Selasa, 2 Julai 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Demokrasi dalam bentuk imej

Posted:

Demokrasi dalam bentuk imej

Demokrasi dalam bentuk imej

Oleh ADLAN JAAFAR

AHMAD Shabery (kanan sekali) melihat hasil karya Suhaimi bertajuk Rahman selepas merasmikan pameran Mera'i Demokrasi di R.A. Fine Art Gallery, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KARYANYA kelihatan tidak begitu menonjolkan tema pameran, Mera'i Demokrasi tetapi dengan sedikit pemerhatian mendalam, Siri Berebut Kerusi hasil Suhaimi Fadzir pasti dapat dikaitkan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang baru selesai.

Pilihan raya merupakan salah satu proses demokrasi yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mewakili mereka di Parlimen.

Dalam siri tersebut, dia mempunyai enam buah lukisan yang mempunyai imej kerusi pelbagai reka bentuk yang menjadi titik fokus dan subjek seiring dengan tajuk karyanya.

Di atas kerusi pula, diletakkan objek-objek berbeza pada setiap lukisan seperti buah delima, kereta, duit, mesin kira, ikan kelisa dan harimau.

Segala-galanya yang dipaparkan boleh diterjemah mengikut pemahaman masing-masing. PRU13 atau dalam bahasa Inggeris General Election 13 (GE13) menjadi fokus utama pelukis.

Latar belakang pula memaparkan keratan berita, imej sebelum kemerdekaan, senjata api, lambang pangkah dan warna-warna terang.

"Ia memberikan gambaran betapa sukar kita mencapai kemerdekaan," terang pelukisnya, Suhaimi ketika ditemui pada majlis perasmian pameran itu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, siri tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan Siri Merdeka yang masih dalam proses disiapkan sepenuhnya.

Siri Merdeka itu bermula sejak tahun 2010 mengandungi pelbagai jenis dan tidak terhad kepada lukisan.


RAJA NADIA SABRINA RAJA AHMAD AMINOLLAH (kiri) bersama rakannya, Syairah Aida Othman terpesona dengan hasil karya The Superior Species oleh Haafiz Shahimi.


Teknik media campuran

Tajuk-tajuk yang diberikan kepada lukisan juga agak jelas seperti GE13 and Tiger, GE13 and Dragon Fruit, GE13 and Beetle, GE13 and Puyu dan GE13 Cash Register.

Lelaki yang berusia 49 itu menggunakan teknik media campuran di atas kanvas seperti lukisan dan cetakan surat khabar pada medium yang digunakan.

Melalui sekeping kanvas, Suhaimi ingin menyampaikan betapa sukarnya orang-orang dahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Kini, menjadi tanggungjawab semua warganegara mempertahankan kemerdekaan melalui sistem demokrasi.

Karyanya juga memperlihatkan beberapa keadaan yang berlaku dalam sistem politik negara. Antaranya, watak Yang Berhormat mengambil mudah tanggungjawab terhadap rakyat setelah mendapat kerusi yang diingini.

Kerusi bermaksud kuasa dan sudah menjadi kebiasaan kuasa turut didatangkan dengan godaan yang banyak seperti keseronokan dunia.

Pameran yang berlangsung dari 11 Mei hingga 8 Jun lalu itu turut menghimpunkan enam pengkarya lain yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan pemahaman terhadap demokrasi mengikut perspektif masing-masing.

Antaranya, Akhmal Asyraf, Amir Firdaus Ahamad Tamizi, Faiz Yunus, Haafiz Shahimi, Alicecia Tan dan Khairi Shamsudin. Pameran itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Umrah bersama MASHolidays

Posted:

Umrah bersama MASHolidays

Umrah bersama MASHolidays

Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD


SINDIKET penipuan umrah meranapkan harapan para jemaah untuk beribadah di Tanah Suci. - Gambar hiasan


TANAH Suci Mekah pasti menjadi destinasi impian majoriti umat Islam. Biar negara lain indah dengan seni bina agung atau dilimpahi keindahan alam semula jadi, keistimewaan lokasi kiblat seluruh umat Islam itu sukar ditandingi.

Saban tahun, Baitullah dikunjungi jutaan umat Islam yang ingin mengerjakan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji selain umrah semata-mata mencari keredaan Allah. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika banyak ejen umrah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam keghairahan umat Islam menziarahi Tanah Suci itu, ada pula segelintir pihak yang menangguk di air keruh. Jumlah mereka yang tersadai di lapangan terbang akibat ditipu bukan sedikit. Berdasarkan rekod Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), kira-kira 76,000 aduan difailkan di seluruh negara berkaitan kes penipuan perkhidmatan pakej umrah sejak ia ditubuhkan 13 tahun lalu.

Justeru, menjadi tanggungjawab para jemaah untuk mencari agensi yang berdaftar bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket haram.

Penambahbaikan pakej

Prihatin dengan masalah tersebut, cabang pelancongan Penerbangan Malaysia (MAS), MASHolidays tampil dengan pakej Lambaian Umrah bagi memenuhi keperluan para jemaah.

Menurut Pengurus Kanan MASholidays, Fadhilah Mustaffa, orang ramai tidak perlu ragu-ragu dengan pakej yang ditawarkan kerana ia diperkenalkan sejak tahun 1995.

"Meskipun sudah hampir 17 tahun berada dalam pasaran, ramai yang tidak mengetahuinya. Sehubungan itu, kami cuba memperkenalkan kembali pakej tersebut dengan membuat beberapa penambahbaikan seperti pengisian modul oleh mutawif berpengalaman," ujarnya ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Fadhilah, bersempena bulan Ramadan, para jemaah boleh merebut peluang melalui lima penerbangan ke Tanah Suci.

Mereka boleh memilih dua pakej istimewa iaitu Jannah dan Firdaus yang berbeza dari segi pengisian, jumlah hari, jarak hotel dan lain-lain.


FADHILAH memberi jaminan jemaah bakal berpuas hati dengan pakej Lambaian Kaabah yang ditawarkan oleh MASHolidays.


Pakej umrah tersebut berharga serendah RM6,000 untuk Jannah atau RM8,600 bagi Firdaus.

Pakej Firdaus sesuai buat mereka yang ingin meluangkan masa panjang dan pada masa sama mengikuti pengisian modul khas. Antaranya Cinta Allah dan Rasul, Pemantapan Solat dan Kaunseling Keluarga yang akan dikendalikan oleh Ustaz Zawawi Yusoff.

Para jemaah akan berada di Tanah Suci selama 13 hari 11 malam bermula 12 Julai hingga 23 Julai 2013.

Jarak di antara hotel dan masjid menjadi keutamaan kepada sesetengah jemaah terutamanya golongan berusia dan mereka yang mempunyai anak kecil. Pakej Firdaus menekankan aspek ini melalui pemilihan hotel berdekatan atau setara iaitu 100 meter untuk ke Masjid Nabawi di Madinah dan 60 meter dari Masjidil Haram di Mekah.

"Bagi pakej Jannah, jemaah akan ditempatkan di hotel berhampiran dengan jarak 190 meter dari Masjid Nabawi, manakala jarak penginapan ke Masjidilharam ialah 300 meter.

"Para jemaah juga sempat merasai berpuasa di Tanah Suci iaitu selama dua hari di Madinah. Pakej ini bermula dari 2 Julai hingga 12 Julai melalui penerbangan terus ke Jeddah," ujar Fadhilah.

Pakej Jannah lebih padat dan singkat kerana jemaah perlu melakukan yang wajib dan melakukan ziarah ke destinasi-destinasi penting sahaja.

MASHolidays amat mementingkan kebajikan dan keselesaan jemaah dengan mengehad ahli rombongan seramai 40 hingga ke 45 orang sahaja.

"Jumlah rombongan yang terhad memberi peluang kepada jemaah untuk merasai keselesaan sepanjang berada di sana. Rombongan yang terlalu besar menyukarkan mutawif untuk berhubung terus kepada jemaah jika berlaku sebarang kesulitan," tambah Fadhilah.

Selain itu, para jemaah diberikan elaun bagasi sebanyak 30 kilogram dan 10 liter air zamzam bagi seorang jemaah. Soal pemakanan tidak perlu dibimbangkan kerana mereka dihidangkan makan dan minum tiga kali sehari.

Teh tarik blog Coolblog

Posted:

Teh tarik blog Coolblog

Teh tarik blog Coolblog

Oleh ALIF ABU BAKAR

TEH tarik menjadi taruhan terbaharu Coolblog dalam rangkaian produk ice blended mereka.


MINUMAN kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik kini boleh dinikmati dalam bentuk ice blended. Syarikat pengeluar ice blended tempatan, Coolblog menjadi perintis kepada minuman tersebut.

Selepas kejayaan Coolblog memperkenalkan minuman ice blended berkonsepkan ais batu campur, cendol dan lai chi kang, teh tarik blog dilihat bakal menjadi pilihan utama peminat mereka.

"Sekitar 80 peratus pelanggan kami terdiri daripada orang Melayu dan kami yakin pengenalan minuman teh tarik blog ini dapat mengukuhkan lagi kepercayaan mereka terhadap Coolblog.

"Bagi menambah keenakan kepada teh tarik blog, pelanggan digalakkan menambah topping khas minuman ini iaitu jeli kopi.

"Kami mempunyai seleksi topping yang berbeza tetapi untuk minuman baharu ini, jeli kopi adalah paduan yang terbaik," ujar Pengurus Pengiklanan dan Operasi Coolblog Dessert Sdn. Bhd., Winson Keh ketika majlis pelancaran teh tarik blog di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tambah Winson, pelanggan juga boleh cuba menggabungkan teh tarik blog bersama topping lain seperti black pearl dan jeli rainbow.

Pada pelancaran itu juga, Coolblog memperkenalkan topping baharu iaitu jeli kranberi. Topping tersebut melengkapi variasi topping sedia ada seperti mangga, rainbow, epal hijau, laici dan kopi.

Sejajar dengan pelancaran teh tarik blog, Coolblog turut melancarkan barangan eksklusif mereka berupa baju T bertemakan Fly My Dream. Sebahagian hasil jualan item berharga RM30 itu telah pun disalurkan kepada Kiwanis Down Syndrome Foundation.

Selamat diminum

Sementara itu, kontroversi berkenaan penggunaan tapioca balls atau tapioca pearls dalam rangkaian minuman bubble tea di Malaysia turut menempiasi Coolblog. Sebagai antara pengeluar minuman bubble tea dan ice blended tempatan, Coolblog juga tidak terlepas daripada dibadai masalah tersebut.

"Masyarakat perlu tahu bahawa minuman bubble tea berasal dari Taiwan. Bahan-bahan minuman jenis ini juga diperoleh dari Taiwan tetapi pembekal Coolblog tidak tersenarai dalam pembekal yang terlarang.

"Kami melakukan ujian makmal setiap tiga bulan ke atas bahan-bahan gunaan Coolblog. Setakat ini semua minuman kami selamat diminum dan bebas daripada kandungan asid maleik," jelas Winson.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari syarikat Wang Tai di Taiwan menarik balik produk makanan tersebut daripada pasaran Malaysia kerana mengandungi asid maleik yang boleh merosakkan buah pinggang.

Namun beberapa syarikat lain seperti Each-A-Cup Sdn. Bhd., telah dibenarkan menjual semula produk makanan round balls each a cup yang digunakan dalam penyediaan minuman bubble tea selepas disahkan bebas daripada asid maleik.

Turut hadir pada acara pelancaran teh tarik blog tersebut ialah duta Coolblog, Heliza Helmi yang merupakan pelakon, penyanyi dan pengacara tempatan.

Minuman teh tarik blog kini boleh diperoleh di hampir 300 cawangan Coolblog di seluruh Malaysia pada harga RM2.80 dan RM3.40 (bersama topping).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved