Rabu, 28 Ogos 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Projek Singgit kerja amal cara baharu

Posted:

Projek Singgit kerja amal cara baharu

Projek Singgit kerja amal cara baharu

Oleh ADLAN JAAFAR

SUKARELAWAN Kindness Dot My yang diuruskan oleh Amir Effendi dan Muhammad (empat dari kiri) sentiasa mencari kaedah unik untuk melakukan kebaikan.


SEKITAR pukul 2.30 petang bulan Ramadan lalu, empat individu yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berkumpul di hadapan sebuah restoran makanan segera di KL Sentral, Kuala Lumpur.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun itu memakai kemeja T dan berseluar jean.

Suasana di KL Sentral pada masa itu sibuk dengan kelibat pengguna yang bergegas mendapatkan pengangkutan awam.

Memandangkan ketika itu bulan puasa, keadaan di hab pengangkutan awam itu lebih sesak dengan warga kota yang mahu pulang awal untuk berbuka puasa di rumah.

Keempat-empat individu itu melihat keadaan sekeliling sebelum ketua mereka, Muhammad Kamarulazizi, 31, mengagih-agihkan beberapa keping wang kertas seringgit kepada orang ramai yang lalu lalang.

Pada setiap keping wang kertas itu dikepilkan sekeping nota berbunyi: "RM1 yang anda jumpa ini ialah duit raya anda! Selamat menyambut bulan Ramadan."

Dalam masa sejam, wang tersebut selesai diagihkan. Kaedah memberi wang RM1 itu berbeza daripada apa yang pernah dipraktikkan oleh kebanyakan badan kebajikan lain.

"Minggu lalu kami mengagih-agihkan not seringgit berjumlah RM100, tetapi minggu ini kami kurangkan kepada RM50 saja.

"Jumlahnya terlalu banyak. Kami keletihan mengagihkan wang tersebut kerana tidak ramai yang berminat mengambil bahagian," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


WANG RM1 diletakkan secara rawak di tempat yang tidak terlalu tersorok.


Reaksi penerima

Minggu sebelumnya, kata Muhammad, reaksi orang yang menjumpai wang tersebut amat mengejutkan.

"Mereka jumpa dan membaca nota yang dikepilkan, namun enggan mengambil wang tersebut," ujarnya.

Selepas selesai meletakkan wang RM1 di lokasi-lokasi strategik di KL Sentral seperti di atas meja restoran dan bangku menunggu, kumpulan berkenaan beralih strategi dan mengagihkan kotak-kotak kecil berisi buah kurma pula.

Kali ini, sasaran mereka ialah individu yang kelihatan seperti dalam perjalanan ke sesuatu tempat, terutamanya mereka yang membawa beg pakaian.

Secara logik, individu yang baru tiba di KL Sentral pada pukul 4 petang pasti akan berbuka di dalam kenderaan kerana tersekat dalam kesesakan trafik.

Maka, pemberian kecil berupa buah kurma itu dilihat cukup berharga kepada warga kota yang berpuasa. Sekurang-kurangnya mereka dapat mengalas perut pada waktu berbuka.

Kotak-kotak kurma itu diberi secara terus kepada kumpulan sasar. Namun, hasil pemerhatian mendapati ramai pengguna yang menolak pemberian itu kerana menyangka kumpulan terlibat menjual barang atau meminta derma.

Namun, mereka tidak patah semangat dan meneruskan usaha murni badan sukarela yang dinamakan Kindness Dot My itu.

Kindness Dot My diasaskan Muhammad pada Mac lalu dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor.

Ia mengambil pendekatan baharu dalam menjalankan kerja-kerja amal.

Menurut Muhammad, pemberian RM1 secara rahsia itu dipanggil Projek Singgit, manakala Projek Kurma bagi pemberian buah kurma kepada orang ramai.

"Kami mahu mengajak orang ramai melakukan kebajikan, tetapi dengan cara berbeza. Pertolongan boleh diberikan walaupun dalam jumlah yang kecil.

"Saya percaya sedikit kebaikan yang diberi kepada orang yang tidak dikenali bukan sahaja menggembirakan mereka bahkan memupuk rasa ikhlas dalam diri kita sendiri," ujarnya.

Muhammad menegaskan, segala usaha yang dilaksanakan Kindness Dot My tidak mengharapkan sebarang balasan.

"Bagi setiap perbuatan yang dilakukan sama ada bersifat fizikal atau bantuan tenaga diniatkan kerana Allah," jelasnya.

Menurut Muhammad, program yang dijalankan Kindness Dot My itu dikenali sebagai random act of kindness yang membawa maksud berbuat baik secara rambang.

Ia bertujuan untuk membantu atau menggembirakan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Salah seorang sukarelawan yang terlibat pada hari itu ialah Dian Zahari, 21. Dian merupakan pelajar sepenuh masa Diploma Komunikasi Massa.

"Saya melibatkan diri dalam aktiviti ini kerana ia agak menarik dan dapat menggembirakan masyarakat," katanya.


ALIESH memegang kotak berisi buah kurma untuk diagihkan kepada orang ramai.


Bantu warga emas

Celah rakan sebayanya, Aliesh Mohd. Wahid, kerja sukarela itu amat bertepatan pada bulan Ramadan yang menggalakkan amalan bersedekah.

Dalam laman web www.wikihow.com, berbuat baik secara rambang dikatakan berasal daripada kata-kata penulis Amerika Syarikat (AS), Anne Herbert yang berbunyi: 'Amalkan kebaikan dan amalan kemanusiaan secara rambang. Kata-kata itu terpapar pada sekeping tikar di sebuah restoran di AS.'

Di negara itu, amalan ini telah lama dipraktikkan sehingga tertubuhnya The Random Acts of Kindness Foundation yang aktiviti mereka telah tersebar ke seluruh dunia.

Terdapat pelbagai perbuatan baik secara rawak yang boleh dilaksanakan. Antaranya, membantu warga emas tanpa mengenakan bayaran atau membayar harga kopi untuk pelanggan seterusnya.

Cerita Muhammad, terdapat sebuah video di laman YouTube yang memaparkan bagaimana seorang individu membayar harga kopi untuk pelanggan seterusnya di kaunter pandu lalu rangkaian Starbucks.

Atas rasa mahu memberi pertolongan seperti pemandu terdahulu, pelanggan kedua itu telah membayar pembelian kopi untuk individu berikutnya. Usaha itu berterusan sehinggalah kepada pelanggan yang ke-400.

"Disebabkan pelanggan terakhir enggan membayar harga kopi untuk orang seterusnya, maka perlakuan rawak itu terhenti.

"Bayangkan, tindakan individu yang mahu membayar harga kopi untuk seseorang yang tidak dikenali telah menyebabkan hati 400 orang berikutnya terbuka untuk melakukan kebaikan," ujarnya.

Pengasas bersama Kindness Dot My, Amir Effendi Abdul Rahim, 36, memberi contoh, membuka pintu untuk orang lain atau membayar tol kereta berikutnya sudah menepati konsep tersebut.

"Orang yang menerima tidak akan tahu siapa yang membantunya, kita juga tidak tahu siapa yang mendapat manfaat," katanya. Usaha Khairil Anuar Sapeia dan Wan Nazri Wan Shariman yang tergesa-gesa ke KL Sentral selepas waktu bekerja barangkali dipandang enteng kebanyakan orang.


PROJEK Singgit merupakan salah satu kaedah kreatif dalam memberi sumbangan secara rawak kepada individu.


"Kami datang ke sini semata-mata mahu menyertai program anjuran Muhammad Kamarulazizi selaku pengasas badan sukarela Kindness Dot My," kata Wan Nazri yang datang dari Damansara, Selangor.

Namun, susah payah mereka meredah kesesakan lalu lintas pada petang itu didorong oleh rasa ingin memberi kebahagiaan kepada orang lain. Pada nota yang dikepilkan bersama wang kertas RM1 itu disertakan sekali hashtag Kindness Dot My (#kindnessmalaysia) dan alamat Facebook (facebook.com/kindness) bagi memudahkan usaha itu disebarkan.

Kindness Dot My turut menjalankan banyak aktiviti seperti Projek Lima Kupang di Petaling Jaya iaitu projek memasukkan wang syiling ke dalam meter tempat letak kereta yang telah tamat tempoh tetapi kereta masih ada di petak.

Program lain termasuklah membawa anak-anak yatim menonton wayang dan memberi makanan kepada gelandangan.

"Dana datang daripada penaja yang kebanyakannya terdiri daripada orang perseorangan yang identiti mereka dirahsiakan," kata Muhammad.

Selepas selesai Projek Singgit dan Projek Kurma di KL Sentral, kumpulan ini telah bergegas ke Puchong, Selangor bagi meneruskan aktiviti amal mereka di sebuah rumah anak yatim di situ.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved