Selasa, 6 Ogos 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Suka duka kerjaya seorang pereka

Posted:

Suka duka kerjaya seorang pereka

Suka duka kerjaya seorang pereka

Oleh HAFIZ AHMAD
mohammadhafiz.ahmad@kosmo.com.my

BUSANA tradisi sangat sinonim dengan sambutan Aidilfitri apabila setiap umat Islam di Malaysia memilih untuk bergaya mengenakan persalinan seperti baju kurung, kurung Kedah dan kebaya. Peralihan masa membawa inovasi kepada baju-baju tersebut atas daya kreatif sang pereka yang menghamparkan cetusan idea mempesona.

Jika dilihat hari ini, kebanyakan baju tradisional diberi penataan bak selebriti kerana ramai pelanggan, terutamanya kaum wanita, mula terdedah dengan cita rasa fesyen yang tinggi. Ia memberi galakan kepada para pereka untuk terus menghasilkan koleksi yang mampu menampakkan keayuan setiap wanita.

Namun, tiada siapa tahu, dalam kesibukan menyiapkan tempahan yang menggunung, terselit cerita suka dan duka pereka busana ini bagi memastikan setiap ukuran menjadi sepasang persalinan indah hingga pelanggan mengukir senyuman tanda kegembiraan.

Mengimbas detik awal menjadi jurubusana, gandingan Rashid Omar dan Wan Mohd. Ridzuan Wan Ismail di bawah label Wanpa, pernah tidak sempat menyiapkan baju pelanggan akibat terlebih menerima tempahan.


DARI kiri: Hazree, Afiq, Rashid, Syafenaez, Ezuwan dan Wan Mohd. Ridzuan.


"Waktu itu, kami baru lagi dalam industri fesyen sehinggakan ghairah menerima tempahan yang melangkaui kemampuan dan tenaga kerja yang ada," imbas Rashid.

Mengehadkan tempahan

Disebabkan itu, mereka terpaksa menyudahkan kerja hingga ke malam raya bagi memastikan pelanggan tetap menerima baju.

"Sejak peristiwa itu, kami lebih berhati-hati dalam menerima tempahan terutamanya musim perayaan bagi mengelakkan detik pahit itu berulang.

"Kami mengehadkan jumlah baju dan pelanggan mesti membuat tempahan awal mengikut jangka masa yang ditetapkan," kata Wan Mohd. Ridzuan.

Perkara sama turut dialami oleh Hazree Wahid sehingga menyebabkan dia pulang ke kampung halaman di Johor Bahru, Johor, pada malam hari raya.

"Kadang-kadang pelanggan sanggup membayar pada harga tinggi kerana membuat tempahan saat-saat akhir. Saya pula terpaksa menerimanya bukan disebabkan tamak tetapi tidak sampai hati untuk menolak memandangkan ada pelanggan terdiri daripada pelanggan tetap dan rakan-rakan," ujarnya.

Pendatang baharu, Afiq Mohamed juga turut mengalami nasib serupa seperti pereka-pereka seniornya apabila tahun lalu beberapa pasang baju tidak sempat disiapkan dan dihantar selepas seminggu hari raya.

"Mujur pelanggan-pelanggan saya faham dengan situasi itu memandangkan mereka sendiri lambat membuat tempahan. Toleransi sebegitu memudahkan kami sebagai pereka untuk mendahulukan tempahan awal," ujar pereka dari Rembau, Negeri Sembilan itu.

KEBAYA merah cetusan Hazree membangkitkan kemeriahan di hari lebaran.


Memori Syawal

Bagi Ezuwan Ismail pula, prinsipnya mudah, jika ada pelanggan membuat tempahan lewat, mereka akan menerima baju-baju seminggu selepas hari raya.

"Terdapat juga pelanggan yang menempah baju selepas Aidilfitri untuk disarungkan ketika menghadiri rumah terbuka," kata Ezuwan yang bakal melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hati pada hari raya ketiga tahun ini.

Mengimbau kenangan menyambut Aidilfitri keempat-empat pereka itu, kemeriahan perayaan lebih terasa ketika zaman kanak-kanak mereka.

Bagi Afiq, Aidilfitri disambut bersama sanak saudara menjadi lebih meriah apabila mereka berkumpul di rumah nenda di Kampung Batu, Rembau.

"Setahun sekali dapat berkumpul, tidak sah jika saya dan sepupu tidak bermain mercun. Suasana itu hanya dapat dirasai di kampung," kenang Afiq.

Menyambut hari lebaran di kampung halaman sentiasa dinantikan oleh Hazree dan adiknya Syafenaez Wahid . Mereka memastikan berada di sisi keluarga dua hari sebelum perayaan.

"Ia merupakan tradisi kami seisi keluarga, walaupun semakin sibuk sejak bergiat aktif dalam industri fesyen, saya cuba untuk pulang ke kampung untuk bersama mereka," kata Syafenaez.

RONA-rona ceria menjadi pilihan Ezuwan sempena musim perayaan tahun ini.


Buat baju sendiri

Ketika zaman kanak-kanak, ketibaan hari raya sangat dinantikan oleh Ezuwan kerana dia boleh mengumpul duit hasil kegigihan berkunjung ke rumah-rumah terbuka.

"Hasil kutipan itu saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah dan menyimpan sedikit dalam tabung," kata Ezuwan.

Lebih menarik, darah seni sebagai seorang pereka fesyen sudah bercambah dalam diri Ezuan sejak kecil apabila mampu membuat sendiri baju Melayunya.

"Menginjak usia remaja, saya sudah melaram dengan baju Melayu rekaan sendiri dan ia kekal sehingga ke hari ini," kata Ezuwan yang wajib menjamah ketupat dan rendang pada hari raya.

Berbeza pula dengan pereka duo, Wanpa kerana mereka lebih suka membeli baju yang sedia ada kerana masa yang tidak mengizinkan untuk menjahit sendiri. "Kadang-kadang, rakan pereka seperti Fairuz Ramdan memberi sepasang baju Melayu kepada kami," kata Wan Mohd. Ridzuan.

"Lagipun, baju untuk lelaki tidak perlukan banyak hiasan. Cukup dengan rekaan asli kerana saya sendiri lebih gemar dengan konsep yang ringkas dan minimalis," tambah Rashid pula.

Tradisi jejaka Melayu

Posted:

Tradisi jejaka Melayu

Tradisi jejaka Melayu

BAJU Melayu tampak segak dipadankan bersama samping songket.


TAHUN 1992 menjadi percubaan pertama pereka prolifik negara, Bon Zainal Harun memperkenalkan koleksi baju Melayu. Menggunakan nama Warisan, sentuhan Bon Zainal ketika itu menerima sambutan hangat dalam kalangan lelaki tempatan.

Kejayaan baju Melayu itu bagaimanapun tidak diteruskan pada tahun-tahun berikutnya. Kini, selepas 20 tahun, Bon Zainal kembali menghasilkan koleksi baju Melayu. Namun nama koleksinya diubah kepada Tradisi, sekali gus menjadi unjuran kepada legasi Warisan yang dikekalkan sehingga ke hari ini.

"Sudah terlalu lama saya tidak tampilkan rekaan baju Melayu. Tahun lalu saya nekad untuk kembali mengeluarkan koleksi baju Melayu. Ia bukan khusus untuk musim perayaan malah boleh digayakan pada bila-bila masa dan apa jua acara," jelas Bon Zainal ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Mengekalkan elemen-elemen asli sepasang baju Melayu, tambah Bon Zainal, keistimewaan Tradisi terletak pada perincian jahitan pada bahagian lengan. Pesak dan ruangan lima butang leher cekak musang pula diterapkan sama seperti baju Melayu lain.

Tekankan kekemasan

Dipecahkan kepada dua pilihan, sedia pakai dan tempahan, baju Melayu Tradisi menekankan kekemasan dari aspek gaya keseluruhan. Bahagian dalaman poket ditambah kain dan dijahit teliti agar poket tidak menggeleber seperti baju Melayu biasa.

BON mengekalkan ciri-ciri klasik pada rekaan baju Melayu yang sinonim dengan hari lebaran.


"Baju Melayu sedia pakai didatangkan dengan pilihan sembilan warna. Tawaran lebih kepada rona-rona yang popular pada masa kini seperti merah delima yang masih maskulin untuk seorang lelaki.

"Bagaimanapun warna asas seperti hitam, biru laut dan ungu tetap dijual," jelas Bon Zainal yang memberitahu koleksi sedia pakai yang menggunakan material satin tidak berkilat itu disediakan dalam empat saiz iaitu S, M, L dan XL.

Bagi pelanggan yang memilih baju Melayu Tradisi secara tempahan, mereka bukan sahaja menerima sepasang busana yang eksklusif, malah mendapat bantuan menyeluruh dalam membentuk gaya keseluruhan.

"Selalunya pelanggan yang menempah dengan saya meminta pertolongan bagi mencari songkok, samping dan capal yang sesuai dengan baju Melayu mereka. Ia sangat menguntungkan mereka kerana konsultasi itu percuma," terang Bon Zainal.

Gandingan wangian

Gaya segak baju Melayu Tradisi juga punya pelengkap istimewa. Selain aksesori seperti butang atau kerongsang songkok, minyak wangi yang disembur juga menambah nilai ekstra maskulin kepada si pemakai.

BAJU Melayu rona terang pasti menyerlahkan penampilan segak seorang lelaki.


Sempena Aidilfitri ini, apa kata bentuk penampilan jejaka Melayu sempurna bersama baju Melayu dan tiga seleksi wangian baharu daripada Dashing for Men.

Baju Melayu Tradisi rona oren misalnya, amat menepati aura haruman Dashing Bold. Rona garang baju menampakkan susuk kegagahan seorang jejaka Melayu manakala nota sitrus kardamon menyempurnakan aura keberanian si jejaka.

Busana Syawal warna ungu pula sesuai untuk si lelaki yang berani mengambil risiko. Satukan ia bersama wangian Dashing Edge yang kaya dengan nota kayuan kardamon dan rosemary.

Kekal bertenaga sepanjang Syawal pertama dengan haruman Dashing Pure Energy. Semarakkan haruman nota mocha dan lemon Pure Energy menerusi baju Melayu Tradisi rona hijau buah zaitun. - ALIF ABU BAKAR

Tudung labuh gaya kontemporari

Posted:

Tudung labuh gaya kontemporari

Tudung labuh gaya kontemporari

KONSEP tudung bawal memudahkan pengguna memakai tudung labuh keluaran Elle Zada.


LAMBAKAN busana baju kurung dengan sentuhan moden dan berwarna-warni menghangatkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Persalinan Muslimah turut mendapat sambutan dengan rekaan yang lebih kontemporari tetapi masih mengikut syariat agama.

Bagi mereka yang tercari-cari tudung labuh dengan percikan rona menarik, koleksi daripada butik dalam talian, Elle Zada, boleh dijadikan panduan gaya baharu sempena musim perayaan nanti.

Istimewanya tudung labuh Elle Zada, ia mudah dipakai kerana direka dengan menggunakan konsep sama seperti tudung bawal. Pemakai hanya perlu menyerkup tudung dan boleh menggayakannya mengikut pilihan sendiri.

KESELESAAN menjadi keutamaan kepada Elle Zada selain mengikut syariat agama.


"Cara pemakaian sangat mudah malah menjimatkan masa malah pengguna hanya perlu melilit lebihan kain. Kreativiti mereka membuatkan pemakaian tudung tampak menarik," ujar pemilik butik Elle Zada, Elliyin Rasif, ketika ditemui Stailo.

Serlahkan penampilan

Tudung labuh tersebut didatangkan dengan pilihan rona-rona polos dan dua tona yang senada. Ia menyerlahkan penampilan si pemakai kerana lari daripada rekaan tipikal dan konvensional.

"Rekaan Elle Zada menekankan intepretrasi berlandaskan syariat agama tetapi kami menambah unsur-unsur kontemporari sebagai satu transisi Muslimah moden," tambah Elliyin.

Elliyin mendapat idea mereka tudung labuh tersebut apabila ramai rakan bertanyakan tudung yang dipakainya. Menurutnya lagi, pada peringkat awal, dia hanya menjahit sendiri tudung labuh berkenaan kerana sukar mencari rekaan serupa di pasaran.

WARNA ceria menambah seri wajah si pemakai.


"Jika kita lihat, kebanyakan tudung hari ini diberi sentuhan yang terlalu menyerlah hingga lari daripada tuntutan Islam sebenar.

"Disebabkan itu, saya reka tudung sendiri dan tidak sangka pula ramai yang menginginkan tudung sama," imbas Elliyin.

Tidak terhad kepada rekaan polos, Elle Zada turut menawarkan tudung labuh bercorak dan cetakan mengikut musim tertentu. Terdapat juga koleksi warna kontra dan motif floral yang sesuai untuk remaja perempuan dan bekerjaya.

Beroperasi secara talian, laman Elle Zada boleh diakses menerusi laman web rasmi atau pelanggan boleh berkunjung ke laman sosial, Facebook, untuk mendapatkan promosi dan pilihan terkini. – HAFIZ AHMAD

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved