Rabu, 31 Julai 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Azmi galas tanggungjawab Fandi

Posted:

Azmi galas tanggungjawab Fandi

Azmi galas tanggungjawab Fandi

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

AZMI (kiri) memulakan sesi latihan bersama skuad Johor DT di Stadium UTM, Skudai, Johor Bahru malam tadi.


BELUM sampai sebulan nama Cesar Ferrando Jiminez disebut-sebut menjadi ketua jurulatih baharu Johor Darul Takzim (Johor DT) bagi saingan musim depan, skuad Harimau Selatan sekali lagi menerima kejutan.

Kali ini, jurulatih kelahiran Singapura, Fandi Ahmad (gambar kecil) dilapor tidak lagi menjadi 'pilihan' Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membimbing Johor DT.

Sebaliknya, PBNJ memberi kepercayaan kepada anak tempatan yang juga jurulatih Johor, Azmi Mohamed bagi meneruskan tugas Fandi pada Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini.

Bagaimanapun, Fandi dilapor masih kekal menjawat jawatan sebagai pengurus skuad Harimau Selatan itu.

Terdahulu, timbul spekulasi di beberapa media sosial yang mengatakan PBNJ telah memecat Fandi sebagai ketua jurulatih Johor DT.

Khabar angin itu bagaikan benar apabila Azmi memberitahu bahawa beliau telah menerima surat rasmi untuk menggantikan Fandi buat sementara.

Menurut Azmi, beliau menerima surat lantikan tersebut kira-kira pukul 1 petang kelmarin dengan arahan jelas untuk melatih Johor DT bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

"Saya tidak tahu mengenai Fandi tetapi saya sudah menerima surat rasmi untuk melatih Johor DT berkuat kuasa serta merta semalam (kelmarin)," kata Azmi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Difahamkan, kegagalan Johor DT menjuarai Piala FA dan Liga Super musim ini meskipun mempunyai barisan pemain bintang termasuk beberapa pemain kebangsaan, menjadi antara faktor Fandi 'digugurkan' daripada membimbing pasukan itu.

Mengulas lanjut tugasnya sebagai jurulatih baharu Johor DT, Azmi mengakui ia bukanlah satu tugas mudah.

Namun menurut Azmi, dia tetap akan berusaha untuk merealisasikan impian Johor DT meraih satu daripada tiga piala musim ini.

"Memang ini tugas yang cukup mencabar tetapi saya akan cuba lakukan sesuatu yang terbaik untuk cita-cita menjuarai Piala Malaysia. Apa yang penting, saya harap semua pemain dapat memberi kerjasama

"Ini merupakan peluang terakhir untuk Johor DT menjulang salah satu piala musim ini selepas gagal menjuarai Piala FA dan Liga Super," katanya.

Azmi memulakan tugasnya dengan mengendalikan sesi latihan Johor DT di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru malam tadi manakala Fandi pula hanya dilihat berada di tempat duduk penonton.

Jangan hanya jadi temasya sarkas

Posted:

Jangan hanya jadi temasya sarkas

Jangan hanya jadi temasya sarkas

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


ZOLKPLES (tengah) beramah mesra dengan atlet-atlet negara pada majlis berbuka puasa di MSN, Bukit Jalil malam tadi.


TIDAK lagi perlu menjadi 'jaguh kampung'.

Demikian saranan Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya Malaysia berhasrat menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2017.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mengenal pasti acara sukan yang dipertandingkan pada temasya itu nanti.

Menurut beliau, sebagai tuan rumah, acara-acara sukan yang tidak dipertandingkan pada peringkat tertinggi seperti temasya Sukan Asia, Komanwel mahupun Olimpik sewajarnya digugurkan hanya kerana mahu merangkul gelaran juara keseluruhan.

"Acara-acara mengarut seperti renang sirip, sepak bulu ayam, kempo dan vovinam seperti yang dipertandingkan pada temasya sebelum ini perlu digugurkan. Jangan jadikannya seperti temasya sarkas semata-mata mahu menjadi juara keseluruhan.

"Saya yakin MOM memiliki pendirian yang sama dan kami akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekiranya hasrat menjadi tuan rumah benar-benar mahu direalisasikan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Atlet di MSN, Bukit Jalil malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin melahirkan hasrat supaya negara muncul tuan rumah Sukan SEA 2017 selepas kali terakhir menganjurkan temasya dwi-tahunan itu pada 2001.

Ia ekoran tuan rumah asal, Brunei hanya bersedia menganjurkan temasya itu pada 2019, tahun yang sepatutnya menjadi giliran Malaysia sebagai tuan rumah.

Bagaimanapun jelas Zolkples, sukan tradisi seperti silat olahraga dan sepak takraw wajar diteruskan kerana ia masih dipertandingkan pada temasya Sukan Asia.

Mengenai bajet yang dikatakan mencecah RM116 juta, Zolkples memberitahu, anggaran awal itu dilihat masih berpatutan dan jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan ketika menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma).

"Penganjuran temasya Sukan SEA kali ini juga tidak memerlukan pembinaan gelanggang sukan baharu, sebaliknya penambahbaikan mana-mana venue sedia ada," jelasnya.

Dalam pada itu, kontinjen negara dijangka 'terlepas' sekurang-kurangnya 30 pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar yang bakal membuka tirainya Disember depan.

Ini kerana menurut Zolkples, beberapa acara yang sebelum ini menjadi 'lubuk emas' kontinjen negara digugurkan penganjur kali ini.

"Acara seperti trek berbasikal (10 emas), boling (lima emas) dan renang seirama (lima emas) yang dipertandingkan pada temasya dua tahun lalu merupakan antara acara yang digugurkan oleh Myanmar kali ini," katanya.

Pada 2011, kontinjen negara melabuhkan tirai Sukan SEA di Indonesia di tempat keempat keseluruhan carta pungutan pingat selepas meraih 59 emas, 50 perak dan 81 gangsa.

Ketika itu, penembak wanita, Nur Suryani Mohamed Taibi berjaya 'membidik' emas sulung kontinjen negara apabila mengungguli acara 50 meter 3 posisi Pistol Wanita manakala kilauan emas terakhir pula disumbangkan skuad Harimau Muda yang mengecewakan tuan rumah, Indonesia pada aksi final di Gelora Bung Karno, Jakarta.

'Beri Rajagobal peluang'

Posted:

'Beri Rajagobal peluang'

'Beri Rajagobal peluang'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ibrahim Saad berpendapat Datuk K. Rajagobal harus diberi peluang membimbing skuad Harimau Malaya sehingga berakhirya kempen kelayakan Piala Asia 2015 tahun depan.

Ibrahim berkata, tindakan untuk memecat Rajagobal, 57, bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan prestasi merudum skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, Ibrahim menjelaskan bahawa Rajagobal dan anak-anak buahnya harus mengembalikan semula keyakinan serta kepercayaan peminat tempatan.

"Caranya ialah meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang dilalui termasuk aksi persahabatan.

"Saya fikir Rajagobal masih belum terlambat tetapi kali ini, beliau harus mendengar pendapat dan pandangan daripada 'orang-orang lama' serta bekas pemain kebangsaan.

"Saya lihat pendekatan itu tidak akan merugikan Rajagobal, malah beliau akan mendapat input tambahan dan berguna bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap.

"Secara peribadi, saya berasakan bahawa Rajagobal harus diberi peluang, sekurang-kurangnya hingga tamat kelayakan Piala Asia nanti," jelas Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sejak beberapa bulan lalu, pemerhati dan peminat bola sepak tempatan seakan-akan sudah hilang sabar dengan prestasi hambar skuad Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat.

Semuanya gara-gara keputusan buruk yang dilakar oleh anak-anak buah Rajagobal yang menyaksikan mereka sekadar meraih dua kemenangan sepanjang 12 perlawanan yang diharungi tahun ini.

Selain meraih kemenangan 2-1 ke atas Yemen dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu, Harimau Malaya menang 4-0 ketika menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada perlawanan persahabatan bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan, Rajagobal tidak perlu 'berdendam' dengan setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya dan skuad Harimau Malaya.

"Rajagobal tidak boleh berkecil hati, sudah menjadi perkara biasa seseorang jurulatih dihentam atau dikritik.

"Kita beri peluang dahulu kepada Rajagobal untuk meneruskan perancangannya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

"Harap peminat dapat bersabar kerana pertukaran jurulatih belum tentu dapat memperbaiki prestasi skuad negara dalam masa terdekat," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved