Sabtu, 31 Ogos 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Semarak merdeka melalui kembara

Posted:

Semarak merdeka melalui kembara

Semarak merdeka melalui kembara

HILMI dan Muhamad Farid menyempurnakan majlis pelepasan konvoi Kembara Merdeka Pulau Pinang 2013 di Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini.


NYANYIAN lagu Jalur Gemilang yang didendangkan sekumpulan remaja berkemundang menyambut ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Pulau Pinang 2013 ke daerah Balik Pulau.

Konvoi 40 peserta yang terdiri daripada warga kerja Jabatan Penerangan Pulau Pinang itu kelihatan bersemangat sambil mengibarkan Jalur Gemilang yang dipegang erat di tangan.

Balik Pulau yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar George Town itu dipilih sebagai destinasi pertama konvoi yang dilancarkan 1 Ogos lalu.

Peserta konvoi yang menaiki pelbagai jenis kenderaan termasuk pacuan empat roda, telah bergerak dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Balik Pulau.

Konvoi Kembara Merdeka Jabatan Penerangan Negeri itu kemudian bergerak sejauh 60 kilometer mengelilingi daerah tersebut bermula di Jalan Baru, Balik Pulau dan berakhir di Permatang Damar Laut.

Menurut Ketua Konvoi yang juga Pengarah Penerangan Negeri, Ishak Abdullah, program kembara itu merupakan acara tahunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menyambut bulan kemerdekaan.

Objektifnya untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan kakitangan jabatan itu dan masyarakat setempat.

"Di setiap daerah yang disinggahi, kami berpeluang mendekati masyarakat setempat dan mengedarkan risalah mengenai kemerdekaan negara dan Jalur Gemilang.

"Walaupun tarikh 31 Ogos biasanya disambut dengan cuti umum, tetapi kita mahu sambutan keramat ini disemarakkan lebih awal menerusi penganjuran program turun padang seperti ini," ujarnya.

Majlis pelepasan konvoi di Balik Pulau telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Sementara itu, seorang pelajar, Rusmina Kamaruddin, 18, menyifatkan program seperti itu membolehkan generasi muda sepertinya menyedari kepentingan pengorbanan para pejuang kemerdekaan sebelum ini.

"Pada saya, mesej yang ingin disampaikan oleh peserta konvoi ini amat penting kerana mereka bukan hanya berkenderaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang tetapi membawa suatu penghayatan yang amat mendalam," ujarnya. - MALINDA ABDUL MALIK

Kanak-kanak tonjol semangat kenegaraan

Posted:

Kanak-kanak tonjol semangat kenegaraan

Kanak-kanak tonjol semangat kenegaraan


SEKUMPULAN kanak-kanak berlari penuh semangat memegang Jalur Gemilang sambil melaungkan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" di Tajung Labian, Sabah.


"MERDEKA! Merdeka! Merdeka!"

Sorak sekumpulan kanak-kanak kecil berlari di pesisir pantai Tanjung Labian, Sabah sambil mengibarkan Jalur Gemilang telah menarik perhatian penulis semasa melintasi kawasan tersebut.

Jelas, perbuatan sekumpulan kanak-kanak itu membuktikan semangat kenegaraan mereka. Makna kemerdekaan pasti lebih bererti buat mereka apabila pernah melalui detik cemas tatkala kes pencerobohan pengganas Kiram di wilayah tersebut.

Mengimbas kembali, Lahad Datu telah diceroboh pada bulan Februari lalu, bermula di Kampung Tanduo sebelum merebak ke perkampungan Tanjung Batu dan Tanjung Labian.

Ketika pencerobohan itu berlaku, penulis berkesempatan membuat liputan bersama Penolong Ketua Biro Kosmo! Sabah, Mustapa Lakawa.

"Perbuatan pengganas ini kejam dan tidak berhati perut," kata seorang penduduk, Irman Habek.

Ketika itu penduduk kampung sudah mula memasuki rumah masing-masing secara berperingkat setelah menerima lampu hijau daripada pihak keselamatan.

Kawasan Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian terletak berdekatan pesisir pantai.

Kawalan keselamatan oleh pasukan Polis DiRaja Malaysia, Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia telah meyakinkan penduduk untuk melakukan aktiviti harian.

Tugas sentri bukanlah mudah. Apatah lagi dalam kawasan pasca peperangan.

Kesungguhan anggota keselamatan yang lengkap bersenjata bertugas mengawal keadaan amat dikagumi.

Kini kawasan keseluruhan Lahad Datu telah diwartakan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang merangkumi kawasan pantai timurnegeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak dan Sandakan. - MOHD. NAIM AZIZ

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved