Jumaat, 14 Jun 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Inovasi jentera enduro BMW

Posted:

Inovasi jentera enduro BMW

Inovasi jentera enduro BMW

Oleh SHAWKATH AZDE

TEMPOH lima bulan pertama tahun ini menyaksikan BMW Group Malaysia memulakan strategi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal premium tempatan.

Langkah itu dibuat dengan memperkenalkan barisan jentera berprestasi tinggi dalam beberapa segmen seperti Enduro, Touring dan High Performance.

Pengeluar kenderaan premium itu juga membawa masuk tiga varian motosikal edisi khas bagi memperingati ulang tahun ke-90 penubuhan BMW Motorrad di Jerman.

Barisan model baharu yang dilancarkan di Malaysia ialah BMW HP4, F 700 GS, F 800 GS, F 800 GT, R 1200 GSA, R 1200 RT dan R 1200 R.

Momentum itu diteruskan dengan satu lagi pelancaran produk enduro untuk peminat tempatan. Model yang dimaksudkan ialah R 1200 GS edisi 2013.

Sambutan terhadap produk BMW Motorrad nampaknya positif. Jualan bagi suku pertama tahun ini sudah mencecah 148 buah motosikal.

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, catatan itu merupakan peningkatan sebanyak 17 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun sebelumnya.

"Ini merupakan petanda kukuh bahawa pelanggan menyokong rangkaian motosikal premium yang ditawarkan," katanya pada majlis pelancaran R 1200 GS di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengubah Tradisi

Rangkaian motosikal BMW GS memiliki populariti tersendiri dalam dunia tunggangan kembara lasak dan jarak jauh.

Lebih 30 tahun sudah berlalu, motosikal dwikegunaan itu terus diberi nafas baharu melalui kejuruteraan semula agar ia kekal relevan mengikut keadaan semasa.

Bagi edisi 2013, transformasi yang dilakukan pada jentera R 1200 GS melibatkan teknologi kejuruteraan dengan inovasi terkini. Objektif itu sudah pasti mahu meningkatkan kepuasan tunggangan pemiliknya.

Inovasi pertama melibatkan penggunaan sistem penyejukan udara dan air glikol. Model sebelumnya mengguna pakai sistem penyejukan minyak dan udara.

Penukaran bendalir itu bertujuan memastikan kandungan sedia ada berupaya menyerap lepasan haba dengan lebih baik dan efisien.

Cecair glikol memiliki kelebihan mencapai setiap ruang dalaman bahagian enjin dengan lebih baik berbanding pengunaan minyak.

Operasi pelepasan haba itu dibantu menerusi pemasangan dua unit radiator dengan bantuan kipas. Kipas akan dihidupkan secara automatik apabila diperlukan. Set radiator dipasang pada bahagian kiri dan kanan enjin.


SISTEM ekzos keluli tahan karat dengan pengesan oksigen bantu mengurangkan pembebasan emisi karbon.


R 1200 GS terbaharu mengubah tradisi binaan produk enduro BMW Motorrad. Buat julung-julung kalinya, kotak gear dan sistem klac diintegrasikan di dalam ruang perumah enjin.

Teknik kejuruteraan itu membantu mengurangkan penggunaan bendalir pelincir transmisi tambahan dan meningkatkan kestabilan jentera ketika tunggangan.

Rangkaian kuasa R 1200 GS berupaya menjana kuasa maksimum 125hp pada 7,700rpm. Kuasa kilas tertinggi adalah 125Nm @ 6,000rpm. Jentera itu berupaya memecut melepasi paras 200 kilometer sejam (km/j).

Motosikal yang dipertontonkan sewaktu Pameran Antarabangsa Intermot 2012 di Jerman itu nyata kelihatan agresif dan lasak.

Wajah hadapan yang menggunakan reraut tajam bukan hanya solekan kosmetik. Ia menggalas tugas meningkatkan faktor aerodinamik ketika tunggangan.

Mode tunggangan

Keselesaan tunggangan disokong dengan adanya penghadang angin yang boleh selaras secara manual. Semua maklumat semasa tunggangan dipamerkan menerusi instrumen meter analog dan digital.

Penunggang boleh memilih mode tunggangan yang disediakan mengikut keadaan muka bumi. Sebanyak lima mode tunggangan disediakan iaitu Rain, Road, Dynamic, Enduro dan Enduro Pro.

Penukaran pemetaan enjin dibuat menerusi butang kawalan yang ditempatkan pada bahagian hendal. Susun atur semua butang kawalan pada hendal mudah dicapai dan dikendalikan.

Setiap tetapan mode yang dipilih akan mengubah maklum balas pendikit minyak, kawalan dan tahap redaman sistem suspensi separa aktif.

Pelana jentera bahagian hadapan boleh diselaras dengan adanya dua tahap ketinggian. Tujuannya adalah untuk meningkatkan keselesaan sewaktu tunggangan jarak jauh.

Aspek keselamatan jentera telah ditingkatkan dengan pemasangan saiz brek cakera lebih besar, angkup hadapan jenis Brembo Monobloc dan sistem brek antikunci (ABS).


LEGASI siri BMW GS terus menerima pembaharuan terkini daripada BMW Motorrad.


Perubahan turut membabitkan saiz rim dan tayar agar keseronokan tunggangan dapat dinikmati sepenuhnya. Perkara itu membolehkan tayar mendapat sentuhan lebih luas di atas jalan sekali gus meningkatkan keupayaan mengambil selekoh dengan lebih baik.

Pertama , lebar rim hadapan ditingkatkan kepada tiga inci. Saiz tayar yang digunakan adalah 120/70 R19. Tindakan sama dibuat pada rim belakang dengan tahap kelebaran mencecah 4.5 inci. Padanan saiz tayar adalah 170/60 R17.

BMW Group Malaysia menawarkan dua varian R 1200 GS edisi 2013 iaitu Dynamic dan Touring untuk pelanggan tempatan.

Perbezaannya melibatkan komponen lampu utama. Varian Dynamic dipasang dengan set lampu utama LED sepenuhnya. Sementara varian Touring dilengkapi lampu jenis halogen.

Ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu merah, biru, putih dan kelabu, BMW R 1200 GS kini boleh didapati menerusi semua pengedar BMW Motorrad di seluruh negara.

Harga bagi varian Dynamic ialah RM128,800 seunit. Untuk varian Touring, ia ditawarkan pada harga RM125,000 sebuah. Harga itu adalah di atas jalan tanpa insurans.

Jika mahu menikmati keseimbangan antara kepuasan tunggangan dan aktiviti kembara, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa inilah antara jentera yang harus diberi pertimbangan.

Porsche 911 SE 50 tahun!

Posted:

Porsche 911 SE 50 tahun!

Porsche 911 SE 50 tahun!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


REVOLUSI rekaan Porsche 911 menjadikannya sebuah model sports yang semakin matang.


SELAMA lima dekad, model 911 merupakan jantung hati Porsche. Hanya beberapa kereta sahaja di dunia yang mempunyai tradisi dan kesinambungan seperti Porsche 911.

Model tersebut telah menjadi inspirasi kepada ramai penggemar kereta sejak pertama kali diperkenalkan (901) pada acara IAA International Automotive Show, Frankfurt, Jerman pada September 1963.

Hari ini, 911 ialah sebuah model yang menjadi penanda aras untuk pesaing lain. 911 turut dijadikan sebagai rujukan untuk semua model Porsche. Setiap model tersebut membawa falsafah 911.

Prinsip Perlumbaan

Sehingga kini, lebih 820,000 Porsche 911 telah dibina yang menjadikannya kereta sport paling berjaya di dunia. Bagi ketujuh-tujuh generasinya, para jurutera di Zuffenhausen dan Weissach memperbaharuinya berkali-kali sebagai simbol kuasa inovatif Porsche.

Kelebihan 911 terletak pada adunan sifat kontradiksi seperti sporty dengan praktikaliti harian, tradisi dengan inovasi, eksklusif dengan penerimaan sosial dan rekaan dengan kebolehgunaan.

Sebagai tambahan kepada ciri-cirinya yang klasik dan unik, Porsche 911 selalu dipuji melalui teknologinya yang maju. Banyak idea dan teknologi diperkenalkan pada model 911 dilahirkan daripada trek perlumbaan. 911 sememangnya dibangun berdasarkan kepada prinsip perlumbaan sejak dari awal lagi. Perlumbaan sememangnya menjadi medan ujian paling penting untuk model itu.

Sejak dari mula, 'habitat' 911 adalah di litar dan lokasi rali di serata dunia, berbekalkan reputasi sebagai sebuah kereta yang pantas dan boleh menang. Faktanya, dua pertiga daripada 30,000 kemenangan yang diperoleh Porsche disumbangkan oleh 911.

Pada bulan September depan di International Motor Show (IAA) di Frankfurt, Porsche akan menyambut ulang tahun 911 yang ke-50 dengan memperkenalkan model edisi istimewa (SE) 50 Years Edition - separuh abad sejak model ikonik itu diperkenalkan di Jerman.

Menariknya, model SE itu hanya akan dihadkan kepada 1,963 unit iaitu mengikut tahun 911 dilahirkan. Seperti coupé pertama, model 911 50 Years Edition didatangkan dengan enjin flat-six pacuan roda belakang. Prestasi yang efisyen, suspensi sports active dan gayaan badan yang eksklusif menambah lagi penampilan kontemporari 911.

Memetik laporan agensi berita Newspress, model SE diasaskan daripada model 911 Carrera S, tetapi dilitupi badan yang lebih lebar iaitu 44 mm pada arca roda belakang yang sebenarnya untuk model pacuan semua roda (AWD) Carrera 4.

Keunikan luaran 911 SE diilhamkan daripada 50 tahun kejayaan model itu. Sebagai contoh, Porsche Active Suspension Management (PASM) ditala semula supaya berpadanan dengan peningkatan lebar jarak roda yang memberi lebih dinamik sewaktu mengambil selekoh.


TEMPAT duduk yang menawarkan keselesaan sepanjang masa.


Enjin Flat-Six

Model itu turut dipasangkan dengan sistem ekzos baharu bagi meningkatkan lagi tarikan emosi pada pemandu. Dikuasakan oleh enjin 3.8 liter flat-six berkuasa 400hp, Porsche 911 50 Years Edition mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh hanya 4.5 saat dan 4.3 saat bagi model PDK dengan kelajuan maksimum 299km/j dan 298km/j (PDK).

Memberi indikasi jelas lokasi enjin flat-six yang berada di belakang ialah jaluran krom pada sirip gril bonet enjin. Aksesori tersebut diteruskan pada ruang suapan udara depan dan di antara lampu belakang.

Paling menonjol untuk model SE ialah rim 'old school' lima jejari yang diinspirasikan daripada rim dikenali sebagai Fuchs. Ia merupakan rim lagenda yang pertama kali digunakan pada model 911 tahun 1966.

Rim bersaiz 20 inci itu diwarnakan dengan warna hitam kusam dan kilatan mesin. Selain peralatan khas, pakej standard 911 Carrera S terdiri daripada Porsche Torque Vectoring (PTV) dengan limited slip differential belakang, skrin sentuh berwarna 4.6 inci Porsche Management bersama navigasi satelit, kawalan suhu automatik, lampu utama Bi-Xenon dan audio antara muka yang mempunyai sambungan MP3 dengan jaminan selama tiga tahun.

Pada bahagian dalam pula, gayaannya banyak meniru kembali reka bentuk 911 asal. Misalnya, label hijau pada instrumen dengan jarum berwarna putih dan penutup berwarna perak di atas meter. Satu lagi ciri istimewa ialah panel tengah pada kerusi kulit yang direka dengan corak fabrik yang mengingatkan semula pada rekaan Pepita tartan daripada model 1960-an.

Balutan kulit pula boleh dipilih sama ada berwarna kelabu (Agate Grey) atau hitam. Kerusinya boleh dilaras dengan 14 arah. Jika itu tidak memadai, terdapat pilihan kerusi Sport Seats Plus dengan 18 arah larasan.

Porsche 911 50 Years Edition sudah boleh ditempah di Porsche Centre di United Kingdom dan Ireland sahaja. Harganya? Bermula daripada GBP 92,257 atau sekitar RM453,000 sahaja!

Nilai Honda CR-X EF8

Posted:

Nilai Honda CR-X EF8

Nilai Honda CR-X EF8

Oleh IRWAN ASRI MOHD. NOR


CR-X menawarkan kualiti pemanduan yang mengujakan.


SAYA masih teringat kata-kata manis seorang jurujual kereta tempatan kepada ayah bahawa membeli kereta adalah satu pelaburan. Jangan percaya. Membeli kereta bukan macam beli rumah yang harganya naik setiap tahun.

Kereta hari ini bayar RM50,000 keluar sahaja bilik pameran terus jatuh harga hampir RM10,000. Bagi saya, beli kereta kita menang memakai sahaja, kalau hendak harapkan keuntungan, memang tidak ada.

Tetapi kadang-kadang, nasib boleh menyebelahi kita. Kereta yang dahulunya dibeli pada harga RM20,000 boleh jadi RM50,000. Contoh terbaik ialah Toyota AE86. Kereta itu dilancarkan ketika saya masih bersekolah rendah. Kalau tidak silap, harga jualannya lebih kurang RM50,000.

Mendahului zaman

Kalau hendak diikutkan, harga tersebut memang mahal kerana kereta zaman itu, harga puratanya cuma RM20,000. Tetapi selepas hampir 30 tahun, kereta tersebut masih dijual pada harga yang sama. Malah ada kalanya, lagi mahal!

Jika anda peminat Honda, jangan risau. Ada juga permata yang bakal menjadi klasik satu masa nanti (ataupun sebenarnya sudah bermula). Mungkin ramai antara kita yang tidak mampu membeli Honda NSX, kereta yang saya yakin menjadi bahan koleksi satu masa nanti.

Jika anda sekarang ada menyimpan Honda CR-X generasi kedua (siri EF), elok simpan baik-baik. Sebab? Saya agak rajin melihat laman web menjual kereta. Saya dapati harga CR-X model itu makin hari makin naik, terutama kalau dalam geran mengesahkan bahawa ia daripada model EF8.

EF8 ialah model yang menggunakan enjin B16A. Hakikat itulah yang membuatkannya amat bernilai. Pada anda yang fikir kereta itu masih baru, tahukah bahawa Honda siri EF sudah menyambut ulang tahun ke-25?

Saya tidak salahkan siapa-siapa kalau ada yang rasa kereta itu masih baru. Masakan tidak, reka bentuknya mendahului zaman. Malah teknologi yang digunakannya masih dianggap hebat hingga ke hari ini.

Jadi memang bertuah pemiliknya, Aidil sebab memiliki sebuah CR-X EF8 yang asli. Kereta yang didaftarkan pada tahun 1991 itu sejujurnya nampak macam baru sampai di Pelabuhan Kelang, cantik dan bersih.

Model EF8 didatangkan dengan enjin B16A dari kilang. Tetapi Aidil sudah menggantikannya dengan enjin B16B, enjin Civic EK9 Type-R.


RUANG kabin CR-X ini menerima ubah suai minimum.


Alat ganti prestasi

Enjin B16B memang secara kasarnya nampak sama dengan enjin B16A yang diganti. Namun, jurutera Honda telah membikin enjin itu dan melonjakkan kuasanya kepada 180hp berbanding 160hp pada enjin B16A biasa.

Enjin itu boleh dikatakan sebagai memiliki paling banyak alat ganti prestasi. Walaupun blok dan kepala silindernya tidak diusik, bahagian inlet kemasukannya sudah diganti dengan inlet Skunk2 bersama throttle body daripada Super 90.

Penapis udara asal pun telah diganti dengan penapis udara daripada Mugen yang disambung ke throttle body menggunakan paip keluli tahan karat buatan custom.

Sistem pendawaian enjin pula disorokkan daripada penglihatan. Proses itu dipanggil 'wire tuck'. Sebab itulah anda tidak nampak wayar-wayar yang berserabut, semuanya sudah disorok dengan jayanya.

Hos-hos radiator dan hos vakum diganti dengan hos silikon daripada Samco. Ini termasuklah radiator asal yang diganti dengan radiator aluminium. ECU enjin dinaik taraf dengan cip daripada Skunk2, sebelum dilaras menggunakan sistem ECU piggyback jenama A'PEXi V-AFC.

Tidak lengkap ubah suai enjin VTEC kalau sistem ekzos tidak diganti. Untuk projek CR-X, Aidil menggunakan sistem manifold ekzos 4-1, paip ekzos saluran terus buatan custom dan diakhiri dengan peredam bunyi J's Racing.

Kotak gear B16B yang disalin sekali ke kereta itu nampaknya sudah berubah sifat. Klac asal diganti dengan klac Ogura Super Single bersama flywheel yang diringankan. Nisbah gear pun sudah ditukar dengan set nisbah gear pendek M's Factory yang menggunakan nisbah akhir 3.4.

Dari segi pengendalian pula, CR-X diubahsuai dengan penyerap hentak boleh laras Tein Flex dan lower arm belakang Skunk2 pada bahagian belakang. Tayar-tayar Dunlop Sport bersaiz 195/50 membaluti rim-rim Volk Racing TE37 berdiameter 15 inci yang banyak membantu CR-X terus melekat di atas jalan raya.

Kalau tengok bab penampilan, CR-X memang bersih dan kemas, tanda restorasi yang sempurna. Pada bahagian luaran, ia mengekalkan ciri-ciri standard kilang tanpa sebarang modifikasi.

Bahagian dalamannya pun boleh dikatakan tidak banyak berubah. Cuma ada penambahan beberapa aksesori yang membuatkan kereta itu lebih istimewa.

Aksesori jenis bolt-on melibatkan stereng Momo, tombol gear Skunk2 dan pedal pendikit Mugen. Satu set meter jenama Defi juga dipasang pada papan pemuka yang memberi bacaan tekanan pelincir, suhu air dan suhu pelincir.

Nasihat saya kepada pemilik-pemilik CR-X EF8 asal, simpan kereta itu baik-baik. Jangan nak berlumba lagi. Modifikasi pun jangan lebih-lebih. Nilai kereta anda ada potensi jadi macam AE86.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved