Ahad, 18 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Liku-liku susuk pentas peragaan

Posted:

Liku-liku susuk pentas peragaan

Liku-liku susuk pentas peragaan

KUNJUNGAN Nuraini Mohd. Noor, 22, ke perpustakaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor tiga tahun lalu telah mengubah setiap inci kehidupannya hari ini. Tubuh tinggi lampai, rangka badan bak model profesional dan wajah unik milik wanita tersebut telah menangkap pandangan seorang pelajar fotografi ketika itu.

Nuraini atau nama komersialnya, Tuti, bersetuju beraksi di hadapan lensa kamera pelajar fotografi tersebut. Berdasarkan bakat semula jadi Tuti, fotonya ditunjukkan kepada beberapa pereka fesyen tempatan. Dari situ bermulanya dunia model anak kelahiran Kedah itu.

Sesi fotografi profesional pertamanya adalah untuk sebuah majalah tempatan. Menyarung busana Hazwani Osman untuk sesi tersebut, nama Tuti kemudian mula disebut-sebut sebagai model Melayu wanita yang bakal menguasai pentas fesyen negara.

"Pada awalnya memang ibu bapa menentang, tambahan pula saya merupakan anak tunggal. Namun lama-kelamaan setelah melihat keupayaan saya dalam bidang ini, mereka mula menerima dengan hati terbuka.

"Bapa juga dalam diam-diam membeli setiap majalah yang ada wajah saya," kongsinya disulami tawa kecil.

Memilih profesion model sepenuh masa bukan merupakan impian Tuti. Graduan Diploma Pengurusan Maklumat UiTM itu mendambakan kerjaya sebagai setiausaha, pegawai perhubungan awam atau pramugari. Namun rencana hidupnya yang berubah diterima dengan bulat, malah dia bangga dapat mencuba sesuatu di luar jangkaan.

"Saya lebih terarah kepada model pentas peragaan dan secara jujur, ia lebih mencabar. Setiap langkah perlu yakin dan kita harus memberi impak kepada audiens. Apabila berjalan di atas pentas, pandangan perlu difokuskan kepada satu titik agar tumpuan itu tidak lari.

"Pernah sekali saya hampir tergelak sebab ternampak rakan-rakan memanggil saya. Tapi kita perlu kembali sedar bahawa pergerakan kita sedang diperhatikan orang," katanya.

Tuti menambah, "Saya pernah terjatuh atas pentas ketika raptai penuh. Saya juga pernah terpelecok pada acara sebenar gara-gara saiz kasut yang kecil.

BAKAT Tuti sebagai model dicungkil oleh seorang pelajar fotografi di Universiti Teknologi Mara, Segamat, Johor tiga tahun lalu.


Selaku wajah baharu dalam dunia peragaan, seharusnya Tuti dan rakan seangkatannya mencorak kerjaya mereka berpandukan agensi. Ia kedengaran lebih terurus dan memudahkan pergerakan mereka dalam setiap tawaran kerja.

Namun demikian, Tuti lebih senang bergerak sendiri tanpa pimpinan mana-mana agensi model tanah air. Baginya, pilihan peribadi itu memberi kebebasan penuh kepadanya mengurus jadual harian.

Pacu haluan sendiri

Bagi seorang model lelaki yang baru dua tahun mencipta nama, Hazwan Hilmi Hairudin, 26, pengalaman kurang satu tahun bergerak di bawah agensi sudah cukup baginya memutuskan untuk memacu haluan sendiri.

Biarpun agensi berupaya memberi pendedahan besar kepada model baharu, Hazwan atau selesa disapa dengan nama jolokan Juan berkata, dia mahu mencabar diri dengan mengejar cita-citanya secara solo.

"Saya bukan mahu bersikap angkuh tetapi apabila anda dipegang sesebuah agensi, ramai yang tidak berani menghampiri kita untuk bertanya soal kerja.

"Lagipun, masyarakat lebih cenderung melihat model antarabangsa berbanding model tempatan, jadi fungsi agensi bagi mempromosikan bakat tempatan kurang berkesan," jelasnya.

Juara pertandingan Manhunt Malaysia 2011 ini menjelas lanjut, kebiasaannya model luar negara menjadi pilihan pelanggan dan hal sebegini sedikit menyekat bakat tempatan untuk berkembang.

Keputusan sama turut dipilih seorang lagi model baharu yang sedang meningkat naik, Dayang Nur Atikah Karim, 20. Menurut anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu, jika kerjaya diuruskan agensi, seseorang model perlu mematuhi kontrak dan tidak boleh menolak kerja-kerja yang kurang digemari.

Pimpinan agensi

"Saya selesa tanpa agensi. Namun menguruskan diri sendiri jauh lebih sukar daripada yang digambarkan. Segala keputusan perlu dipertimbangkan dengan bijak kerana tiada siapa yang membimbing anda.

"Soal bayaran, waktu dan setiap perkara berkaitan kerja terletak atas bahu sendiri. Sama ada bergerak secara sendiri atau dipimpin agensi, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri," ujarnya yang mula bergelar model seawal usia 16 tahun.

Menyifatkan dunia peragaan tanah air sebagai cabang yang penuh cabaran, Atikah nekad mengharungi setiap persaingan, khususnya daripada model-model antarabangsa.

Sebagai model berbangsa Melayu, rasa was-was pasaran terhadap kerjayanya adalah normal. Bagi kebanyakan orang, kelompok model sebegitu mustahil menjejak hierarki tertinggi lapangan peragaan, disebabkan kekangan agama dan budaya.


KERJAYA sebagai seorang model memerlukan keyakinan diri yang tinggi. - Gambar hiasan


Persaingan

Jelas Atikah: "Siapa pun anda dalam dunia model, tidak kira warna kulit atau bangsa, setiapnya mempunyai kelebihan dan personaliti tersendiri.

"Saya akui persaingan daripada wajah luar negara memang tidak dapat dielakkan tetapi saya sering mengingatkan diri sendiri, sabar sekiranya mahu kekal lama dalam industri. Jika ada rezeki ia tidak ke mana dan peluang kedua itu sentiasa terbuka."

Selain berdepan persaingan daripada model antarabangsa yang berpusat di Malaysia, model-model tempatan juga melihat pasaran profesion itu kian mendukacitakan. Kekeliruan masyarakat mengenal pasti antara model profesional dan bakat (talent) secara tidak langsung menjatuhkan nilai seorang model.

Menurut Juan, bayaran paling murah yang diterima model sepenuh masa ketika ini ialah sebanyak RM150 dan paling tinggi mencecah RM1,000 bagi satu sesi peragaan atau fotografi.

"Seharusnya seorang model dibayar atas nama model, bukan sebagai bakat. Nilai individu seperti kami telah menurun ekoran wujudnya segelintir individu yang mengaku diri mereka model profesional sedangkan mereka hanyalah bakat untuk fotografi dan iklan televisyen," katanya dengan penuh kesal.

Begitu juga pandangan yang dilontarkan Tuti, periuk nasi model sepenuh masa terletak pada tawaran kerja untuk pentas peragaan dan sesi fotografi.

Namun keberadaan bakat yang lazimnya mengejar populariti telah mengganggu kelancaran mata pencarian utama mereka.

"Mereka sanggup melakukan kerja tanpa bayaran asalkan mereka dikenali ramai,"ujarnya.

Agensi penting bimbing model

Posted:

Agensi penting bimbing model

Agensi penting bimbing model

TENGKU AZURA berpendapat bahawa model baharu wajar dipimpin sesebuah agensi biarpun pergerakan karier dikawal.


PENGALAMAN selama 20 tahun dalam dunia peragaan telah memahat nama peragawati ulung negara, Tengku Azura Tengku Awang, 38, dalam industri fesyen tanah air.

Segala pahit manis dan kesukaran mencipta jenama Tengku Azura ternyata terbayar dan dalam tempoh dua tahun lagi, kelibat wanita yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu dalam layar peragaan bakal berakhir.

Sisa waktu baginya untuk aktif digunakan dengan bijak, malah tiada ruang buat Azura melakukan kesilapan agar legasinya kekal cemerlang bagi rujukan nama-nama baharu kelak.

"Saya mungkin antara manusia paling bertuah dalam industri fesyen tanah air. Bukan apa, memang tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk bergelar model apatah lagi menjadikan profesion ini sebagai satu kerjaya.

"Takdir telah memandu saya ke arah ini dan saya amat terhutang budi dengan Cilla Foong, pengasas agensi Cilla & Associates, kerana telah membimbing saya sehingga berjaya," katanya.

Azura menambah, selama 11 tahun saya bersama Cilla, terlalu banyak pengajaran dan pengalaman yang dikutip.

Meneliti arus perubahan dari segi pengurusan model-model di Malaysia, beliau berpendapat, situasi sekarang amat berbeza berbanding waktu kegemilangan yang dilalui bersama rakan sezamannya.

"Model-model dahulu memang akrab. Majoriti juga dibimbing oleh agensi masing-masing dan setiap kali pertunjukan fesyen, pasti meriah kerana kami dapat berkenalan dengan model daripada agensi yang berbeza.

"Dulu memang istilah freelance atau bergerak sendiri kurang popular dan saya tidak faham kenapa model-model sekarang lebih selesa dengan cara sedemikian," ujarnya.

AGENSI banyak membantu menaikkan kerjaya Tengku Azura selama 20 tahun berkecimpung sebagai model tempatan.


Beliau menambah, cuba lihat model-model antarabangsa, mereka juga bergerak melalui agensi dan selepas nama mereka kukuh, barulah masing-masing menguruskan kerjaya secara solo.

"Model baharu perlukan bimbingan yang banyak. Minta pendapat daripada mereka yang berpengalaman dan cari agensi model yang sesuai dan mampu melatih anda menjadi model yang hebat.

"Memang dalam agensi kita tidak bebas, tetapi hasilnya kelak pasti memuaskan," kongsi Azura yang kini telah menguruskan kerjayanya sendiri.

Sementara itu, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Azura dalam dunia peragaan, Cilla, 53, menyatakan, secara logik, model baharu memerlukan agensi bagi bimbingan dan pengurusan yang lebih dinamik.

"Agensi yang baik akan membantu mempromosikan model mereka dan memastikan anak-anak buah mereka tidak dieksploitasi," katanya.

Berubah angin

Tambah Cilla, kebanyakan model masa kini mahu bergerak sendiri tanpa diikat mana-mana agensi.

"Akibatnya, bilangan model tempatan juga jatuh merudum, ditambahkan dengan kehendak industri yang berat terhadap wajah luar negara," ujarnya.

Mengulas mengenai keadaan pasaran masa kini, beliau berkata, pelanggan lebih gemar model luar negara.

Jelas beliau, hal ini berpunca daripada kebanjiran jenama antarabangsa di Malaysia dan prinsip mereka yang menggariskan penggunaan model antarabangsa bagi setiap pertunjukan fesyen.

"Secara profesional, saya sering mencadangkan pelanggan agar mengimbangi penggunaan model tempatan dan luar negara.

"Ini kerana model tempatan mampu menarik audiens pasaran setempat, manakala model luar negara mewakili imej jenama tersebut," jelas Cilla yang juga seorang bekas model profesional. - ALIF ABU BAKAR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved