Jumaat, 23 Ogos 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Ancam nyawa wanita hamil

Posted:

Ancam nyawa wanita hamil

Ancam nyawa wanita hamil

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

HAMPIR kesemua wanita hamil mengalami simptom mabuk kehamilan. Malah, Ratu England, Kate Middleton sendiri dikhabarkan turut mengalami masalah tersebut yang serius sehingga terpaksa membatalkan beberapa program sepanjang kehamilan.

Walaupun masalah tersebut tidak berpanjangan iaitu berakhirnya trisemester pertama, namun terdapat sejenis mabuk hamil yang lebih serius dikenali sebagai Hyperemesis gravidarum (HG).

HG berpunca akibat serangan bakteria usus dikenali sebagai Helicobacter pylori (H.pylori) yang menyerang hampir 50 hingga 90 peratus kes kehamilan dengan simptom seperti rasa loya dan muntah.

Malaysia turut tersenarai dan diklasifikasi sebagai negara yang hampir 50 peratus penduduk, khususnya wanita menghidapi bakteria tersebut.

Bagi kebanyakan anda, ia mungkin satu nama baharu tetapi berpotensi mengancam nyawa mereka yang hamil.

Penyelidik di Jabatan Neurologi dan Tingkah Laku dari Universiti Cornell, New York, Amerika, Dr. Paul Sherman, mengesyorkan bahawa loya dan muntah semasa hamil penting untuk menyingkirkan makanan tercemar yang berkemungkinan boleh menjejaskan kesihatan ibu dan anak yang dikandung terutamanya pada fasa organ janin sedang berkembang dan sensitif terhadap kesan negatif bahan-bahan kimia.

Fakta ini disokong oleh beberapa kajian yang menunjukkan bahawa wanita yang mengalami loya dan muntah berisiko lebih rendah untuk keguguran dan kematian bayi sebelum atau semasa lahir.

Dalam pada itu, H.pylori ialah spesies bakteria yang dikenal pasti pada tahun 1982 sebagai penyebab gastritis dan ulser perut.

Dengan jumlah pesakit yang dijangkiti melebihi 50 peratus penduduk dunia iaitu tiga bilion orang, ancaman serius bakteria ini terhadap kesihatan manusia tidak boleh dipandang ringan.

Menurut satu fakta perubatan, negara seseorang itu bermastautin menentukan kebarangkalian dijangkiti H.pylori. Pemahaman umum mengesahkan, negara-negara yang lebih mundur dengan tahap kebersihan yang tidak sempurna dan pemakanan yang kurang berkhasiat menunjukkan kadar tertinggi jangkitan H.pylori.


KANAK-KANAK boleh mendapat jangkitan H.pylori melalui ibu mereka atau semasa berkongsi makanan.


Cara penyebaran

Walaupun terdapat lebih 40,000 laporan saintifik mengenai H.pylori, tiada seorang pun yang benar-benar mengetahui cara penyebaran utama penyakit ini.

Bagaimanapun, jangkitan tersebut dipercayai berlaku melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dan melalui penyebaran air liur.

Namun, jangkitan H.pylori lebih cenderung berlaku pada wanita yang bergelar ibu, iaitu individu yang paling banyak berhubung sesama ahli keluarga.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga tidak terkecuali. Kajian mendapati jangkitan H.pylori menjangkiti kanak-kanak seawal usia 10 tahun akibat penyebaran daripada ahli keluarga.

Di negara-negara membangun, seramai 90 peratus penduduknya disahkan masih dijangkiti oleh bakteria ini walaupun pada usia 40 tahun.

Menyentuh kembali keadaan mabuk hamil yang teruk dialami bakal ibu, penyelidik mengesyorkan bahawa pada fasa awal kehamilan, perubahan kepekatan bendalir tubuh wanita bertindak mempengaruhi keasidan (pH) perut.

Ia seterusnya mengaktifkan bakteria H.pylori yang terpendam dalam lapisan perut.

Jangkitan H. pylori juga membebaskan enzim dan toksin yang menyebabkan mabuk hamil berlaku secara berterusan apabila tubuh mencuba sedaya-upaya untuk menyingkirkan bakteria tersebut tetapi tidak berjaya.

Ujian H.pylori boleh dilakukan dalam beberapa cara dan paling lazim melalui ujian nafas atau ujian darah untuk menentukan sama ada tubuh telah menghasilkan antibodi terhadap bakteria tersebut. Jika mabuk hamil berterusan ujian saringan untuk H.pylori perlu dilakukan.

Jalani ujian

Wanita yang mengalami simptom gastritis, pedih hulu hati, perembesan asid, gas atau kembung perut yang berlarutan melebihi dua bulan digalakkan untuk menjalani ujian H.pylori.

Walaupun sedemikian, simptom-simptom berkaitan perut bagi mereka yang dijangkiti H.pylori hanya membabitkan 20 peratus pesakit.

Walaupun para pengamal perubatan bersetuju bahawa rawatan H.pylori perlu bagi mengelakkan timbulnya masalah lain yang lebih teruk, H.pylori sebenarnya bukanlah bakteria yang mudah untuk dihapuskan.

Penggunaan antibiotik

Regimen penjagaan standard dengan penggunaan antibiotik turut berdepan cabaran serius yang menghasilkan kesan-kesan sampingan seperti sakit perut yang lebih teruk, loya, sakit kepala dan rasa payau dalam mulut.

Bagi wanita hamil, rawatan antibiotik semasa kehamilan adalah tidak disyorkan kerana ia boleh membahayakan janin.

Amalan kebersihan yang baik seperti membasuh tangan sebelum dan selepas makan, memberus gigi, tidak berkongsi pinggan, gelas dan sudu atau garpu adalah sesuatu yang wajib dilakukan.

Bagi menghalang jangkitan daripada terus merebak, pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan oleh kaum ibu.

Pakar juga telah lama meneroka kaedah rawatan alternatif seperti penggunaan teh hitam atau hijau, bawang putih dan wain merah (alkohol), walaupun tidak banyak kajian yang dapat mengesahkan dakwaan keberkesanan tersebut.

Probiotik juga sering dimanfaatkan untuk menguatkan sistem imun terhadap serangan H.pylori. Namun begitu, probiotik hanya bertindak di dalam usus dan bukan di dalam perut.

Sten jantung era baharu

Posted:

Sten jantung era baharu

Sten jantung era baharu


DARI kiri: Robaayah bersama Wan Azman dan Rosli pada majlis pelancaran sten Combo Dual Therapy di Kuala Lumpur baru-baru ini.


DALAM satu laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2009 menunjukkan penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia.

Ia menyumbang sebanyak 16.09 peratus daripada jumlah kadar kematian di hospital-hospital di Malaysia.

Antara penyakit jantung yang paling lazim berlaku ialah penyakit jantung koronari (CHD). CHD berlaku apabila lebihan lemak yang dipanggil plak bergumpal pada dinding arteri lalu menyebabkan saluran tersebut semakin menyempit.

Apabila ia berlaku, jantung tidak mendapat darah dan oksigen yang mencukupi lalu berlakunya episod CHD. Pesakit CHD yang teruk dan tidak menunjukkan respons daripada rawatan ubat, percutaneous coronary intervention (PCI) yang dikenali sebagai angioplasti, atau pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) mungkin akan dipertimbangkan.

PCI dilakukan untuk mendapatkan semula aliran darah yang normal untuk menyediakan nutrien yang mencukupi dan mengelakkan kelemahan otot jantung.

Memandangkan setiap pesakit mempunyai lokasi dan tahap stenosis koronari (penyempitan koronari) serta keadaan fizikal yang berbeza, doktor akan menilai risiko bagi setiap pesakit sebelum mengesyorkan jenis rawatan yang sewajarnya.

PCI ialah sejenis rawatan pembesaran penyempitan arteri koronari yang dijalankan tanpa memerlukan pembedahan. Prosedur tersebut biasanya disyorkan oleh doktor apabila 70 peratus arteri pesakit mengecil atau tersumbat.

Jenis-jenis sten

Ketika ini terdapat beberapa sten di Malaysia. Jenis-jenis sten utama yang digunakan ialah bare metal stent (BMS), drug-eluting stent (DES), bio-engineered stent (BES) dan Dual Therapy Stent (DTS).

DTS merupakan sten teknologi baharu dibangunkan oleh OrbusNeich yang kini boleh didapati di Malaysia serta pasaran terpilih di Asia Pasifik, Asia Barat dan Eropah selepas syarikat tersebut menerima CE Mark.

Sten Combo Dual Therapy menangani kelewatan penyembuhan arteri koronari berkaitan dengan DES, yang merupakan penjagaan standard kini untuk merawat penyakit arteri koronari.

Ia merupakan sten yang pertama bagi melaksanakan dua fungsi iaitu mempercepatkan liputan endothelial dan kawalan terhadap perkembangan neo-intimal melalui gabungan teknologi pro penyembuhan dengan elusi abluminal sirolimus dihantar dari polimer terbiodegradasi yang mencapai pelesapan sepenuhnya dalam masa 90 hari.

DTS yang pertama di dunia itu menggabungkan dua sten yang sudah diakui dan terbukti teknologinya iaitu DES dan BES.

DES merupakan sten logam yang secara perlahan-lahan membebaskan ubat ke dalam dinding saluran darah tempat ia diimplan bagi menghalang hiperplasia (peningkatan bilangan sel atau pertumbuhan pesat sel) yang mengurangkan risiko restenosis (penyempitan semula dinding arteri).

BES pula disalut dengan antibodi untuk mempercepatkan pemulihan semula jadi permukaan sten dengan membentuk endotelium (lapisan sel epitelium yang melapik jantung, saluran darah, limfa dan dinding rerambut) baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) merangkap Pengarah Urusan dan Perunding Kardiologi Kanan IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari memberitahu, sten Combo Dual Therapy merupakan salah satu daripada evolusi PCI dan ia adalah sten teknologi terkini.

"DTS adalah satu perkembangan menarik kerana ia menggabungkan dua teknologi sedia ada bagi memberikan penyembuhan dan keselamatan yang lebih baik.

"Dua risiko yang dihadapi pesakit apabila sten diimplan ialah restenosis dan trombosis. Trombosis ialah pembentukan darah beku di kawasan sten yang boleh menyebabkan kematian, manakala restenosis boleh dirawat," katanya.

Jelasnya, sten baharu tersebut boleh mengurangkan kedua-dua risiko restenosis dan trombosis dengan ketara.

Kelewatan penyembuhan arteri

Dalam pada itu, Ketua Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Wan Azman Wan Ahmad telah membentangkan mengenai penyembuhan sten merujuk pada Soal Selidik Penyembuhan Sten Global yang melibatkan 141 pakar kardiologi intervensi dari sembilan buah negara.

"Lebih 97 peratus pakar kardiologi sangat mengambil berat tentang masalah kelewatan penyembuhan arteri dan implikasinya, manakala 75 peratus pakar kardiologi sering membincangkan risiko berkaitan masalah tersebut bersama pesakit mereka.

"Kira-kira 41 peratus pakar kardiologi seringkali memilih penggunaan sten berdasarkan kesedaran dan pemahaman mereka terhadap masalah kelewatan penyembuhan arteri," ujarnya.

Menurut Wan Azman, 99 peratus pakar kardiologi bersetuju bahawa sten generasi hadapan perlu mengatasi masalah kelewatan penyembuhan arteri.

Naib Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia dan Ketua Jabatan, Pakar Perunding kardiologi IJN, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali memberitahu DES monoterapi berkesan untuk menangani restenosis.

"Kini, sten dual therapy combo menyediakan teknologi terapi multi dimensi untuk menangani risiko multi dimensi dalam sten koronari.

"Ujian klinikal telah membuktikan keselamatan dan keberkesanan sten dual therapy combo yang kini boleh didapati di Malaysia sekali gus memperluaskan pilihan rawatan untuk merawat pesakit dengan koronari angioplasti dan sten," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved