Khamis, 6 Jun 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kesal dituduh sombong

Posted:

Kesal dituduh sombong

Kesal dituduh sombong

APABILA drama bersiri Adam dan Hawa menjadi fenomena setelah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, ia turut memberi impak kepada beberapa pelakon utamanya.

Antaranya pelakon Dazrin Kamarudin yang kini sudah mula mendapat perhatian ramai. Paras rupa yang kacak menjadi satu lagi bonus untuk Dazrin melebarkan karier lakonannya.

Bagaimanapun, adat bergelar anak seni semakin meningkat popular maka semakin banyak juga gosip dan cabarannya.

Perkara itu turut berlaku ke atas pelakon kelahiran Melaka itu apabila dikatakan sudah mula bersikap sombong.

Dazrin yang ditemui semasa majlis ulang tahun pertama saluran Astro Mustika HD di kompleks beli-belah AEON Bukit Tinggi, Klang, Selangor baru-baru ini mengakui dia juga ada terdengar dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya itu.

"Memang ada yang menuduh saya seorang yang sombong, tetapi saya anggap tuduhan tersebut tidak berasas kerana dibuat oleh pihak yang tidak mengenali saya secara rapat.

"Sudah tentu tidak adil kalau mereka membuat tuduhan yang melulu tanpa mengenali diri saya terlebih dahulu. Kalau sudah mula kenal dan rapat, barulah orang akan tahu sikap sebenar saya," ujar pelakon berusia 25 tahun itu.

Mendedahkan dirinya sebagai seorang yang mudah mesra dan suka membuat lawak, Dazrin tidak menolak kemungkinan raut wajahnya yang adakalanya kelihatan serius telah menimbulkan salah faham segelintir pihak.

Dazrin mengakui, terbit sedikit perasaan kesal terhadap cerita negatif itu yang sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya.

Disebabkan itu, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terbabit dalam sebarang kisah kontroversi.

"Sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, sudah tentu saya tidak mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang popular kerana kontroversi.

"Lebih mengecewakan apabila cerita sebegini timbul ketika saya sudah dikenali ramai. Jadi saya berharap dakwaan terhadap diri saya itu akan berlalu begitu sahaja," ujarnya.

DAZRIN menafikan dirinya seorang yang sombong dan besar kepala.


Menceritakan tentang karier lakonannya pula, Dazrin mengakui gembira apabila semakin banyak tawaran berlakon yang diperoleh selepas drama bersiri Adam dan Hawa.

Ujarnya, sudah ada penerbit dan pengarah yang memberikan kepercayaan buat dirinya untuk memegang watak utama sama ada dalam drama bersiri atau telemovie.

"Saya bersyukur dengan tawaran berlakon yang tidak putus-putus ini. Ia merupakan satu perkembangan yang positif dan membuatkan saya mahu bekerja dengan lebih keras lagi.

"Namun begitu, dengan pencapaian yang diraih ini, ia tidak bermakna saya sudah boleh berpuas hati kerana masih banyak lagi yang perlu dipelajari dalam bidang lakonan," ujarnya yang turut popular menerusi drama Jodoh.

Masih baik

Selesai menjawab isu bersikap sombong, Dazrin kemudian ditebak pula dengan satu lagi kontroversi baharu.

Dia dituduh sebagai individu yang mementingkan diri sendiri semasa bergandingan dengan seorang lelaki pelakon muda, Hairul Azreen dalam rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia.

Walaupun berhasil muncul sebagai juara dan berjaya memenangi hadiah wang tunai RM200,000, tetapi hubungan kedua-dua pelakon itu dikatakan mulai renggang selepas rancangan berkenaan berakhir.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Dazrin meluahkan rasa hairannya.

Ini kerana tiada sebarang masalah yang timbul antara mereka berdua, bahkan hubungan kedua-duanya masih lagi baik.

"Sudah tentu saya agak pelik apabila ada yang mengatakan saya dan Hairul bermasam muka, sedangkan kami selalu lepak bersama-sama. Cuma, sejak kebelakangan ini kami jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk.

"Apabila saya bertanyakan tentang cerita ini kepada Hairul, dia pun agak terkejut kerana sepanjang bergandingan bersama dalam rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia, hubungan kami sangat rapat seperti adik-beradik. Bahkan, itulah antara faktor kejayaan kami muncul juara," jelasnya.

Bagaimanapun, Dazrin menjelaskan persepsi yang mengatakan dia mementingkan diri sendiri timbul dalam kalangan penonton yang menjadi pengikut setia rancangan realiti tersebut.

DAZRIN mengaku dia mula diberi peluang membawa watak utama selepas berlakon dalam drama Adam dan Hawa.


"Perlu diingat bahawa apa yang penonton saksikan itu sebenarnya tidak menggambarkan keseluruhan keadaan yang berlaku semasa pertandingan berlangsung memandangkan ia membabitkan banyak suntingan.

"Mungkin ada sebahagian babak yang dipaparkan itu menunjukkan saya seolah-olah membuat lawak kepada Hairul, tetapi ia disalah anggap pula oleh segelintir penonton," jelasnya.

Kongsi kejayaan

Mengenai hadiah wang kemenangan sebanyak RM200,000 yang diraih setelah bergelar juara Fear Factor Selebriti Malaysia, Dazrin memberitahu dia sudah mempunyai perancangannya sendiri.

Salah satu perancangan terdekatnya adalah untuk menganjurkan sebuah majlis kenduri kesyukuran yang disertai anak-anak yatim.

"Dengan wang yang diperoleh itu sebahagiannya akan saya gunakan untuk berkongsi kejayaan yang diraih dengan golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim.

"Cuma, sekarang ini saya masih lagi sedang mencari lokasi yang sesuai. Kalau mengikut perancangan mungkin saya akan adakannya ketika majlis berbuka puasa nanti," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada ia akan dilakukan bersama pasangannya dalam rancangan tersebut, Dazrin menyatakan ia merupakan anjurannya sendiri.

Ini kerana Hairul akan menggunakan wang yang dimenangi itu untuk membawa ibu bapanya mengerjakan ibadah haji.

Hyori pernah rasa terpinggir

Posted:

Hyori pernah rasa terpinggir

Hyori pernah rasa terpinggir


HYORI berjaya menewaskan kumpulan 4Minute dalam program Inkigayo.


PENYANYI Lee Hyori merupakan diva dalam industri seni Korea Selatan. Namun, dia baru-baru ini membuat pengakuan pernah berasa terpinggir beberapa tahun dahulu dalam industri itu.

Katanya ketika muncul dalam program televisyen Thank You: "Sejujurnya, saya pernah rasa sukar terutamanya dua atau tiga tahun dahulu.

"Sebelum ini, saya fikir inilah tempat dan dunia saya, tetapi ketika itu juga industri seni semakin dingin terhadap saya.

"Sampai satu tahap bila saya berjumpa dengan orang yang jauh lebih muda terdetik dalam hati, adakah mereka kenal saya?

"Perasaan tersebut dirasakan semakin kuat apabila saya menyertai program hiburan yang berbentuk pertandingan atau carta.

"Penyanyi-penyanyi bukan sahaja perlu menonjol bakat menyanyi, bahkan kelincahan dan gaya seksi memandangkan banyak program hari ini mengambil kira undian daripada penonton," luahnya.

Akui Hyori, dia berasa kurang yakin untuk bersaing dengan penyanyi berkumpulan yang jauh lebih muda 10 hingga 20 tahun daripadanya.

Malah, disebabkan tekanan yang dihadapi, penyanyi berusia 34 tahun itu pernah berdepan dengan masalah ketagihan alkohol.

Namun, katanya, dengan sokongan peminat dan keluarga akhirnya dia semakin positif.

Hyori menegaskan, dia tidak perlu bersedih atau tertekan jika tidak mendapat nombor satu dalam program-program hiburan.

"Setahun ini saya menjadi lebih kuat dan positif jika tidak mendapat tempat pertama.

"Saya popular dengan program seperti itu dulu. Sudah tentunya saya akan terus menyertainya," kata Hyori.

Sikap positif Hyori ternyata berbaloi apabila dalam episod terbaharu program Inkigayo, Hyori mampu tersenyum girang apabila dipilih sebagai pemenang tempat pertama menerusi lagu Bad Girls menewaskan kumpulan 4Minute.

Debaran Anugerah Tribute P. Ramlee

Posted:

Debaran Anugerah Tribute P. Ramlee

Debaran Anugerah Tribute P. Ramlee

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN
hiburan@hiburan.com.my


AHMAD JAILANI (enam dari kiri) memegang trofi utama Anugerah Tribute P. Ramlee yang menjadi rebutan 10 buah telefilem yang dicalonkan.


LAKONAN, nyanyian dan ilham karya terhebat di bawah arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sentiasa bersemadi di hati para peminatnya.

Namun seiring dengan perubahan arus permodenan masa kini, dikhuatiri hasil karya Allahyarham semakin dilupakan.

Sehubungan itu, bagi memperingati dan mengimbas zaman kegemilangan Allahyarham, buat julung-julung kalinya sebuah anugerah bagi memartabatkan kembali seniman agung kegemaran ramai itu iaitu Anugerah Tribute P. Ramlee diwujudkan.

Selain ingin memperingati hasil karya seniman agung itu, penganjuran tersebut bertujuan mengekalkan nama beliau sebagai seorang penghibur terbaik sepanjang zaman, terutamanya kepada pelopor baharu yang sedang meningkat naik.

Kini, bahang kehangatan Anugerah Tribute P. Ramlee kian terasa apabila acara berprestij itu semakin hampir menemui penonton menerusi siaran langsung di saluran TV1 pada 7 Jun ini yang bermula pukul 9 malam.

Melengkapkan lagi keterujaan peminat P. Ramlee, acara itu akan diadakan di Istana Budaya. Acara tersebut sepatutnya dijadualkan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Penukaran lokasi pada saat akhir itu dianggap satu rahmat buat pihak penganjur kerana sebelum ini Istana Budaya memang menjadi lokasi pilihan, bagaimanapun kerana tetapi tiada kekosongan, mereka mencari lokasi lain.

Namun, rezeki memihak kepada mereka apabila berlaku perubahan pada jadual pementasan Istana Budaya.

Penari Istana Budaya

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, sebenarnya jadual acara di Istana Budaya sudah penuh dengan pelbagai pementasan teater dan konsert.

MOHAMED JUHARI


"Kami di Istana Budaya sentiasa ingin melakukan yang terbaik, terutamanya apabila ia melibatkan acara berprestij, tetapi kami tidak mampu melakukan sesuatu di luar kawalan. Segala jadual perlu dipatuhi mengikut prosedur.

"Secara kebetulan, ada sebuah konsert yang ditunda. Jadi bolehlah acara itu dilakukan di Istana Budaya," jelasnya pada sidang media Anugerah Tribute P. Ramlee yang di adakan di Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Juhari, bagi menambahkan lagi kemeriahan Anugerah Tribute P. Ramlee, seramai 150 penari Istana Budaya akan membuat persembahan pada acara pembukaan acara itu nanti.

Malah, anugerah yang dianjurkan oleh RTM dan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Suhan Movies dan Trading Sdn. Bhd. itu turut diiringi oleh 42 pemuzik orkestra.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia, Ahmad Jailani Mohamed Yunus berkata, sebuah panel khas juri seramai tujuh orang telah diwujudkan bagi memilih pemenang setiap kategori yang dipertandingkan.

"Kesemua juri merupakan mereka yang arif dan profesional. Kami akan mengumumkan barisan juri pada malam anugerah itu nanti," jelasnya.

Sebanyak sembilan anugerah akan dipertandingkan berdasarkan 10 telefilem yang sudah habis ditayangkan melalui slot Tribute P. Ramlee di saluran TV1 mulai November 2012 sehingga Mei 2013.

Antara 10 telefilem yang dicalonkan menerusi slot berkenaan ialah Tunggu Sekejap arahan Along Kamaluddin, Getaran Jiwa (Michael Ang), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi), Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman) .

Selain itu telefilem bertajuk Jodoh Kita (Ismail Yaakob), Titisan Kasih (Rashid Sibir), Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah), Hanya Dikau (Amie Maziah) dan Selagi Cinta Berzikir (Erma Fatima) yang mana kesemuanya diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd juga dicalonkan.

Selain itu, antara kategori yang dipertandingkan ialah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Skrip Terbaik, Telefilem Terbaik, Videografi Terbaik dan Anugerah Khas Seniman dan Seniwati.

Anugerah tersebut turut akan diserikan dengan persembahan daripada Atilia, Syafinaz, Misha Omar dan Azlan The Typewritter.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved