Rabu, 10 Julai 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Atur aksi persahabatan kelas A

Posted:

Atur aksi persahabatan kelas A

Atur aksi persahabatan kelas A

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (dua dari kiri) lebih gemar bereksperimen sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tanah air.


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh menyifatkan kejatuhan ranking Harimau Malaya berpunca daripada kegagalan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu mengadakan aksi persahabatan kelas A dengan pasukan-pasukan kebangsaan.

Menurut Shukor, kedudukan Harimau Malaya dalam ranking dunia mungkin akan jatuh atau terus statik jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih gemar mengatur aksi 'pemanas badan' menentang pasukan berstatus kelab.

"Kita harus sedar ranking skuad negara (Harimau Malaya) tidak begitu bagus ketika ini dan sepatutnya kita mengambil langkah langkah untuk memperbaiki situasi itu.

"Jika Indonesia boleh mengaturkan perlawanan menentang Belanda, mengapa kita tidak boleh melakukan demikian dan ranking kita adalah lebih baik daripada mereka (Indonesia) yang menduduki tangga ke-168 dunia.

"Saya lihat skuad negara kita lebih kerap menentang pasukan berstatus kelab dan ini bukanlah satu langkah yang positif.

"Persoalan sekarang, sampai bila kita hendak lawan pasukan berstatus kelab? Kini terserah kepada pihak pengurusan FAM untuk menetapkan hala tuju skuad negara ke arah lebih baik," kata Shukor ketika dihubungi semalam.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Per sekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu kekal menghuni tangga ke-159, sama seperti kedudukan bulan lalu.

Ketika mengadakan sesi latihan di Australia bulan lalu, Harimau Malaya turut berpeluang 'mengasah taring' dengan menentang tiga kelab dari negara itu.

Selasa depan, anak-anak buah Rajagobal dijadual menentang kelab Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam sebelum menentang gergasi England, Chelsea 21 Julai nanti.

Pada penghujung bulan ini pula, Harimau Malaya akan mengadakan tiga aksi persahabatan dengan tiga kelab Jepun.

Sejurus tamat 'berguru' di Jepun, Harimau Malaya dijadual menentang juara Liga Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

"Saya faham, jurulatih (Rajagobal) mahu menguji kekuatan dan kelemahan pasukan tetapi lebih baik lawan dengan pasukan kebangsaan.

"Kejayaan lalu (pemenang pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF Suzuki 2010) tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya jadikan sebagai satu suntikan untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

"Mahu ranking lebih baik, kita sepatutnya menentang dengan pasukan kebangsaan, bukan lawan kelab," katanya.

'Bagi Paul masa untuk berehat'

Posted:

'Bagi Paul masa untuk berehat'

'Bagi Paul masa untuk berehat'

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my


IMBAS... Revington dikerumuni pihak media sejurus mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkeples Embong di Bukit Jalil 18 Jun lalu.


NAIB Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad yakin jurulatih, Paul Revington akan terus kekal membimbing skuad negara sehingga Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Keyakinan Nur Azmi itu sudah pasti menghadirkan sedikit kelegaan kepada barisan pemain dan peminat hoki tanah air selepas tercetusnya isu kontroversi peletakan jawatan Revington dua minggu sebelum Liga Hoki Dunia berlangsung di Johor Bahru.

Bagaimanapun, semuanya masih belum terjamin selagi Revington sendiri belum mengesahkan mengenai pendiriannya itu.

Justeru, Nur Azmi menasihatkan supaya peminat hoki negara memberi sedikit ruang dan masa kepada Revington agar jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu tidak terlalu tertekan membuat keputusan dengan situasi yang dihadapinya ketika ini.

"Saya yakin Paul akan terus bersama skuad hoki kita seperti yang dipersetujui dalam kontraknya iaitu sehingga Sukan Olimpik 2016 di Brazil," jelas Nur Azmi kepada Kosmo! semalam.

"Buat masa ini, beliau masih belum memberitahu keputusan sebenarnya tetapi secara peribadi, berdasarkan apa yang saya kenal tentang dirinya ialah beliau pasti akan meneruskan tanggungjawabnya itu.

"Apa pun, kita perlu bersabar sedikit dengan perkara ini. Berilah dia sedikit ruang dan masa untuk berehat daripada segala tekanan yang dihadapinya ketika ini."

Selepas gagal dalam misi memenangi satu daripada tiga slot automatik ke Piala Dunia 2014 pada kempen di Johor baru-baru ini, skuad negara kini memiliki peluang terakhir untuk melakukannya pada Piala Asia 2013 yang bakal berlangsung di Ipoh, Perak bermula 24 Ogos hingga 1 September depan.

Khidmat Revington yang dinobat sebagai Jurulatih Terbaik 2011 oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) itu pastinya amat ditagih di Ipoh nanti dalam usaha skuad negara menamatkan kemarau beraksi di pentas dunia tersebut setelah gagal dalam dua edisi terdahulu, 2006 dan 2010.

Sejak membimbing skuad negara, beliau yang juga bekas jurulatih Ireland berjaya membawa transformasi baharu dalam kalangan barisan pemainnya sehingga menyaksikan mereka memenangi tempat keempat Cabaran Juara-Juara I di Argentina serta muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah 2013 di Ipoh, Mac lalu.

"Beliau mungkin kecewa kerana gagal merealisasikan sasaran membawa skuad negara dalam kelompok empat terbaik pada Liga Hoki Dunia baru-baru ini.

"Namun, saya rasa beliau sudah tentu mahu meneruskan misi itu pada Piala Asia 2013 nanti kerana beliau seorang lelaki yang sejati.

"Beliau pasti mahu mencapai sasaran yang diletakkan oleh dirinya sendiri iaitu membawa Malaysia beraksi pada Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik 2016," tambah Nur Azmi.

MSWP adakan mesyuarat hari ini

Posted:

MSWP adakan mesyuarat hari ini

MSWP adakan mesyuarat hari ini

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) akan mengadakan mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas hari ini bagi menyiasat dakwaan atlet bola baling lelaki Wilayah Persekutuan membawa masuk dan minum minuman keras di Perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang baru-baru ini.

Difahamkan, mesyuarat kali pertama itu bakal melibatkan wakil daripada Persatuan Bola Baling Malaysia (PBBM).

"Segala-galanya akan diputuskan esok (hari ini) dan perlu dijelaskan, siasatan itu hanya berkaitan dengan isu disiplin iaitu minum minuman keras.

"Hal melibatkan kes rogol akan diuruskan oleh pihak polis manakala mengenai isu keselamatan yang didakwa longgar di Perkampungan Sukan itu, MSWP akan serahkan perkara tersebut kepada pihak penganjur untuk melakukan siasatan," ujar Pengarah MSWP, Mohd. Hamidi Abu Bakar ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengesahkan MSWP akan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas itu.

Berkenaan kes penggantungan skuad bola baling lelaki Wilayah Persekutuan, Hamidi menjelaskan, pihaknya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menjatuhkan hukuman.

"Penggantungan skuad itu hanya melibatkan aktiviti atau penganjuran daripada MSWP. Bagi program atau aktiviti lain, kita tunggu keputusan yang dibuat selepas siasatan dijalankan," tambahnya.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan seorang pegawai pengiring wanita berusia 19 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling di Perkampungan Sukan tersebut.

Tiga atlet yang dipercayai membawa minuman keras ke dalam Perkampungan Sukan berkenaan telah ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lalu di Perkampungan Sukan di UPM, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved