Isnin, 26 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


10 saintis neuro bagi 100,000 penduduk

Posted:

10 saintis neuro bagi 100,000 penduduk

10 saintis neuro bagi 100,000 penduduk

SEKUMPULAN kanak-kanak kelihatan sibuk membersihkan tangan dengan betul menerusi tunjuk ajar seseorang. Ada juga yang tekun memerhatikan spesimen-spesimen berkaitan anatomi manusia yang dipaparkan di Muzium Anatomi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagi Tan Wei Hanh, 9, program Pesta Neuro 2013 yang disertai anjuran Kluster Neurosains bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM itu membuatkannya teruja kerana banyak ilmu baru yang dipelajari.

"Sungguh mengujakan apabila dapat melihat koleksi spesimen struktur fizikal manusia. Selain itu, saya berpeluang belajar membuat saraf sendiri menggunakan tanah liat yang berwarna-warni," kata Wei Hanh yang bercita-cita menjadi doktor.

Berlangsung selama dua hari, program Pesta Neuro 2013 yang dirasmikan oleh Dekan FPSK, Prof. Dr. Norlijah Othman bermatlamat untuk menyediakan ruang perkongsian minda mengenai input terkini dalam bidang neurosains.

Ia merangkumi ilmu tentang sel-sel otak yang secara bersendirian dan berkelompok berfungsi serta berinteraksi sesama sendiri.

Sel-sel otak ini juga berinteraksi dengan saraf tunjang yang terdiri daripada saraf spina medula dan cabang- cabangnya hinggalah ke saraf periferi.

Kongsi kepakaran

Pada masa yang sama, program itu diadakan untuk memperkukuh jaringan penyelidikan dan mempromosi kepakaran serta fasiliti neurosains di FPSK.

Pengerusi Pesta Neuro 2013, Dr. Ling King Hwa atau lebih dikenali sebagai Michael berkata, enam panel yang terdiri daripada pakar neurosains klinikal dan bukan klinikal telah menyampaikan syarahan masing-masing dalam satu seminar neurosains.

Seminar ini melibatkan penyertaan daripada pakar klinikal, pakar akademik, saintis, pelajar pasca siswazah dan pegawai kesihatan bersekutu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Neurosains (P3Neuro), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah telah menyampaikan syarahan bertajuk Neurosains di Malaysia: Dulu, Kini dan Masa Depan.

Menurut beliau, penglibatan Malaysia dalam bidang otak, minda dan neurosains telah meningkat sejak mula menceburinya pada tahun 1979.

"Perkembangan neurosains dan sains otak kebanyakannya dilihat sebagai sebahagian daripada neurologi, pembedahan saraf dan psikiatri sehingga tahun 2000 apabila asas dan neurosains gunaan atau kertas kerja sains otak muncul secara perlahan-lahan di Malaysia.


AKTIVITI membina saraf otak dalam kalangan kanak-kanak pada program ini mampu membentuk minat mereka dalam bidang neurosains.


"Analisis melalui penerbitan jurnal menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia dalam bidang neurosains masih rendah berbanding negara-negara Asia lain. Sebagai contoh, negara kita mempunyai populasi penduduk seramai 26 juta orang tetapi hanya mempunyai kurang daripada 100 pakar saintis neuro.

"Justeru, untuk menyelesaikan masalah ini, jumlah saintis neuro perlu ditingkatkan dengan nisbah 10 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang tahun 2020," jelas Jafri yang pernah menerima Anugerah Saintis Muda Negara pada tahun 1999 kerana kejayaannya dalam bidang sains neuro.

Selain Jafri, pakar yang berucap dan membentangkan kertas kerja termasuklah Dr. Quenten Schwarz dari Universiti Adelaide, Australia; Prof. Madya Dr. Ong Wei-Yi (Universiti Kebangsaan Singapura); Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim (Universiti Kebangsaan Malaysia); Dr. Mohd. Feizel Alsiddiq Mohd. Fakharuddin (UPM) dan Dr. Matthew Robert Johnson (Universiti Nottingham, cawangan Malaysia).

Antara topik yang dibincangkan ialah memahami keaslian perkembangan neuro terhadap penyakit psikiatri, perkembangan penyakit Parkinson dan penyakit epilepsi dalam kalangan kanak-kanak.

Tambah Michael, pada hari kedua acara terbabit melibatkan masyarakat luar seperti pelajar sekolah, kanak-kanak dan ibu bapa.

Antaranya sesi lawatan ke Muzium Anatomi Manusia, aktiviti membina saraf otak, mewarna dan pertandingan cabaran minda. Selain itu, pameran poster saintifik, pertandingan Piala Neurosains, syarahan terbuka dan saringan dokumentari berkaitan dengan fungsi sistem saraf juga dianjurkan pada masa yang sama.

Sempena program ini, lima pelajar pasca siswazah telah ditawarkan Anugerah Pelajar Neurosains dan membawa pulang RM200 setiap seorang.

Pusat penyelidikan

Mereka ialah Hoo Mun Fun, Carel Makenah Ntimi, Leila Arbabi, Gao Liyang dan Ameerah Jaafar.

Kesemua mereka merupakan pelajar Sarjana Sains dan Doktor Falsafah FPSK, UPM.

Menurut Michael lagi, visi FPSK adalah untuk menjadi pusat pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan profesional bertaraf dunia dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.

"Justeru, pihak Kluster Neurosains sedar bahawa menjadi tanggungjawab FPSK untuk mempromosi dan menggalakkan penawaran pendidikan dan aktiviti penyelidikan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.

"Bidang neurosains telah diiktiraf sebagai salah satu bidang khusus yang utama di FPSK kerana sumbangannya dalam bentuk output penyelidikan dan penerbitan meningkat dari semasa ke semasa.

"Ia sekali gus akan menyumbang dalam pemahaman dan pembangunan rawatan penyakit sistem saraf pusat dan seterusnya memanfaatkan masyarakat," jelas Michael mengenai kepentingan bidang neurosains.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Anatomi Manusia UPM, Dr. Cheah Pike See memberitahu, sambutan yang diterima terhadap penganjuran Pesta Neuro 2013 sangat menggalakkan.


PESAKIT Parkinson memakai gelang yang mengisytiharkan penyakit mereka jika berlaku kecemasan.


"Kami lihat para pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah serta kanak-kanak yang berusia antara empat hingga enam tahun seronok mengikuti aktiviti yang diadakan sempena program ini," ungkap Pike See yang juga Koordinator Muzium Anatomi Manusia UPM.

Perkara ini diakui oleh seorang pengunjung, Roselinee Mohd. Radzi, 32, yang membawa dua anaknya menyertai program tersebut yang diketahui daripada Rangkaian Sekolah di Rumah Malaysia.

"Program sebegini merupakan satu permulaan yang baik untuk kanak-kanak. Diharap, acara ini boleh diadakan setiap tahun sebagai inisiatif dalam usaha menggalakkan para pelajar meminati dan menceburi bidang neurosains," ujar Roselinee.

Bagi pelajar perubatan UPM, Siti Hajar Darussalam, 21, penglibatannya sebagai fasilitator dalam program ini memberi pengalaman berbeza.

"Saya rasa gembira kerana sebagai fasilitator, saya dapat berhubung dengan kanak-kanak yang datang sebagai peserta," jelas Siti Hajar.

Program ini turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Neurosains Malaysia, Persatuan NeuroMalaysia dan Persatuan Pelajar Perubatan Asia (UPM) yang disokong oleh penaja utama Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kemelut pencari suaka Hong Kong

Posted:

Kemelut pencari suaka Hong Kong

Kemelut pencari suaka Hong Kong

PANDANGAN ruang dapur yang berselerak dan uzur di dalam rumah kongsi.


HONG KONG mungkin antara hab perbankan termewah di rantau Asia, namun gambaran itu amat berbeza kepada ratusan pencari suaka yang dipaksa hidup di kawasan bertaraf setinggan selepas dinafikan untuk menetap di kawasan bandar.

Penganiayaan dan penyeksaan yang dihadapi kumpulan tersebut di negara asal membawa mereka ke Hong Kong. Bagaimanapun ramai dalam kalangan mereka terpaksa bekerja secara haram bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kawasan Ping Che di wilayah berhampiran sempadan tanah besar China penuh dengan pondok berselerakan yang dijadikan kediaman sementara. Pondok yang diperbuat daripada kepingan zink dan batuan itu berfungsi sebagai rumah perlindungan kepada lebih 100 pelarian.

Di sebuah unit pula terletak tandas komunal kecil yang dikongsi 10 penduduk dan disambungkan kepada pembentungan terbuka. Sebahagian daripada pondok daif itu menampung sehingga satu dozen individu, jauh berbeza dengan pangsapuri mewah bernilai jutaan dolar yang terdapat di kawasan bandar.

Salah seorang pencari suaka warga Bangladesh, Ali, diseludup ke Hong Kong melalui tanah besar China empat tahun dahulu.

"Kami pelarian, bukan peminta sedekah atau penjenayah," ujar Ali yang meninggalkan Bangladesh atas sebab masalah politik di negaranya.

Menurut Cosmo Beatson, Pengarah VisionFirst yang merupakan sebuah organisasi yang memberi bantuan dari segi sokongan kepada pencari suaka, terdapat ratusan pelarian hidup di puluhan kawasan setinggan di daerah yang berbeza.

"Kami pergi dan melawat kawasan-kawasan setinggan ini dan ia sangat tidak selesa. Pondok kediaman didirikan di atas tanah haram dan situasi ini tidak menepati polisi Hong Kong," ujar Beatson.

Penempatan haram

Mengikut peraturan, pencari suaka yang diiktiraf layak diberi elaun sewa sebanyak HK$1,200 (RM491). Bagaimanapun, bilik paling murah di kawasan bandar didapati bermula pada harga HK$2,000 (RM818.44), memaksa mereka mewujudkan penempatan haram di Ping Che.

"Kita memaksa kumpulan ini bekerja dalam sektor kelas bawahan, sekali gus mengundang masalah ekonomi kepada mereka," luah Beatson.

Pada bulan Mei lalu, dua pencari suaka berdepan hukuman 15 bulan penjara selepas ditangkap bekerja secara haram di tempat pengumpulan besi buruk.


MASA depan pencari suaka di Hong Kong masih belum dapat diselesaikan meskipun ia telah dibangkitkan berkali-kali.


"Semua ini mengarut! Tiada siapa boleh menerima situasi sebegini. Kami juga manusia yang perlu meneruskan hidup dan memenuhi keperluan asas, jadi kami perlu bekerja," luah Ali.

Ramai dalam kalangan mereka bekerja separuh masa dalam kontena kapal dan tempat pengumpulan besi buruk. Pekerjaan itu mampu menjana pendapatan sekitar AS$20 (RM63.50) sehingga AS$30 (RM95.25) bagi syif 12 jam.

Berdasarkan kenyataan kumpulan hak asasi manusia, kini terdapat lebih 5,000 orang mencari perlindungan di Asia Tenggara dan Afrika. Kesemua mereka sedang menunggu pendengaran kes di Hong Kong.

Permohonan pula terus menjadi isu kompleks kerana ia melibatkan dua rujukan utama. Pertama, ia boleh dilakukan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) atau kedua menerusi pemerintah.

Konvensyen Pelarian 1951, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut ditandatangani tanah besar China bagaimanapun tidak meliputi Hong Kong. Sehubungan itu, tiada syarat sah bagi mengendalikan kes-kes pencari suaka dan pelarian.

Segalanya perlu dirujuk kepada UNCHR yang kemudiannya menolak kes-kes berkaitan ke bahagian lain. Difahamkan, terdapat 91 pelarian yang diiktiraf oleh agensi PBB di Hong Kong.

Penggubal undang-undang prodemokrasi, Dennis Kwok mengatakan, ia mungkin mengambil masa kira-kira tiga hingga lima tahun bagi PBB memproses tuntutan kumpulan tersebut.

Konvensyen Anti Penyeksaan (CAT) PBB yang diaplikasikan di Hong Kong pula menyatakan individu yang berdepan ancaman penganiayaan di negara asal tidak boleh dihantar pulang.

Hong Kong kini menawarkan bantuan mengikut konvensyen hak asasi manusia dan undang-undang tempatan. Ia mengekang mereka yang berdepan penganiayaan daripada diusir pulang ke negara asal.

Selain itu, Hong Kong melalui Pentadbiran Khas Pasport Wilayah Hong Kong (HKSAR) turut menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penuntut suaka dan pelarian bagi mengelakkan mereka dilanda kemiskinan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved