Ahad, 18 Ogos 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Artikel 88 tidak patut wujud'

Posted:

'Artikel 88 tidak patut wujud'

'Artikel 88 tidak patut wujud'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PRESIDEN FAM, Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) mempengerusikan Kongres FAM ke-49 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur kelmarin.


SEGALA yang 'terbuku' di hati bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya diluahkan sebaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan meminda Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 kelmarin.

Biarpun gembira dengan keputusan FAM meminda artikel berkenaan, Shahidan mengakui bahawa artikel itu tidak sepatutnya diwujudkan.

Ini kerana menurut beliau, Artikel 88 yang hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung FAM memberikan kenyataan media berhubung badan induk itu adalah sesuatu yang tidak relevan sama sekali.

"Saya menyambut baik tindakan FAM yang akhirnya membuat keputusan meminda artikel berkenaan, namun bagi saya, artikel berkenaan sepatutnya tidak ada dari dulu lagi.

"Ini kerana jawatan Setiausaha Agung (FAM) sebenarnya dilantik dan bukannya dipilih sebulat suara menerusi mesyuarat," kata Shahidan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan, garis panduan mengenai Artikel 88 akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.

Menurut beliau, semua pegawai atau ahli gabungan FAM kini dibenarkan 'bersuara' selepas Kongres FAM bersetuju skop-skop tertentu dalam akta itu akan lebih diperluaskan dan persetujuan tersebut dicapai pada Kongres FAM ke-49 di Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, mereka tetap wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Pada 20 Februari lalu, Shahidan dikenakan penggantungan selama dua tahun setengah dan didenda RM39,000 kerana didapati bersalah melanggar Artikel 88.

Selain Shahidan, antara 'mangsa' yang pernah dihukum di bawah Artikel 88 sebelum ini termasuklah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Justeru, Shahidan menggesa FAM supaya menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap beliau dan juga kesemua individu yang disabitkan dengan kesalahan yang termaktub dengan Artikel 88 sebelum ini.

"Bukan sahaja menarik balik hukuman, saya juga mahu denda duit syiling yang dibayar sebelum ini juga dipulangkan," tegasnya.

Pada masa sama, Shahidan juga berharap FAM bertindak lebih adil sebaik artikel berkenaan dipinda selepas ini.

"Persatuan negeri tidak pernah memusuhi FAM, sebaliknya kami berada di bawah 'payung' mereka.

"Jadi kenalah berlaku adil selepas ini... janganlah yang kata sikit kena hukuman banyak tetapi yang kata banyak pula kena hukuman sedikit," katanya.

Ismail bakar semangat Terengganu

Posted:

Ismail bakar semangat Terengganu

Ismail bakar semangat Terengganu

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my


ISMAIL (kanan) terpaksa 'berehat' panjang selepas dikenakan penggantungan selama tiga bulan.


PERASAAN terkilan masih menyelubungi pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi apabila tidak dapat turun beraksi membantu skuad Penyu mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Ini kerana Ismail terpaksa menjalani penggantungan tiga bulan selepas menerima kad merah ketika Terengganu menentang Kelantan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 11 Mei lalu

Ketika insiden itu, Ismail, 27, mengasari dan menghamburkan kata-kata berunsur lucah kepada pengadil perlawanan.

Ismail berkata, dia berasa amat kecewa kerana digantung selama tiga bulan, seterusnya tidak dapat memberi khidmat kepada Terengganu dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

"Saya berasa amat kesal dengan tindakan sendiri sehingga digantung selama tiga bulan. Ia menutup terus peluang saya untuk bersama-sama rakan sepasukan bersaing pada Piala Malaysia.

"Harapan saya kepada pemain-pemain yang diberi tanggungjawab oleh jurulatih untuk mengisi kekosongan di posisi saya agar dapat beraksi dengan cemerlang membantu pasukan bagi merebut kembali Piala Malaysia," kata Ismail.

Terengganu akan membuka tirai Piala Malaysia melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Skuad kendalian E. Elavarasan itu diundi dalam Kumpulan C yang dianggap 'kumpulan maut' apabila perlu berdepan juara bertahan, Kelantan selain Pahang dan Negeri Sembilan.

Ismail memberitahu, penggantungan tersebut memberi pengajaran berguna kepada dirinya dan boleh dijadikan iktibar kepada rakan-rakan lain agar mengawal emosi ketika perlawanan.

Dia berkata, para pemain perlu sentiasa menerima teguran dan keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan ketika berada di tengah padang.

"Saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi dalam perlawanan akan datang dan ingin memohon maaf kepada pasukan serta penyokong Terengganu.

"Ini kerana tindakan melulu itu menyebabkan saya tidak dapat membantu Terengganu dalam saingan Piala Malaysia musim ini," ujarnya.

Yob tagih magis Azraai

Posted:

Yob tagih magis Azraai

Yob tagih magis Azraai

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


SENTUHAN EMAS... Azraai memikul tanggungjawab besar untuk membawa Perak ke puncak kejayaan.


NAMA pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah bukannya asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

'Resume' Azraai sepanjang bergelar jurulatih sejak 1991, sememangnya tidak pernah mengecewakan sehingga beliau dikatakan memiliki 'sentuhan emas'.

Jika diperhatikan sebelum ini, Azraai, 61, yang gemar memakai kemeja berwarna merah jambu dalam setiap perlawanan di tepi padang merupakan satu-satunya jurulatih tempatan yang berjaya merangkul gelaran trebel selama dua musim berturut-turut.

Ketika itu, beliau membimbing Kedah pada 2006 dan 2007, selain turut dianugerahkan sebagai jurulatih terbaik negara pada 2008.

Kehebatan anak jati Alor Setar, Kedah tersebut juga tidak terhenti setakat itu apabila turut membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia 2011 selepas mengecewakan Terengganu 2-1 di pentas final.

Tidak mustahil, magis Azraai pastinya ditagih peminat fanatik skuad Kejor Yob Kejor menjelang kempen Piala Malaysia 2013 yang bakal membuka tirainya malam esok.

Bakal melayan kunjungan juara Liga Premier, Sarawak di Stadium Perak, Ipoh dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D, tiada lain yang diharapkan peminat kecuali memulakan kempen edisi ke-87 kali ini dengan langkah kanan.

Berdasarkan reputasi Azraai yang seakan-akan memiliki magis pada kempen piala paling berprestij itu, harapan peminat skuad Seladang pastinya dilihat tinggi menggunung selepas Perak dikecewakan dalam kempen Piala FA serta sekadar menamatkan saingan Liga Super di tempat ketujuh musim ini.

Bukan apa, penantian selama 13 tahun disifatkan terlalu lama buat peminat sang Seladang selepas kali terakhir Perak menjulang Piala Malaysia edisi 2000 apabila mengecewakan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Khalid Jamlus dan V. Saravanan di Stadium Shah Alam.

Sejak itu, impian peminat untuk kembali menyaksikan Piala Malaysia kembali semula diarak ke Ipoh dilihat sering kali tergendala apabila mereka dikecewakan di pentas final sebanyak dua kali pada 2001 dan 2007 (ditewaskan Terengganu dan Kedah).

Enggan 'terbang' terlalu tinggi, Azraai sebaliknya menuntut komitmen anak-anak buahnya supaya melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum mencongak laluan ke pentas final.

Ramuan istimewa Azraai

SELAIN bersama Sarawak yang memegang status juara Liga Premier, ranjau berliku juga dilihat menanti Perak lantaran turut diundi bersama juara Liga Super musim ini, Lions XII.

Pada masa sama, cabaran bekas 'majikan' Azraai, Kedah juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

"Saya melihat undian bagi Kumpulan D ini bukanlah sesuatu yang mudah buat kami. Kami perlu menentang dua juara iaitu juara Liga Super (Lions XII) dan juara Liga Premier (Sarawak).

"Seperti sedia maklum, bukan kami sahaja tetapi semua pasukan tempatan sememangnya mengakui kesukaran dan akan menjadi 'mangsa' ketika beraksi di Stadium Jalan Besar ketika berdepan Lions XII.

"Selain itu, bermain di Kuching ketika berdepan Sarawak juga dijangka memberi tekanan kepada pasukan pelawat," jelas Azraai kepada Kosmo! baru-baru ini.

Namun, ia bukan petanda Azraai sudah mengibarkan 'bendera putih' sebelum berjuang.

Menurut beliau, amat penting buatnya menyediakan pasukan yang mantap dan optimis skuad kendaliannya bakal tampil dengan aksi memberangsangkan ketika beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Perak, Ipoh.

Justeru kata Azraai, anak-anak buahnya perlu berhati-hati pada aksi pertama bertemu Bujang Senang malam esok kerana beliau sedar pasukan lawan berada dalam momentum terbaik selepas menamatkan kempen Liga Premier dengan rekod tanpa kalah musim ini.

"Kami mengharapkan sedikit tuah beraksi di halaman sendiri untuk 'menjinakkan' Sarawak dan saya juga optimis kerana semua pemain saya berada dalam motivasi terbaik serta cergas sepenuhnya.

"Sejujurnya, barisan pemain saya tidak sabar memulakan aksi pertama kempen Piala Malaysia kali ini," katanya.

Lebih menarik, Azraai juga dilihat memiliki 'ramuan' istimewa apabila menampilkan lapan pemain Piala Presiden pada kempen Piala Malaysia kali ini.

Kelapan-lapan pemain itu adalah Muhammad Syamil Khairi, Muhd. Rafiq Rafeez, Amirul Azahan Aznan, G. Mugenthiran, Mohd. Norhakim Isa dan Khairul Asyraf Sahizah.

Kehadiran pemain muda itu pastinya mencetuskan persaingan yang sihat kepada pemain utama skuad Seladang dan ia diakui kapten pasukan, Shahrulnizam Mustapha.

Bukan mudah menangi hati peminat

BEKAS pemain kebangsaan berusia 32 tahun itu berkata, ia suatu tindakan positif yang diterapkan Azraai bagi memastikan mereka bersedia memberikan cabaran dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

"Ia suatu persaingan yang sihat... skuad utama pastinya berasa tercabar dengan kehadiran pemain skuad Presiden, sekali gus meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

"Dengan persediaan yang rapi serta pasukan dilihat tampak bersedia tanpa sebarang kecederaan serius, saya harap kami mampu mara lebih jauh pada kempen Piala Malaysia kali ini.

"Ini peluang terakhir kami mendakap trofi pada musim ini, jadi saya menyeru rakan-rakan sepasukan memberikan yang terbaik kerana belum tentu kami akan beraksi bersama-sama lagi sebagai satu pasukan musim depan," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Shahrulnizam berkata, dia juga 'sudah masak' dengan corak taktikal Azraai apabila pernah bersama jurulatih itu dengan skuad Kedah pada musim 2008.

Selain itu katanya, sokongan padu penyokong Kejor Yob Kejor juga ditagih bagi menyemarakkan semangat pemain memburu slot final Piala Malaysia.

"Bukan mudah untuk memenangi hati peminat sebenarnya. Tempoh 13 tahun sememangnya terlalu lama bagi menamatkan penantian peminat Perak bagi mendakap trofi Piala Malaysia.

"Namun, dalam bola sepak segala-galanya tidak mustahil. Tekanan pasti ada tetapi ia tidak akan menjejaskan tumpuan kami," katanya yang kini bebas sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki kiri.

Pada masa sama, Shahrulnizam juga menganggap saingan Kumpulan D kali ini dianggap seimbang dan kesemua pasukan memiliki peluang sama rata ke suku akhir.

"Kemampuan Lions XII tidak lagi perlu dipertikai, cuma kekuatan sebenar Sarawak menimbulkan kebimbangan kerana mereka jelas berbeza berbanding musim lalu.

"Pasukan Kedah juga mampu melakar kejutan biarpun tidak begitu konsisten dalam saingan Liga Premier musim ini.

"Bagi saya, pasukan mana yang mampu mengekalkan corak permainan yang konsisten maka pasukan itulah yang akan melepasi peringkat kumpulan," jelasnya.

Tidak memiliki sebarang sentimen peribadi kali ini, Shahrulnizam juga berazam memberikan yang terbaik sekiranya kembali menggalas tugas selaku kapten pada kempen kali ini.

"Terpulang kepada jurulatih... jika ia (lilitan kapten) diserahkan kepada Shahrom (Abdul Kalam) juga tiada masalah.

"Apa yang paling mustahak, saya cuba mengelak daripada mengalami kecederaan pada saat-saat akhir supaya tidak 'berputih mata' untuk beraksi pada kempen kali ini," katanya.

Hadi mahu temui semula sentuhan penyudah

APA yang pasti, ketajaman jentera penyudah skuad Seladang pada kempen kali ini juga pastinya dituntut Azraai bagi mencerahkan peluang ke suku akhir.

Selain penyerang import pinjaman daripada kelab Muangthong United, Paulo Rangel yang mencetak sembilan gol musim ini, rangkaian penyerang Seladang tampak agak tumpul apabila sekadar menyumbat 23 gol dalam kempen Liga Super.

Pemenang anugerah Kasut Emas Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya juga sekadar meledak tiga gol bersama Perak musim ini.

"Saya mengakui prestasi saya agak jatuh dan berharap dapat mencari rentak terbaik untuk membantu Perak pada kempen Piala Malaysia kali ini.

"Jika diberikan peluang, saya mahu membantu pasukan saya dan sudah tentu kami semakin bersemangat untuk mengharungi kempen Piala Malaysia.

"Apa yang pasti, saya akan berusaha mencari rentak dan berharap dapat mengulangi sentuhan cemerlang seperti bersama bekas pasukan dulu," katanya.

Selain Abdul Hadi dan Rangel, antara pemain prolifik yang menyarung jersi skuad Seladang termasuklah Mohd. Khairi Kiman, Yong Kuong Yong, R. Surendran dan S. Chanturu.

Ketangkasan penjaga gol Harimau Malaya, Mohd. Farizal Marlias juga ditagih Azraai bagi mengekang serangan bertali arus jentera serangan lawan sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini.

Musim terakhir Azraai bersama Perak?

DALAM pada itu, masa depan Azraai bersama Perak mula menimbulkan persoalan ekoran beliau dikatakan akan kembali semula ke pangkuan Kedah musim depan.

Segala-galanya bermula selepas Azraai dikesan hadir menyaksikan perlawanan antara sang Kenari dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Premier di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada penghujung Mei lalu.

Namun, Azraai segera menangkis spekulasi itu, sekali gus meredakan kegelisahan penyokong skuad Seladang.

"Saya sedang bercuti... saja datang hendak menyaksikan perlawanan bola sepak," katanya kepada pemberita di Alor Setar ketika itu.

Biar apa juga spekulasi yang tercetus, trofi Piala Malaysia pastinya menjadi idaman Azraai sebagai 'hadiah perpisahan' jika benar 'jodoh' beliau bersama skuad Seladang bakal terlerai penghujung musim ini.

Penyokong Yob harap tuah Stadium Perak

KEMBALI beraksi di gelanggang 'keramat', Stadium Perak, Ipoh diharap mampu memberikan tuah kepada Seladang melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Selepas menghabiskan sebahagian besar aksi Liga Super musim ini di Stadium Lumut, penyokong Kejor Yob Kejor pastinya teruja apabila kembali menjadi tuan rumah kempen Piala Malaysia di Ipoh.

"Diharapkan semangat 'baharu' kembali beraksi di Stadium Perak akan meresap di jiwa pemain bagi memberikan yang terbaik pada kempen Piala Malaysia kali ini," kata Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebelum ini, skuad kendalian Azraai terpaksa beraksi di Stadium Lumut ekoran tahap kecerahan lux lampu di Stadium Perak tidak melepasi tahap piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu 1,500 lux.

Namun selepas menerima penambahbaikan baru-baru ini, tahap kecerahan lampu Stadium Perak kini mencecah 2,525 lux.

Abdul Jamil berkata, meskipun sedar 'kemarau' Perak dalam kempen Piala Malaysia telah melebihi sedekad, pihaknya enggan memberikan tekanan kepada pasukan kesayangan mereka.

Sebaliknya, beliau berharap skuad Seladang mampu melangkah ke suku akhir terlebih dahulu pada kempen kali ini.

"Jika muncul juara kumpulan sudah dianggap bonus tetapi kejayaan melepasi peringkat kumpulan sudah memadai.

"Atas kertas, Lions XII dilihat pencabar utama kami, namun ia tidak boleh dijadikan alasan kerana Perak pernah mengikat mereka di Stadium Lumut (seri 1-1) pada kempen Liga Super sebelum ini.

"Pada masa sama, ancaman dua pasukan daripada Liga Premier, Sarawak dan Kedah tidak boleh dipandang mudah dan boleh menjerat kami sekiranya kurang berwaspada," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved