Isnin, 17 Jun 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Revington tarik balik keputusan letak jawatan

Posted:

Revington tarik balik keputusan letak jawatan

Revington tarik balik keputusan letak jawatan

REVINGTON (kanan) tidak memberikan sebarang kenyataan sejurus keluar dari pejabat Khairy di Putrajaya semalam.


JURULATIH skuad hoki senior negara, Paul Revington telah menarik balik keputusan peletakan jawatannya.

Difahamkan, pengendali kelahiran Afrika Selatan itu akan terus membimbing skuad negara sekurang-kurangnya sehingga pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bermula 29 Jun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama Revington di kementeriannya di Putrajaya semalam.

"Saya rasa lega dengan keputusan itu sebab beliau telah kendalikan pasukan kebangsaan dengan baik, pemain pun menghormati beliau.

"Kita tidak mahu momentum pasukan kita untuk pusingan Liga Hoki Dunia terjejas," jelas Khairy.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 20 minit itu, Khairy berkata, Revington turut bersetuju untuk mempertimbangkan keputusan terus bersama skuad negara selepas pusingan Liga Dunia itu.

"Menurut persefahaman antara kami, beliau mungkin akan terus (melatih) juga selepas Liga Dunia itu, cuma saya perlu bincang dengan pihak lain yang terlibat sebelum membuat ketetapan untuk beliau kekal," katanya.

Khairy dalam pertemuan itu turut memaklumkan kepada Revington bahawa beliau akan secara peribadi menangani isu tersebut bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau turut meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong untuk meneruskan perjumpaan dengan MHC berhubung perkara tersebut yang dijangka diadakan di MSN hari ini.

"Saya tidak mahu tidak terlalu micro manage perkara ini. Saya memahami pandangan dan kerisauan beliau (Revington).

"Mengenai masa depan beliau, kita perlu tangani dengan individu yang lain yang ada dalam persatuan," katanya.

Sabtu lalu, Revington mendakwa wujud campur tangan dalam mengendalikan skuad kendaliannya terutama daripada jurulatih skuad remaja, Muhamad Dhaarma Raj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan sehingga mendorong beliau untuk meletakkan jawatan.

Revington merupakan bekas jurulatih Ireland dan pernah memenangi anugerah Jurulatih Terbaik Dunia 2011 oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

'Saya cakap nanti kena marah'

Posted:

'Saya cakap nanti kena marah'

'Saya cakap nanti kena marah'

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar seakan-akan sudah 'patah hati' dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika diajukan soalan berhubung kemelut terbaharu yang melanda FAM membabitkan wang tajaan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kepada persatuan bola sepak negeri-negeri, Khairy tidak lagi berminat menegur FAM biarpun mempunyai hak atas kapasitinya sebagai menteri berkaitan.

"Terpulang kepada FAM... ikut suka FAM. Saya pernah menjadi Timbalan Presiden FAM. Saya tahu apa yang berlaku dalam FAM. Saya cakap nanti kena marah.

"Biar ahli (majlis FAM) bercakap... kalau tak nak dengar cakap menteri yang budak berhingus ini, dengarlah cakap orang lain," kata Khairy kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, Khairy berkata, FAM sepatutnya mendengar pendapat ramai khususnya peminat bola sepak tempatan.

Baru-baru ini, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempersoal FAM mengenai wang tajaan RM30 juta setahun yang diterima badan induk itu berhubung hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Beliau berkata, FAM sepatutnya menyalurkan wang berkenaan bagi membantu persatuan-persatuan bola sepak negeri yang menghadapi masalah kewangan.

Namun, sehingga kini, FAM mengambil pendekatan berdiam diri dan enggan menjawab persoalan yang dibangkitkan itu.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim perlu mendapat persetujuan Kabinet jika berhasrat untuk terus menerajui Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sehingga Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Beliau berkata, setakat ini tiada pengecualian bagi Shahidan memegang jawatan tersebut seperti yang termaktub dalam arahan Kabinet pada 2007.

Mengikut arahan tersebut, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dilarang daripada memegang sebarang jawatan dalam sebarang persatuan sukan tempatan.

Khairy menegaskan, jika Shahidan berkeras mahu kekal dalam ASUM, bekas Menteri Besar Perlis itu perlu mengemukakan cadangan membatalkan arahan tersebut pada mesyuarat Kabinet akan datang.

"Saya akan bertemu dengan beliau (Shahidan) pada Rabu ini bagi menerangkan secara jelas berhubung kedudukan itu. Saya akan ingatkan beliau, kecuali ada pengecualian daripada jemaah menteri yang batal keputusan yang lepas.

"Bagi saya sebagai menteri, saya tiada masalah kalau menteri Kabinet nak pegang jawatan selagi dia bukan Menteri Belia dan Sukan," katanya.

Sebelum ini, Shahidan menyatakan hasrat untuk mengekalkan jawatan Presiden ASUM sehingga Olimpik 2016 kerana beliau mempunyai banyak perancangan bagi memartabatkan lagi sukan itu.

2,000 tiket final diberi percuma

Posted:

2,000 tiket final diberi percuma

2,000 tiket final diberi percuma

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


IMBAS KEMBALI... Para pemain Johor DT dan Pahang bersalaman selepas tamat aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil awal bulan ini.


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar kecil) akan menghadiahkan 2,000 tiket kepada penyokong Johor yang berhasrat untuk menyaksikan final Piala FA 2013 antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun ini.

Mohamed Khaled berkata demikian melalui laman video yang dimuat naik melalui Facebook dan Twitter peribadinya semalam.

Dalam video berdurasi 1 minit 20 saat itu, beliau antara lain berkata: "Saya berbangga dengan pencapaian pasukan bola sepak negeri Johor sekarang.

"Sebagai tanda sokongan kerajaan (negeri), untuk perlawanan akhir Piala FA 2013, sebanyak 2,000 tiket percuma akan dihadiahkan kepada anak-anak Johor yang ingin menyaksikan perlawanan akhir tersebut."

Bagi mendapatkan tiket-tiket itu, Mohamed Khaled berkata, rakyat Johor diminta melayari laman Facebook miliknya iaitu facebook.com/MohamedKhaledNordin untuk maklumat lanjut.

Mereka antara lain disyaratkan mengambil gambar diri sendiri beridentitikan anak Johor selain mengisi slogan seperti yang diminta.

Menurut Mohamed Khaled, senarai pemenang akan diumumkan sebelum 25 Jun ini.

Johor DT layak ke final Piala FA musim ini selepas menyingkirkan Pahang dalam saingan separuh akhir.

Biarpun kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2, Johor DT lebih layak mara ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Johor DT menang 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebelum tewas 1-2 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebagai rekod, kali terakhir Johor mara ke final Piala FA ialah pada 1998 yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu muncul juara selepas mengalahkan Sabah 1-0.

Kelantan pula tampil selaku penyandang juara Piala FA selepas menewaskan Terengganu dengan agregat 6-5.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved