Sabtu, 28 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tanah bertuah Janda Baik

Posted:

Tanah bertuah Janda Baik

Tanah bertuah Janda Baik

PERJALANAN ke Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang hanya mengambil masa kurang sejam dari Kuala Lumpur.

Walaupun penulis cuba untuk melelapkan mata, usaha itu ternyata gagal kerana tempoh perjalanannya yang singkat.

Namun, timbul persoalan di minda mengapakah perkampungan yang terletak 600 hingga 800 meter dari aras laut ini diberi nama Janda Baik?

Maklumat setakat 2006 memberikan butiran bahawa terdapat 34 ibu tunggal menetap di perkampungan yang mula didiami sejak awal tahun 1920-an ini.

Sebenarnya, nama kampung ini digarap sempena pertemuan semula sepasang suami isteri yang merupakan Orang Asli yang telah lama terpisah.

Menurut cerita seorang penduduk asal, Mat Sabri Malek, nama kampung ini diambil sempena pertemuan semula sepasang suami isteri Orang Asli yang telah lama terpisah itu.

"Orang Asli di kawasan berkenaan termasuk Tok Batin dan isterinya bekerja di sawah padi huma yang diusahakan oleh tiga peneroka awal kawasan itu yang hanya dikenali sebagai Haji Rahman, Haji Kadir dan Haji Ismail selepas banjir besar melanda pada tahun 1926.

"Namun, berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu.

"Tok Batin yang merupakan si suami merajuk sebelum membawa diri ke Selangor. Isterinya pula berhijrah ke Negeri Sembilan," katanya.

KAWASAN air terjun Janda Baik yang masih terjaga keasliannya.


Tambahnya, selepas beberapa tahun, pasangan itu terpisah, mereka kembali semula ke kampung berkenaan.

"Kemudian, penduduk bercadang untuk menamakan kampung mereka sempena peristiwa 'janda berbalik' itu.

"Namun, pegawai daerah ketika itu, seorang Inggeris memberikan nama 'Janda Baik' bagi menggambarkan keharmonian rumah tangga penduduk kampung tersebut," jelas Mat Sabri.

Sebenarnya, perkampungan ini bukan sahaja sarat dengan aura alam semula jadi yang menggamit hati bukan sahaja kepada penggemar alam semula jadi malah kepada mereka yang ingin lari daripada kebisingan kota.

Sebaik sahaja melalui pintu gerbang, kedatangan para pengunjung akan disambut dengan sebuah kedai buah dan kedai makan yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Juhaini Abdullah serta Halimah Ahmad.

Tanah subur

Mereka telah menjalankan perniagaan itu selama lima tahun.

Kata mereka, tanah Janda Baik cukup subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian kerana parasnya yang agak tinggi dari aras laut selain faktor kimia tanahnya.

"Pokok durian, manggis, langsat dan pisang berbuah hampir pada setiap masa malah durian tiada musimnya.

"Boleh dikatakan pada setiap bulan, ada sahaja durian yang berbuah. Jadi, kami sebenarnya tidak pernah putus dengan bekalan 'raja buah itu," kata Halimah sambil tersenyum.

Kru Jurnal turut berpeluang merasai buah durian jenama Kampung Janda Baik dan ternyata memang sedap.

Tarikan perkampungan yang mempunyai 2,800 orang penduduk ini bukan sahaja buah-buahan tetapi juga sayur-sayuran yang segar dan bebas kimia.

Menurut seorang pemandu pelancong, Rozi Sarip, sayur-sayuran di Janda Baik hampir setanding dengan yang terdapat di Cameron Highlands, Pahang.

"Cuma di sini (Janda Baik) tidak sesuai untuk tanaman strawberi dan teh tetapi sayur-sayuran seperti kacang panjang, botol, tomato serta terung adalah bebas daripada penggunaan racun perosak.

"Malah, sumber pengairan daripada air bukit adalah bersih," katanya.


DURIAN KAMPUNG jenama Janda Baik tidak kurang kesedapannya berbanding durian lain di pasaran.


Gunung Nuang

Rozi yang berpengalaman selama 13 tahun membawa pendaki Gunung Nuang menambah, tidak ramai yang mengetahui gunung itu boleh didaki melalui Janda Baik.

"Pada kebiasaannya, ramai pendaki tegar mendaki Gunung Nuang dari Hulu Langat, Selangor. Namun, melalui Janda Baik lebih mencabar.

"Anda perlu melalui rimbunan pokok buluh yang rendang sehingga perlu tunduk dan mendaki bukit yang agak curam," katanya.

Rozi menjelaskan, perjalanan sepanjang lima kilometer akan menemukan para pendaki dengan Air Terjun Janda Baik yang airnya sejuk dan tidak tercemar.

Kru Jurnal berpeluang mendaki sebelum sampai ke kawasan air terjun itu.

Namun, uniknya, bagi penduduk Orang Asli di Janda Baik, mereka hanya menggunakan laluan yang sempit sebagai medium untuk memungut hasil hutan seperti ulam, rebung dan buluh.

Motosikal digunakan untuk mengambil hasil hutan itu pada radius ketinggian 1,000 meter dari aras laut.

Walaupun ekologi alam semula jadi perkampungan ini masih terjaga, Janda Baik pernah digemparkan dengan penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian tidak terkawal.

Situasi itu turut didorong pembinaan calet dan resort secara drastik menyebabkan suhunya tidak lagi sesejuk seperti awal 90-an.

Menurut seorang penduduk, Roslan Ismail, pada awal 1990-an,suhu Janda Baik terlalu sejuk.

"Sampai menggigil. Biasanya pada waktu 5 petang sudah mandi. Bayangkan sehingga pukul 12 tengah hari, kami perlu memakai jaket tebal untuk memanaskan badan.

"Tetapi kini agak panas sedikit kerana penerokaan haram hutan tidak terkawal untuk aktiviti pertanian berlaku pada empat tahun lalu" katanya.

Tambahnya, dahulu minyak kelapa yang digunakan untuk memasak perlu dipanaskan terlebih dulu kerana beku.

Menurut seorang lagi penduduk, Nazer Kamaruddin, dia pernah melihat bongkah ais di sungai.

"Malah, tidak perlu meletakkan ais pada air minuman kerana ia cepat sejuk," ujarnya.


PENDAKIAN menuju ke puncak Gunung Nuang mengambil masa selama lima jam.


Ketua kampung, Zahari Ayop mengaku berlakunya aktiviti pembalakan haram secara tidak terkawal untuk penanaman sayur-sayuran yang berlaku empat tahun lalu.

"Beratus-ratus hektar tanah telah diterokai. Malangnya, kayu balak yang bersaiz besar dibiarkan reput. Selain itu, pokok balak yang berusia beratus-ratus tahun habis musnah.

"Malah, ketika itu, jika dilihat secara kasar, bukit-bukit di Janda Baik seakan-akan habis digondol," katanya.

Zahari menjelaskan, sungai-sungai turut tercemar kerana para petani haram menyembur racun pada tanaman mereka.

"Sungai-sungai tercemar dan penduduk kampung yang bermandi-manda akan berasa gatal di seluruh badan," ujarnya.

Namun, tindakan pantas kerajaan negeri terutamanya jabatan perhutanan berjaya menghalang aktiviti itu daripada berlaku secara berterusan.

"Syukurlah, kerajaan negeri memantau secara serius dan terdapat tanaman semula pokok kayu jati dan cengal untuk menghijaukan semula kawasan bukit.

"Sungai-sungai yang dahulunya tercemar kini bersih seperti sediakala," cerita Zahari.

Menurutnya, mereka juga bekerjasama dengan para pengusaha calet dan resort supaya tidak menebang pokok secara sewenang-wenangnya.

"Ada hadnya untuk penebangan pokok selain perlu menjaga kebersihan sungai," katanya.

Budak nakal jadi tauke otak-otak

Posted:

Budak nakal jadi tauke otak-otak

Budak nakal jadi tauke otak-otak

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


USAHAWAN muda ini memperoleh bekalan bahan mentah dari pembekal otak-otak di Batu Pahat, Johor kerana rasanya yang cukup istimewa selain menepati cita rasa pelanggan.


PERTEMUAN dengan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan otak-otak di Asia Cafe yang terletak di SS15, Subang Jaya, Selangor membuatkan kru Jurnal berasa kagum apabila melihat dia berjaya pada usia muda.

Jika rakan-rakanya memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian sebelum berfikir mengenai pekerjaan, Muhammad Fikri Mohd. Yunus, 22, mempunyai pandangan yang berbeza.

Dia sanggup melakukan dua perkara secara serentak iaitu berniaga dan belajar pada masa yang sama.

"Walaupun berasal dari keluarga berada, saya lebih selesa berdikari kerana berniaga merupakan pilihan saya.

"Sebenarnya, saya seorang yang agak nakal dahulu. Tetapi, saya bertekad untuk berubah kerana tidak mahu terus dilabel nakal oleh masyarakat.

"Sejak itu, saya mula berjinak-jinak di dalam bidang perniagaan.

"Seawal usia 17 tahun, saya sudah memulakan perniagaan sendiri iaitu menjual shisha," jelasnya yang mempunyai tiga orang adik-beradik.

Muhammad Fikri yang menubuhkan syarikat Kcik Resources pada tahun 2009 memberitahu, idea untuk menjalankan perniagaan itu diperoleh ketika membantu seorang rakannya berniaga otak-otak di Petaling Jaya.

Justeru, pemuda itu melihat potensi perniagaan otak-otak yang boleh menjamin masa depannya jika dia mempunyai kesungguhan yang tinggi ditambah lagi dengan modalnya yang kecil.

"Menjalankan perniagaan menjual shisha menyasarkan pelanggan dalam kalangan remaja.

"Namun, berbeza pula dengan perniagaan otak-otak kerana sasaran pelanggannya adalah lebih meluas.

"Sebenarnya, saya memang tercari-cari cabang perniagaan yang melibatkan semua peringkat umur. Apabila bercakap mengenai otak-otak, boleh dikatakan semua peringkat umur tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa pun menyukainya," ujar pemegang Ijazah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Pengurusan Sains di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengorbanan

Usahanya untuk mendapatkan tapak gerai yang didominasi oleh peniaga-peniaga Cina di Asia Cafe itu sebenarnya mengagumkan apatah lagi dia menjadi peniaga Bumiputera pertama yang menjalankan perniagaan di situ.

"Hampir empat bulan saya cuba meyakinkan pihak pengurusan kafe itu.

"Rezeki akhirnya berpihak kepada saya apabila pemilik kafe tersebut membenarkan saya berniaga.

"Saya diberi masa untuk memulakan perniagaan dalam tempoh seminggu.

"Alhamdulillah, saya berjaya membuka gerai otak-otak ini pada hari kelima," katanya yang menggunakan slogan Mr. Small's Otak-Otak, The Best Taste In Town.

Katanya, pengorbanan besar diperlukan apabila memilih untuk belajar sambil bekerja kerana dia perlu bijak untuk membahagikan masa.

"Saya terpaksa berkorban kerana berniaga sudah menjadi pilihan saya. Kereta menjadi rumah kedua saya ketika saya mula menjalankan perniagaan ini.

"Ada ketikanya, saya tidak tidur kerana perlu menghadiri kuliah selepas menjalankan perniagaan yang memulakan operasi sekitar pukul 5 dan berakhir pada pukul 5 pagi ini," jelasnya yang pernah bekerja sebagai penarik kereta.

MUHAMMAD Fikri turut menjual pulut panggang dan satar pedas.


Usahawan muda itu mula menjalankan perniagaan berbekalkan modal permulaan yang diperoleh sebagai penarik kereta sebanyak RM1,000.

"Alhamdulillah, pendapatan bulanan saya kini mencecah lima angka dengan pembukaan 26 cawangan di sekitar Lembah Klang.

"Saya memperoleh bahan mentah daripada pembekal otak-otak dari Kampung Parit Kuda di Batu Pahat, Johor kerana rasanya yang cukup istimewa selain menepati cita rasa pelanggan.

"Sebenarnya, warna asal otak-otak itu berwarna putih.

"Namun, penggunaan pewarna merah ketika otak-otak pertama kali diperkenalkan menyebabkan masyarakat sudah biasa dengan warna itu," tambahnya sambil memberitahu, dia kini mampu menjual sebanyak 15,000 keping otak-otak sehari.

Promosi

Memilih perniagaan otak-otak sebagai sumber pendapatan, kesungguhan dan kerajinan amat diperlukan untuk mempromosikan produknya itu.

"Para-peniaga otak-otak mencari pelanggan dengan meletakkan makanan ini dari meja ke meja makan," katanya.

Dia juga bercerita tentang ketahanan makanan itu.

"Otak-otak boleh bertahan selama lapan bulan sekiranya berada di dalam peti sejuk.

"Ia juga masih baik selepas 16 jam dikeluarkan (dari peti sejuk dan belum dibakar).

"Otak-otak yang sudah siap dibakar boleh bertahan selama dua hari," katanya yang mempunyai seramai 34 orang kakitangan di semua cawangannya.

Bagi meluaskan lagi jaringan perniagaan yang dimilikinya, Muhammad Fikri merancang untuk mengeksport produknya itu ke luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

Malah, dia juga meletakkan sasaran untuk membuka 50 buah lagi cawangan sebagai perancangan untuk masa depannya.

"Saya juga bercadang mahu membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen dengan modal serendah RM1,000.

Syarikatnya juga ada menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis-majlis seperti parti hari jadi dan rumah terbuka dengan tempahan minimum sebanyak 300 keping ke atas.

Selain otak-otak, syarikatnya turut menjual pulut panggang resipi Kelantan dan satar pedas dari Terengganu.

Nikmatnya tidak berhutang

Posted:

Nikmatnya tidak berhutang

Nikmatnya tidak berhutang

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


KEWANGAN selepas perkahwinan akan menjadi lebih teratur tanpa pinjaman peribadi untuk mengadakan kenduri besar-besaran. - Gambar hiasan


PERKAHWINAN memang menjadi idaman untuk setiap manusia dengan tujuan memiliki zuriat keturunan dan hidup dalam kebahagiaan.

Maksiat juga dapat dielakkan jika seorang lelaki itu mendirikan rumah tangga.

Situasi yang sama turut dialami oleh Nizam (nama samaran) yang telah berusia 40 tahun dan bekerja sebagai seorang eksekutif sebuah syarikat swasta.

Dia telah berkenalan dengan Siti (nama samaran di tempat kerja yang sama) selama dua tahun.

Nizam bersyukur dengan pekerjaannya itu kerana dia juga dapat mengamalkan sifat berjimat-cermat.

Lelaki yang kini mempunyai tiga orang anak itu dapat membeli sebuah kereta Proton Wira secara tunai dan sebuah rumah murah bernilai RM30,000 di Puchong, Selangor.

"Saya makan tidak bermewah-mewah.

"Saya tidak gemar bersosial seperti menonton wayang, melancong dan bermain boling. Kebanyakan pakaian yang saya beli adalah yang terpakai," katanya ketika di temui di sebuah kedai makan di Puchong baru-baru ini.

Selain tidak merokok, dia juga tidak teruja untuk membeli kereta mahal.

"Gaji bulanannya hanya untuk membayar sewa bilik dan makan. Sejumlah lagi wang daripada gajinya dihantar kepada keluarga di kampung. Selebihnya, saya simpan.

"Syukur hasil amalan berjimat-cermat itu, dalam tempoh sepuluh tahun sahaja, saya mampu membeli sebuah kereta dan rumah.

"Pada waktu malam, saya berniaga burger di flat yang disewa," katanya.

Kahwin

Disebabkan dia sudah lama mengenali Siti (bukan nama sebenar), Nizam merancang untuk menamatkan zaman bujangnya.

Dia kemudian berjumpa dengan keluarga Siti untuk meluahkan hasratnya.

"Terkejut saya, kerana keluarganya meminta wang hantaran sebanyak RM20,000. Itu belum termasuk kos kenduri dan makanan untuk para tetamu.

"Perkara itu ternyata merunsingkan saya kerana saya tidak mahu membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk berkahwin," katanya.


NIZAM dapat membeli Proton Wira secara tunai hasil simpanannya. - Gambar hiasan


Menurut Nizam, dia tidak suka berhutang.

"Hutang itu tidak perlu kerana sebaik sahaja perkahwinan, pelbagai perbelanjaan lain yang perlu kita sediakan.

"Lagi pun keperluan seperti rumah dan kereta telah dipenuhi sekali gus tidak mendatangkan masalah buat saya apabila berkeluarga kelak," katanya.

Nizam terfikir untuk tidak menjadikan Siti sebagai isterinya kerana kos perkahwinan itu.

"Ada masanya, saya terfikir untuk meninggalkan Siti. Tetapi, masih sayangkan dia. Lagi pun, saya tidak pernah melakukan perkara yang tidak baik dengannya," ujar lelaki tersebut.

Namun, selepas menghadiri satu ceramah di sebuah masjid di Puchong, dia mempunyai pandangan yang berbeza tentang alam perkahwinan.

"Ustaz itu memberitahu, perkahwinan yang paling penting ialah pernikahan selain mengadakan majlis makan hanya sekadar untuk memberitahu jiran-jiran dan keluarga tentang perkahwinan.

"Selain itu, ustaz tersebut juga memuji sikap saya yang tidak membuat pinjaman peribadi yang bakal menyusahkan saya kelak.

"Dia juga meminta saya berbincang dengan keluarga mertua dan menjelaskan kepada mereka tentang tujuan saya untuk berkahwin," jelas Nizam.

Terima

Menurut lelaki itu, pada mulanya, agak berat untuk ibu mertuanya menerima cadangannya kerana kakak dan abang Siti melangsungkan perkahwinan secara besar-besaran.

Menurutnya, langkah yang dilakukannya adalah dengan membawa keluarga mertuanya ke kedai makan selain membelikan hadiah kepada mereka.

"Semasa itu, saya cucuk jarum dan menerangkan kepada mereka tujuan saya berkahwin dengan Siti. Saya juga memberitahu, tidak akan mempersia-siakan anak mereka.

"Saya juga memberitahu, saya tidak mahu kehidupan saya dibebani dengan hutang. Syukurlah, selepas beberapa bulan, mereka bersetuju untuk tidak mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran ," katanya.

Majlis perkahwinan Nizam dan Siti diadakan serba ringkas dengan hantaran hanya RM1,000.

Kini, setelah 15 tahun berkahwin, lelaki itu bersyukur kerana dia telah mempunyai tiga orang anak selain tidak mempunyai bebanan hutang.

"Saya juga dapat menumpukan perhatian untuk membesarkan anak-anak selain dapat mengubah suai rumah.

"Saya juga dapat membeli kereta tanpa berhutang. Sebenarnya, tidak berhutang membuatkan kehidupan kita lebih selesa," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved