Sabtu, 1 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Enjin berkembar lawan arus

Posted:

Enjin berkembar lawan arus

Enjin berkembar lawan arus

KALAU saya pegang tangan isteri dengan lebih erat, tentu kami dapat menyambut Hari Gawai di kampung bersama-sama," keluh John Soo, 39, mangsa kejadian bot ekspres karam di Sungai Rajang, Sarawak, Selasa lalu.

Usaha John memegang tangan isterinya, Roslin Jati, 35, tidak memadai. Wanita itu terlepas daripada pegangannya kerana pada masa sama John perlu memeluk erat anak mereka yang berusia lima tahun.

Bot ekspres Kawan Mas karam berhampiran Jeram Tukok/Jeram Bungan di Sungai Rajang dekat Belaga, Sarawak. John merupakan antara 204 penumpang bot itu yang pulang ke kampung halaman sempena Hari Gawai yang disambut semalam. Sehingga petang Jumaat lalu, Roslin masih belum ditemui.

Mengimbas kembali detik cemas itu, John berkata dia berhempas-pulas menyelamatkan anaknya dengan berenang ke tebing sebaik sahaja bot itu terbalik tanpa menyedari isterinya telah ditelan arus sungai.

Difahamkan, enjin bot itu gagal berfungsi menyebabkannya dihanyutkan arus sebelum terlanggar batu dan terbalik. Air masuk ke dalam bahagian tempat duduk penumpang dengan pantas sekali.

"Penumpang-penumpang mula panik dan menjerit meminta tolong sebelum masing-masing berebut mahu keluar. Tidak lama kemudian, bot kami terbalik dan saya cuba berenang ke permukaan sambil memeluk anak saya, Jacky Soon.

"Semasa kami sudah keluar dari bot dan berenang baru saya sedar Roslin hilang," jelas John.

Nahas paling buruk di Sungai Rajang itu terjadi kira-kira sejam selepas bot itu meninggalkan Jeti Belaga.

Bot itu dikatakan menuju ke Kapit dari Bakun sebelum berangkat ke Sibu yang mengambil masa lapan jam perjalanan dengan membawa lebihan penumpang yang rata-ratanya tidak memakai jaket keselamatan.

Tragedi

Menurut Ketua Polis Daerah Belanga, Deputi Superitendan Bakar Sebau, sebanyak 200 mangsa terselamat, empat masih hilang dan hanya satu mayat ditemui setakat petang Jumaat lalu.

Pada tahun 2010, satu tragedi hitam tercatat dalam sejarah pengangkutan bot ekspres di Sarawak berikutan kematian 13 penumpang dalam tragedi bot ekspres karam di Sungai Anap, Tatau di Bintulu.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang 18 Oktober itu, bot ekspres dikenali dengan nama Liang Yu karam semasa cuba memintas sebuah kapal penunda tongkang yang dalam perjalanan ke destinasi yang sama ke hulu Kakus.


ORANG ramai tidak melepaskan peluang balik bercuti sempena Hari Gawai di Jeti Bot Ekspres Kapit, Jumaat lalu.


Penduduk Sarawak bergantung kepada bot ekspres untuk pergi ke kawasan yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat dan tiada perkhidmatan udara seperti Song, Kapit dan Belaga.

Sarawak memiliki sungai-sungai yang besar dan dalam. Di sesetengah tempat kedalamannya boleh mencecah sehingga 15 meter.

Negeri ini mempunyai 55 batang sungai dengan jarak 3,300 kilometer yang digunakan untuk mengangkut penumpang dan barangan. Sungai Rajang sepanjang 567 kilometer merupakan sungai terpanjang di Malaysia.

Antara 300 hingga 500 buah bot dan vesel berulang alik di sungai-sungai di negeri ini setiap hari dengan kira-kira 50 peratus lalu lintas melibatkan pengangkutan penumpang manakala selebihnya untuk mengangkut barang-barang termasuk balak.

Pengalaman

Dianggarkan 1.6 juta orang menggunakan sungai sebagai pengangkutan utama dalam setahun. Dalam pada itu, rata-rata bot ekspres yang beroperasi di Sarawak mampu memuatkan lebih daripada 100 penumpang.

Mereka diberi pilihan untuk membeli tiket kelas satu (ruang yang luas) atau kelas ekonomi (keluasan sederhana) mengikut kemampuan serta keselesaan masing-masing.

Banyak juga bot yang dipasang dengan enjin berkembar bagi memastikan masa perjalanan dapat dipercepatkan.

Misalnya, perjalanan dari Sibu ke Kapit hanya mengambil masa kira-kira tiga jam berbanding dahulu yang memakan masa lebih kurang lima jam.

Perjalanan dari Kuching ke Sibu pula mengambil masa kira-kira empat jam sahaja berbanding enam jam pada 15 tahun lalu.

Terdapat lapan terminal bot ekspres di negeri ini iaitu di Kuching, Tanjung Manis, Sarikei, Sibu, Kuala Baram, Limbang, Song dan Kapit. Secara purata, setiap terminal menerima antara 6,000 hingga 8,000 penumpang pada musim perayaan.

Penulis sendiri pernah menaiki bot ekspres dari Sibu ke pekan Kapit yang memakan masa tiga jam perjalanan. Walaupun bukan musim perayaan, jumlah penumpang bot itu sememangnya ramai sehingga ada yang terpaksa duduk di atas bumbung.

Sesetengah penumpang kelihatan membawa kotak-kotak yang penuh dengan barangan keperluan harian. Ini kerana kebanyakan penduduk kawasan pedalaman akan membeli banyak barangan keperluan harian di bandar Sibu untuk dibawa balik ke rumah panjang masing-masing di hulu sungai.

Sepanjang perjalanan menaiki bot, pemandangan di kiri dan kanan sungai hanyalah hutan dan sekali-sekala ternampak sekangkang kera tanah sawah atau padi bukit.

Bagaimanapun, penulis mengalami detik cemas menaiki bot ekspres dari Marudi ke Miri, juga mengambil masa lebih tiga jam.

Selepas satu jam 30 minit berlepas, hujan lebat tiba-tiba turun. Penumpang yang dari tadi duduk di bumbung dan tepi bot menyerbu masuk ke ruang dalam sekali gus menjadikan tempat itu sesak.

Tidak lama kemudian, enjin bot tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan bot itu hanyut di tengah-tengah sungai.

Apa yang dibimbangi ialah jika bot itu berlanggar dengan bot lain atau kapal tongkang dari arah bertentangan memandangkan jarak penglihatan adalah terhad akibat hujan selain risau dirempuh batang pokok yang hanyut.

Selepas hampir satu jam hanyut, bot yang kami naiki tersadai di sebuah tanjung sungai. Tiada pihak yang dapat dihubungi kerana kawasan itu tiada liputan telekomunikasi.

Jadi, penumpang sekadar menunggu sebuah lagi bot ekspres dari syarikat sama yang dijadualkan bertolak dari Marudi ke Miri dua jam berikutnya.

Mujurlah semua penumpang selamat tiba di bandar raya Miri walaupun lewat lima jam selepas berpindah naik ke bot ekspres yang baru tiba itu.

Pemandu langgar lari tidak hidup aman

Posted:

Pemandu langgar lari tidak hidup aman

Pemandu langgar lari tidak hidup aman

Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN
ahad@kosmo.com.my


PEMANDU yang terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak harus melarikan diri sebaliknya berusaha memberi pertolongan kepada mangsa. – Gambar hiasan


BETAPA gembiranya hati Alif setelah mendapat tawaran mengikuti rekrut pengambilan anggota oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Sejak zaman kanak-kanak, Alif yang enggan identitinya didedahkan, bercita-cita untuk menyarung uniform tentera.

Di samping dapat berbakti kepada negara, dia yakin masa depan dia dan keluarga akan terjamin memandangkan banyak manfaat yang diperoleh apabila menjadi seorang penjawat awam.

Namun, segala-galanya berubah setelah dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di ibu kota dua hari sebelum mendaftar diri untuk latihan ketenteraan itu.

Menurutnya, impian itu musnah selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada September 2011 sewaktu pulang dari masjid untuk ke tempat kerjanya di Cheras, Kuala Lumpur.

"Kejadian pada hari Jumaat itu tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.

"Akibat kemalangan itu, saya terlantar di rumah selama hampir setahun kerana tulang kaki saya patah di beberapa bahagian," jelasnya yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi.

Jelasnya, hasratnya untuk menjadi penjawat awam masih ada, namun keadaan fizikalnya yang mengalami kecederaan di bahagian tulang tidak membolehkan dia untuk menjadi anggota pasukan keselamatan negara.

"Semuanya kerana kemalangan yang disebabkan kecuaian orang lain. Saya menjadi mangsa keadaan," luah anak jati Kelantan ini yang kini berusia 24 tahun.

Cerita Alif, kemalangan itu berpunca daripada sikap pemandu kereta di hadapannya yang tidak memberikan lampu isyarat membelok sebaliknya memasuki simpang secara tiba-tiba menyebabkan motosikal yang ditunggang Alif melanggar belakang kereta itu.

Kemalangan jalan raya akibat kecuaian orang lain sering dilaporkan termasuk yang mengakibatkan kematian. Lebih malang apabila pemandu terbabit melarikan diri selepas menyedari mereka menjadi punca nahas itu.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 1,057 kes langgar lari dilaporkan pada tahun 2011 dengan 312 kes melibatkan kematian. Sebanyak 198 kes lagi menyebabkan kecederaan parah manakala 547 kes cedera ringan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr. Tam Weng Wah berkata, pemandu yang tidak bertanggungjawab punca kejadian langgar lari di negara ini.

Takut

"Pemandu berkenaan mungkin berasa takut ekoran kesalahan yang dilakukan. Mereka cemas dan panik sehingga tidak dapat membuat pertimbangan dan terus meninggalkan tempat kejadian," jelasnya.

Tambahnya, pemandu langgar lari ini tidak akan hidup tenang kerana mereka akan dibelenggu rasa bersalah serta sentiasa diburu.

"Saya menasihatkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan atau menjadi punca kemalangan supaya jangan lari.

"Sebaik-baiknya anda bertenang dan menghulurkan bantuan kepada mangsa. Bantuan anda mungkin dapat menyelamatkan nyawanya," ujarnya.

Tegasnya, pesalah yang melarikan diri tidak akan bertahan lama kerana dengan teknologi terkini serta kecekapan penyiasatan oleh pihak polis, mereka pasti akan diberkas.

"Jadi, anda tidak perlu melarikan diri sebaliknya jadilah orang yang bertanggungjawab.

"Kalau anda harus dihukum sekali pun, terimalah dengan dada yang lapang. Yang penting anda dapat memulakan kehidupan selepas itu tanpa dihantui rasa bersalah," katanya yang menyokong pemasangan kamera litar tertutup di lokasi yang kerap berlaku kemalangan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Memang lumrah manusia cenderung mengikut peraturan apabila merasakan dirinya diperhatikan atau lebih dikenali sebagai persepsi takut ditangkap," ujarnya.

Mengulas tentang kes kemalangan jalan raya di negara ini, Ketua Pengarah Miros, Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, motokar persendirian merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan, iaitu sebanyak 546,702 kes mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2011.

"Walau bagaimanapun, bilangan tertinggi pengguna jalan raya yang maut dalam tempoh dua tahun yang lepas adalah penunggang dan pembonceng motosikal yang mencatat kematian sebanyak 4,173 pada tahun 2011 dan 4,178 pada 2012," ujarnya.

Jelas Shaw Voon, sebanyak 86 peratus daripada kes kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian manusia.

"Analisis Miros ke atas kes kemalangan berprofil tinggi, iaitu kemalangan yang mengakibatkan tiga atau lebih mangsa terkorban menunjukkan corak pemanduan berisiko seperti memotong di garisan berkembar dan kawasan selekoh sebagai punca utama kemalangan.

"Memandu laju pula menjadi faktor kedua tertinggi iaitu sebanyak 21 peratus," ujar Shaw Voon.

Tukar perabot dua tahun sekali

Posted:

Tukar perabot dua tahun sekali

Tukar perabot dua tahun sekali

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
aqma.mohdnoor@kosmo.com.my


ROSNANI memberitahu, dia akan melakukan eksperimen ke atas rumah bagi mencuba kesemua produk terbaharu keluaran syarikatnya sebelum mencadangkannya kepada pelanggan.


MELANGKAH masuk ke pekarangan rumah milik seorang kontraktor binaan dan pereka hiasan dalaman, Rosnani Mohamad, 53, kru Jurnal tertarik dengan konsep yang diketengahkan pemilik iaitu tiada hiasan yang sarat di beranda dan laman rumah.

Deretan almari kabinet yang diletakkan di ruang depan ini berfungsi sebagai tempat untuk pemilik meletakkan koleksi katalog dan majalah keluaran syarikatnya bagi tatapan pelanggan.

Di satu sudut santai pula, pemilik menempatkan sebuah buaian rotan yang sering digunakan semasa menikmati minum petang atau membaca surat khabar.

"Dahulu ruang beranda dan laman ini menjadi tempat letak kereta yang dihiasi landskap tetapi sejak ada cucu ini, saya ubah ruang ini supaya mudah pergerakan keluar masuk kami sekeluarga," katanya yang amat menggemari kertas dinding.

Oleh kerana Rosnani juga menjual kertas dinding, beliau akan memasangnya di rumah terlebih dahulu bagi memastikan produk berkenaan cantik di mata pelanggan.

"Kertas dinding ini senang dijaga selain menutup permukaan dinding yang tidak sepatutnya dilihat oleh tetamu.

"Saya tidak ingat sudah berapa kali saya menukar kertas dinding serta hiasan lain di dalam rumah ini," jelas ibu kepada empat orang anak ini sambil ketawa.

Tambahnya, memilih kertas dinding sebagai penyeri ruang sememangnya menjimatkan penggunaan cat di samping tidak perlu bersusah payah memikirkan warna yang sesuai.

"Jika dilihat, saya banyak bermain dengan kertas dinding yang mempunyai pelbagai corak dan gaya. Kertas dinding ini juga tahan lama. Saya pernah memakainya sehingga 10 tahun," ujarnya.

Menjenguk ke ruang tamu rumah teres dua tingkat ini, padanan perabot berwarna merah dan coklat benar-benar menaikkan auranya ditambah pula dengan bantal-bantal kecil yang comel.

Kertas dinding bermotif bunga berwarna hijau ternyata membuatkan ruang ini tampak lebih luas dan segar.

Koleksi barang hiasan seperti loceng dan piring kecil yang dibeli pemilik ketika melancong ke luar negara turut menghiasi sudut ruang tamu.

"Saya seorang pengumpul loceng hiasan. Boleh dikatakan setiap kali melancong saya akan membeli loceng hiasan," ujarnya.

Terdapat dua ruang makan di rumah ini. Salah satu daripadanya dikhaskan kepada tetamu. Pemilik turut meletakkan pemisah ruang bagi membezakan ruang tamu dan ruang makan.

Kertas dinding bercorak jalur menegak menghiasi ruang makan tetamu. Ia diserikan lagi dengan koleksi piring yang dibeli di luar negara.

Kemasan lantai bermotifkan kayu memainkan peranannya yang tersendiri di sebalik konsep moden klasik yang digemari penghuni.

Di satu sudut pula, pemilik meletakkan almari kaca yang menempatkan koleksi pinggan mangkuk berjenama.


UJAR Rosnani, dia amat menggemari kertas dinding kerana ia lebih mudah untuk dijaga dan tahan lama.


Tangga

Kru Jurnal tertarik melihat rekaan kertas dinding bermotifkan batu-bata yang dipilih pemilik bagi menghiasi ruang di sepanjang tangga untuk naik ke tingkat atas kediaman.

Di tingkat atas, mata dihidangkan dengan suasana santai tanpa aksesori dan perabot yang sarat.

"Ruang santai kami tidak disaratkan dengan perabot kerana ruang ini agak sempit.

"Untuk ruang yang terhad seperti ini, kita perlu memilih perabot yang bersesuaian mengikut keselesaan kita dan keluarga.

"Di ruang ini juga, saya tempatkan stesen kerja bagi membolehkan saya melakukan kerja dari rumah dengan selesa," ujarnya sambil memberitahu, kesemua perabot itu merupakan rekaannya sendiri.

Suasana terasa tenang sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik tidur utama. Haruman koleksi minyak wangi kegemaran Rosnani dan suami yang diletakkan di dalam kabinet kaca pantas memenuhi rongga hidung.

Pemilihan warna cadar berwarna krim amat padan dengan katil serta almari pakaian yang berwarna coklat.

"Pasti pelik apabila meja solek tidak ada di dalam bilik saya kerana saya menggunakan sebuah cermin kecil sahaja untuk bersiap manakala semua alat solek saya letakkan di dalam kabinet di bilik air bagi memudahkan saya bersiap," ceritanya.

Melangkah ke bilik tidur milik anak bongsunya, Mira Izzati, 18, kru Jurnal tertarik dengan penataan ruang bilik tidur ini yang ringkas. Padanan warna putih dan biru semestinya menjanjikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang menghuninya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved