Rabu, 31 Julai 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Pelancong asing takut datang

Posted:

Pelancong asing takut datang

Pelancong asing takut datang

KELIHATAN dua pelancong asing sedang mengambil gambar kenangan berlatarbelakangkan monumen teater Rom di bandar Libya. Keadaan tersebut merupakan satu keadaan yang jarang berlaku akhir-akhir ini.

Apa tidaknya, kota purba Rom berkenaan pernah menarik lebih 20,000 pelancong antarabangsa setiap tahun sebelum berlakunya insiden penggulingan Muammar Gaddafi pada tahun 2011. Kini, monumen yang kedudukannya menghadap ke arah pemandangan laut Mediteranean itu sudah semakin dipinggirkan.

Dua pelancong asing itu tadi sebenarnya merupakan ahli geologi yang sedang membuat lawatan kerja ke Tapak Warisan Dunia yang terletak di Libya itu. Pada masa sama, terdapat beberapa buah keluarga dan sekumpulan remaja berada di sekitar kawasan tersebut.

Ketua Jabatan Antik di Sabratha, Libya, Mohammed Bujila berkata, jumlah pelancong semakin hari semakin berkurangan. Tiada lagi pelancong asing berkunjung ke Libya dan jika ada sekali pun, kemungkinan mereka datang ke negara tersebut atas urusan kerja atau memang bekerja di sana.

"Banyak perkara berubah disebabkan konflik politik Libya tetapi kami berharap suatu hari nanti Libya kembali menjadi sebuah destinasi pelancongan dunia," ujarnya.

Ketika era pemerintahan Gaddafi yang mengasingkan Libya selama bertahun-tahun, industri pelancongan baru hendak bertapak di negara itu. Namun, ia terhenti sewaktu berlakunya kebangkitan Arab Spring di negara berkenaan dua tahun lalu.

Selepas ketiadaan Gaddafi, rakyat berharap pembentukan kerajaan demokrasi dapat membawa kembali pelancong asing ke negara itu.

Libya merupakan sebuah negara yang dilingkari oleh 1,700 kilometer garisan pesisir pantai, kaya dengan khazanah purba, terdapat lima kawasan Tapak Warisan Dunia dan keindahan pemandangan di kawasan padang pasir.


PERTEMPURAN untuk menggulingkan Muammar Gaddafi pada tahun 2011 menyebabkan sebahagian besar kawasan di Libya musnah dan kesannya masih boleh dilihat pada hari ini.


Isu keselamatan

Kerajaan baharu amat berharap agar sumber pendapatan daripada sektor pelancongan Libya dapat membantu merancakkan pembangunan negara tersebut. Ia juga diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan Libya kepada hasil eksport minyak dan gas di samping menurunkan kadar pengangguran yang kira-kira 15 peratus sekarang.

Walaupun Libya bebas hampir dua tahun daripada cengkaman Gaddafi, pelancong antarabangsa masih tidak tertarik untuk berkunjung ke Libya disebabkan pergolakan yang masih berlaku. Biarpun banyak kedai dan restoran baharu dibuka serta kekerapan jadual penerbangan harian ke Eropah bertambah, ia seolah-olah tidak berjaya menarik pelancong ke sana.

Tindakan pasukan tentera mengepung bangunan dan mencetuskan kekacauan yang masih tercetus di jalanan secara sesuka hati membuatkan kerajaan Libya berpendapat masalah industri pelancongan tidak akan selesai selagi isu keselamatan negara tidak diatasi dengan baik. Kekecohan tetap terjadi walaupun negara tersebut telah melantik Menteri Pelancongan pascaperangnya yang pertama.

Menteri tersebut, Ikram Abdusalam Bash Imam berkata, pelancongan ialah lambang kestabilan sesebuah negara.

"Negara ini memerlukan tahap keselamatan yang tinggi bagi menarik pelancong asing datang ke sini. Kami tidak menafikan terdapat beberapa masalah di Libya, tetapi ia perkara normal selepas peperangan," jelasnya.

Ikram yang dilantik sejak November tahun lalu menjangkakan tiada agensi pelancongan asing akan kembali ke Libya untuk tempoh dua tahun akan datang.

Pengunjung asing mengambil langkah berjaga-jaga sejak amaran dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2003. Ia disebabkan oleh kes pengeboman Lockerbie, Scotland pada tahun 1988 yang mengorbankan 270 penumpang pesawat Amerika Syarikat.

PINTU masuk ke Leptis Magna menjadi tumpuan pelancong asing.


Pelancongan bukan keutamaan

Bagaimanapun, pekerja industri pelancongan menyifatkan pelancongan di Libya telah musnah disebabkan sikap tidak peduli, ketidakcekapan, keperluan visa dan peraturan yang rumit.

Pada tahun 2010, Libya pernah menarik seramai 32,038 pelancong asing dari luar kawasan Afrika Utara dan Asia Barat. Statistik tersebut dikeluarkan oleh kementerian pelancongan, namun tiada butiran terperinci sama ada mereka datang ke sana atas urusan kerja atau menikmati percutian.

Berlaku peningkatan sebanyak 10 peratus terhadap kedatangan pelancong asing pada tahun 2000 tetapi kembali menurun enam tahun kemudian. Ia ekoran penguatkuasaan ke atas pemegang pasport asing yang perlu dialih bahasa kepada bahasa Arab.

Pendapatan lumayan Libya yang diraih daripada industri minyak membuatkan pelancongan tidak diberikan keutamaan. Ia berbeza dengan negara jirannya iaitu Mesir dan Tunisia yang mengaut keuntungan besar daripada sektor pelancongan.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perancangan, Kementerian Pelancongan Libya, Abdulmajid Abodabous berkata, hasil pendapatan daripada pelancongan kurang daripada 1 peratus daripada pendapatan negara.

"Pelancongan bergantung kepada kecekapan sistem pengangkutan, perbankan dan keselamatan negara. Anda tentu malu menjemput tetamu ke rumah tetapi keadaan di dalamnya kucar-kacir," ujarnya dalam nada kecewa.

Tambah Ikram pula, keadaan sekarang terlalu awal untuk menetapkan sasaran baharu yang ingin dicapai. Keutamaannya adalah pada perancangan untuk memulihkan infrastruktur dan latihan kakitangan.

"Kami perlu merujuk kepada kejayaan negara lain dan belajar daripada mereka. Libya boleh diibaratkan seperti kelopak bunga yang sedang mengembang," luahnya dengan penuh harapan. - Reuters

Permit bersolat di Masjid al-Aqsa

Posted:

Permit bersolat di Masjid al-Aqsa

Permit bersolat di Masjid al-Aqsa


PEGAWAI polis di sempadan Israel menggeledah beg yang dibawa oleh wanita Palestin di pusat pemeriksaan Qalandia yang terletak di antara Tebing Barat, Ramallah dan Jerusalem.


DUNIA sedia maklum mengenai sekatan yang dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmuqaddis di Palestin yang merupakan kota ketiga paling suci umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Sejak 12 Mac 2010, lelaki bawah umur 50 tahun dan golongan bukan Islam dilarang memasuki laluan ke Masjid al-Aqsa.

Ketegangan mula tercetus berikutan pengumuman Israel yang mahu membina 1,600 kediaman baharu untuk peneroka haram Yahudi di timur Baitulmuqaddis. Kawasan tersebut disifatkan rakyat Palestin sebagai bakal ibu negeri Palestin yang baharu.

Ketibaan Ramadan pasti mendatangkan rasa keinginan yang membuak-buak dalam kalangan rakyat Palestin untuk beribadat di Masjid al-Aqsa. Cabaran berpuasa dalam kehangatan musim panas, bebanan kerja dan tekanan terhadap tanggungjawab sosial menjadikan bulan penuh keberkatan itu satu tempoh ujian yang benar-benar menduga.

Kerenah sekatan yang diadakan oleh tentera Israel membuatkan rakyat Palestin semakin terhimpit. Namun begitu, Israel ada menawarkan 'perkhidmatan istimewa' kepada rakyat Palestin bagi menyambut kehadiran bulan penuh berkat ini.

Kebiasaannya, rakyat Palestin tidak dibenarkan melangkah masuk ke Israel tanpa permit khas. Pada bulan Ramadan, sekatan tersebut diringankan bagi membolehkan umat Islam Palestin masuk ke Jerusalem seterusnya menunaikan solat di Masjid al-Aqsa.

Setakat ini, sebanyak 10,000 permit telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut dan mungkin jumlah berkenaan akan ditambah.


RAKYAT Palestin menunaikan solat di pekarangan Masjid al-Aqsa.


Secara keseluruhannya, Isreal memberikan lampu hijau kepada golongan wanita dan lelaki berumur 40 tahun ke atas untuk masuk ke sana. Kelonggaran itu adalah untuk rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat dan menyambut malam lailatulqadar.

Golongan lelaki yang berusia dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun perlu memohon permit khas sementara mereka yang berumur bawah 35 tahun langsung tidak dibenarkan masuk.

Hormati Ramadan

Menjelang kedatangan Syawal beberapa hari lagi, Pasukan Pertahanan Israel membenarkan wanita daripada semua peringkat umur dan lelaki yang berusia 40 tahun ke atas melintasi sempadan Israel pada hari Jumaat tanpa permit. Warga emas 65 tahun ke atas dibenarkan masuk tanpa sebarang syarat.

Mungkin kedengaran janggal, tetapi anggota tentera Israel diarahkan untuk tidak makan, minum dan merokok di tempat awam terutamanya di kawasan lintasan keselamatan pada bulan Ramadan kononnya sebagai menghormati bulan tersebut.

Dianggarkan sejuta umat Islam akan ke Jerusalem sepanjang Ramadan. Berlainan pula ceritanya untuk hari Ahad hingga Khamis kerana wanita yang berumur 35 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk ke kota lama itu.

Laporan berita sinis oleh Maysoon Zayid daripada The Daily Beast baru-baru ini mengatakan, ia barangkali disebabkan wanita berumur 34 tahun boleh mengancam keselamatan dan sebaik sahaja mereka berumur 35 tahun, mereka hilang keupayaan untuk mengganas.

"Pada Jumaat hingga Ahad, golongan lelaki mesti berumur 12 tahun ke bawah atau 60 tahun ke atas untuk masuk ke Jerusalem kerana dikhuatiri lelaki di luar lingkungan umur tersebut tiba-tiba boleh menggugat keamanan," katanya dalam satu laporan memerli polisi tersebut yang bertajuk Jumaat Pertama Ramadan untuk Rakyat Palestin. - NADIA SHAIFUL BAHARI

Tinggalan empayar Majapahit

Posted:

Tinggalan empayar Majapahit

Tinggalan empayar Majapahit


CANDI TIKUS sangat penting dalam upacara keagamaan Hindu pada era pemerintahan Majapahit.


KIRA-KIRA 60 kilometer dari barat Surabaya, Indonesia terdapat sebuah bandar lama yang seolah-olah sudah lama ditinggalkan dikenali sebagai Trowulan.

Debu-debu menghiasi segenap pelosok bandar tersebut yang menyerupai sebuah kampung pedalaman. Terletak di Jawa Timur, bandar Trowulan sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri.

Ketika pemerintahan empayar Majapahit pada abad ke-14 dan ke-15, Trowulan merupakan sebuah kuasa besar dan berpengaruh.

Di sekitar bandar yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2009 itu terdapat banyak monumen tinggalan sejarah yang ditemui pada tahun 1800-an.

Kini, kebanyakan monumen itu telah dibaik pulih mengikut bentuk asal. Peninggalan monumen itu mempunyai ciri-ciri seni bina kuil moden di Bali yang mendapat pengaruh daripada Trowulan ekoran penghijrahan masyarakat Hindu dari Jawa ke Bali semasa kejatuhan empayar Majapahit diikuti dengan kebangkitan Kesultanan Islam pada abad ke-15.

Tumpuan pelancong

Kebanyakan pelancong berkunjung ke situ dengan menaiki beca dari bandar Trowulan. Tambangnya bergantung kepada lokasi yang dikunjungi. Sepanjang perjalanan, pelancong disajikan pemandangan sawah padi dan rumah-rumah kampung.


CANDI BAJANGRATU dibina sebagai menghormati kematian raja kedua Majapahit iaitu Raja Jayanegara.


Antara dua tempat tumpuan pelancong ialah Candi Brahu dan Candi Bajangratu. Kedua-dua candi itu dibina setinggi 15 meter di kawasan tanah rumput dan taman bunga. Dua tapak candi berkenaan merupakan antara destinasi persinggahan pengayuh beca yang membawa para pelancong.

Candi Brahu terletak di daerah Bejijong dan mendapat nama sempena sebuah bangunan suci Warahu yang terletak kira-kira 45 meter dari arah barat kuil itu. Dipercayai kuil itu merupakan tempat pembakaran mayat bagi keempat-empat raja Majapahit.

Candi Bajangratu pula dibina bagi menghormati kematian Raja Jayanegara dalam Negarakertagama yang bermaksud kembali ke dunia Vishnu iaitu dewa bagi masyarakat yang beragama Hindu. Sebelum kematian raja itu, tapak kuil tersebut digunakan sebagai pintu belakang kerajaan Majapahit.

Candi Tikus merupakan sebuah kolam untuk melakukan ritual keagamaan Hindu pada era pemerintahan Majapahit. Ia mendapat nama pada tahun 1914 iaitu ketika proses penggalian semula tapak kuil yang menemui banyak sarang pembiakan tikus.

Muzium Trowulan yang terletak berdekatan dua kuil itu juga merupakan antara destinasi yang wajib dilawati.

Muzium tersebut mengandungi ribuan artifak yang ditemui di sekitar bandar itu. Setiap artifak disertakan penerangan dwibahasa iaitu bahasa Indonesia dan Inggeris.

Antara destinasi yang menjadi tarikan pelancong dan lambang sejarah peninggalan empayar Majapahit di bandar itu ialah Wringin Lawang, Candi Menak Jingga, Umpak, Kolam Segaran dan Pendopo Agung.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved