Rabu, 28 Ogos 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Liga Malaysia didakwa kembali dihantui rasuah

Posted:

Liga Malaysia didakwa kembali dihantui rasuah

Liga Malaysia didakwa kembali dihantui rasuah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PENYERANG Selangor, Muhammad Afiq Azmi (kanan) dicabar pertahanan Sime Darby, Firdaus Faudzi pada aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin yang menyaksikan pasukan Selangor tewas 0-3.


IMEJ Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) sekali lagi menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan pemerhati dan peminat tempatan.

Semuanya gara-gara beberapa aksi meragukan dalam kempen Piala Malaysia yang baru berlangsung tiga perlawanan peringkat kumpulan membabitkan 16 pasukan.

Antara kejutan yang berlaku setakat ini sudah pasti melibatkan prestasi hambar beberapa pasukan elit, antaranya Lions XII dan Selangor.

Selaku juara Liga Super, Lions XII sekadar mampu meraih satu mata, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan D di belakang Perak, Sarawak dan Kedah.

Selangor yang tampil selaku juara Piala Malaysia 32 kali turut mengalami kemerosotan prestasi apabila terperosok dalam saingan Kumpulan A di belakang Sime Darby, Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berbeza pula dengan nasib dua pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS dan Sime Darby yang dilihat lebih bergaya apabila masing-masing mengungguli Kumpulan A dan Kumpulan B.

Elemen-elemen kejutan itu mula membuatkan sesetengah pihak membuat andaian bahawa arena bola sepak Malaysia kini kembali dilanda gejala rasuah sebagaimana tahun 1995.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat memberitahu, setakat ini belum ada mana-mana pemain atau pegawai bola sepak didakwa atas kesalahan gejala rasuah.

Sebaliknya, Aseh berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau aktiviti pemain dan pegawai pertandingan dari semasa ke semasa.

"Saya tidak dapat mengesahkan kesahihan (rasuah) tetapi saya terdengar 'cakap-cakap belakang' mengenai situasi bola sepak kita sekarang.

"FAM dan SPRM telah memantau perkembangan bola sepak negara dan buat masa ini, pihak kami tidak terima sebarang aduan berhubung kes rasuah," kata Aseh ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Aseh berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak supaya lebih berani tampil memberikan maklumat atau bukti kepada pihak berkuasa jika benar gejala rasuah berlaku.

"Kami sentiasa bersedia menerima maklumat daripada pihak pengadu atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat. Cuma saya minta pengadu itu harus bertanggungjawab dengan setiap maklumat yang diberikan.

"Ini bukan satu masalah baharu. Jangan jadi seperti baling batu tetapi sorok tangan di belakang. Perkara sebeginilah menyebabkan siasatan kami tergendala.

"Jangan risau, identiti dan keselamatan mereka kekal selamat dan itu janji saya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menambah, badan induk itu sentiasa memantau setiap perlawanan bagi mengelak daripada sebarang unsur rasuah.

"Sekiranya kami menerima maklumat sahih berhubung gejala rasuah, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada.

"Buat masa ini, kami telah bekerjasama dengan pihak SPRM bagi membendung gejala rasuah daripada kembali menular dalam liga bola sepak tempatan," katanya.

Gergasi Merah semakin parah

Posted:

Gergasi Merah semakin parah

Gergasi Merah semakin parah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Perumpamaan tepat untuk menggambarkan situasi genting yang dihadapi Selangor ketika ini apabila Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad Gergasi Merah.

Difahamkan, punca utama Irfan membuat keputusan mengejut itu ekoran prestasi hambar skuad kendaliannya dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kemuncak rasa kecewa Irfan sukar dibendung lagi apabila Gergasi Merah tumbang di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby apabila tewas 0-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Lantas, Irfan percaya keputusan melepaskan jawatan itu adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan masa depan Selangor dalam mengharungi baki kempen Piala Malaysia musim ini.

Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Perak itu mengakui, kekalahan besar kepada Sime Darby antara faktor utama mengapa beliau melepaskan jawatannya.

"Saya akui kecewa dengan kekalahan semalam (kelmarin). Benar kekalahan sudah menjadi lumrah buat jurulatih tetapi kekalahan itu begitu 'menakjubkan'.

"Benar saya telah menghantar surat peletakkan jawatan kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.

"Mereka (FAS) menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Saya amat kecewa ketika ini tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal.

"Saya tidak salahkan kepada anak-anak buah saya kerana mereka telah memberikan aksi terbaik," jelas Irfan semalam.

Irfan menambah, pembantu jurulatih Selangor, P. Maniam akan mengambil alih tugas beliau buat sementara waktu.

"Maniam akan mengambil alih tugas saya dan saya percaya beliau merupakan individu yang sesuai untuk meneruskan perjuangan Selangor dalam kempen Piala Malaysia

"Meskipun ada baki kontrak selama tiga bulan, saya sudah fikir masak-masak (untuk melepaskan jawatan)," katanya.

Irfan memulakan tugas bersama Selangor selepas mengambil alih tugas daripada K. Devan pada 2011.

Sebelum membimbing skuad Gergasi Merah, Irfan pernah mengendali beberapa pasukan tempatan, antaranya Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Yob makin bersemangat

Posted:

Yob makin bersemangat

Yob makin bersemangat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


AZLAN (kiri) muncul wira Perak ketika aksi menentang Lions XXI di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.


KEMENANGAN 1-0 ke atas Lions XII di gelanggang keramat - Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin merupakan tonik berharga kepada skuad Seladang bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Jaringan tunggal menerusi tandukan penyerang, Azlan Ismail pada minit kesembilan sudah cukup buat Perak meraih tiga mata berharga, lantas mengungguli saingan Kumpulan D dengan tujuh mata.

Jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah (gambar kecil) berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang bijak memanfaatkan peluang menjinakkan juara Liga Super itu.

"Ini merupakan kemenangan yang indah dan saya cukup puas hati Perak berjaya menewaskan juara Liga Super. Apa yang penting misi untuk tidak keciciran mata di gelanggang sendiri setakat ini tercapai.

"Setelah menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan pertama, kali ini Lion XII pula dijinakkan," kata Azraai kepada Kosmo! semalam.

Azraai turut memuji prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain muda, M. Yoganathan pada perlawanan itu yang turut disaksikan lebih 25,000 penyokong skuad Kejor YobKejor.

Menurut beliau, persembahan ampuh pemain tengah yang dipinjamkan daripada skuad Piala Presiden Perak itu menjadi antara kunci kemenangan ke atas Lions XII.

"Dia (Yoganathan) semakin menunjukkan kematangan dan telah beraksi baik sehinggalah terpaksa ditukarkan dengan Hakim (Mohd. Norhakim Isa) akibat kecederaan pada babak akhir perlawanan," katanya.

Azraai berkata, beliau turut lega barisan pertahanan Perak yang dikemudi pemain kelahiran Brazil, Rafael Souza berjaya menyerap tekanan daripada barisan serangan Lions XII yang melakukan serangan bertubi-tubi terutama pada 10 minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun, beliau meminta anak-anak buah tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu kerana laluan ke suku akhir Piala Malaysia masih berliku.

"Belum selamat lagi, masih ada tiga perlawanan lagi yang perlu diharungi termasuk di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Sabtu ini.

"Apa pun alhamdulillah pasukan Perak pada waktu ini berada dalam motivasi tinggi untuk meneruskan misi Piala Malaysia kami," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved