Sabtu, 13 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Iftar berjemaah erat silaturahim

Posted:

Iftar berjemaah erat silaturahim

Iftar berjemaah erat silaturahim

SATU hidangan nasi ambang kebiasaannya dimakan bersama oleh empat orang.


BULAN Ramadan sudah pun membuka gelanggangnya pada Rabu lalu. Ramai umat Islam menunggu kedatangan bulan yang penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran pahala yang besar itu.

Sedar atau tidak, cara untuk memperoleh ganjaran pahala lebih besar adalah dengan berbuka puasa, bersahur serta menunaikan solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah.

Walaupun amalan berbuka puasa secara beramai-ramai di restoran merupakan satu pemandangan biasa, jarang kita melihat sekumpulan orang menjamah makanan yang diletakkan di dalam sebuah dulang yang sama.

Bagaimanapun, situasi itu boleh disaksikan di sebuah masjid di Puchong, Selangor. Berhampiran sebuah tasik buatan di Puchong Perdana, beberapa orang petugas Masjid as-Salam sibuk menyediakan juadah untuk ahli kariah yang datang berbuka puasa di situ.

Uniknya, jemaah di masjid ini berkongsi hidangan dalam sebuah dulang.

Menurut ahli jawatankuasa Masjid as-Salam, Norrahmayati Nawawi, 43, amalan makan dalam dulang dipraktikkan di masjid itu setiap kali waktu berbuka puasa pada tahun ini.

Selain nasi dan lauk-pauk, sambal belacan dan ikan masin turut disediakan dalam dulang itu.

"Tidak sah jika tiada ikan masin dan sambal belacan," katanya sambil tersenyum.

Menurut Norrahmayati, dulang aluminium itu akan dibersihkan dan dikeringkan terlebih dahulu.

Kemudian, ia dilapik dengan plastik supaya senang untuk dicuci selepas makan nanti.

"Cuma balut dan buang susa makanan ke dalami tong sampah, mudah bukan," jelas wanita berumur 43 tahun ini berhubung sisa makanan yang ditinggalkan jemaah.

Menu lain yang biasanya dihidangkan ialah daging atau ayam masak kari dan sayur-sayuran goreng. Seramai empat orang akan berkongsi hidangan yang sama.

"Selalunya makanan akan habis. Sebenarnya makan berjemaah ini lebih berkat," Norrahmayati memberikan pendapatnya.

MENU wajib makan dalam dulang ialah ikan masin dan sambal belacan.


Kenali jiran

Bagi Norakmar Re, 48, aktiviti makan dalam dulang sejak beberapa tahun lalu membolehkan dia mengenali jiran-jirannya dengan lebih rapat berbanding sebelum ini.

"Dulu kita tidak kenal jiran walaupun dia duduk selang beberapa rumah sahaja. Makan sebegini memerlukan kita mencari pasangan yang kurang dikenali.

"Imbuhannya, lebih ramai individu yang kita akan kenal. Ia ibarat magnet. Isu-isu yang berlaku di persekitaran juga dapat diketahui," katanya.

Usah berbicara panjang mengenai pengalaman orang lain. Kru Jurnal sendiri berpeluang makan bersama tiga orang kariah masjid itu baru-baru ini.

Aktiviti menghidangkan makanan dimulakan sejak pukul 6.30 petang. Pada hari itu, tidak kurang 30 dulang hidangan disediakan.

Nasinya menggunung tinggi manakala kari daging, beberapa ekor ikan masin, sambal belacan dan sayur-sayuran habis dimakan dalam tempoh kurang setengah jam.

Ternyata makan dengan cara ini juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan ini diakui oleh Muhd Fareezana Razak, 13.

Kekeluargaan

"Saya biasa makan menggunakan dulang bersama keluarga sejak beberapa tahun lalu.

"Bukan pada bulan Ramadan sahaja tetapi semasa makan malam. Pada pandangan saya, tabiat ini mampu merapatkan hubungan dengan adik-adik serta ahli keluarga yang lain.

"Kadangkala kami saling menyuap makanan sesama sendiri termasuk ayah dan ibu. Nikmat itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata," ujarnya.

Makan bersama dalam dulang ada kelebihannya dari segi saintifik. Pakar kanak-kanak, Martha Marino dan Sue Butkus dari Universiti Washington, Amerika Syarikat, berkata, kanak-kanak yang makan bersama dengan kekerapan lebih tiga kali seminggu akan lebih berdisiplin di sekolah. Mereka juga lebih pintar berbanding rakan sebaya.

Menurut satu artikel oleh Matthew Kustenbauder dalam laman web www.theotherjournal.com, kebanyakan keluarga di benua Afrika makan menggunakan dulang. Sebelum makan, mereka akan mencuci tangan terlebih dahulu.


MAKAN dalam dulang seelok-eloknya dilakukan bersama individu yang tidak dikenali.


Tradisi Afrika itu dianggap unik kerana mereka turut berkongsi bekas minuman yang berupa sebuah kole bersaiz besar. Mereka akan minum secara bergilir-gilir.

Di Pahang, tradisi iftar unik diterapkan oleh warga Kuantan yang membanjiri Padang Majlis Perbandaran Kuantan di hadapan Masjid Sultan Ahmad Shah sejak beberapa tahun lalu.

Terdapat lebih 1,000 umat Islam berbuka puasa di padang tersebut pada setiap hari dengan membawa juadah masing-masing.

Ketika menanti waktu berbuka , orang ramai di atas padang diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta ceramah agama yang disediakan oleh pihak masjid.

Di negara ini sejak sekian lama masyarat Jawa terkenal dengan nasi ambang. Apabila menyebut nasi ambang, pasti akan terbayang sedulang nasi berlapikkan daun pisang dengan selonggok lauk yang biasanya dimakan oleh empat orang dewasa.

Menurut Suzaidah Rajan yang mengusahakan perniagaan menjual nasi ambang sejak lapan tahun lalu di Ijok, Selangor, dia akan menikmati nasi itu yang dibawa oleh ayahnya selepas pulang daripada kenduri.

"Saya akan menyorokkan daging atau ayam di sebalik timbunan nasi. Namun, ia akan merapatkan hubungan kami. Bau tempe goreng, ikan goreng, dan ayam kari pasti menggamit selera," katanya mengimbau kenangan.

Ujarnya, nasi ambang yang diusahakannya turut mendapat tempahan daripada badan korporat selain masjid dan surau untuk dijamah semasa berbuka puasa.

"Malah, ada juga yang memesannya untuk dimakan semasa bersahur," katanya.

Tambahnya, nasi ambang dimakan seramai empat hingga enam orang dalam satu talam.

"Tetapi, kini menunya bukan sekadar daging atau ayam tetapi masakan yang berasaskan udang, ketam dan sotong.

"Nasi pula tidak sahaja nasi putih tetapi nasi minyak dan beriani. Selera orang sekarang berbeza-beza," katanya.

Maklumat lanjut mengenai R&S Catering boleh didapati dengan menghubungi Ida menerusi talian 013-241 2211.

Ziada tak malu berhijab

Posted:

Ziada tak malu berhijab

Ziada tak malu berhijab

Susunan SITI NOR AFZAN KASIMAN


ZIADA (paling kanan) bergambar bersama Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christiane Lagarde (pertama dari kiri) dalam satu majlis makan malam di Davos, AS baru-baru ini.


BELUMPUN sempat meraikan ulang tahun pertama bergelar Presiden Mesir, Mohammed Morsi akhirnya digulingkan tentera yang diketuai Menteri Pertahanan yang dilantiknya, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi.

Seminggu sebelum kejatuhannya, lebih setengah juta rakyat Mesir melancarkan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga mengakibatkan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin rosak teruk manakala puluhan orang dilaporkan maut.

Berita penggulingan Morsi itu mencetuskan kegembiraan kepada ratusan ribu penunjuk perasaan yang berkhemah di sekitar bandar raya Kaherah, malah sesetengahnya meraikannya dengan letupan mercun.

Antara yang tersenyum melihat kemenangan suara rakyat itu ialah Dalia Ziada, seorang aktivis hak kemanusiaan kelahiran Mesir.

Semasa pelantikan Morsi sebagai presiden pada 24 Jun 2012, Ziada, 30, yang juga seorang blogger mengaku kecewa dengan pemilihan ketua negara tersebut.

"Saya percaya kemenangan Morsi adalah sah kerana dilakukan secara demokrasi tetapi ia mungkin satu kesilapan bagi rakyat Mesir.

"Saya berpendapat, rakyat Mesir belum bersedia dipimpin oleh seorang pemimpin daripada pergerakan Islam radikal seperti Ikhwanul Muslimin.

Khitan

"Saya cuma berharap di bawah kepimpinan Morsi, revolusi akan berakhir dan keadaan akan bertambah baik," ujar Ziada.

Walaupun masih muda, pengalaman Ziada sebagai aktivis berhaluan kanan sudah bermula sejak kecil lagi.

Dia yang aktif memperjuangkan hak-hak wanita Islam tidak gentar berdebat dalam kalangan masyarakatnya, mahupun di forum antarabangsa.

"Saya seorang revolusioner dan bangun memperjuangkan hak-hak wanita Islam adalah jiwa saya.

"Minat bergelar seorang pejuang hadir sejak saya berusia lapan tahun lagi.

"Pada waktu itu, ibu mendandan dan memakaikan saya pakaian yang sangat cantik.

"Saya fikir, kami sedang bersiap untuk menghadiri parti hari jadi.

"Namun, telahan saya silap. Ibu membawa saya ke klinik untuk dikhatankan.

"Apabila doktor menerangkan prosedur berkhatan yang bakal dijalankan, saya menjadi takut dan menangis.

"Doktor memberi suntikan untuk menidurkan saya dan apabila sedar, saya menanggung kepedihan dan kesakitan.

"Bermula detik itu, saya akan menjadi orang pertama yang membantah amalan khatan dalam kalangan kanak-kanak perempuan," imbas Ziada yang mengetuai kempen kesedaran tentang kesan amalan berkhatan bersama empat rakannya semasa di universiti.

Selain lantang memperjuangkan hak-hak wanita, Ziada juga sering dijemput menjadi speaker dalam majlis yang membincangkan kebebasan bersuara dan konflik keganasan di Asia Barat sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Pada tahun 2009, saya dijemput untuk mendengar ucapan Presiden AS, Barack Obama di Kaherah.

"Saya turut dijemput menghadiri mesyuarat tertutup bersama Penasihat Kanan White House, Valerie Jarret untuk membincangkan beberapa topik berkaitan belia, hak awam dan hak wanita di dunia Islam," katanya.

Usahanya tanpa lelah untuk memartabatkan hak wanita, kebebasan awam dan demokrasi liberal di Asia Barat sejak di universiti akhirnya mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pertubuhan dunia.

Berani

Selain menggondol Anugerah Presiden Universiti Tuft di AS, dia turut menerima beberapa anugerah keamanan peringkat antarabangsa.

Antaranya, nama Dalia Ziada tersenarai dalam 150 wanita paling berani dan berpengaruh di dunia pada tahun 2011 dan 2012 oleh majalah Newsweek.

Dia juga dipilih sebagai lapan individu yang membawa perubahan di dunia Arab oleh stesen penyiaran CNN pada tahun 2012.

Selain itu, portal berita AS, Daily Beast turut menyenaraikan Ziada sebagai 17 blogger paling berani di dunia pada tahun 2011.

Pemegang Sarjana Perhubungan Antarabangsa dari Sekolah Perundangan dan Diplomasi Fletcher, Universiti Tuft, AS, itu turut menerima Anugerah Kewartawanan Anna Lindh Euro-Mediterranean pada tahun 2010 selain namanya dinobatkan sebagai Juara Hak Wanita oleh majalah Time pada tahun 2009.

Pernah ditanya tentang kelantangannya membidas tindakan kerajaan yang meletakkan wanita sebagai golongan kelas bawahan, jawab Ziada: "Saya tidak takut menjadi revolusioner. Seperti lelaki, saya juga ada kuasa untuk bersuara dan tahu apa yang saya boleh lakukan."

Jelasnya, apa yang dilakukan selama ini bukanlah untuk menaikkan namanya sebagai ikon wanita Arab, sebaliknya memang menjadi prinsip hidup gadis itu untuk menyumbangkan sesuatu kepada bangsanya.

"Saya tidak mahu hidup tanpa menyumbang apa-apa. Apa yang saya mahu, apabila saya mati kelak, golongan wanita Arab boleh menikmati layanan dan keistimewaan seperti yang diperoleh golongan lelaki.

"Itu yang saya perjuangkan selama ini," katanya yang gemar berhijab dengan motif bunga berona terang.

Biarpun sesetengah golongan Barat memandang wanita berhijab sebagai orang yang kolot, Ziada tidak pernah mengendahkan tanggapan tersebut.

"Berhijab adalah jiwa saya. Rasanya seperti berbogel saja bila tidak berhijab. Alhamdulillah, ramai kenalan dari Barat lebih menghormati keperibadian wanita yang berhijab seperti saya.

"Saya juga percaya, hijab bukan sahaja menutup urat, bahkan ia juga boleh melindungi pemakainya daripada pandangan masyarakat," katanya.

Bangkai gajah purba jadi tumpuan

Posted:

Bangkai gajah purba jadi tumpuan

Bangkai gajah purba jadi tumpuan


PARA saintis sedang melihat bangkai seekor gajah purba yang tiba di Dewan Pacifico Yokohama di Yokohama, Jepun pada 9 Julai lalu.


DENGAN bulu yang kusut, ia menyerupai mainan yang amat disayangi jika dilihat sekali imbas tetapi bangkai seekor gajah purba atau mamot yang berusia 39,000 tahun itu merupakan tinggalan haiwan prasejarah yang terbaik pernah ditemui.

Bulu gajah betina spesies Woolly itu masih berada dalam keadaan asalnya walaupun ia ditemui dalam keadaan beku di Siberia, Rusia pada Mei lalu.

Gajah purba itu dipamerkan kepada orang ramai di Dewan Pacifico Yokohama di Yokohama, Jepun semalam sehingga bulan September depan.

Para saintis turut memperoleh sampel darah yang tersimpan di dalam ais di bawah bangkai haiwan itu.

Sampel darah itu boleh digunakan untuk mengklon hidupan purba tersebut.

Kali terakhir gajah Woolly itu hidup adalah kira-kira 4,000 tahun lalu.


REPLIKA bentuk rangka gajah mamot dipamerkan di Dewan Pacifico Yokohama di Yokohama kelmarin.


Pasukan saintis Rusia yang terlibat dengan penemuan itu turut menemui tisu otot haiwan tersebut.

Ia dianggarkan berusia dalam lingkungan umur kira-kira 50 atau 60 tahun ketika mati.

Seorang saintis dari Universiti Persekutuan Timur Laut di Siberia, Semyon Grigoriev memberitahu, dia dan para pengkaji terkejut apabila menemui sampel darah dan tisu otot haiwan itu.

"Ia dianggap sebagai 'mamot terbaik' yang masih terpulihara dalam sejarah paleontologi," katanya.

Grigoriev pada mulanya meletakkan usia haiwan itu kira-kira 10,000 tahun. Namun, selepas ujian dilakukan haiwan itu sebenarnya didapati berusia lebih tua iaitu kira-kira 39,000 tahun.

"Ia merupakan penemuan yang besar. Buat masa ini, kecurigaan kami adalah mengenai darah haiwan tersebut yang mempunyai bahan semula jadi antibeku," katanya.

"Kami mengandaikan haiwan itu terjatuh ke dalam air atau tenggelam di dalam paya dan tidak dapat keluar menyebabkannya mati," tambahnya.


SEORANG pekerja melihat bangkai seekor gajah purba itu yang masih dalam keadaan baik.


Sebahagian badan gajah itu masih terpulihara termasuk bulunya walaupun ditemui dalam keadaan beku selama beribu-ribu tahun.

Bagaimanapun, bahagian atas dan kedua-dua belah kaki haiwan itu dipercayai telah menjadi makanan pemangsa prasejarah.

Darah dan sampel lain yang ditemui pada bangkai itu akan dihantar ke sebuah makmal persendirian milik seorang saintis Korea Selatan, Hwang Woo-suk, dalam usaha untuk mengembalikan haiwan itu ke dunia.

Mengikut cadangan awal, telur mamot itu akan dimasukkan ke dalam seekor gajah hidup untuk dihamilkan selama 22 bulan.

Pada awal tahun ini, sekumpulan saintis dari seluruh dunia menghadiri persidangan TEDx di Washington, Amerika Syarikat (AS) yang ditaja oleh National Geographic.

Kumpulan saintis itu membincangkan kemungkinan menghidupkan kembali 24 jenis haiwan yang telah pupus.

Haiwan itu termasuklah burung dodo, burung bayan Carolina yang kali terakhir ditemui pada tahun 1904 di Florida, AS dan zebra Quagga yang pernah tinggal di Afrika Selatan tetapi pupus pada tahun 1883.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved