Isnin, 8 Julai 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Pembangkang Mesir bertelagah

Posted:

Pembangkang Mesir bertelagah

Pembangkang Mesir bertelagah

SEKUMPULAN penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi melakukan solat jenazah di Kaherah kelmarin.


KAHERAH - Pemilihan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Mohamed ElBaradei sebagai pemangku Perdana Menteri Mesir menimbulkan pertikaian dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini menentang pemerintahan Presiden Mohammed Morsi.

Agensi berita rasmi MENA melaporkan pelantikan ElBaradei oleh pemangku Presiden, Adly Mansour tetapi pejabatnya kemudian menafikan bahawa keputusan muktamad telah dibuat mengenai isu tersebut.

Pelantikan ElBaradei ditentang oleh golongan Salafi yang menyokong tindakan tentera Mesir menggulingkan Morsi pada Rabu lalu.

Terdahulu, jurucakap Presiden, Ahmed Al-Muslimani berkata, ElBaradei yang merupakan bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merupakan calon paling layak bagi jawatan tersebut.

"Beliau berada di tempat teratas senarai pendek kami," katanya.

Namun, selepas rundingan pusingan kedua berakhir semalam seorang ahli politik kanan yang mewakili pengikut Salafi, Nader Bakkar memberitahu bahawa mereka tidak akan menerima ElBaradei.

"Pendirian kami mudah. Terdapat dua sebab kami menolak ElBaradei iaitu pertama, kita perlu tokoh teknokrat untuk memulihkan ekonomi dan menamatkan polarisasi rakyat Mesir," katanya.

"Kedua, kita tidak boleh bercakap mengenai perdamaian kebangsaan seterusnya melantik seteru Morsi sebagai Perdana Menteri," tambahnya.

Morsi yang ditahan sejak Rabu lalu telah menyeru para penyokongnya supaya mempertahankan pemilihannya sebagai Presiden Mesir yang sah dalam ucapan yang direkodkan dan disiarkan sejurus selepas kejatuhannya.

Dalam pada itu, keganasan yang bermula pada Jumaat lalu masih berterusan dengan bandar raya ini dan Iskandariah paling teruk terjejas.

Pertumpahan darah berterusan kelmarin dengan sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang paderi Kristian Qibti di Semenanjung Sinai.

Kumpulan militan di Sinai turut meletupkan saluran paip gas ke Jordan buat kali pertama sejak hampir setahun lalu.

Pemerintahan setahun Morsi tergugat selepas beliau dituduh memberikan kuasa kepada pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan gagal memulihkan ekonomi.

Morsi memenangi pilihan raya Presiden Mesir selepas kejatuhan diktator Hosni Mubarak pada 2011 dengan sokongan Ikhwanul Muslimin.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan bahawa AS tidak menyokong mana-mana parti politik di Mesir selepas penyingkiran Morsi.

"AS menolak dakwaan palsu disebarkan oleh beberapa pihak bahawa kami sedang bekerjasama dengan parti politik atau pergerakan tertentu untuk menentukan hala tuju proses peralihan kuasa di Mesir," katanya.

"Hanya rakyat Mesir yang berhak menentukan masa depan negara mereka," tambah Obama. - AFP

Beruang panda lahir anak di Taiwan

Posted:

Beruang panda lahir anak di Taiwan

Beruang panda lahir anak di Taiwan


IMEJ menunjukkan anak beruang panda yang baru dilahirkan oleh beruang panda gergasi, Yuan Yuan di Taiwan kelmarin.- AP


TAIPEI, Taiwan - Seekor beruang panda gergasi yang dihadiahkan oleh kerajaan China empat tahun lalu melahirkan seekor anak beruang panda betina di sebuah zoo di sini, kata beberapa pegawai semalam.

Katanya, beruang panda gergasi itu merupakan salah seekor panda yang dihadiahkan oleh kerajaan China kepada Taiwan sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.

Kelahiran itu pertama kali berlaku di Taiwan.

Pihak Zoo Taipei mengumumkan bahawa beruang panda, Yuan Yuan yang berusia 9 tahun itu telah melahirkan anak pada malam Sabtu lalu.

Kelahiran itu berlaku selepas beruang panda tersebut menjalani proses permanian beradas yang dilakukan pada bulan Mac lalu.

Proses itu dilakukan sebanyak tujuh kali ke atas Yuan Yuan dalam tempoh tiga tahun.

Keadaan beruang panda untuk bunting dan beranak secara semula jadi secara relatifnya jarang berlaku.

Pihak zoo turut menunjukkan sekeping gambar Yuan Yuan membelai anaknya yang masih merah sebesar tapak tangan.

Kerajaan China telah menghantar dua ekor beruang panda ke Taiwan pada bulan Disember 2008.

Kedua-dua negara berpecah selepas perang saudara yang berlaku pada tahun 1949.

China menamakan beruang tersebut dengan nama Tuan Tuan dan Yuan Yuan, yang bermaksud 'kesatuan'. - AP

Abu Qatada dihantar pulang ke Jordan

Posted:

Abu Qatada dihantar pulang ke Jordan

Abu Qatada dihantar pulang ke Jordan


GAMBAR fail pada 13 November menunjukkan suspek pengganas Abu Qatada tiba di rumahnya di barat daya London, Britain.- Reuters


LONDON - Seorang ulama radikal Britain, Abu Qatada mengaku tidak bersalah semalam berhubung dakwaan berkaitan keganasan oleh pendakwa raya Jordan.

Peguamnya, Taysir Diab berkata, pengakuan tersebut dibuat beberapa jam selepas Abu Qatada, 53, diusir ke Jordan dari Britain.

"Saya akan mengemukakan rayuan hari ini supaya dia dapat dibebaskan dengan ikat jamin," kata peguam itu.

Anak guamnya diusir dari Britain ke Jordan semalam bagi menghadapi tuduhan berkaitan keganasan.

Abu Qatada atau nama sebenarnya, Omar Mahmoud Mohammed Othman dikehendaki di Jordan untuk perbicaraan semula beberapa kes keganasan.

Britain telah cuba untuk mengusir Abu Qatada yang dianggap pengganas Al-Qaeda di Eropah sejak 2001 tetapi mahkamah negara itu menyekat permohonan ekstradisinya.

Ia berikutan mahkamah Britain bimbang pihak berkuasa Jordan akan menyeksa Abu Qatada untuk mendapatkan bukti, sekali gus menyalahi hak asasi manusia.

Pengusiran Abu Qadata diumumkan oleh Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa Mei.

"Kali ini, lelaki berbahaya itu telah dikeluarkan dari negara kita untuk menghadapi tuduhan di mahkamah negaranya," kata Mei.

Perkembangan itu berlaku selepas Britain dan Jordan mengesahkan perjanjian bagi menghalang penyeksaan bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan pencabulan hak asasi manusia ke atas tahanan di negara itu.

Abu Qatada dituduh oleh Britain sebagai mempunyai hubungan dengan pengganas Al-Qaeda, Zacarias Moussaoui.

Zacarias didakwa di Amerika Syarikat (AS) berhubung tragedi serangan pada 11 September 2001.

Rakaman audio beberapa khutbah ulama itu yang ditemui di sebuah apartmen di Hamburg, Jerman telah digunakan oleh beberapa penyerang dalam serangan 11 September ke atas AS. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved