Rabu, 11 September 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Bertemu tokoh ternama dunia

Posted:

Bertemu tokoh ternama dunia

Bertemu tokoh ternama dunia

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

MELIHAT iklan-iklan di dada akhbar dan internet mengenai pembukaan muzium patung lilin di i-City, Shah Alam, Ogos lalu ternyata mengimbau kenangan Radziah Abdullah, 44, ketika bercuti bersama keluarga di Universal Studios, Resort World Sentosa, Singapura tahun lalu.

Apa yang tersimpan dalam memorinya ketika kunjungannya itu ialah rupa paras dan bentuk fizikal ukiran patung-patung lilin tokoh, selebriti dan ahli sukan ternama dunia yang dipamerkan itu sama seperti yang ditontonnya menerusi kaca televisyen dan internet.

Sehubungan itu, pembukaan Red Carpet iaitu sebuah muzium yang menempatkan patung-patung lilin interaktif di i-City, Shah Alam pada pertengahan Ogos lalu amat ditunggu-tunggu oleh ibu kepada empat cahaya mata itu.

"Anak lelaki saya ingin melihat patung lilin legenda seni bela diri dan pelakon aksi Hong Kong, Bruce Lee. Ia merupakan matlamat asal saya dan keluarga datang ke sini. Dia (anak lelaki) juga terpegun melihat tekstur lilin rupa paras pelakon itu kerana ukirannya amat terperinci.

"Kami berpeluang menyentuh dan mengambil gambar bersama patung-patung lilin yang dipamerkan tanpa halangan daripada pihak pengurusan. Sebagai pengunjung, saya juga bertanggungjawab untuk mengawasi anak-anak agar tidak merosakkan patung-patung yang dipamerkan itu," ujar guru yang bertugas di sebuah sekolah di Shah Alam itu.

DUA orang pelawat terpegun melihat patung Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pada Hari Merdeka 1957.


Suasana eksklusif

I-City telah dimajukan oleh I-Berhad di kawasan seluas 29 hektar di Seksyen 7, Shah Alam. Antara daya tarikan pelancongan di i-City ialah Bandar Lampu Digital yang mempunyai kira-kira 1 juta lampu diod pemancar cahaya (LED), Snowalk, WaterWorld dan FunWorld .

Kini, Red Carpet merupakan produk pelancongan baharu milik i-City di dalam kategori FunWorld selain daripada Muzium Seni Silap Mata.

Red Carpet menempatkan kira-kira 100 patung lilin tokoh-tokoh, pemimpin, selebriti dan ahli sukan terkenal dari dalam dan luar negara dan ia merupakan muzium lilin yang pertama di Malaysia.

Dengan tema berkonsepkan Anugerah Oscar, bangunan tiga tingkat di dalam kawasan seluas 2.7 meter persegi itu menampilkan suasana eksklusif untuk pengunjung berjalan di atas karpet merah sambil melihat patung-patung lilin yang dipamerkan.

Radziah juga berpendapat, muzium tersebut memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia melihat patung-patung lilin seperti di Universal Studios, Singapura dan Disneyland, Hong Kong tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk ke luar negara.

"Ia merupakan satu strategi yang baik untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara ke i-City. Bagi saya yang tinggal di sekitar Shah Alam, lokasi muzium ini tidak menjadi halangan untuk kembali berkunjung ke sini pada bila-bila masa," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, patung lilin Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Pertama Malaysia turut menarik minat generasi muda untuk lebih mengetahui ciri-ciri fizikal bapa kemerdekaan itu walaupun tidak sempat menatap wajahnya ketika beliau mentadbir negara.

Red Carpet merupakan salah satu produk pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014). Sejak mula dibuka kepada umum pada bulan Ogos lalu, muzium tersebut berpotensi menambah bilangan pengunjung sebanyak 30,000 sebulan ke i-City.


KEHADIRAN patung lilin Presiden AS, Barrack Obama di muzium itu mencuri tumpuan pengunjung.


Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Red Carpet merupakan salah satu produk pelancongan terbaharu yang telah diperkenalkan oleh kerajaan di Selangor bersempena dengan TMM 2014.

"Kewujudan muzium ini juga akan menarik pelancong berkunjung ke ibu negeri Selangor dan menerokai produk pelancongan yang terdapat di sini terutamanya di i-City. Kerajaan akan memberi komitmen dan kerjasama dalam mempromosikan muzium lilin ini.

"Saya sendiri amat kagum dengan rekaan patung-patung lilin yang dipamerkan di muzium ini. Ia merupakan satu idea bernas dan salah satu produk pelancongan terbaik yang ada di Malaysia," ujarnya pada satu sidang akhbar selepas merasmikan muzium tersebut Ogos lalu.

Konsep muzium

Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates, aktres legenda Amerika Syarikat (AS), Marilyn Monroe, saintis terkemuka, Albert Einstein dan pemain badminton nombor satu di dunia, Datuk Lee Chong Wei merupakan karakter patung lilin yang dipamerkan di muzium itu.

Sebanyak 100 patung lilin itu mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan di sebuah kilang di China. Pengarah Reka Bentuk Kreatif dari AS, Bernardo Munoz merupakan individu penting yang merancang konsep muzium tersebut.

Idea dan pengalaman Munoz yang pernah bekerjasama dengan produksi filem animasi studio Pixar, The Walt Disney dan Universal Studio ternyata memberi nilai eksklusif dalam segenap perincian bangunan dan patung-patung lilin yang dipamerkan.

Kafe Bellagio yang menjual aneka kek cawan dan air minuman menjadi tumpuan para pengunjung berehat sambil ditemani oleh beberapa patung lilin yang duduk di kerusi kafe tersebut. Antaranya, pelakon legenda British yang terkenal sekitar tahun 1950-an, Audrey Hepburn.

Pengurus Perkhidmatan Korporat i-City, Tang Soke Cheng memberitahu, menerusi setiap patung lilin yang dipamerkan, pengunjung dapat merasai suasana sebenar ketika berada di majlis rasmi yang membabitkan tokoh-tokoh patung lilin itu.

Sebagai contoh, postur badan patung lilin tokoh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan pakaian yang dipakainya ketika melaungkan perkataan keramat, Merdeka di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 1957 digambarkan dengan jelas untuk tatapan para pengunjung.

Selain itu, momen perkahwinan pewaris takhta diraja Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton dapat dilihat dan difahami dengan jelas walaupun tiada papan maklumat yang disediakan oleh pihak i-City.

"Pihak kami juga menyediakan kostum dan pakaian yang sesuai dengan karakter patung lilin untuk dipakai oleh pengunjung bagi sesi fotografi.

"Ia merupakan satu idea baharu untuk pengunjung lebih merasai detik dan suasana ketika bersama dengan idola mereka," ujarnya yang turut memberitahu muzium tersebut mengambil masa selama setahun bermula daripada perancangan sehingga dibuka kepada pengunjung.

Menurutnya, Red Carpet menjadi destinasi pilihan untuk pengunjung yang rata-rata terdiri daripada keluarga untuk merasai pengalaman baharu ketika berkunjung ke i-City.


KAFE Bellagio menghidangkan aneka kek dan minuman untuk para pengunjung di Red Carpet.


"Pihak pengurusan juga dalam perancangan untuk menambah bilangan patung-patung lilin dari semasa ke semasa. Setakat ini, sambutan pengunjung amat menggalakkan. Mereka juga menghargai patung-patung lilin itu yang kebanyakannya masih elok tanpa sebarang cacat cela," ujarnya.

Selain itu, pihak pengurusan juga merancang untuk menambah karakter patung-patung lilin dari semasa ke semasa dalam usaha untuk menarik pengunjung sempena TMM 2014 pada tahun hadapan.

Seorang selebriti kanak-kanak yang popular menerusi rancangan realiti televisyen Idola Kecil 3, Abdul Hadi Abdul Mazlan, 14, memberitahu, kunjungannya ke Red Carpet memberi peluang kepadanya untuk melihat idola yang dipuja seluruh dunia secara lebih dekat walaupun hanya menerusi ukiran patung lilin.

"Sememangnya mustahil untuk saya berjumpa dengan Presiden AS, Barrack Obama. Tetapi saya dapat mengambil gambar bersama patung lilinnya di sini. Saya juga tertarik dengan patung warga Angola, Francisco Domingo Joaquim yang mempunyai keluasan mulut terbesar di dunia. Patung lilin dengan setin minuman Coca-Cola di dalam mulutnya itu ternyata amat melucukan," ujarnya ketika ditemui selepas tamat sesi penggambaran rancangan televisyen di Red Carpet baru-baru ini.

Keasyikan Masjid al-Aqsa

Posted:

Keasyikan Masjid al-Aqsa

Keasyikan Masjid al-Aqsa


PEMANDANGAN Masjid Al-Aqsa.


SEWAKTU seorang rakan baik saya mencuba beberapa kali mengajak untuk menunaikan umrah bersama-sama, terasa seperti ada batu memberat di dada yang membuatkan saya menolak pelawaannya.

Sejak dulu lagi saya lebih gemar melancong ke destinasi yang terdapat dalam senarai Tujuh Keajaiban Dunia seperti Taj Mahal di India, Statue of Liberty (Amerika Syarikat), Piramid (Mesir), Menara Condong Pisa (Itali), Tembok Besar China dan Petra (Jordan).

Namun, saya berubah fikiran selepas rakan baik saya iaitu penulis lirik dan wartawan hiburan terkenal, Mama Juwie memujuk saya menunaikan umrah sambil melawat Masjid al-Aqsa di Palestin. Saya tertarik kerana beliau mengatakan pengalamannya ke sana sungguh berbeza.

Hati saya kuat menerima ajakan Mama Juwie kerana telah bermimpi tentang arwah ibu sedang menunaikan umrah di Masjidilharam beberapa hari sebelumnya. Malah kakak saya juga secara kebetulan mempelawa saya untuk ke sana.

Saya membuat keputusan untuk mengikuti pakej umrah yang merangkumi lawatan ke Baitulmuqaddis, Amman, Madinah dan Mekah selama 15 hari 12 malam yang dianjurkan oleh Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd.

Semakin hari, saya semakin tidak sabar untuk menjejakkan kaki di bumi penuh keberkatan itu. Setelah mengikuti taklimat khas mengenai Baitulmuqaddis yang diadakan pihak penganjur, saya bertolak bersama ahli rombongan ke sana pada 6 Mei hingga 20 Mei lalu.

Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Queen Alia di Amman, Jordan menggunakan pesawat Royal Jordanian.

SALAH sebuah masjid yang telah dijadikan gereja di Jerusalem.


Penerbangan yang memakan masa tujuh jam itu bermula pada pukul 10.10 malam dan tiba pada pukul 5.15 pagi keesokan harinya. Kemudian, kami terpaksa menaiki pesawat lain untuk ke Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv, Israel.

Penerbangan tersebut cuma memakan masa selama 45 minit tetapi masa yang panjang terpaksa dilalui ketika menjalani pemeriksaan imigresen iaitu kira-kira empat hingga lima jam.

Saya terpaksa bersikap bermuka-muka dengan pegawai di sana agar tidak mengecop pasport antarabangsa saya. Jika tidak, saya tidak akan dibenarkan masuk ke Madinah dan akan dihantar pulang terus ke Malaysia.

Pemeriksaan yang ketat membuatkan kami tidak berani bercakap dengan kuat dan hanya mampu tersenyum serta menurut sahaja arahan yang ditetapkan oleh pihak imigresen.

Semua jemaah yang berjanggut terutamanya yang beragama Islam akan disiasat dengan teliti kerana pihak berkuasa Israel beranggapan mereka berpotensi mengancam keselamatan negara Yahudi itu.

Setelah selesai melayan kerenah penguat kuasa tersebut, kami pun bergegas menaiki bas yang disediakan untuk menziarah makam Nabi Musa yang terletak tidak jauh dari Jerusalem. Selepas itu, kami mendaftar masuk di Hotel Holy Land yang terletak berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa.

Hati ini terusik tatkala kanak-kanak Palestin datang mendekati dan menawarkan bantuan untuk menunjukkan jalan ke Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga terpenting bagi umat Islam seluruh dunia.

Kami juga diingatkan agar tidak memberikan wang mahupun hadiah kepada rakyat Palestin di Israel kerana dikhuatiri ia dapat membantu ekonomi umat Islam di sana. Mata yang berkaca dan wajah yang hampa jelas terukir di wajah kanak-kanak berkenaan.

Hanya doa sahaja yang boleh saya panjatkan kepada saudara seagama yang ditindas di Palestin.

Keadaan kawasan di sekitar Masjid al-Aqsa kelihatan lengang kerana dikawal ketat tentera Israel. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk saya menjejakkan kaki di hadapan masjid suci tersebut.


PENULIS (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama para jemaah dari Malaysia di hadapan Dome of The Rock atau Qubbat As-Sakhrah.


Sebaik berdiri betul-betul di hadapan Masjid al-Aqsa, kelopak mata bergenang dengan air mata dan lidah saya seolah-olah kelu tidak dapat meluahkan kata-kata. Sesungguhnya, keindahan binaan yang dilihat pada waktu itu terlalu cantik untuk digambarkan.

Sayangnya, masyarakat Islam di Palestin dinafikan peluang untuk menunaikan solat di masjid agung yang merupakan kiblat pertama umat Islam itu.

Hanya pelancong asing dibenarkan bersolat di sana kerana tentera Israel bimbang jika rakyat Palestin dibenarkan berbuat perkara yang sama, mereka mudah mendapatkan bantuan daripada pelancong.

Pengalaman berharga ini membuatkan saya benar-benar sebak kerana melihat sendiri penindasan yang dilakukan ke atas saudara seagama di bumi yang dirampas oleh bangsa Yahudi.

Banyak masjid yang dirampas daripada penduduk Palestin sebelum dijadikan pusat penginapan dan bar yang menjual arak.

Sebelum kembali ke Amman, saya dan jemaah lain dalam rombongan ziarah itu dibawa mengelilingi bandar Tel Aviv.

Bagaikan menginap di rumah sendiri

Posted:

Bagaikan menginap di rumah sendiri

Bagaikan menginap di rumah sendiri

Oleh ADLAN JAAFAR


RUANG lobi mengetengahkan gaya minimalis.


BAGI ahli-ahli perniagaan mahu pun pelancong yang ke Kuala Lumpur dan ingin menginap di satu pusat peranginan yang berbeza dari segi dekorasi atau lokasi, Hotel Vivatel (Vivatel) mungkin pilihan yang sesuai.

Terletak sejauh 7.4 kilometer dari Menara Berkembar Petronas, Vivatel merupakan hotel butik perniagaan bertaraf empat bintang dengan lokasi di pinggir pusat bandar dan mempunyai akses yang mudah.

Membuka pintu buat kali pertama kepada pengunjung pada 15 Disember 2012, ia menawarkan sebanyak 302 buah bilik.

Ruang lobi Vivatel menampakkan rekaan ringkas dengan penerapan ciri-ciri minimalis.

Namun, suasana bertukar sebaik memasuki ruang kafe yang berada di aras yang sama, Retro Cafe. Menggunakan tema yang sama dengan nama restoran tersebut, segala-galanya berkenaan dekorasi, warna dan reka bentuk perabot menepati cita rasa itu.

Menariknya, buat kali pertama bagi sebuah hotel di Malaysia, tema-tema unik lima elemen semula jadi iaitu air, api, kayu, tanah dan logam diserlahkan dalam rekaan hotel.


UNIT Duplex mempunyai gabungan dua tema berbeza mengikut aras bilik.


Setiap unsur menjadi tema bagi setiap tingkat iaitu tema Platinum di tingkat 12, tingkat 11 (logam), tingkat 10 (kayu), tingkat sembilan (air), tingkat lapan (api) dan tingkat tujuh (tanah).

Apabila melangkah masuk ke salah satu bilik di tingkat 11 contohnya, anda pasti terkesima dengan pemilihan dan perincian tema yang dibuat sehingga menghampiri elemen sebenar.

Di kamar mandi, permukaan marmar yang dipilih memberi kesan logam yang sudah mula mengalami proses pengaratan dengan campuran warna kuprum dan kelabu kehitaman.

Amat logik dan teliti, sudah pasti logam akan berkarat apabila terlalu lama terdedah pada percikan air.

Begitu juga di tingkat 10, warna coklat kayu melatari suasana bilik dengan penambahan perhiasan yang sesuai dengan tema seperti tumbuh-tumbuhan.

Setiap bilik yang dimasuki, menerbitkan perasaan unik dalam diri yang berkemungkinan datang daripada gabungan jenis bahan, warna dan teknik pencahayaan.

Bagi unit dupleks, menurut Eksekutif Kanan Vivatel, Samantha Lui, tema yang dipilih mempunyai campuran dua unsur berbeza.

Ia disebabkan unit itu berada pada dua aras berbeza yang dihubungkan dengan tangga. Sebagai contoh, dupleks di tingkat 11 dan 12 mempunyai tema gabungan antara unsur platinum serta logam.

"Kami mahukan setiap pengunjung yang hadir terutamanya tetamu berulang, mendapat pengalaman berbeza setiap kali menginap di sini," kata Pengarah Urusannya, Engamin Bong, 25.

Setiap bilik juga mempunyai cetakan kanvas dinding dan hiasan meja yang berlainan tetapi masih seiring dengan tema.


SETIAP perincian seperti lantai, warna, bahan dan barang perhiasan dipilih mengikut tema.


Pengunjung juga berpeluang membeli perhiasan yang terdapat pada bilik jika mereka berminat.

Fakta menarik mengenai bilik Grand Suite di tingkat 10, ia pernah menjadi kamar tidur pelakon Korea Selatan yang terkenal dengan drama bersiri Boys Over Flowers, Lee Min Ho, ketika dia dalam siri jelajah Asia.

Di ruang seminar dan mesyuarat pula, Vivatel menggunakan tema alam semula jadi dengan kertas dinding bercorak tumbuh-tumbuhan dalam sebuah hutan hujan tropika.

"Sesuai dengan suasana mesyuarat yang kerap kali tegang apabila ada isu berbangkit, warna dan tema ini diharap dapat mengurangkan tekanan yang ada," ujar Lui.

Segala-gala yang berkaitan dengan dekorasi, pemilihan perabot dan perhiasan diurus serta dipilih sendiri pemilik hotel itu.

Pemilihan barang-barang perhiasan, warna dan rekaan yang terperinci membuatkan pengalaman menginap di Vivatel begitu selesa, seakan-akan berada di rumah sendiri.

Namun demikian, sifat eksklusif hotel itu masih terasa.

Bagi memastikan pengunjung sentiasa mendapat kemudahan terbaik, tiga buah kios daftar masuk disediakan bagi tetamu hotel.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved