Sabtu, 8 Jun 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Pemimpin Agung Iran beri amaran kepada calon Presiden

Posted:

Pemimpin Agung Iran beri amaran kepada calon Presiden

Pemimpin Agung Iran beri amaran kepada calon Presiden

AHMADINEJAD tidak bertanding dalam pilihan raya Presiden Iran pada 14 Jun ini.- AfP


TEHERAN - Seramai lapan orang calon bertanding dalam pilihan raya Presiden Iran yang akan diadakan pada 14 Jun ini.

Mereka merupakan calon yang telah dibenarkan oleh Majlis Pengawal Revolusi untuk bertanding bagi menggantikan Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Calon-calon yang bertanding itu ialah Mohammad Reza Aref, Ali Akbar Velayati, Mohsen Rezaei, Mohammad Bagher Qalibaf, Gholam Ali Haddad Adel dan Saeed Jalili.

Seorang lagi calon, Hasan Rowhani berjanji akan mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Wanita jika memenangi pilihan raya tersebut.

Pendirian beliau dikritik pencabarnya, Jalili yang mahukan wanita memberikan tumpuan untuk menjadi ibu yang baik.

Beliau pernah dilantik sebagai perunding nuklear Iran.

Calon proreformasi, Mohammad Reza Aref pula mahu rakyat Iran diberikan hak sosial dan budaya di sisi perlembagaan negara.

Beliau mengkritik pemerintah kerana didakwa bersikap talam dua muka apabila mengaku menghormati kedua-dua hak tersebut tetapi turut melaksanakan kawalan dan penapisan yang ketat.

"Penyelesaian kepada masalah budaya di Iran adalah dengan meminimakan campur tangan pemerintah dan membenarkan persatuan serta pakar kebudayaan menguruskan urusan mereka sendiri," katanya.

Pilihan raya tersebut diadakan bagi mencari pengganti Ahmadinejad yang tidak boleh bertanding untuk penggal ketiga.

Pemilihan semula beliau dalam pilihan raya 2009 dipertikaikan oleh banyak pihak sehingga mencetuskan kekacauan selama beberapa minggu.

Namun, apa yang membimbangkan ialah semua calon tersebut adalah percaturan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam senario politik dalaman negara itu.

Ketika krisis politik dalaman negara itu memuncak pada hujung 2011, Khamenei pernah memberi amaran, Iran mungkin akan menghapuskan jawatan Presiden yang dipilih menerusi proses pilihan raya.

Namun, ketika itu, amaran beliau yang pernah menjadi Presiden pada tahun 1981 hingga 1989 tidak diendahkan kerana dianggap retorik semata-mata.

Kini, retorik tersebut kembali menghantui senario politik Iran yang akan mencari pengganti Ahmadinejad.

Pernah dianggap sekutu kuat Khamenei, Ahmadinejad kini dianggap seteru kepada pemimpin tertinggi Iran itu.

Pengaruh besar Khamenei dalam pentadbiran Iran tidak dapat disangkal oleh mana-mana pemimpin yang bakal memegang jawatan Presiden Iran.

Majlis Pengawal Revolusi yang merupakan kumpulan pemantau pilihan raya untuk Pemimpin Agung itu pernah bertindak menyekat bekas Presiden Iran, Akbar Hashemi Rafsanjani dan anak didik Ahmadinejad, Esfandiar Rahim Mashaei daripada menjadi calon pilihan raya kali ini.

Tindakan itu dibuat ekoran beliau melihat mereka sebagai pencabar yang akan mengikis pengaruh golongan ulama dalam pentadbiran negara.

Hashemi disingkir kerana prestijnya dalam kalangan rakyat manakala Mashaei pula dilihat sebagai boneka Ahmadinejad.

Disokong kuat oleh tentera Pengawal Revolusi, Khamenei cuba memperkecilkan proses pilihan raya kali ini dalam usaha untuk mengukuhkan pengaruh dan kuasanya selepas empat tahun Iran digugat krisis politik.

Kekacauan yang tercetus susulan pemilihan semula Ahmadinejad untuk penggal kedua dilihat sebagai titik perubahan manakala rakyat kini berani mempersoalkan kepimpinan Khamenei dan penyokong-penyokong kuatnya.

"Khamenei cuba sedaya upaya untuk mengekang kuasa Presiden," kata seorang penganalisis hal ehwal Iran di Universiti Strayer, Rasool Nafisi.

"Beliau mahu mereka (Presiden) memainkan peranan kecil dalam pentadbiran negara," tambahnya.

Mesej tersebut disampaikan dengan jelas dalam debat politik yang disiarkan stesen televisyen Iran pada minggu lalu.

Kelapan-lapan calon tersebut dengan kebanyakan mereka penyokong setia sistem pentadbiran sedia ada mengkritik format debat tersebut.

Antara kritikan yang kedengaran termasuk tentang bentuk debat yang mirip program kuiz di televisyen.

Kritikan tersebut dibuat ekoran tindakan pengacara yang meminta jawapan sama ada ya atau tidak apabila mengajukan soalan mengenai isu ekonomi dan program nuklear Iran kepada mereka.

"Khamenei mahu mereka mengetahui dengan jelas kedudukan dan peranan sebenar Presiden Iran," kata Nafisi.

"Ia (peranan Presiden) hanya meliputi istiadat dan bukan sebagai pembuat dasar yang utama," tambahnya.

Jelas Nafisi, keputusan-keputusan penting seperti pembangunan program nuklear, perisikan dan dasar luar pula terletak dalam tangan kalangan ulama.

Namun, peranan Presiden Iran semakin terserlah dan melibatkan tugas Perdana Menteri sejak portfolio berkenaan dihapuskan pada 1989.

Kuasa Presiden kian signifikan semasa Ahmadinejad memegang jawatan tersebut yang turut didorong dengan keberanian Presiden sebelumnya, Mohammad Khatami dalam melakukan pembaharuan sosial dan politik.

Khamenei sebaliknya mahu institusi presiden kembali kepada peranan sebelumnya yang terhad kepada menguruskan ekonomi dan hal ehwal politik harian.

Pada Selasa lalu, Khamenei sekali lagi memberi peringatan tersebut kepada bakal Presiden baharu negara itu.

"Calon-calon pilihan raya Presiden tidak sepatutnya membuat janji yang sukar untuk ditepati," katanya.

Sebelum ini, terdapat percubaan untuk menguji batas-batas tersebut.

Pada Oktober 2011, Khamenei berang dengan percubaan Ahmadinejad untuk meluaskan kuasa Presiden sehingga beliau mengeluarkan amaran adalah tidak mustahil untuk sistem pentadbiran Iran ditukar dengan jawatan Presiden dihapuskan. - AP/AFP

9.2 juta pelajar China ambil ujian kemasukan ke universiti

Posted:

9.2 juta pelajar China ambil ujian kemasukan ke universiti

9.2 juta pelajar China ambil ujian kemasukan ke universiti


SEORANG pengawas peperiksaan memeriksa tubuh seorang pelajar dengan menggunakan alat pengesan logam di Jilin, timur laut China semalam.- AFP


BEIJING - Sebanyak 9.2 juta pelajar dari seluruh China memenuhi dewan peperiksaan pada hari pertama ujian kemasukan ke universiti tempatan semalam.

Pihak berkuasa peperiksaan melarang para pelajar perempuan dari wilayah timur laut Jilin memakai coli yang mempunyai kancing logam.

Ia dilakukan sebagai usaha untuk mengelak mereka menyembunyikan gajet-gajet yang boleh digunakan untuk mendapatkan jawapan semasa peperiksaan berlangsung.

Pihak berkuasa turut melakukan peperiksaan dengan menggunakan alat pengesan di pintu masuk dewan peperiksaan dengan tujuan mengesan sebarang gajet seperti telefon bimbit yang disembunyikan oleh para pelajar di dalam pakaian mereka.

Sebuah kenderaan bomba turut digunakan untuk membawa para pelajar tersebut ke dewan peperiksaan di sebuah kawasan terpencil di Inner Mongolia, Hulun Buir kelmarin. - Agensi

Putin bercerai dengan isteri

Posted:

Putin bercerai dengan isteri

Putin bercerai dengan isteri


IMEJ yang disiarkan stesen televisyen Russia24 kelmarin menunjukkan Putin dan Putina bercakap kepada pemberita selepas mereka menonton persembahan tarian balet di Istana Kremlin, Moscow.-AP


MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin mengejutkan penduduk Rusia apabila beliau mengumumkan perceraiannya selepas membawa isterinya, Lyudmila Putina menonton persembahan tarian balet.

Mereka bercerai kurang dua bulan sebelum pasangan tersebut menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-30.

Pengumuman perceraian tersebut disiarkan stesen televisyen Rusia selepas Putin membawa Lyudmila, 55, menonton persembahan balet di Istana Kremlin di sini.

Selepas persembahan tersebut berakhir, mereka memasuki sebuah bilik untuk bercakap dengan seorang wartawan.

"Hebat, muzik yang hebat dan produksi yang mengagumkan," kata Putin.

Wartawan tersebut kemudian bertanya tentang desas-desus mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

Putin kemudian tersenyum dan menoleh ke arah Lyudmila dan berkata: "Itu benar."

Selepas beberapa komen susulan dibuat Putin, isterinya mencelah dan berkata: "Ya, kami bercerai secara baik."

Mengulas perkara tersebut, agensi berita Interfax memetik jurucakap Presiden, Dmitry Peskov sebagai berkata, perceraian mereka masih belum rasmi.

"Komen Putin dan pasangannya yang disiarkan di televisyen adalah untuk mengumumkan keputusan tentang perceraian," kata Peskov.

Beberapa laporan menyatakan pengumuman itu dibuat sebagai langkah strategik Putin yang mahu mengekalkan reputasinya sebagai seorang pemimpin yang jujur dan mementingkan nilai-nilai tradisional.

Beberapa laporan pula mendakwa Putin, 60, telah menceraikan isterinya pada tahun 2008 dan merancang untuk berkahwin dengan wanita yang jauh lebih muda.

Wanita tersebut, Alina Kabayeva, 30, merupakan bekas ahli sukan gimnastik Olimpik Rusia.

Beliau dilaporkan mempunyai hubungan sulit dengan Kabayeva yang kini merupakan seorang wakil rakyat.

Perceraian merupakan perkara biasa di Rusia dengan hampir 700,000 pasangan berpisah pada tahun 2009. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved