Jumaat, 6 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Norizan jelmaan Tiara

Posted:

Norizan jelmaan Tiara

Norizan jelmaan Tiara

ENAM tahun lepas, Teater Muzikal P. Ramlee pernah mengisi ruang pentas Istana Budaya Kuala Lumpur.

Watak utamanya, Tan Sri P. Ramlee ketika itu dilakonkan oleh Sean Ghazi menerusi pementasan yang diberi judul P. Ramlee - The Musical... Hidup, Cinta and Inspirasi.

Setahun kemudian, kisah yang sama dipentaskan oleh roh berbeza. Musly Ramlee yang sinonim dengan karakter seniman agung P. Ramlee pula diberikan tanggungjawab menggalas peranan serupa.

Kemudiannya, produksi itu menjelajah kota Singapura pada tahun yang sama untuk menghidangkan santapan sama di tanah yang pernah menjadi medan perjuangan P. Ramlee dalam dunia seni.

Kali keempat tahun ini, Teater Muzikal P. Ramlee bakal diterbangkan ke negeri Sarawak dalam rombakan besar-besaran termasuk pertukaran pendukung empat watak utama P. Ramlee, Junaidah, Norizan dan Saloma.

Tony Eusoff akan mengambil alih peranan P. Ramlee manakala tiga wanita utama mengiringi perjalanan hidup P. Ramlee sebagai isteri iaitu Junaidah, Norizan dan Saloma akan dijelmakan masing-masing oleh Nadia Aqilah, Datin Seri Tiara Jacquelina dan Elly Mazlein.

Menyusuri kata hati Tiara ke arah perjalanan sebuah pementasan yang menuntut kudrat dan imbauan emosi karakter beberapa tahun lalu, ujarnya, rasa teruja mengatasi perasaan gementar menjelang tarikh pementa- san pada 9 September ini.

"Sudah lama saya menunggu Teater Muzikal P. Ramlee dipentaskan di luar Kuala Lumpur untuk berkongsi kisah menakjubkan mengenai seniman agung ini dan impian itu akhirnya menjadi realiti tidak lama lagi.


NOSTALGIA... Foto kenangan arwah Norizan bersama P. Ramlee.


"Pastinya dalam setiap produksi yang menjelajah cabaran utama adalah untuk mengecilkan saiz produksi serta mereka set yang praktikal, dinamik serta pelbagai fungsi yang ringan dan kompak untuk memudahkan kerja.

"Kali ini sebanyak 30 peratus dikurangkan, sama ada dari segi jumlah tenaga produksi, pelakon yang perlu memainkan lebih daripada satu watak dan durasi persembahan," kata Tiara merangkap penerbit eksekutif pementasan itu.

Norizan

Tiara yang ditemui pada sidang akhbar teater muzikal P. Ramlee di KL Pac baru-baru ini mendedahkan, pementasan kali ini diadakan sempena sambutan kemerdekaan negeri Sarawak kali ke-50 tahun ini.

Menariknya, persembahan itu mendapat sokongan penuh daripada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang merupakan peminat fanatik dan teman rapat Allahyarham P. Ramlee.

Meletakkan tugas mengarahkan teater muzikal ini seratus peratus kepada Pat Ibrahim dan Melissa Saila membolehkan Tiara melepaskan kerinduan untuk kembali beraksi di pentas teater.

Pernah suatu masa dulu berlakon bersama isteri kedua Allahyarham P. Ramlee, Norizan Mohd. Noor membuka jalan buat Tiara melakonkan pe- ranan itu.

"Saya pernah kenal dengan Nori- zan dan kami digandingkan bersama dalam sebuah drama pada tahun 1992. Itu kali pertama saya kenal Norizan.

"Aura dan pesonanya mengatasi usianya. Dia tetap elegan dan cara dia berkata-kata seperti dia sudah merasai apa yang tidak sempat dirasa- kan oleh orang lain, senang kata hidupnya tiada penyesalan!" singkap Tiara.

Tambahnya: "Peribadi saya salin tak tumpah seperti Norizan, seorang yang peka, profesional dan tersusun mengatur tugas sehari-hari."

TIARA mengakui pernah bergandingan dengan Norizan menerusi sebuah drama pada tahun 1992.


Kerabat

Sinonim dengan watak Puteri Gunung Ledang, Tiara mengakui watak itu serasi dengan perjalanan realiti hidupnya.

Faktanya, Norizan asalnya seorang kerabat negeri Perak yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi mengejar cintanya kepada P. Ramlee.

Oleh kerana terlalu menumpukan hidupnya terhadap kerjaya seni, perkahwinannya bersama P. Ramlee berakhir pada tahun 1961.

"Kajian saya meliputi kerabat negeri Perak dan ruangan blog milik Raja Kobat Sallehuddin iaitu Sembang Kuala.

"Daripada sumber itu saya berjaya mendapatkan satu-satunya foto Norizan bersama ayahandanya, Tuanku Sultan Perak sebelum beliau memutuskan untuk meninggalkan istana dan berkahwin dengan P. Ramlee," jelasnya.

Isu serban Iqram Dinzly

Posted:

Isu serban Iqram Dinzly

Isu serban Iqram Dinzly

Oleh JULIA ISMAIL

IQRAM akui dia kini cuba mendalami ilmu agama.


PERUBAHAN imej dirinya yang lebih banyak mengenakan serban dalam penampilannya sejak akhir-akhir ini menjadikan pelakon Iqram Dinzly bahan bualan mulut banyak pihak terutama peminat dan para penggiat seni lain.

Persoalan tercetus sama ada dia telah membawa diri ke satu sisi lain untuk lebih menjiwai agama Islam atau cuba menarik diri daripada dunia hiburan?

Terdapat juga pihak tertentu yang mengaitkan dirinya dengan mendakwa dia telah menyertai parti politik tertentu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon drama Janji Diana itu pada majlis Aidilfitri Bersama Hotel Perdana di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Kosmo!: Bolehkah Iqram komen mengenai perubahan imej anda yang dikatakan agak Islamik seperti pemakaian serban melalui gambar-gambar yang dikongsikan di laman Instagram?

IQRAM: Sebenarnya, tidak ada jawapan khusus mengapa saya mengenakan serban ataupun lilitan di kepala kerana perkara ini datang dengan spontan.

Saya mula memakai serban sejak Ramadan tahun lepas lagi. Cuma, pada tahun ini saya pelbagaikan untuk seiring dengan fesyen.

Adakah ini petanda Iqram cuba tunjukkan bahawa diri anda sudah berubah ke arah yang lebih Islamik?

Saya kini cuba mendalami agama sebanyak yang boleh dan saya anggap perubahan ini seiring dengan usia yang semakin meningkat. Tidak ada apa yang pelik mengenai diri saya.

Serban ini hanya menukar sedikit sahaja daripada penampilan saya tetapi bukan diri saya secara keseluruhan. Saya tetap Iqram yang dulu. Pemakaian serban juga menjadi amalan nabi-nabi dan tidak ada salahnya untuk mempraktikkannya kembali dengan cara yang lebih moden mengikut pengedaran zaman.

FIGURA ini kini lebih selektif dalam memilih tawaran berlakon.


Jika begitu, bolehkah Iqram huraikan mengenai pemilihan pemakaian serban ini?

Seperti memakai topi atau apa-apa aksesori kepala lain, pemakaian serban atau lilitan di kepala juga boleh dijadikan satu aksesori yang menambah sedikit kelainan dalam penampilan. Saya kurang gemar memakai songkok atau pun kopiah. Kerana itu saya memilih serban atau pun kain penglilit kepala.

Adakah Iqram akan mengekalkan penampilan berserban ini dalam setiap kemunculan di khalayak?

Insya-Allah saya akan kekalkan. Penampilan ini juga menjimatkan kos saya sebenarnya kerana saya tidak perlu fikir mengenai gaya rambut atau ke salon atau pun berada berjam-jam di hadapan cermin untuk memastikan rambut saya berada dalam keadaan yang menarik (ketawa).

Aktiviti Iqram dalam dunia hiburan juga semakin berkurangan. Adakah ini sebahagian daripada cubaan untuk bersara atau anda merajuk hati?

Saya kini lebih selektif dalam memilih tawaran untuk memberi ruang kepada saya untuk melakukan apa yang tidak dapat saya lakukan sebelum ini.

Kini saya boleh seimbangkan kehidupan saya yang dahulunya tersekat dalam kelompok yang sama. Saya hanya mengurangkan sedikit sahaja aktiviti dalam dunia hiburan tetapi tidak bermakna saya merajuk atau pun ingin bersara dari dunia ini.

Adakah Iqram juga ingin berhijrah seperti rakan-rakan artis yang lain?

Perkataan hijrah tidak sesuai digunakan kepada penggiat seni seperti saya kerana jika ingin berhijrah, maknanya lupakan terus dunia hiburan.

Mencecah usia 30-an seolah bermulanya satu anjakan paradigma dalam diri saya yang mematangkan pemikiran serta tingkah laku. Namun, tidak mungkin saya berhenti terus dari dunia lakonan ataupun dunia hiburan kerana ia telah sebati dalam dirinya.

Kini saya lebih banyak memenuhi undangan pengacaraan berbanding undangan lakonan.

Alternatif baharu Prema Yin

Posted:

Alternatif baharu Prema Yin

Alternatif baharu Prema Yin

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

FIGURA ini mengakui dia begitu meluahkan perasaannya menerusi single terbaharunya, Second Best.


NAMA Prema Yin jika mahu dihitung bukan nama baharu dalam industri muzik tempatan. Pada awal kemunculan wanita berusia 27 tahun ini, dia pernah dilanda kontroversi hebat kerana klip video single, Menarilah.

Ramai yang tidak dapat menerima tarian seksinya bersama aktor Shahrizal Jaszle menyebabkan dia dikritik hebat oleh masyarakat.

Bagaimanapun, Prema Yin Ranee atau lebih mesra disapa sebagai Prema, merupakan seorang yang tidak mudah mengalah.

Selepas isu tersebut reda dan namanya seperti hampir tenggelam, Prema tiba-tiba muncul kembali.

Kemunculannya kali ini juga tampak berani apabila hadir dengan sebuah album mini berjudul Redefined. Ia mengandungi sebanyak lima buah lagu iaitu 100%, Mexico, Second Best, Ring My Bell dan duet bersama Narmi, Just With You.

Bercakap mengenai lagu-lagu yang terkandung di dalam album tersebut, Prema memilih Second Best sebagai lagu yang paling dekat dengan dirinya.

"Second Best merupakan sebuah lagu yang beremosi dan saya akui, ia merupakan apa yang saya pernah rasa suatu ketika dahulu. Ketika itu, saya masih ingin mencari haluan diri saya serta karier nyanyian yang diceburi ini. Justeru, saya luahkan perasaan itu menerusi single ini. Siap semuanya, baru saya sedar bahawa itu memang merupakan perasaan saya yang sebenar.

"Lagu ini muncul kerana ketika itu saya dapat rasakan apa yang saya lakukan untuk karier nyanyian ini tidak pernah bagus.

"Saya sangat berusaha, namun tidak memperoleh apa yang saya inginkan. Saya rasa, sebagai manusia mungkin semua orang punya perasaan sedemikian," cerita Prema.


PREMA kini muncul dengan album mini berjudul, Redefined.


Ingin bebas

Jika dahulu dia terikat dengan syarikat label, namun kini tutur Prema dia lebih selesa bergerak secara indie.

Bicaranya lagi, jika bergerak secara indie, dia lebih bebas dan jujur dalam meluahkan perasaan melalui penulisan dan penggubahan lagu.

"Saya hormat dengan artis indie seperti Hujan, Yuna dan ramai lagi kerana berjaya menaikkan nama mereka bukan sahaja dalam industri tempatan, malah ke tahap antarabangsa. Ini kerana, ia bukan perkara yang mudah untuk mencapai tahap sedemikian.

"Sejujurnya, saya sentiasa mahu menulis lagu seperti apa yang saya lakukan kini iaitu yang sebati dengan diri saya. Oleh itu, saya keluar menjelajah dan memberi hiburan kepada orang ramai. Ini kerana, kadang-kadang saya rasa ingin membuat sesuatu yang berbeza," luahnya.

Sehubungan itu, dia telah tampil dengan sebuah webisode yang menunjukkan dirinya seperti penghibur jalanan.

"Saya telah pergi ke kampung Orang Asli iaitu Kampung Jentung, Sungkai, Perak untuk memberi hiburan kepada mereka. Walaupun hanya berada di sana selama sehari, namun mereka sangat memberi inspirasi kepada saya. Saya sangat gembira dan ia merupakan suatu pengalaman yang menarik buat diri saya.

"Selain itu, saya juga ada membuat basking di KTM laluan Kuala Lumpur-Seremban dan ketika itu berasa sedikit gementar kerana fikirkan reaksi orang ramai terhadap saya.

"Bagaimanapun, apa yang saya lihat ketika itu, ternyata persembahan saya sedikit sebanyak menyegarkan mereka yang mungkin kebosanan menunggu kereta api tiba," jelasnya teruja ingin meneruskan projek tersebut.

Menurutnya, dia akan melakukan lebih banyak lagi siri basking dalam webisode yang akan ditayangkan dalam laman web rasminya iaitu www.premayin.com.

Webisode yang berjudul In My Own Words itu bakal ditayangkan sebanyak 10 episod dengan setiap satu episod baharu akan dikeluarkan pada setiap bulan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved