Selasa, 10 September 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Jam tangan, kasut dan baju tingkat kualiti sukan

Posted:

Jam tangan, kasut dan baju tingkat kualiti sukan

Jam tangan, kasut dan baju tingkat kualiti sukan

Oleh HAFIZ AHMAD

JOGING dan aerobik merupakan antara cabang sukan yang paling mudah dan kerap dilakukan bagi mengekalkan tahap kesihatan individu. Ia dilakukan secara berkala dengan tempoh minimum 30 minit sehari. Justeru, boleh dikatakan bahawa aktiviti riadah bukanlah sesuatu yang membebankan untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, sesetengah individu tidak bersenam untuk menjaga kesihatan semata-mata, malah ada yang menjadikan ia sebagai satu gaya hidup. Kelompok ini sanggup melabur modal yang agak tinggi bagi mendapatkan kualiti optimum ketika bersukan menerusi pembelian gajet dan aksesori tambahan termasuk jam tangan, kasut dan baju.

Setiap pembelian produk tersebut adalah berdasarkan fungsi dan faedah untuk penggunaan secara kerap. Ia dilengkapi teknologi terkini bagi membantu seorang atlet bergerak pantas dan aktif ketika melakukan senaman pada tahap maksimum seperti maraton, mendaki dan berbasikal.

"Tidak dinafikan harga barangan berkualiti sebegini agak mahal, tetapi bagi seseorang yang bergiat secara serius, ia adalah pembelian yang berbaloi.

"Sebagai contoh, jam tangan Garmin Forerunner 610 (FR610) yang saya beli empat bulan lepas ini. Ia boleh dipakai ketika berenang, maraton dan mendaki," ujar Mohd. Ridwan Mustafa, 26, ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.

FR610 merupakan inovasi baharu keluaran Garmin dengan beberapa fungsi terkini. Ia merupakan jam tangan pertama syarikat sistem penentu kedudukan global itu yang mempunyai fungsi paparan sesentuh. Salah satu peningkatan teknologi FR610 ialah Virtual Racer yang membolehkan pengguna mengatasi catatan masa terdahulu.

Contohnya, jika larian 10 kilometer anda sebelum ini mencatatkan masa 1 jam 10 minit, dengan jam tangan tersebut, tempoh itu akan disingkatkan menjadi 55 minit kerana ia berfungsi sebagai pacer. Dalam acara maraton, pacer merujuk kepada seorang individu yang membantu pelari menamatkan larian dalam tempoh yang spesifik. Justeru, jam tangan itu meminjam tujuan yang sama agar larian pemakai lebih konsisten dan menepati tempoh yang ditetapkan.


VARIASI kasut sukan di pasaran mempunyai fungsi dan teknologi yang berbeza-beza.


Fungsi

Berbeza pula dengan Tengku Fariz Tengku Roslan, 26, yang memilih jam tangan model Suunto Ambit. Mungkin ramai yang kurang mengenali gajet itu, namun dalam kalangan atlet professional, ia antara jam tangan sukan yang mempunyai fungsi dan teknologi yang terbaik.

"Dulu saya hanya menggunakan jam tangan sukan biasa dengan fungsi-fungsi yang terhad. Sebelum membeli, saya buat kajian selama beberapa bulan dengan merujuk laman YouTube dan blog-blog khusus untuk sukan.

"Harganya yang mencecah ribuan ringgit membuatkan saya berfikir dua kali untuk memilikinya. Namun selepas berpuas hati dengan ulasan dan respons daripada para pengguna, saya terus membeli jam ini," ujarnya yang telah membeli jam tangan berkenaan pada Julai 2012 pada harga RM2,199.

Kepuasan menjadi ukuran utama kepada Tengku Fariz kerana setiap barangan yang dibeli adalah mengikut kesesuaian aktiviti sukannya. Seperti Ridwan, Tengku Fariz juga aktif dalam maraton, mendaki gunung dan aktiviti meredah hutan. Kesemua aktiviti tersebut terdapat dalam fungsi-fungsi jam tangannya.

"Mendaki gunung misalnya, jam tangan ini dapat memberi maklumat mengenai tahap ketinggian dan tekanan sekeliling. Ia juga boleh berfungsi sebagai kompas bagi menentukan arah ketika berada dalam hutan," kongsi beliau.

Peranan kasut

Selain daripada jam tangan, kasut juga memainkan peranan penting kepada individu yang aktif bersukan. Kasut sukan amat berbeza berbanding kasut harian kerana ia dicipta dengan teknologi yang mampu menyokong bahagian kaki, memandangkan ia menerima tekanan dan haba yang tinggi.

Ridwan memberitahu, kasut sukan seharusnya dapat menampung kaki dan berat badan dengan stabil serta mengurangkan rasa sakit daripada tekanan ketika berlari. Namun, pelaburan yang tinggi dengan membeli kasut berjenama bukanlah jaminan bagi memberi keselesaan kepada si pemakai.

"Bagaimanapun, kebanyakan jenama kasut sukan terkenal sentiasa mengorak langkah ke hadapan dalam kajian dan pembangunan mengenai teknologi agar dapat memenuhi kehendak pengguna," ujar Ridwan yang baru menubuhkan kumpulan Gorgeous Runner yang bertujuan mengumpul pelari tegar maraton bagi mengikuti kejohanan larian di dalam dan luar negara.

Memilih kasut jenis Asics Gel-DS Trainer 17, Tengku Fariz pula mengutamakan fungsi dan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam kasut yang dibelinya. Jenama kasut yang dimilikinya sekarang mempunyai kelebihan teknologi yang dipanggil gel cushioning.

"Ia membolehkan kaki menyerap hentakan dengan lebih baik dan membantu fokus penstabilan kaki ketika berlari. Pengguna akan berasa lebih selamat kerana ia membantu mengelak daripada kecederaan," tambahnya.

"Biasanya teknologi yang ada pada kasut bergantung kepada pengeluar. Setiap jenama tersebut mempunyai kelebihan yang berbeza. Jadi pemilihan kasut hendaklah bersesuaian dengan kegunaan dan keselesaan," kata jurutera muda itu.

RIDWAN (kiri) mendengar penerangan daripada Tengku Faris mengenai fungsi jam tangannya.


Pakaian

Gajet dan aksesori sukan pastinya tidak lengkap jika tidak mengambil kira baju khas yang dipakai oleh kebanyakan atlet. Baju yang betul mesti mempunyai saiz dan tahap penyerapan peluh yang baik. Sejenis baju yang sering diguna pakai ialah pelapis asas (base layer) atau lebih dikenali sebagai pakaian mampatan yang melekap pada tubuh (compression wear).

Tengku Fariz berkata, ia dipakai sebagai lapisan dalam baju dan diperbuat daripada material yang cepat kering, ringan dan mampu membebaskan haba badan dengan cepat. Ia menjadikan badan lebih nyaman ketika beraktiviti.

"Selain itu, ia sebenarnya membantu 'memegang' otot kita ketika melakukan aktiviti. Maksudnya, badan kita terasa lebih kemas dan mapan ketika beraksi dalam pakaian itu," kongsinya.

"Compression wear juga membantu pengedaran darah ketika beraktiviti dengan mempercepatkan kadar pengaliran darah. Ia penting untuk penghantaran oksigen ke seluruh badan. Ini membantu dalam proses penyembuhan dengan mengurangkan jangka masa pemulihan tisu otot yang rosak," ujar Tengku Fariz.

Bagi Ridwan, dia lebih selesa menggunakan baju daripada material spandeks kerana menyejukkan badan ketika bersukan.

Motivasi

Kedua-dua mereka bersependapat, pelaburan terhadap gajet perlu mengikut kemampuan dan kepentingan. Pembelian perlu disertakan dengan beberapa kajian dengan merujuk kepada pakar atau pengguna terdahulu.

"Selain itu, kelengkapan ini banyak membantu memotivasikan diri kita supaya bersukan dan mengamalkan cara hidup sihat. Ia turut meningkatkan keyakinan kita ketika melakukan sesuatu aktiviti," kongsi Tengku Fariz.

Simbolik 1,252 ranting karang

Posted:

Simbolik 1,252 ranting karang

Simbolik 1,252 ranting karang

Oleh ADHAM SHADAN


PARA penyelam menanam ranting karang di kawasan yang telah dikenal pasti.


BAYU 'simbiosis' berpuput di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini apabila kesedaran tentang mustahaknya pergantungan antara hidupan di darat dan laut berjaya diterjemahkan. Lebih manis, tangan-tangan yang berjasa kepada alam itu ialah milik anak-anak muda yang sedar bahawa keindahan khazanah marin perlu dipusakai generasi akan datang.

Meraikan biodiversiti, seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher (SMKDAM), Kota Bharu, Kelantan berganding bahu dengan 15 guru dan 20 mahasiswa serta kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk melaksanakan misi besar menerusi acara menanam ranting karang terbanyak di Malaysia.

Pecah rekod

Pulau kelima terindah di dunia itu menjadi saksi kejayaan mereka menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menanam sebanyak 1,252 ranting karang.

SMKDAM dan UMK meleburkan rekod penanaman 777 ranting karang di Pulau Mabul, Sabah yang telah dicipta pada Oktober tahun lalu oleh penyedia perkhidmatan televisyen berbayar, Astro.

Simboliknya, angka 1,252 itu sendiri merupakan bilangan pelajar di SMKDAM.

Program pemuliharaan alam itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia, Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Kelantan dan Watercolours Resort.

Perasmian dan majlis menandatangani sijil MBOR itu telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof.


PELAJAR dan kakitangan SMKDAM dan UMK meraikan kejayaan selepas berjaya menanam kira-kira 1,252 ranting karang di Pulau Perhentian, sekali gus diiktiraf sebagai acara menanam karang terbanyak di Malaysia.


Ia turut disaksikan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros, Pengetua SMKDAM, Che Ragayah Muhammad, wakil MBOR, Zulhairi Md. Zain, Ketua Pusat Taman Laut Besut, Wan Azli Wan Yusof dan Ketua Pegawai Operasi Watercolours Resort, Mike Soh Abdullah.

Ternyata, kepuasan terpancar pada wajah semua yang terlibat apabila misi itu berjaya dilunaskan dalam sorak gembira mereka yang berpakaian jaket keselamatan dan gogel di dalam air.

Percubaan kedua

Rata-rata pelajar SMKDAM yang menyertai misi itu ialah murid tingkatan 1, 2 dan 4.

Che Ragayah mendedahkan, acara itu merupakan percubaan kedua SMKDAM bersama UMK yang merupakan universiti angkat sekolah itu setelah mereka gagal pada cubaan sulung yang dianjurkan pada 24 Mac lalu berikutan beberapa masalah teknikal.

"Namun keinginan untuk menjayakan program tersebut telah menguatkan semangat kedua-dua pihak sehingga mereka berjaya menarik penglibatan MBOR," katanya.

Che Ragayah berkata, program ini dirancang sebagai kemuncak aktiviti Kelab Pendidikan Luar (KPL) sekolah itu pada tahun ini setelah lima tahun mengadakan pelbagai aktiviti snorkeling di Pulau Perhentian dan Redang.

"KPL melakukan pelbagai aktiviti snorkeling selain daripada aktiviti paintball dan kayak. Bermula sebagai satu aktiviti santai yang memberi tumpuan kepada kemahiran fizikal, pengisiannya telah berkembang sejajar dengan pengalaman yang dilalui.

"Aktiviti snorkeling menjadi sebahagian daripada program penghayatan taman laut dan aktiviti kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar.

"Pulau Perhentian dipilih kerana tempat itu sering dilawati pihak sekolah dan pelajar-pelajar dapat melihat sendiri kesan yang berlaku kepada batu karang di kawasan ini disebabkan aktiviti manusia dan perubahan cuaca dunia.

"Saya berterima kasih kepada pihak yang memberikan kerjasama termasuk Watercolours Resort yang bersedia untuk memantau pertumbuhan karang yang ditanam dari semasa ke semasa," katanya.


PROJEK menanam ranting karang mampu meningkatkan kefahaman peserta mengenai hidupan marin dan alam sekitar.


Penghayatan

Pelajar SMKDAM, Hasanah Ghazali, 16, berkata, penyertaannya di dalam program tersebut telah memberi pendedahan penting terhadap kehidupan marin.

"Ia juga memberi kesedaran kepada kita bahawa apa sahaja yang kita lakukan akan memberi kesan kepada makhluk alam yang lain. Apabila menyertai program sebegini, kita mudah berasa sedih apabila mendengar atau melihat tindak-tanduk manusia yang sewenang-wenangnya memusnahkan alam," katanya.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Hijaz Ramzi, 16, berkongsi rasa bangga kerana dapat mencipta rekod baharu buat sekolahnya dan berbakti kepada alam sekitar.

"Kawasan karang merupakan tempat ikan-ikan kecil berlindung dan membiak.

"Jika karang tiada, di mana ikan-ikan kecil itu akan berlindung untuk meneruskan hidupnya? Alam sekitar wajar dijaga dan keindahannya perlu terus dipelihara untuk tatapan generasi kini dan akan datang," ujarnya.

Resolusi empat kali ganda

Posted:

Resolusi empat kali ganda

Resolusi empat kali ganda


TELEVISYEN baharu ini menjanjikan kualiti gambar empat kali ganda lebih baik berbanding televisyen HD.


TOSHIBA Sales and Services Sdn. Bhd. (Toshiba) melancarkan siri televisyen diod pancaran cahaya (LED) terbaharunya, L9300 khusus bagi pasaran Asia Tenggara.

Memaparkan resolusi empat kali ganda lebih baik berbanding televisyen berdefinisi tinggi (HD) penuh di pasaran, siri L9300 menawarkan pengalaman menakjubkan ketika menonton filem atau rancangan televisyen kegemaran anda.

Dengan lebih lapan juta piksel pada paparan UltraHD (UHD), siri L9300 yang membolehkan penonton menikmati keistimewaan visual tanpa diganggu struktur piksel seperti televisyen HD biasa.

Dikuasakan dengan sistem proprietari CEVO 4K Quad berserta pemproses dwifungsi, televisyen ini juga menawarkan kualiti tertinggi pemprosesan imej tersedia UHD termasuk pemulihan resolusi di samping fungsi meningkatkan penghasilan warna-warna yang dipancarkannya.

Televisyen ini juga hadir dengan teknologi baharu, Intelligent Auto View yang mampu mengubah suai parameter gambar seperti suhu warna, tona warna, ketajaman dan cahaya latar secara automatik bagi penghasilan visual yang optimum.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved