Sabtu, 14 September 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Aquino beri amaran kepada MNLF

Posted:

Aquino beri amaran kepada MNLF

Aquino beri amaran kepada MNLF

ANGGOTA Palang Merah dan tentera membawa seorang askar yang cedera terkena peluru mortar di Santa Catalina semalam. - AFP


ZAMBOANGA – Presiden Benigno Aquino memberi amaran kepada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) supaya tidak mencederakan atau membunuh tebusan semasa melawat sebuah bandar di selatan Filipina yang diserang oleh kumpulan pemisah berkenaan semalam.

Aquino juga berjanji akan menamatkan krisis bersenjata tersebut.

Dalam lawatannya, beliau menggesa penduduk bandar pelabuhan Zamboanga itu agar bersatu ketika perang antara MNLF dengan tentera Filipina masuk hari kelima semalam.

Presiden itu menganggap MILF kini terdesak untuk menggagalkan usaha kerajaan menamatkan penentangan orang Islam sejak beberapa dekad lalu.

"Anggota dan peralatan ketenteraan kita cukup besar," katanya pada satu sidang akhbar sambil menegaskan bahawa krisis di Zamboanga tidak dapat diselesaikan pada kadar segera tanpa melibatkan angka kematian yang besar.

"Justeru, kita tidak boleh terburu-buru. Kita perlu berhati-hati supaya tiada kehilangan nyawa secara sia-sia berlaku," tambah Aquino.

Menurutnya, pihak tentera tidak menetapkan sebarang tarikh akhir tetapi bertekad akan menamatkan serangan MNLF tersebut.

"Jika mereka (MNLF) mencederakan tebusan, melakukan kebakaran dan melampaui batasan-batasan lain, pasukan keselamatan kita telah diberikan arahan tentang kaedah untuk menanganinya," ujar pemimpin tersebut.

Mengulas perkembangan di Zamboanga, jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, lebih 22 orang terbunuh dan 52 lagi cedera dalam pertempuran lima hari di bandar berkenaan manakala 19 pejuang MNLF telah ditangkap atau menyerah diri.

"Sekurang-kurangnya 15,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran yang berlaku," kata beberapa pegawai lain.

Menurut mereka, pertempuran terhad di enam kawasan penempatan penduduk di bandar raya berkenaan yang dihuni hampir sejuta orang.

"Hampir 200 orang dijadikan tebusan dan perisai manusia oleh 180 pejuang MNLF yang turut mencetuskan kebakaran di enam daerah di Zamboanga," ujar mereka.

Setakat semalam, pihak tentera telah memasuki kesemua daerah terbabit bagi menghalang lebih banyak kemusnahan.

Di sebalik amaran Aquino, dua kawasan di sebuah daerah berkenaan dibakar oleh gerila MNLF semalam.

Pasukan bomba pula tidak dapat memadamkan kebakaran kerana bimbang menjadi mangsa penembak tepat MNLF.

Di sebuah lagi daerah di Santa Catalina, seorang tebusan lelaki ditembak di belakang semasa dia melarikan diri ke arah garisan tentera.

Sebuah ambulans digunakan untuk membawa mangsa ke hospital.

Satu konvoi besar melibatkan sejumlah kenderaan yang membawa beratus-ratus orang awam dilihat meninggalkan zon konflik semalam selepas kerajaan tempatan mengarahkan semua 160,000 orang di kawasan itu berpindah.

Polis memeriksa dokumen pengenalan diri mereka bagi memastikan tiada gerila MNLF yang lolos keluar.

Beberapa kumpulan mengandungi lebih 100 pejuang Islam bersenjata menyerang kedudukan tentera di Pulau Basilan, dekat Zamboanga kelmarin dan semalam dengan menyebabkan seorang terbunuh manakala 11 lagi cedera.

Krisis berkenaan bermula apabila pengikut-pengikut bersenjata pengasas MNLF, Nur Misuari cuba berarak ke Dewan Bandar Raya Zamboanga pada Isnin lalu.

Misuari menuduh Manila melanggar syarat perjanjian damai 1996 dengan mengadakan rundingan berasingan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

MILF kini berada di peringkat akhir rundingan damai dengan Manila dan dijangka mengambil alih bahagian selatan Filipina dan diberikan status wilayah autonomi lebih besar menjelang 2016.

Perjanjian damai tersebut bertujuan menamatkan penentangan oleh orang Islam di selatan Filipina yang telah meragut kira-kira 150,000 nyawa sejak tahun 1970-an. – AFP

Snoop Dogg derma wang untuk bantu kebumi kanak-kanak

Posted:

Snoop Dogg derma wang untuk bantu kebumi kanak-kanak

Snoop Dogg derma wang untuk bantu kebumi kanak-kanak


SNOOP DOGG tidak mendedahkan jumlah wang yang didermakannya kepada kanak-kanak yang maut ditembak kumpulan samseng.


LOS ANGELES - Bintang rap Amerika Syarikat, Snoop Dogg mendermakan wang untuk pengebumian seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang terbunuh dalam kejadian tembakan sekumpulan samseng.

Snoop Dogg atau nama sebenarnya Calvin Cordozar Broadus berkata, dia menyertai beberapa rakan artis rap yang lain dalam memberikan sokongan kepada keluarga mangsa.

Bagaimanapun, penyanyi itu tidak menyatakan jumlah wang yang didermakan.

Tambah penyanyi berusia 41 tahun itu, kematian Tiana Ricks di timur Los Angeles membangkitkan keperluan untuk meningkatkan kempen menentang keganasan senjata api.

Tiana dan bapanya yang berusia 26 tahun telah ditembak di luar rumah oleh dua orang lelaki yang berjalan ke arah mereka pada hujung minggu lalu di Moreno Valley.

Jurucakap polis berkata, kejadian itu mungkin ada kaitan dengan kumpulan samseng.

Polis percaya bapa mangsa tidak terlibat dalam aktiviti geng tersebut.

"Seorang kanak-kanak tidak sepatutnya maut ditembak," kata Snoop Dogg yang telah menukar nama komersialnya kepada Snoop Lion pada tahun lalu kepada akhbar LA Times.

Terdahulu, penyanyi rap, The Game atau nama sebenarnya Jayceon Terrell Taylor menyumbang sebanyak AS$10,000 (RM32,895) untuk pengebumian seorang remaja dengan berkata, ia adalah perkara paling menyedihkan. - AFP

Wanita berang diminta pendekkan nama

Posted:

Wanita berang diminta pendekkan nama

Wanita berang diminta pendekkan nama

HANYA nama akhir Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele dicatat pada lesen memandunya.


HONOLULU, Hawaii - Seorang wanita di sini mendakwa dibuli oleh pihak berkuasa apabila dia diminta menggunakan nama pendek dalam kad pengenalannya.

Nama wanita berkenaan, Jenice Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele memiliki 35 abjad.

Sejak 20 tahun lalu, hanya nama akhir wanita itu dicatat pada lesen memandunya manakala pihak berkuasa meluluskan penggunaan nama penuh tersebut dalam kad pengenalannya.

Masalah Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele bermula apabila kad pengenalan diri tersebut telah tamat tempoh dan perlu diperbaharui.

"Saya diminta untuk memendekkan nama saya semasa memperbaharui kad pengenalan," kata Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele.

Dia kini berusaha untuk memastikan agar nama penuhnya digunakan dalam lesen memandu dan kad pengenalan.

Namun, usahanya itu agak sukar kerana tiada ruang mencukupi untuk menempatkan 35 abjad dalam kedua-dua dokumen tersebut. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved