruang kepada halangan tersebut.

Dengan mengaktifkan aplikasi telefon pintar yang popular di negara itu, WhosHere, seorang lelaki muda yang duduk di bahagian lelaki di kafeteria yang sama boleh menghubungi gadis yang duduk di bahagian keluarga.

"Saya mengesan 16 orang gadis muncul di aplikasi ini dan saya boleh berhubung dengan sesiapa yang saya suka daripada mereka," kata Ahmed, yang seperti Jaber, enggan memberikan nama keluarga beliau.

Baling kertas

Sebelum ini, lelaki-lelaki di negara yang kaya dengan minyak itu akan membaling sekeping kertas yang tertulis nombor telefon mereka kepada gadis-gadis yang mereka sukai.

Menurut satu sumber industri, pihak berkuasa Saudi telah memberi amaran pada bulan Mac lalu bahawa ia akan mengharamkan aplikasi seperti Skype dan WhatsApp jika pembekal gagal untuk membenarkan pihak berkuasa menapis kandungan aplikasi berkenaan.

Aplikasi internet, Viber, misalnya telah disekat buat sementara waktu di Arab Saudi pada bulan Jun lalu, sementara BlackBerry hampir diharamkan pada tahun 2010. Pihak berkuasa mewajarkan tindakan itu dengan alasan kebimbangan terhadap keselamatan.

Walaupun telefon pintar telah menjadi sebahagian daripada gajet temu janji di negara itu, hubungan yang terjalin tidak dibawa sehingga ke alam perkahwinan, kata pengguna.

"Tiada seorang pun daripada rakan-rakan saya telah berkahwin dengan gadis yang ditemui melalui kaedah ini," kata Ahmed.

Qatar Alanood telah jatuh cinta dengan seorang rakan abangnya, tetapi tidak boleh mendedahkan isi hati beliau kerana takut dimalukan.

"Saya berkomunikasi dengan beliau di Skype. Ia adalah satu kisah cinta yang sia-sia," katanya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved