Sabtu, 8 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pakar rakam gambar bayi baru lahir

Posted:

Pakar rakam gambar bayi baru lahir

Pakar rakam gambar bayi baru lahir

ADI menggunakan cahaya semula jadi untuk merakam potret bayi yang masih dalam pantang.


SEPATUTNYA lelaki ini bergelar pereka grafik. Namun segalanya berubah selepas dia perlu mengambil subjek fotografi ketika menuntut di Fakulti Seni Halus dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor beberapa tahun lalu.

Peluang untuk mempelajari pelbagai teknik fotografi digunakan sebaik-baiknya sementelah hatinya lama tertarik dengan seni fotografi hasil bidikan kamera abangnya, seorang jurufoto perkahwinan, Saiful Nang.

Bermula daripada hobi, minat baharu itu rupa-rupanya memberikan impak yang sangat besar buat Md. Naszari Nang, 31.

Lebih mesra dengan panggilan Adi, sejak itu dia jarang berenggang dengan kameranya.

"Saya tiada hobi lain selain mengambil gambar. Boleh dikatakan ke mana sahaja saya pergi, kamera mesti ada di sisi," akuinya yang gemar menjadikan manusia sebagai subjek dalam setiap foto yang diambilnya.

Sudah lebih tujuh tahun menceburi dunia fotografi, hari ini nama Adi Nang bukanlah nama asing terutamanya dalam fotografi perkahwinan.

"Mulanya ia hanya kerja sambilan. Selepas tamat pengajian, saya terus diterima bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat pengiklanan. Ketika itu, saya sudah pun berjinak-jinak secara sambilan dalam dunia fotografi.

"Setahun bekerja, saya dinaikkan pangkat ke jawatan pengarah kreatif. Sungguh pun sibuk di pejabat, dek kerana minat, saya gunakan waktu hujung minggu untuk penuhi undangan sebagai jurugambar rasmi majlis-majlis perkahwinan. Namun, tidak lama selepas itu, saya ambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya.

Eksperimen

Kata Adi, dia sanggup melepaskan jawatan dan terjerumus dalam bidang fotografi kerana hobinya itu mula memberi pulangan material.

"Apabila pekerjaan menjadi hobi, ia bukan pekerjaan lagi. Ia suatu pengalaman dalam meneroka pelbagai peluang. Inilah yang menjadi prinsip saya," ujar Adi ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut mengagumi karya jurufoto profesional terkemuka tanah air, Bazuki Muhammad, Adi juga pernah berkhidmat lebih kurang lima tahun sebagai kru Candidsyndrome di bawah tunjuk ajar abangnya, Saiful.


BAYI berumur tujuh hari paling sesuai dirakam gambarnya.


"Bagi saya, tiada jalan mudah untuk berjaya, apatah lagi jika berada dalam kelompok jurufoto profesional. Saya perlu bekerja keras dan sentiasa memikirkan sesuatu yang kreatif.

"Walaupun ada bimbingan dan arahan daripada ketua, saya lebih mencuba dengan idea sendiri dan membandingkannya dengan apa yang mereka mahukan," ujar Adi yang kini juga dikenali sebagai jurufoto bayi.

Lantaran mahukan kelainan dalam bereksperimen melalui lensa kameranya, Adi meneroka bidang fotografi bayi kira-kira dua tahun lalu.

"Mencari sesuatu kelainan memang sukar, namun perlu diakui bidang fotografi ini cukup luas. Bagi saya, jika ada kesungguhan, tiada sebab mengapa seorang jurufoto boleh pergi lebih jauh dalam merakamkan gambar menarik dan momen bermakna.

"Ini tidaklah bermakna saya mahu mencari kelainan sehingga ingin mengalahkan orang lain, tetapi sekadar mencari idea dan menghasilkan kreativiti sendiri. Manalah tahu, usaha kita yang sedikit itu boleh memberi inspirasi kepada orang lain.

Thebabablacksheep

"Saya juga banyak belajar daripada kesilapan. Seni fotografi memang unik, semakin kita gali semakin banyak benda baharu yang kita temui.

"Selain pengalaman sendiri dan bergaul dengan jurufoto profesional, saya juga banyak belajar daripada internet.

"Merakamkan gambar bayi yang tidur, misalnya, ia boleh menjadi sesuatu yang lebih bermakna dan menarik sekiranya jurufoto itu sentiasa mencari idea untuk menghasilkan gambar yang kreatif dan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya," jelas Adi yang mula memperkenalkan produk thebabablacksheep di bawah syarikatnya, Adinang Image Work, sejak setahun lalu.

Menurutnya, tidak ramai jurufoto yang menawarkan perkhidmatan merakam gambar bayi baru lahir sepertinya. Kata Adi, kebanyakannya lebih cenderung mengambil gambar jurnal kanak-kanak.


ADI hanya memerlukan masa selama dua jam pada waktu pagi untuk menghasilkan potret indah seperti ini dengan kos bermula serendah RM400.


Tambah Adi, mengambil gambar bayi yang baru lahir memberi cabaran yang berbeza buatnya.

"Bekerja dengan bayi menyeronokkan. Walaupun mereka tidak faham pada arahan, namun kebanyakannya mudah diurus.

"Kebiasaannya sehari sebelum penggambaran, saya akan hubungi pelanggan untuk maklumkan apa yang mereka perlu lakukan.

"Memandangkan saya suka gunakan pencahayaan semula jadi, penggambaran biasanya akan dilakukan pada waktu pagi.

"Bayi bolehlah dimandikan lebih awal dan disusukan hingga kenyang supaya tidurnya lebih lena.

"Lebih mudah merakamkan gambar ketika bayi sedang tidur kerana mereka tidak mudah meragam jika kita mahu menggayakan aksi mereka seperti meniarap, duduk, terlentok dan sebagainya.

"Lagipun, untuk bayi yang baru lahir, gambar bayi tidur dengan mata yang tertutup rapat dan mulut sedikit terbuka akan menggambarkan usia kecil selain menonjolkan kesucian wajah mereka.

"Berbeza dengan aksi bayi yang membuka mata, ia seakan menggambarkan mereka sudah menjangkau dua ke tiga bulan, bukannya bayi dalam pantang.

"Bayi yang baru lahir juga mudah dibentuk untuk pelbagai gaya. Malah, kaki mereka boleh dilipat hingga mencecah kepala, seperti kedudukan mereka ketika di dalam rahim," kata Adi yang biasanya mengesyorkan penggambaran dijalankan selepas tali pusat bayi tanggal.

Menurutnya, selepas sebulan umur bayi, biasanya tubuh kecil mereka sudah diseliputi lemak dan kelihatan lebih besar. Ia tidak beri gambaran yang bayi tersebut baru sahaja lahir.

'Manusia Google'

Posted:

'Manusia Google'

'Manusia Google'


SELAIN Williams terdapat 20 individu di seluruh dunia yang menghidap Sindrom Hyperthymestic.


SEBAGAI manusia biasa, kita sering terlupa banyak perkara walaupun dalam tempoh yang singkat. Malah, memakan kepala ikan, udang atau termakan semut boleh membuatkan seseorang mudah dijangkiti sifat pelupa.

Bagi mengatasi masalah itu, ramai yang mengamalkan memakan kismis, tamar serta delima kerana bukti saintifik mengesahkan ia mampu membantu meningkatkan daya memori.

Namun, percayakah anda, terdapat manusia ibarat perpustakaan 'bergerak' atau 'manusia Google' yang bukan sahaja dapat mengimbas kembali setiap peristiwa yang berlaku di seluruh dunia lengkap dengan tarikh, hari dan tahunnya.

Bukan itu sahaja kelebihan lelaki Amerika Syarikat (AS), Brad Williams itu. Dia sebenarnya mampu mengingati setiap kejadian yang berlaku seawal umurnya empat tahun.

Hos sebuah stesen radio daerah yang terletak di Wisconsin, AS itu sebenarnya menghidap Sindrom Hyperthymestic.

Lupakan stereotaip segala sindrom atau penyakit menjurus kepada penyakit kronik dan serius, hyperthymestic sebenarnya memberikan aura kelebihan kepada penghidapnya.

Ini kerana Individu yang memiliki 'penyakit' berkenaan akan mengingati setiap peristiwa yang berlaku di seluruh dunia lengkap dengan tarikh, bulan, lokasi serta tahun dengan ketepatan hampir 100 peratus.

Realitinya, hanya 20 individu di seluruh dunia yang mempunyai kebolehan eksentrik ini.

Adik Williams, Eric merupakan seorang pengarah filem yang telah menghasilkan sebuah dokumentari televisyen bertajuk Unforgettable berkisar keistimewaan abangnya itu.

Dalam rakaman video dokumentari terbabit, Williams disoal sejumlah soalan yang berkisar pada tarikh 15 Mei 1972.

Istimewa

Williams, 53, terus berkata, pada hari tersebut seorang Gabenor AS, George Wallace ditembak oleh seorang pembunuh upahan.

"Saya juga sedang bermain tenis semasa itu," tutur Williams.

Wartawan yang menemu bualnya terkejut dengan jawapan lelaki berstatus duda ini.

Eric kemudian bertanya peristiwa yang berlaku pada 18 September 1965,

Williams memberitahu, pada tarikh tersebut siri komedi televisyen I Dream Of Jeannie mula ditayangkan.

Sekali lagi, jawapan itu betul!

"Sebenarnya, saya mengambil masa lama untuk menyedarinya.

"Malangnya, saya dijadikan mangsa oleh adik-beradik untuk membantu mereka menyiapkan kerja sekolah terutama berkaitan subjek sejarah," katanya sambil tersenyum.


MANUSIA sememangnya mudah lupa. - Gambar hiasan


Eric memberitahu, mulanya dia dan keluarga hanya menguji kepintaran abangnya.

"Dia berfikir beberapa saat sebelum memberikan jawapan sedangkan kami masih terkial-kial mencari maklumat menggunakan komputer.

"Ia menyebabkan kami bosan kerana setiap kali disoal, Williams pasti memberikan jawapan yang tepat," ujar Eric.

Eric hanya mengetahui abangnya menghidap Sindrom Hyperthymestic pada 2006 setelah terbaca laporan akhbar mengenai kebolehan seorang wanita dikenali dengan panggilan Irvine yang turut menghidap kebolehan itu.

Kemampuan Irvine diuji oleh sekumpulan pakar dari Universiti California, AS.

Eric menghubungi penyelidik tersebut sebelum abangnya kemudian turut didapati mengalami nasib yang serupa.

Williams kerap menulis skrip drama dan buku, cuma sisi kehidupannya sahaja agak gelap kerana berstatus seorang duda yang tidak mempunyai zuriat.

Dia juga dijadikan bahan uji kaji oleh jirannya.

"Mereka (jiran) kerap bertanya soalan seperti hari tarikh saya dilahirkan dan apa yang saya lakukan lima, 10 atau 15 tahun dahulu," jelasnya.

Tutur Williams, kemampuannya lebih menjurus kepada kejadian yang dilaporkan media atau berdasarkan perbualan orang lain.

Selain itu, dia mengamalkan aktiviti fizikal tertentu yang dirahsiakan.

Seorang pakar otak Universiti California, James McGaugh sendiri bingung dengan kebolehan Williams.

"Saya sendiri tidak mengetahui otaknya menyimpan jutaan maklumat dengan terperinci tetapi tidak menjejaskan fungsi organ itu.

"Kami mengkaji ratusan ujian terhadapnya semuanya tepat," ujar McGaugh.

Mengikut penyelidikan saintifik, seorang manusia mampu mengingati 50 hingga 100 digit atau 330 perkataan yang mampu bertahan selama 24 jam.

Adakah anda mampu mengingati peristiwa tiga bulan yang lalu?

Pisang mati berbau wangi

Posted:

Pisang mati berbau wangi

Pisang mati berbau wangi

Oleh AQMA MOHD. NOOR
aqma.mohdnoor@kosmo.com.my


Zabedah mula menyedari pokok pisangnya berbuah dua kali sejak Mei lalu.


PADA 28 Mei lalu, akhbar ada melaporkan seorang penduduk, Ramli Ahmad, 49, terkejut apabila mendapati sebatang pokok pisang emas di belakang rumahnya tiba-tiba mengeluarkan setandan buah di bahagian tengah batang di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak.

Ramli menyifatkan kejadian itu pelik kerana pada kebiasaannya tandan pisang akan berdada di pucuk, namun pisang emas lelaki itu kini semakin membesar.

Pokok pisang setinggi dua meter itu sebelum ini sudah ditebang setelah hasilnya dituai.

Ramli memberitahu, sejak mendapat liputan akhbar, orang ramai mula datang ke rumahnya untuk melihat sendiri keunikan pokok pisang berkenaan, malah ada yang menawarkan diri untuk membelinya pada harga tinggi tetapi dia membuat keputusan untuk menikmati sendiri buah pisang istimewa itu apabila ia sudah masak nanti.

Berlainan kisahnya pula dengan seorang pengawal keselamatan, Zabedah Awang, 52, yang berhadapan dengan situasi sama tetapi sedikit berbeza apabila mendapati pokok pisang rastali miliknya mengeluarkan buah pada bahagian batang pokok yang telah mati.

Zabedah mula menyedari kejadian pelik tersebut pada bulan lalu apabila terlihat batang pokok pisang yang mati itu mula mengeluarkan jantung diikuti putik bunga berwarna putih.

"Pokok pisang ini saya tanam di bahagian belakang rumah sekitar tiga tahun lalu selepas mendapat benih daripada seorang rakan tetapi kini ia membiak menjadi beberapa batang pokok lain.

"Sejak menanamnya, saya tidak ambil peduli tentang keadaan pokok pisang itu melainkan ketika berbuah. Setakat ini, sudah tiga kali ia mengeluarkan hasil.

"Namun, pada suatu hari saya terpandang tunggul batang pisang yang sudah dituai itu kelihatan seperti berbuah lagi.

"Mulanya saya ingatkan kanak-kanak yang bermain di sekitar rumah mencucuk sesuatu ke batang pokok yang telah mati itu tetapi sangkaan saya meleset apabila mendapati ia sebenarnya jantung pisang yang tumbuh pada batang pokok yang mati itu," ujar ibu kepada empat orang anak ini.

ZABEDAH mendirikan pagar di sekeliling pokok pisangnya.


Tambahnya, sejak menyedari kejadian pelik itu, dia hanya membiarkan pokok pisang terbabit tumbuh seperti biasa sehinggakan dia pernah tercium bau wangi yang dipercayai muncul daripada putik bunga berwarna putih pada bahagian pokok pisang yang tumbuh.

"Tiba-tiba saya tercium bau wangi yang datang daripada putik pokok pisang itu. Kejadian pada waktu Maghrib pada hari Khamis itu merupakan pengalaman baharu kepada saya dan setakat ini, saya masih tiada sebarang perancangan terhadap pokok pisang itu.

"Rakan-rakan turut membantu membuat pagar di sekitar kawasan pokok pisang milik saya dan mereka turut mencadangkan untuk memberi kepada individu yang berkenan," jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor.

Tinjauan kru Jurnal mendapati, terdapat kira-kira sembilan sikat dengan bilangan 60 biji buah pisang yang tumbuh daripada bahagian batang yang telah mati itu dan salah satu daripadanya merupakan pisang berkembar.

Terbantut

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Yahya Awang memberitahu, batang pisang mempunyai kandungan air yang banyak walaupun bahagian luarnya sudah kering atau mati tetapi pada hakikatnya pokok ini masih hidup.

ZABEDAH menganggap pokok pisang rastali miliknya yang tumbuh buat kali kedua sebagai satu kejadian pelik.


"Pembentukan bunga dalam bentuk jantung berlaku di dalam batang pada bahagian bawah pokok tersebut tetapi kita tidak melihat proses ini sehinggalah ia muncul pada bahagian atas selepas semua daun muncul terlebih dahulu.

"Walaupun batang pokok itu telah mati, umbinya masih hidup dan cukup untuk menyokong pertumbuhan pokok tersebut. Bagi situasi pokok pisang yang berbuah pada batang mati ini, buah yang dihasilkan berkualiti rendah, malah buah pisang ini tidak mungkin membesar dan masak dengan sempurna.

"Saya jangkakan pertumbuhan pokok ini tidak akan membesar secara normal kerana ketiadaan daun yang boleh menjalankan proses fotosintesis selain ia akan mereput begitu sahaja disebabkan ketiadaan makanan untuk terus menyokong pertumbuhannya," ujarnya ketika dihubungi.

Jelas Yahya, walaupun di sekeliling pokok pisang terbabit terdapat pokok lain, ia tetap tidak dapat membantu menyalurkan sumber makanan kepada pokok tersebut kerana ia bukan hasil daripada pokok yang sama.

"Buahnya juga tidak akan membesar secara normal dan besar kemungkinan tiada isi seperti pokok pisang normal yang lain," kata beliau.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved