Rabu, 10 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Usia bukan penentu kebahagiaan

Posted:

Usia bukan penentu kebahagiaan

Usia bukan penentu kebahagiaan

KIRA-KIRA lapan tahun yang lalu, negara pernah digemparkan dengan kisah mengenai perkahwinan antara seorang wanita warga emas iaitu Wook Kundur dan Mohd. Nor Musa di Hulu Terengganu, Terengganu.

Ternyata, berita perkahwinan itu mendapat perhatian ramai memandangkan Wook ketika itu sudah berusia 103 tahun, manakala Mohd. Nor baru berusia 34 tahun.

Jarak perbezaan usia antara mereka berdua mencecah 69 tahun.

Sebenarnya, sesebuah percintaan atau perkahwinan yang melibatkan wanita yang berpasangan dengan lelaki muda merupakan perkara yang sudah menjadi kebiasaan dan bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Namun begitu, ia akan menarik perhatian umum sekiranya membabitkan kisah seperti pasangan Wook dan Mohd. Nor.

Apatah lagi, jika ia melibatkan artis atau selebriti ternama yang pernah dilanda kontroversi bersiri seperti penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman.

Raja Azmi cukup sinonim dengan kisah panas dirinya yang dikaitkan menjalinkan hubungan dengan lelaki yang lebih muda daripada dirinya.

Setelah bercerai dengan bekas pemain badminton kebangsaan, Jailani Sidek, 50, pada bulan Jun tahun lepas, Raja Azmi ternyata tidak menunggu lama untuk mencari pengganti.

Pada awal tahun ini, Raja Azmi mengakui telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pemuzik berusia 27 tahun yang hanya dikenali sebagai Hafiz.

Ketika ramai yang memperkatakan mengenai hubungan mereka berdua, ternyata hubungan Raja Azmi dan Hafiz tidak bertahan lama apabila hanya berkesempatan mengecap nikmat percintaan selama sebulan.

Tidak lama kemudian iaitu pada bulan Februari pula dia telah diperkenalkan dengan pemain bass kumpulan rock CRK yang popular sekitar 90-an, Mohd. Eddie Ghazali, 45.

Beberapa hari selepas itu mereka mengambil keputusan untuk menjadi pasangan kekasih.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkahwinan yang membabitkan selebriti wanita dengan lelaki yang lebih muda, Raja Azmi menyatakan bahawa ia sudah menjadi satu kebiasaan dalam hidupnya.

"Kalau diikutkan usia bekas suami saya iaitu Jailani pun lebih muda ketika kami mendirikan rumah tangga pada tahun 1984. Ketika itu saya berusia 25 tahun, Jailani pula baru berusia 21 tahun.

RAJA AZMI dan Eddie bakal bertunang pada 15 Julai ini


"Jadi, menjalinkan hubungan dengan lelaki yang lebih muda bukanlah perkara asing buat diri saya. Kali ini, saya ditakdirkan pula bertemu dengan Eddie yang berusia 45 tahun," jelasnya sambil mengakui hubungannya dengan bekas suami masih lagi baik sehingga sekarang.

Apabila ditanya faktor yang menyebabkan dia gemar memilih lelaki yang lebih muda sebagai teman hidup, Raja Azmi menjelaskan, seboleh-bolehnya dia mahu mengelak berkahwin dengan suami orang.

"Pada usia saya sekarang ini kalau hendak cari lelaki yang sebaya atau lebih tua, kebanyakannya pasti suami orang. Saya memang mahu elak daripada menjalinkan hubungan dengan lelaki yang sudah menjadi milik orang," tegasnya.

Menurut Raja Azmi lagi, dia gembira kerana ketiga-tiga anaknya iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Dali, 18, turut merestui hubungannya dengan Eddie.

Ujarnya, bagi menguji sejauh mana keikhlasan kekasihnya itu untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius, mereka mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 15 Julai ini.

"Sebenarnya saya tidak mahu bertunang kerana usia saya pun sudah mencecah 54 tahun, tetapi anak-anak yang telah mendesak kami bertunang. Tujuan mereka berbuat demikian untuk melihat bahawa kami ada ikatan yang lebih kukuh.

"Apabila saya berbincang mengenai perkara ini (pertunangan) dengan Eddie, dia bersetuju untuk masuk meminang saya dan sebuah majlis kecil-kecilan akan diadakan di rumah saya di Ampang, Selangor," jelasnya.

Tambahnya, tempoh pertunangan mereka mungkin tidak berlarutan untuk tempoh yang lama memandangkan mereka akan mendirikan rumah tangga pada 15 September ini.

"Setelah gagal dalam perkahwinan yang pertama, kali ini saya berharap hubungan dengan Eddie akan berkekalan sampai bila-bila. Biarlah apa yang orang lain hendak kata, asalkan saya telah membuat pilihan yang tepat.

"Lagipun, saya percaya perbezaan usia ini bukanlah penentu kebahagiaan sesebuah pasangan. Apa yang lebih penting perlunya ada keserasian dan persefahaman kalau ingin melalui kehidupan berumah tangga yang bahagia," tuturnya.

ZAIN dan Che Ta masih belum mendedahkan tarikh perkahwinan mereka tetapi mengakui ia dijadualkan bakal berlangsung pada tahun ini.


Bersikap matang

Seorang lagi pelakon wanita popular yang turut menjadi tumpuan ramai ialah Rozita Che Wan, 42, yang kini sedang menjalinkan hubungan serius dengan pelakon kacak Zain Saidin, 29.

Mengakui sudah bercinta selama tiga tahun dengan Zain, Rozita mempunyai pendapat yang sama apabila tujuannya memilih lelaki muda kerana ingin mengelak bercinta dengan suami orang.

Menurut Rozita atau lebih selesa dengan panggilan Che Ta, selepas bercerai dengan bekas suaminya pada tahun 2003, tidak dinafikan terdapat beberapa lelaki yang mahu menjalinkan hubungan lebih serius dengannya.

"Selama 10 tahun bergelar janda memang ada lelaki yang mahu ajak saya bercinta. Paling saya ingat apabila seorang lelaki yang sudah mencecah usia 60-an mahu menjalinkan hubungan serius dengan saya.

"Namun begitu, saya menolaknya dengan cara baik kerana tidak mahu mendapat suami yang terlalu tua. Selain itu, ada juga suami orang yang ajak bercinta, tetapi saya tidak mahu dan lebih suka memilih lelaki bujang," jelasnya.

Ketika ditanya apa yang membuatkan dia tertarik dengan Zain memandangkan perbezaan umur yang agak jauh iaitu 13 tahun, Che Ta memberitahu sikap Zain yang matang membuatkan mereka mudah mendapatkan keserasian.

"Sepanjang kami bercinta selama tiga tahun saya melihat Zain seorang lelaki matang dan bijak membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Jadi, saya rasa selesa dengannya dan berasakan seolah-olah umur kami ini sebaya.

"Cuma saya tidak nafikan ada segelintir lelaki muda ini agak cepat emosi, tetapi mudah untuk ditenangkan dan mereka senang ikut rentak pasangan," jelasnya yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan seorang penyanyi muda iaitu Shahir AF.

Che Ta turut berpesan bahawa mana-mana wanita yang mahu menjalinkan hubungan dengan lelaki muda, mereka tidak perlu berasa janggal dan masing-masing harus bijak untuk menyesuaikan diri.

"Kalau ada yang kata seseorang wanita berkahwin dengan lelaki muda tidak akan berkekalan, rasanya itu pandangan yang salah kerana bekas suami saya sendiri tua dua tahun daripada saya.

"Bagi saya, kebahagiaan itu bukanlah terletak pada perbezaaan usia sesebuah pasangan. Apatah lagi, jodoh dan pertemuan juga sudah ditentukan oleh Allah," ujarnya.

Ketua keluarga

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan Forteen, Izzue Islam, 23, yang mendirikan rumah tangga dengan pengurus peribadinya, Awin Nurin, 31, pada bulan lalu menyatakan dia langsung tidak peduli tentang perbezaan umur antara mereka berdua ketika mula-mula menjalinkan hubungan.

Meskipun usia Izzue yang kini menempa nama sebagai pelakon dan isterinya berbeza lapan tahun, namun hubungan percintaan yang terjalin tidak mendatangkan sebarang masalah yang besar.

SEBELUM membuat keputusan untuk berkahwin, Izzue dan Awin menjalinkan hubungan cinta terlebih dahulu selama lima tahun.


Ini kerana masing-masing saling memahami antara satu sama lain.

"Kami bercinta selama lima tahun dan pada masa yang sama, dia merupakan pengurus peribadi saya sepanjang bergelar anak seni.

"Selama kami bersama, dia banyak membantu mengembangkan kerja lakonan dan nyanyian saya.

"Apabila kami mengambil keputusan untuk berkahwin, ahli keluarga dan rakan-rakan langsung tidak mempertikaikannya.

"Mereka tetap menyokong keputusan yang dibuat dan tidak kisah siapa sahaja yang saya pilih untuk dijadikan isteri," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perhubungan yang terjalin antara seseorang wanita dengan lelaki muda, Izzue berpendapat bahawa suami perlu memainkan peranan utama sebagai ketua keluarga.

"Tidak kisahlah berapa jauh jarak beza usia antara pasangan masing-masing, namun peranan suami tetap lebih besar dan isteri pula perlu menghormati suami tanpa mengira usia," tegasnya.

Menurut Izzue lagi, dia gembira dan bersyukur kerana mendapat seorang isteri yang baik dan tidak pernah melihat perbezaan usia menjadi penghalang utama sepanjang menjalinkan hubungan cinta dahulu.

Pucuk muda laris di Hollywood

Posted:

Pucuk muda laris di Hollywood

Pucuk muda laris di Hollywood

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

DEMI MOORE sudah bercerai dengan suami mudanya, Ashton Kucther.


PERCINTAAN antara selebriti wanita terkenal dengan lelaki muda merupakan sesuatu yang lumrah di Hollywood.

Ternyata jarak usia yang terjalin antara pasangan masing-masing bukanlah penghalang untuk menjalinkan hubungan serius, malah ada hubungan beberapa pasangan yang bertahan sehingga sekarang.

Berikut senarai selebriti wanita dan pasangan kekasih muda masing-masing.

1. Elizabeth Taylor & Larry Fortensky

Pelakon legenda , mendiang Elizabeth Taylor merupakan antara selebriti Hollywood yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak lapan kali sepanjang hayatnya.

Suami pertamanya, Conrad Hilton Jr. merupakan seorang ahli perniagaan yang cukup terkenal. Mereka berkahwin pada tahun 1950, tetapi jodoh kedua-duanya tidak panjang dan bercerai setahun kemudian.

Kemudian pelakon sensasi kelahiran London, England itu berkahwin dengan beberapa lelaki lain. Namun begitu, sesuatu yang cukup menarik perhatian berhubung dengan perkahwinan terakhirnya pada tahun 1991.

Ketika itu Elizabeth yang berusia 59 tahun membuat keputusan memilih seorang buruh binaan, Larry Fortensky yang baru berusia 39 tahun menjadi suaminya. Perkahwinan mereka cuma bertahan lima tahun dan bercerai pada tahun 1996.

2. Tina Turner & Erwin Bach

Hubungan cinta yang terjalin antara penyanyi popular Tina Turner yang sudah berusia 73 tahun dengan seorang penerbit kelahiran Jerman, Erwin Bach bukanlah menjadi satu rahsia buat para peminatnya.

Bagaimanapun, pada bulan Mac lalu sebuah akhbar dari Switzerland, Blick melaporkan Tina dan Erwin telah mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

Menariknya, akhbar tersebut menyatakan pasangan itu sudah lama menjalinkan hubungan cinta dan tinggal bersama-sama di Switzerland sejak 18 tahun lalu. Erwin yang kini berusia 56 tahun dikatakan mengambil masa dua tahun untuk melamar Tina.

Sebelum ini penyanyi yang dikenali menerusi lagu Simply The Best itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Ike Turner pada tahun 1962 dan bercerai 16 tahun kemudian.

3. Madonna & Brahim Zaibat

Pada usia yang bakal mencecah 55 tahun pada Ogos ini, penyanyi sensasi Madonna dilihat masih mampu lagi mengekalkan kejelitaannya serta berpenampilan menarik.

Jadi, tidak hairanlah pemilik nama sebenar Madonna Louise Ciccone ini menjadi tarikan lelaki muda. Ketika ini penyanyi tersebut menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penari yang dikenali sebagai Brahim Zaibat.

Biarpun ramai yang beranggapan bahawa Madonna kelihatan seperti seorang ibu kepada Brahim yang baru berusia 26 tahun, namun bukan halangan buat kedua-duanya menjalinkan hubungan yang lebih serius sebagai pasangan kekasih.

Madonna dan Brahim dikatakan mula keluar berdua-duaan setelah berkenalan pada tahun 2010. Perkenalan mereka bermula ketika Brahim menjadi penari semasa majlis pelancaran single terbaharu Madonna berjudul Material Girl yang berlangsung di New York.


MADONNA bersama kekasih mudanya, Brahim Zaibat.


4. Mariah Carey & Nick Cannon

Jika dalam perkahwinan pertamanya dahulu penyanyi Mariah Carey memilih jejaka yang lebih berusia, untuk perkahwinan kedua pula lelaki lebih muda telah menjadi pilihan hatinya.

Pada tahun 1993, Mariah yang ketika itu baru berusia 23 tahun telah mengambil keputusan drastik mendirikan rumah tangga dengan seorang pengarah muzik berusia 44 tahun, Tommy Mottola.

Namun begitu, perkahwinan Mariah dan Tommy tidak berkekalan apabila mereka bercerai pada tahun 1998. Selepas menjanda selama 10 tahun, Mariah membuat keputusan untuk mengahwini pelakon dan penyanyi Nick Cannon yang muda 10 tahun daripada dirinya. Mereka kini telah dikurniakan sepasang anak kembar iaitu Moroccan dan Monroe yang kini berusia dua tahun.

5. Jennifer Lopez & Casper Smart

Setelah tiga kali gagal dalam perkahwinannya yang terdahulu, penyanyi dan pelakon popular Jennifer Lopez, 43, telah menjalinkan hubungan dengan Casper Smart yang baru berusia 25 tahun dan merupakan bekas penarinya sendiri.

Menariknya, dalam satu kenyataannya kepada majalah People pada awal tahun ini, Jennifer telah meluahkan bahawa dia berasa agak risau untuk menjalinkan hubungan dengan jejaka yang muda 18 tahun berbanding dirinya.

Bagaimanapun, bekas juri rancangan American Idol itu mengakui dia selesa sepanjang bercinta dengan Casper. Jejaka tersebut sering menjadi tempatnya meluahkan perasaan ketika dia berhadapan masalah dengan bekas suaminya iaitu penyanyi Marc Anthony.

6. Demi Moore & Ashton Kutcher

Demi Moore merupakan seorang lagi pelakon wanita popular Hollywood yang selalu mencuri tumpuan ramai terutamanya mengenai kisah perkahwinan yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Dalam perkahwinannya yang pertama pada tahun 1980, Demi telah mendirikan rumah tangga semasa berusia 18 tahun dengan memilih penyanyi Freddy Moore, tetapi mereka bercerai lima tahun kemudian.

Dia mengahwini aktor popular Bruce Willis setelah dua tahun bergelar janda. Sepanjang perkahwinan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Rumer, 25, Scout, 22 dan Talullah, 19.

Namun, mereka bercerai 13 tahun kemudian. Pada 2003, Demi menjalinkan hubungan dengan aktor Ashton Kutcher yang muda 16 tahun daripada usianya.

Dua tahun kemudian mereka berkahwin sebelum akhirnya bercerai pada tahun lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved