Ahad, 16 Jun 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Humor dan muslihat Amy, Misha & Fara

Posted:

Humor dan muslihat Amy, Misha & Fara

Humor dan muslihat Amy, Misha & Fara

BUSANA tradisional yang tersarung kemas pada susuk tubuh tiga wanita popular itu tampak menyerlah. Gaya kehidupan wanita moden seperti yang dijalani pada setiap hari hilang dalam sekelip mata. Masing-masing terbuai dalam karakter, bergerak, bertutur dan bercanda; semuanya tergaul pekat dalam aroma yang begitu akrab dengan kita, dibumbui warna Indonesia.

Mereka anak saudara yang penuh muslihat. Dalam bahasa naskhah Nyonya & The Gang yang dipentaskan di Istana Budaya ketika ini, mereka dibahasakan sebagai Keponakan Anggun, Keponakan Beautiful dan Keponakan Cantik. Itulah Amy Mastura, Fara Fauzana dan Misha Omar dalam pementasan berkenaan.

Nyonya memasuki pementasan keenam kali ini, kedua buat Misha dan Fara serta kemasukan buat pertama kalinya, Amy untuk bermain karakter dalam naskhah yang diberi suntikan baharu. Penciptaan semula Nyonya menjadi Nyonya & The Gang itu ternyata membuahkan hiruk-pikuk. Humor dan segala sisi tentang wanita diterjemahkan penuh simbolik. Metafora dan personifikasi kehidupan wanita masih menjadi rencana utama.

Warna-warni karakter

"Nyonya itu sendiri mewakili dunia perempuan. Perempuan itu lembut tetapi tidak semuanya begitu. Ada persoalan harga diri dan kelembutan seseorang perempuan tidak hanya seperti yang disangka.

"Sebagai keponakan, kami mewakili warna-warni hidup seorang perempuan. Mereka bijak, licik dan ganas tetapi dalam bijak-bijak pun, tetap 'terkena' juga. Ia sinonim dalam kehidupan seharian apabila ada ahli keluarga yang akan berdepan kematian, ketika muncul saudara-mara yang mahu menghimpit harta," hurai Misha yang masak dengan permainan karakter kali ini.

FARA akui peroleh banyak ilmu sepanjang terlibat dalam Nonya & The Gang.


Sebagai pemain baharu yang diperkenalkan dalam versi terkini yang meletakkan Mardiana Alwi sebagai Nyonya itu, ibu kepada dua cahaya mata, Amy menambah: "Skrip asal tidak ada ramai pelakon. Justeru, apabila ditambah dengan segmen The Gang, naskhah itu menjadi lebih ringan. Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada bakat baharu untuk beraksi. Mula-mula dapat skrip, saya sendiri tidak faham apa-apa. Saya tidak dibenarkan tengok lakonan pelakon yang pernah bawa watak itu sebelum ini. Alasan penerbit, sebab saya seorang yang rajin meniru," katanya yang menjadi 'ketua' kepada geng keponakan itu.

Amy sebagai Keponakan Anggun yang paling senior, paling dihormati oleh dua saudaranya Keponakan Cantik (Misha) dan Keponakan Beautiful (Fara).

"Konon-kononnya saya yang paling rapat dengan suami Nyonya. Walaupun seorang yang kaya dan serba moden, tetapi dia juga menebal kepercayaan kepada kuasa bomoh. Cari bomoh pun, guna internet. Dia nampak macam berpakat tetapi sebenarnya ada agenda sendiri," kata Amy yang terburai ketawanya.

Bersahut dengan tawa yang leluconnya hanya difahami oleh mereka, Misha pula menambah:

"Dia pencetus huru-hara, saya pula penyambung," letus Misha sambil dibalas dalam nada seloroh oleh Fara yang meletakkan karakternya sebagai penyibuk dalam regu itu.

Celah si penyampai radio Hot FM itu pula: "Amy penglipurlara. Kalau Misha penyambung, saya pula tukang gelak. Watak saya paling low profile. Saya wanita kaya, mengikut sahaja tapi dalam masa yang sama seorang yang tamak dan penakut."

Ajuk cakap orang Indonesia

Bukan sahaja ketika berdiri meresap karakter di atas pentas, gandingan selebriti berbilang karier, pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio itu pada sesi pertemuan itu sudah cukup untuk sesiapa sahaja tergeletek hati. Nada serius tidak mampu bertahan lebih daripada lima minit, ada sahaja telatah mereka dan ajukan Amy terutamanya yang menceriakan semua.

MISHA anggap naskhah Nyonya sebagai simbolik kewanitaan yang cukup hebat untuk diterokai.


"Mula-mula cuba berdialog dalam bahasa Indonesia, orang gaji saya tidak faham. Dia yang jadi tukang kritik. Katanya, cakap saya sekejap Jawa sekejap Sunda. Mula-mula baca skrip bunyi macam Jawa tertelan sesuatu di kerongkong, lama-lama ia cair sendiri.

"Semasa tempoh latihan, setiap kali tertengok sinetron di kaca TV, rasanya macam saya yang berlakon drama berkenaan.

"Tambah seronoknya, saya ada sebuah telemovie yang bercakap dialek Perak. Kru pula bercakap dialek Perlis. Habis hancur jadinya, tak tahu dialek apa dah yang keluar daripada mulut saya," ucap Amy tidak sah tanpa berlawak.

Sindrom terbawa-bawa oleh karakter memang mudah berlaku apabila terlibat dengan rejim latihan dan pementasan yang panjang.

"Dalam tempoh ini, kita akan jadi terikut-ikut. Harap ia tidak lama. Kalau tidak, memang melekat. Macam yang berlaku baru-baru ini. Sehabis latihan, saya keluar makan bersama tunang, ralit bercerita tanpa sedar, saya ditegur bahawa sesi latihan sudah habis. Jadi, tak perlulah untuk saya cakap siap dengan mata sekali," cerita Misha.

Berbeza pula dengan Fara. Pengacara dan deejay popular itu mengaku kurang gemar mengajuk dialek Indonesia. Jika boleh, dia akan bercakap bahasa Melayu atau Inggeris walaupun dengan orang Indonesia sendiri.

"Jadi, lidah saya paling keras setiap kali berdialog. Saya paling lambat hafal skrip berbanding Misha dan Amy. Saya kagum dengan pelakon watak Tuan dan Nyonya (Tai dan Mardiana Alwi), mereka orang teater. Setiap kali cuba berlatih cakap Indonesia di rumah, memang kena kritik oleh orang gaji," sulami Fara membuka cerita.

REJIM latihan serta pementasan yang panjang memang memenatkan, namun Amy merasakan segala pengalaman itu akan dirindui usia pementasan 20 Jun ini.


Kuasa kebaya

Teater terbitan CTRA Production kolaborasi dua pengarah wanita, Rosminah Tahir untuk bahagian Nyonya dan Siti Rohayah Atan yang menerajui segmen The Gang itu mungkin sedia diketahui umum tentang kekuatan skrip dan pemilihan pelakon. Bersambung topik demi topik, kebaya sebagai kostum wajib setiap pelakon wanita dalam Nyonya itu juga satu penataan visual yang mengujakan untuk dipandang.

Dari satu sisi yang lain, kebaya itu sendiri sebuah perlambangan yang cukup intim dengan wanita. Mahalnya kelibat wanita di pentas Nyonya itu juga barangkali cenderung terpamer menerusi variasi kebaya yang digayakan setiap pelakon wanita yang terlibat.

"Kalau bukan kebaya betul pun, baju yang seakan-akan kebaya begini pun tetap dipanggil kebaya. Kalau ada yang terpesona dengan kebaya disebabkan penampilan kami dalam Nyonya, hal itu sesuatu yang bagus. Kalau boleh menarik minat penonton yang jatuh cinta kepada fesyen kebaya, syukurlah. Untuk kami yang terpaksa pakai kebaya ini, suka atau tidak, reda sahaja," kata Amy tergelak lagi.

Bertukar tiga hingga empat persalinan kebaya sepanjang pementasan, pementasan Nyonya dikira bertuah apabila beberapa pereka fesyen tempatan seperti Syaiful Baharim, Cosry, Man Kajang, Maria Boutique Tailoring dan Ezalha Bridal yang berkolaborasi dengan Hathim Thai menyumbang sentuhan emas kepada pesona pelakon terbabit sepanjang 14 hingga 20 Jun ini.

"Pakai sahaja kebaya, automatik kita rasa dan nampak seksi," ujar Misha sambil disokong oleh Fara yang ditaja Cosry untuk tampil sebagai Keponakan Beautiful dalam kebaya yang mirip stail dari Indonesia.

Buat pertama kali, wartawan hiburan sensasi, Kiah Propa turut ditampilkan ke lantai teater, teater berkenaan sebuah naskhah bergaya yang cuba disesuaikan dengan isu semasa. Biarpun ia karya penulis dari Indonesia, keberadaan Nyonya dalam arus teater tanah air sudah sekian lama diterima khalayak tempatan.

Momento seni dan sosiobudaya Korea

Posted:

Momento seni dan sosiobudaya Korea

Momento seni dan sosiobudaya Korea


TERIMA KASIH. Barangkali itu ungkapan yang diluahkan oleh setiap peserta rombongan Anugerah Skrin 2011 & 2012 anjuran TV3 di hadapan Taman Tema Everland.


SELEPAS enam tahun membawa rombongan pemenang Anugerah Skrin, sebuah anugerah khusus untuk karyawan seni anjuran TV3, 'menggeledah' dan menikmati kota metropolitan Los Angeles, Amerika Syarikat, tahun ini, pihak penganjur mengalihkan 'busur panah' mereka.

Sasaran rombongan Anugerah Skrin 2011 dan 2012 yang membawa seramai 40 orang ahlinya yang terdiri daripada para pemenang dalam pelbagai kategori untuk anugerah tersebut selama dua tahun berturut-turut, singgah ke sebuah destinasi yang tidak kurang hebat.

Korea Selatan, ia dianggap sebagai destinasi yang cukup relevan untuk persinggahan selama seminggu bagi karyawan seni tempatan yang mengikuti rombongan tersebut.

Selain aliran muzik K-Pop yang cukup semarak di Malaysia ketika ini, hasil seni layar kaca mereka telah terlebih dahulu melekat dalam hati peminat tempatan.

Drama-drama hebat mereka, paling mengesankan, tentulah drama Winter Sonata menjadi satu tanda aras tentang kehebatan produk Korea Selatan yang mencuri hati jutaan peminat drama percintaan tersebut.

Justeru, apabila pihak penganjur memilih Korea Selatan sebagai 'medan' untuk menggali isi industri seni mereka selain mengenali sosio dan budaya masyarakat negara tersebut, barisan pengkarya Malaysia tidak mahu melepaskan peluang yang dihulurkan.

Sutradara Osman Ali dan Faisal Ishak, aktres Datin Paduka Umie Aida dan Eja serta aktor Remy Ishak antara yang begitu teruja dengan kunjungan ke negara tersebut.

Sepanjang seminggu berada di Korea Selatan, antara lokasi menarik yang dikunjungi tidak hanya sekadar destinasi wajib lawat seperti Pulau Nami, Menara Namsan, Taman Tema Everland, Istana Gyeongbok, Muzium Rakyat atau berbelanja di pusat tumpuan seperti Namdaemun dan Myeondong. Sebaliknya ahli-ahli rombongan turut diberi kesempatan berkunjung ke dua stesen televisyen terkenal Korea Selatan iaitu Korean Broadcasting System (KBS) dan MBC Studio.


Tradisi masyarakat Korea dipertontonkan kepada umum di dalam Muzium Rakyat mereka.


KBS dan MBC

Dua buah stesen televisyen yang disinggahi iaitu KBS dan MBC telah memberi dua perspektif yang berbeza dalam kalangan ahli rombongan.

KBS yang diketahui umum sebagai pengeluar terbesar produk seni Korea Selatan adalah milik penuh kerajaan negara tersebut.

Memiliki sebanyak 27 buah studio yang digunakan untuk hampir semua rakaman seperti program hiburan, bual bicara serta berita. Malangnya, rombongan kami gagal mengunjungi stesen tersebut dengan lebih dekat atas faktor- faktor yang tidak dapat dielakkan.

Berbanding dengan stesen MBC, kami diberi layanan istimewa untuk mengenali dengan lebih dekat cara stesen tersebut beroperasi.

Selain itu, kami juga berpeluang menonton sebuah program hiburan yang sedang menjalani rakaman.

Kami turut terpukau melihat sebuah auditorium yang hampir sebesar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra yang dijadikan lokasi untuk konsert atau majlis anugerah yang terletak di dalam bangunan MBC itu. Sebuah studio khas untuk penggambaran drama turut menggamit perhatian kami.

Studio tersebut dibina dengan set-set penggambaran khusus untuk sesebuah drama.

Menurut wakil MBC yang dikenali sebagai Neo, setiap produksi akan membina set penggambaran sendiri dan mendapatkan tajaan daripada pengeluar perabot misalnya untuk melengkapi set kediaman atau pejabat.

Cara itu dapat menjimatkan kos penggambaran kerana barang-barang yang perlu digunakan di set penggambaran tidak lagi perlu disewa.

Menyifatkan kunjungan pertama kali ke Korea Selatan sebagai mengujakan, Remy yang memenangi anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2011 menerusi filem Cun memberitahu, dia amat menghargai peluang yang diberikan pihak penganjur kepadanya.

Ditanya tentang pengalaman pertamanya di negara tersebut, aktor yang kini sedang sibuk di lokasi drama Ku Cinta Kau Seorang itu berminat untuk mengulas tentang kunjungan ke stesen televisyen KBS.

Menurut Remy, biarpun KBS menyaksikan penggunaan belasan kamera untuk sesebuah produksi yang dianggap sebagai agak maju dan mahu mendapatkan kepelbagaian syot, dia tetap berbangga dengan hasil produksi di Malaysia.

Katanya: "Saya memang kagum apabila melihat banyak kamera digunakan untuk sesebuah produk mereka, namun dalam masa yang sama saya amat berbangga dengan pencapaian produksi Malaysia.

"Tanpa penggunaan terlalu banyak kamera, kita tetap mampu melahirkan produk yang baik dan berkualiti."

Bercakap mengenai kemajuan industri seni mereka, Remy membuat satu rumusan dengan menyatakan rakyat negara tersebut suka menyokong produk buatan sendiri.

"Justeru, masyarakat kita juga perlu menyokong produk buatan sendiri dengan lebih jitu. Bukan sahaja dari segi hasil seni, tetapi dalam semua bidang," ujarnya.


TEATER Nanta adalah perkara wajib tonton sekiranya berkunjung ke Korea Selatan.


Pulau Nami

Bagi yang pernah menonton Winter Sonata, lokasi penggambaran drama yang menggandingkan aktor Bae Yong Jun dan Choi Ji Woo, Pulau Nami bagai satu igauan menarik buat mereka.

Keindahan pulau tersebut pada musim salji dan luruh yang divisualkan dengan indah dalam filem tersebut sudah cukup untuk menggamit perhatian peminat dari seluruh dunia untuk menjejak ke pulau tersebut.

Ironi, Pulau Nami tidak seindah yang dirakamkan pada dua musim tersebut. Kunjungan kami pada musim panas hanya menyaksikan Pulau Nami sebagai sebuah hutan biasa yang dirimbuni pepohon.

Mujur, ia diperindahkan dengan pelbagai pembangunan dan kemudahan yang membuat pengunjung teruja menjelajah segenap penjuru pulau yang kebanyakannya menjadi tapak momento bagi memperingati drama tersebut.

Justeru, jika mendengar tentang sejarah asal pulau tersebut, tidak hairan, jika pemilik pulau itu mahu menjualnya dan tidak berjaya menarik minat pembeli.

Bagaimanapun, tuah menjadi miliknya apabila pihak produksi drama yang telah dihasilkan 10 tahun lalu itu secara tidak sengaja terperangkap di pulau tersebut kerana keadaan cuaca yang buruk telah menjadikan Pulau Nami begitu popular dalam kalangan pengunjung, sekali gus menjadi penyumbang untuk kerancakan ekonomi Korea Selatan.

Eja melihat senario tersebut (lokasi penggambaran yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara) sebagai sesuatu yang boleh dilakukan di Malaysia.

Menurutnya, Malaysia juga mempunyai banyak destinasi menarik yang boleh dipromosikan menerusi dunia seni.

Malangnya, masalah birokrasi seperti kekangan untuk mendapat sokongan lokasi sering menjadi dilema penerbit drama atau filem.

"Jika bercakap tentang PulauNami, saya menganggap Malaysia juga memiliki banyak pulau yang indah dan boleh diketengahkan.

"Namun sayangnya, kita selalu berhadapan masalah bagi mendapat sokongan daripada segelintir pihak untuk tujuan promosi itu. Selain sukar mendapatkan kerjasama, produksi juga perlu berhadapan 'sewa' yang mahal untuk sesebuah lokasi.

"Saya kira, jika semua pihak boleh bekerjasama dengan baik, dunia seni kita juga boleh menyumbang kepada ekonomi negara seperti yang berlaku kepada Korea Selatan atau negara-negara yang lain," ujarnya.

Nanta

Sementara itu, satu-satunya kunjungan yang melekat dalam fikiran kami semua adalah teater Nanta yang dipertontonkan selama dua jam.

Teater tanpa dialog yang dilakonkan oleh empat orang pemain tersebut cukup spektakular dan bersifat intelektual di sebalik humor yang dipertontonkan.

Hanya berlatarbelakangkan kisah tukang masak, mereka mengadunkan hal budaya, popular, hiburan, sindiran serta kehidupan dengan cukup mengujakan.

Selebihnya, Korea Selatan yang dikunjungi selama seminggu meninggalkan momen tersendiri dan diharap mampu memberi input yang baik untuk ahli-ahli rombongan tentang industri hiburan.

Shahz Jaszle buka portal hiburan

Posted:

Shahz Jaszle buka portal hiburan

Shahz Jaszle buka portal hiburan

SELEPAS mencipta nama sebagai pelakon, Shahz bercadang untuk menjadi pengarah filem.


KETIKA berita pelakon Shahz Jaszle dicekup oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pertengahan bulan lalu atas dakwaan berkhalwat masih lagi panas, tentunya berasa janggal untuk bersua muka dengan tuan empunya badan untuk mengetahui perkembangan dirinya.

Namun, pelakon yang berusia 25 tahun itu tidak banyak membuka mulut berhubung kisah itu kerana pihak berkuasa masih melakukan siasatan berhubung kes tersebut.

"Sebenarnya, peguam telah menasihatkan saya agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Apa yang boleh saya katakan, saya sebenarnya diperangkap. Kita tunggu sahaja kes itu yang akan dibicarakan pada 12 November nanti," katanya

ketika ditemui sewaktu penggambaran drama Iman Hanis arahan Shuhaimi Lua Abdullah di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, Shahz atau nama sebenarnya Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmin turut menyuarakan hasrat untuk melangkah setapak lagi ke dalam dunia hiburan.

"Sebenarnya, saya lebih suka berada di belakang tabir berbanding berlakon. Saya ada merancang sesuatu tentang karier saya kerana saya juga berminat untuk menjadi pengarah.

"Saya sedang menulis skrip untuk difilemkan kelak. Ia tentang sebuah filem aksi yang menjadi minat saya. Bagaimanapun, penggambaran filem itu bukan untuk dilakukan dalam masa terdekat kerana ia perlu mengambil kira banyak aspek. Buat permulaan, saya akan melaksanakan projek filem pendek terlebih dahulu," katanya.

Dalam diam, Shahz bersama adiknya, Shahid Jaszle, 22, turut mewujudkan sebuah portal hiburan dengan menggunakan nama Jaszleworks Production. Selain mahu menghasilkan filem sendiri, mereka kini memberi tumpuan kepada usaha memperkenalkan portal itu kepada orang ramai terlebih dahulu.

Portal hiburan yang merangkumi berita-berita artis dan industri hiburan serta ulasan filem dalam dan luar negara yang beralamat di jaszleworks.com telah hampir dua bulan digerakkan oleh Shahz bersama adiknya itu.

"Tiada sebab lain melainkan mahu menjadikannya sebagai medium untuk saya menghargai barisan penggiat seni negara menerusi artikel-artikel positif tentang mereka. Lagipun idea itu timbul ekoran cadangan adik saya yang mahir dalam kerja-kerja membina laman web.

"Namun banyak lagi yang harus diperbaiki kerana portal itu baru sahaja beroperasi," katanya kepada Sensasi Bintang.

Portal itu juga seolah-olah menyampaikan suara hati pelakon drama bersiri Tari Tirana itu yang tidak gemar dengan gosip-gosip artis.

Tiada berita-berita gosip dunia artis yang boleh ditemui di dalam portal itu.

"Apa yang pasti, walaupun kandungan portal itu ada kaitan dengan kontroversi semasa tetapi ia tidak mengandungi sebarang artikel-artikel gosip, bertepatan dengan matlamat saya untuk menghargai penggiat seni," katanya.

Shahz yang bakal muncul menerusi filem Rentas tidak lama lagi menambah, adiknya sanggup turun padang dengan menghadiri beberapa acara bagi mendapatkan bahan berita untuk portal itu.

"Kebanyakan kandungan artikel dalam portal tersebut ditulis sendiri oleh adik saya.

"Kadang-kadang dia akan turun padang untuk mendapatkan bahan-bahan berita. Kandungannya juga kebanyakannya digerakkan sendiri oleh adik saya secara separuh masa," ujar anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved