Sabtu, 1 Jun 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pahang tekad singkir Harimau Selatan

Posted:

Pahang tekad singkir Harimau Selatan

Pahang tekad singkir Harimau Selatan

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

BARISAN pemain Pahang gigih berlatih bagi menghadapi Johor DT pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2013 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


WALAUPUN kempunan untuk merasai nikmat beraksi di halaman sendiri namun, kesebelasan pemain pasukan Pahang tetap berada dalam motivasi terbaik untuk mengharungi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, semua pemainnya kini sudah bersedia untuk mencipta kejutan dalam aksi separuh akhir kedua itu nanti walaupun mereka ketinggalan dengan satu gol.

"Kalau dilihat persediaan, kali ini saya rasa kami lebih bersedia berbanding perlawanan separuh akhir pertama di Johor Bahru minggu lalu, dan pemain juga bebas daripada kecederaan kecuali Faizol (Mohd. Faizol Hussin) yang mengalami kecederaan.

"Saya juga tidak banyak membuat perubahan dalam kesebelasan utama, dan lebih menggembirakan saya adalah semua pemain dilihat berada pada tahap terbaik untuk diturunkan pada perlawanan separuh akhir itu nanti," kata Dollah kepada Kosmo! semalam.

Perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu menyaksikan Johor DT mendapat sedikit kelebihan apabila penyerang, Leonel Nunez telah menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memberikan mereka kelebihan satu gol ke Bukit Jalil malam ini.

Dalam pada itu, Dollah juga sedar tugasan berat menanti anak-anak buahnya dalam perlawanan itu nanti terutama benteng pertahanan kerana pemain-pemain seperti Nor Shahrul Idlan Talaha, Mohd. Nurul Azwan Roya, Leonel Nunez dan Mohd. Safee Sali perlu 'dirantai' dengan rapi.

Dollah berkata, dia juga berpuas hati dengan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dan berharap pemain-pemainnya mampu menyesuaikan diri serta dapat menyerap tekanan dengan menghasilkan jaringan, seterusnya memastikan mereka layak ke perlawanan akhir untuk bertemu Kelantan pada 29 Jun depan.

Katanya, ketinggalan dengan satu gol bukanlah satu tekanan besar kepada mereka tetapi dia akan memastikan pemain-pemainnya akan menyempurnakan setiap gerakan yang dilakukan serta tidak terikut-ikut dengan rentak lawan.

Selain itu, Dollah turut menyeru penyokong-penyokong Pahang yang hadir nanti agar memberikan sokongan padu kepada pasukan Tok Gajah itu tetapi mereka mesti menjaga disiplin serta hadir ke stadium dengan penuh semangat kesukanan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor DT yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu terpaksa ditunda ekoran limpahan penonton yang memasuki stadium yang hanya berkapasiti 40,000 penonton.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga kelmarin telah mengenakan denda RM100,000 kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) akibat kekecohan yang berlaku itu manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) turut didenda RM20,000 kerana pemain-pemainnya telah meninggalkan padang lebih awal daripada masa 90 minit yang ditetapkan.

Kelantan sedia hadapi final

Posted:

Kelantan sedia hadapi final

Kelantan sedia hadapi final

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


BADHRI (dua dari kiri) yang mengalami kecederaan dijangka pulih sepenuhnya menjelang final Piala FA 29 Jun nanti.


KELANTAN sedia bertemu pemenang antara Johor Darul Takzim (Johor DT) atau Pahang pada final Piala FA 2013 musim ini, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.

Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim (gambar kecil) berkata, pasukannya sentiasa bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan pada aksi final yang bakal berlangsung 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

"Bagi saya, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing. Layak ke final bermakna pasukan tersebut cukup kuat dan kita tidak boleh mengambil mudah perlawanan itu nanti.

"Soal bertemu Johor DT atau Pahang, kita tetap bersiap sedia. Ini peluang terbaik untuk kita mengekalkan kejuaraan selain mencari tempat untuk beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan," katanya di Kota Bharu semalam.

Kelantan mara ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut sejak 2011 selepas menyingkirkan seteru tradisi Terengganu menerusi agregat 6-5 pada aksi separuh akhir kedua baru-baru ini.

Juara bertahan itu, kini menanti pemenang perlawanan antara Pahang dengan Johor DT yang terpaksa ditangguhkan akibat rusuhan penyokong di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu.

Azman memberitahu, pentas akhir Piala FA ini juga merupakan medan terbaik buat Kelantan untuk menebus kekecewaan selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kelantan akan kembali menjalani latihan pada 2 Jun sebagai persediaan untuk menghadapi saingan final Piala FA.

Katanya, dua tonggaknya iaitu kapten pasukan, Mohd. Badhri Radzi dan Shakir Shaari tidak akan bersama pasukan kebangsaan selepas mengalami kecederaan.

"Tempoh rehat selama tiga minggu merupakan peluang terbaik Kelantan untuk mendapatkan semula pemain yang sebelum ini cedera termasuklah Dickson Nwakemi.

"Selain itu, peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk merencanakan strategi pasukan menghadapi aksi final nanti," ujarnya.

'Patuhi agihan tempat duduk'

Posted:

'Patuhi agihan tempat duduk'

'Patuhi agihan tempat duduk'

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my

PEMINAT bola sepak tempatan yang bakal berkunjung ke perlawanan semula separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini diminta mematuhi pengagihan lokasi tempat letak kereta dan tempat duduk yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kekecohan berlaku.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan membahagikan kawasan tempat letak kereta serta tempat duduk di dalam stadium kepada dua bahagian untuk menampung kira-kira 70,000 hingga 80,000 penonton yang dijangka hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Jelas Amar, kawasan sebelah kiri stadium akan dikhaskan kepada penyokong-penyokong pasukan Pahang sementara bahagian tempat duduk sebelah kanan stadium dikhususkan untuk penyokong Johor DT.

Pengagihan yang sama turut dilakukan di kawasan-kawasan tempat letak kereta di sekitar stadium.

"Usaha itu dilakukan bukan sahaja untuk memudahkan urusan logistik serta melancarkan laluan keluar dan masuk para penonton, malah bagi mengelakkan berlakunya provokasi dalam kalangan mereka.

"Kita juga akan menempatkan anggota-anggota polis di semua pintu masuk stadium serta kawasan sekitarnya bagi memastikan perlawanan berlangsung tanpa sebarang kekecohan," ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan mengenai kekecohan yang tercetus sewaktu perlawanan antara kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Pahang pada hari Selasa lalu selepas stadium yang berkapasiti 40,000 penonton itu dibanjiri lebih 60,000 penyokong kedua-dua pasukan.

Ekoran limpahan penonton itu, perlawanan yang pada mulanya tertunda kira-kira 90 minit telah dibatalkan dan dijadualkan semula di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Amar berkata, orang ramai juga diseru agar tidak membawa sebarang objek yang dilarang ke dalam kawasan stadium bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan.

"Pemeriksaan akan dijalankan di pintu-pintu masuk stadium bagi mengesan barang-barang larang tersebut. Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga akan bekerjasama dengan polis bagi mengesan jika ada penonton yang menggunakan tiket palsu," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved