Khamis, 15 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Najwa dapat duit raya, Ainan beri duit raya

Posted:

Najwa dapat duit raya, Ainan beri duit raya

Najwa dapat duit raya, Ainan beri duit raya

SESI fotografi bersama dua bintang popular YouTube ini berlangsung santai.

Masing-masing memberikan komitmen yang jitu, malah gandingan kedua-dua penyanyi berbakat ini sangat cantik dan sepadan.

Biarpun sesi fotografi itu berlangsung di atas bumbung bangunan baharu Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur dalam cuaca panas terik, baik Najwa mahupun Ainan memberikan pose istimewa sempena lebaran tanpa merungut sedikit pun.

Ada sebab kenapa Kosmo! menggandingkan dua penyanyi comel ini.

Selain pandai mencipta lagu, bakat kedua-duanya juga mula dicungkil menerusi YouTube.

Tahun ini merupakan tahun ketiga Najwa selepas bergelar artis. Bagi Ainan, ini tahun kedua dia menyambut lebaran sebagai seorang penyanyi..

Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latiff, memberitahu dia menyambut lebaran tahun ini di Batu Pahat, Johor.

Begitupun, tutur Najwa, dia tidak dapat beraya lama di kampung halamannya kerana harus pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya kedua.

"Tiga hari sebelum Aidilfitri saya sudah balik Johor. Tetapi raya kedua saya balik ke Kuala Lumpur semula. Bukan sebab kerja tetapi menyambut lebaran di Kuala Lumpur pula," lantun bicara si pemilik lesung pipit itu.

Privasi cara Najwa

Mengulas aktiviti pagi rayanya, ungkap Najwa, dia sekeluarga akan menziarahi kubur datuknya dan kemudian beraya di rumah sanak saudara.

Kongsi penyanyi berusia 18 tahun itu lagi, sambutan rayanya begitu meriah apabila dia dan sanak saudara akan mengikuti aktiviti marhaban dari rumah ke rumah.

Disoal sama ada dia masih menerima duit raya walaupun dia kini bergelar selebriti, dedah Najwa, keluarganya tidak pernah menganggap dirinya sebagai artis.

Malah, dia masih diberi duit raya dan pernah mendapat sehingga RM2,000.

"Saya masih dapat duit raya walaupun sudah tiga tahun beraya sebagai artis.

"Sebabnya, keluarga masih menganggap saya bukan artis dan usia saya juga baru 18 tahun, kan," jelasnya sambil menguntum senyuman.

NAJWA sudah pulang semula untuk beraya di Kuala Lumpur sejak hari raya kedua lepas.


Berkongsi momen Aidilfitri yang paling diingati sehingga kini, luah Najwa, sambutan hari rayanya sentiasa meriah malah mereka sekeluarga berkongsi minat yang sama iaitu menonton wayang.

Kata Najwa: "Keluarga kami memang suka menonton wayang. Raya pertama lagi kami sudah menonton wayang dan makan bersama-sama. Itu momen yang paling seronok."

April lalu, bapa Najwa iaitu Abdul Latiff Ismail menggemparkan industri hiburan apabila membuat pengakuan kecewa dengan sikap Najwa malah menuduh anaknya itu derhaka.

Abdul Latiff juga berharap anaknya itu kembali ke pangkal jalan dan memohon maaf sementara si bapa masih hidup.

Rentetan hubungan keruh dua beranak itu sebelum ini, adakah hubungan mereka kembali jernih menjelang lebaran ini?

Begitupun, tatkala diajukan pertanyaan tersebut, Najwa enggan mengulasnya.

"Maaf, kalau boleh saya tidak mahu komen perkara ini. Saya tak nak orang tahu masalah keluarga saya. Ia terlalu peribadi," jelasnya yang sekali gus menimbulkan spekulasi seolah-olah hubungan mereka belum pulih.

Duit raya Ainan

Lain pula cerita raya bagi penyanyi lagu Aku Suka Dia, Ainan Tasneem. Kongsinya, setiap tahun dia akan beraya di kampung ibunya di Kajang, Selangor manakala pada sebelah petangnya dia bertolak ke kampung bapanya di Jelapang, Perak.

Sedang bercuti semester selama tiga bulan daripada pengajiannya di Universiti Malaysia Perlis, ujar Ainan, dia teruja dapat menikmati cuti raya yang lama sebelum memulakan sesi pengajian semester lima pada pertengahan September ini.

Meskipun begitu, jelas Ainan, syarikat rakamannya, MVM Production sudah menyusun padat jadual seninya sepanjang cuti semester berkenaan.

Mengulas mengenai sambutan raya keduanya sebagai artis, luah penyanyi yang berasal dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, dia akan mengadakan rumah terbuka malah ahli kelab peminatnya iaitu Fans of Ainan Tasneem telah menyatakan keinginan untuk hadir.

BERAYA sakan. Ainan kini sedang bercuti daripada pengajiannya di Universiti Malaysia Perlis sehingga pertengahan September ini.


"Sebenarnya saya bercadang mengadakan rumah terbuka pada tahun lepas tetapi tidak sempat. Tahun ini insyaAllah saya buat rumah terbuka tetapi belum ada tarikh lagi.

"Kelab peminat saya sudah menyatakan mahu hadir di rumah terbuka itu nanti," jelasnya.

Disoal apakah perbezaan rayanya setelah bergelar artis, ujar Ainan, sambutan rayanya sama sahaja sebelum dan selepas menjadi selebriti.

Cuma, katanya, saudara-mara sering mengusiknya dengan memanggilnya artis. Ainan juga mengakui rapat dengan sanak saudaranya dan diberi layanan istimewa oleh mereka.

Berkongsi memori rayanya, luah Ainan, dia kehilangan nenek pada sambutan Aidilfitri 2006.

"Ketika itu saya baru di tingkatan dua. Kehilangan nenek benar-benar terasa sebab saya antara cucu yang paling manja dengannya malah dia selalu menghadiahkan saya baju," ujarnya yang akan menziarahi kubur neneknya di Kajang setiap kali hari raya.

Fouziah teruja sambut raya bersama tunang

Posted:

Fouziah teruja sambut raya bersama tunang

Fouziah teruja sambut raya bersama tunang

Oleh HARYATI KARIM

TAHUN ini merupakan Aidifitri terakhir Fouziah menyambutnya sebagai wanita solo.


TAHUN lalu pelakon Fouziah Gous menyambut Aidilfitri dengan penuh kedukaan berikutan kematian bapanya, Mohd. Gous Agulam Dastagir, lapan hari sebelum tiba 1 Syawal.

Mengakui tahun lalu tiada sambutan Aidilfitri buatnya sekeluarga kerana terkejut dengan pemergian ayahanda tercinta, tahun ini mereka meraikannya secara sederhana dan penuh kesyukuran lebih-lebih lagi Fouziah, 30, kini merupakan tunangan kepada Md. Zhafran Md. Yusof, 30.

"Tahun ini barulah kami beraya tetapi secara sederhana sahaja. Disebabkan ahli keluarga kami bertambah besar selepas saya bertunang, suasana hari raya tahun turut lebih meriah," akui Fouziah yang menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk beraya bersama tunang tersayang, kata Fouziah, dia sekeluarga berkemungkinan besar akan menziarahi keluarga Zhafran di Kelantan.

"Selain mengeratkan silaturahim dengan keluarga bakal mertua, saya gunakan cuti raya ini untuk bawa ibu berjalan-jalan di negeri Kelantan," balasnya.

Meskipun sambutan Aidilfitri tahun ini adalah yang terakhir baginya sebagai wanita solo sebelum bergelar isteri, luah Fouziah, dia tidak mahu meraikannya secara berlebih-lebihan.

"Saya orang yang ringkas, baju raya pun saya guna balik baju ketika saya bertunang dahulu. Buat apa membazir beli baju baharu sedangkan baju itu saya pakai sekali sahaja.

"Tidak semestinya saya artis dan raya terakhir sebagai wanita solo, saya harus melaram sakan. Memadailah pakai apa sahaja yang ada kerana apa yang penting pertemuan bersama ahli keluarga," akuinya.

FOUZIAH dan Zhafran mengikat tali pertunangan pada 1 Jun lalu.


Sebelum ini Fouziah dikatakan bakal mengakhiri zaman bujangnya pada September ini iaitu selepas selesai sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, tuan empunya badan menafikan mereka bakal bernikah pada bulan berkenaan kerana sehingga hari ini belum ada kata putus mengenai tarikh pernikahan.

"Kalau ikut rancangan kami akan berkahwin pada tahun ini tetapi semuanya terpulang kepada keluarga masing-masing.

"Buat masa ini sangat sukar untuk memilih tarikh kerana kami harus mencari tarikh yang sesuai supaya semua ahli keluarga dapat berkumpul," terangnya.

Ujarnya lagi, disebabkan ketiadaan tarikh khusus, segala persiapan perkahwinan masih tergendala.

"Sebenarnya saya belum buat sebarang persiapan. Lokasi nikah dan majlis resepsi juga belum ditempah kerana kami belum ada tarikh.

"Saya juga masih sibuk dengan kerja. Selepas cuti raya, saya akan kembali ke set penggambaran drama bersiri Alam Maya. Mungkin selepas itu barulah saya akan fikir mengenai majlis kahwin," katanya yang membuat kuih raya bersama ibunya pada tahun ini.

Bercakap tentang rumah terbuka, seloroh Fouziah, majlis perkahwinannya kelak bakal menjadi rumah terbukanya.

"Saya tidak buat rumah terbuka, majlis kahwin saya nanti merupakan rumah terbuka, sama sahaja sebab semua orang yang dekat dengan saya akan hadir pada majlis itu," tuturnya dalam tawa.

'Tak salah saya nak bermesra dengan Nasha'

Posted:

'Tak salah saya nak bermesra dengan Nasha'

'Tak salah saya nak bermesra dengan Nasha'

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ZUL akui Gayatri datang beraya di kampung keluarganya di Taiping, Perak baru-baru ini.


KETIKA umat Islam di Malaysia masih sibuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, dunia hiburan tempatan pula terus hangat dengan cerita-cerita sensasi.

Terbaharu, seorang pelakon lelaki yang digosipkan gemar bercinta dengan wanita yang lebih berusia. Dia yang sudah punya kekasih kini dikaitkan pula sedang menjalin hubungan istimewa dengan seorang aktres terkenal yang juga model jelita.

Kononnya jalinan percintaan mereka tercetus selepas kali pertama bergandingan dalam sebuah produksi lakonan.

Meskipun gosip itu tidak mendedahkan nama kedua-dua pelakon berkenaan, ramai yang menuding kepada Zul Ariffin, 27, dan Nasha Aziz, 42, sebagai orang yang dimaksudkan oleh penulis gosip berkenaan.

Sementelah mereka kali pertama digandingkan dalam telemovie raya berjudul Kasih Bersulam Daun Palas yang ditayangkan baru-baru ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan memandangkan Zul diketahui umum kini sedang bercinta dengan penerbit Tayangan Unggul Sdn. Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, 30-an.

Kosmo! segera menghubungi Zul untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

Kosmo!: Baru-baru ini ada gosip yang mendedahkan tentang seorang pelakon muda yang sudah mempunyai kekasih yang berusia telah menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon wanita di lokasi penggambaran. Impaknya ramai yang membuat tanggapan bahawa anda merupakan pelakon yang dimaksudkan itu. Boleh jelaskan mengenai gosip itu?

ZUL ARIFFIN: Saya minta maaf kerana tidak membaca gosip berkenaan memandangkan saya sibuk beraya dengan ahli keluarga di Taiping, Perak dan baru sahaja tiba di Kuala Lumpur. Jadi, saya memang tidak tahu langsung mengenainya.

Gambaran yang ditulis oleh penulis gosip berkenaan seolah-olah ia merujuk kepada anda manakala pasangan gosip yang dimaksudkan ialah Nasha Aziz. Adakah benar anda dan Nasha sedang menjalinkan hubungan cinta?

Saya dan Nasha menjalinkan hubungan cinta (ketawa)? Saya akui kami berdua digandingkan buat kali pertama dalam sebuah telemovie berjudul Kasih Bersulam Daun Palas.

Memanglah kami telah menjalinkan hubungan cinta, tetapi itu semua terjadi dalam telemovie yang kami lakonkan. Di luar lakonan, tak ada hubungan istimewa antara kami.

NASHA AZIZ kali pertama bergandingan dengan Zul Ariffin menerusi telemovie Kasih Bersulam Daun Palas.


Namun khabarnya anda dan Nasha begitu mesra di lokasi penggambaran telemovie tersebut. Apa komen anda?

Mengenai kemesraan itu, ia timbul disebabkan kami pelakon utama dalam telemovie berkenaan. Jadi, tidak salah kalau saya hendak bermesra dengannya bagi mencari keserasian, tetapi tidaklah sampai ke tahap yang lebih serius.

Penggambaran itu dibuat pada bulan puasa, jadi sudah tentu akan ada sedikit tekanan. Untuk menghilangkannya, saya wujudkan suasana ceria seperti mengusik Nasha serta pelakon dan kru produksi yang lain.

Jadi, saya tidak menolak kemungkinan bahawa semua gosip ini timbul akibat salah faham beberapa pihak terhadap kelakuan saya sepanjang seminggu penggambaran tersebut.

Apa pandangan anda apabila kali pertama digandingkan dengan Nasha?

Secara jujurnya saya begitu menghormatinya sebagai artis yang lebih senior dan sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan. Selain itu, saya melihatnya sebagai seorang pelakon yang cukup profesional dan berbangga dapat bergandingan dengannya.

Bagaimana pula status hubungan anda dengan Gayatri sekarang? Sudah ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga?

Setakat ini hubungan kami masih seperti biasa, malah dia ada datang beraya ke kampung saya di Perak baru-baru ini. Tidak dinafikan memang ada saudara-mara yang bertanyakan tentang perkahwinan, namun kami belum memikirkannya lagi.

Boleh ceritakan sedikit tentang sambutan Aidilfitri anda tahun ini?

Rasanya tidak ada sebarang perbezaan yang besar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Namun begitu, berlaku satu kejadian apabila saya telah pitam semasa hari raya keempat sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius. Saya rasa perkara itu terjadi akibat memakan yang diambil memandangkan saya mempunyai sejaran penyakit darah tinggi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved