Isnin, 27 Mei 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Cita rasa autentik Thai

Posted:

Cita rasa autentik Thai

Cita rasa autentik Thai

Oleh LILY YEAN

ALFRED menawarkan sajian cita rasa asli Thai sesuai untuk golongan sederhana.


KEENAKAN sajian Thai mudah menambat selera segenap lapisan masyarakat di negara ini. Hidangannya yang pedas dan masam menyebabkan ramai yang kecur air liur apabila membayangkan kelazatan tom yam.

Menyedari populariti dan permintaan tinggi hidangan Thai di Malaysia, Pengurus Restoran Golden Orchid Oriental Thai Cuisine, Alfred Foo, 33, cuba mengetengahkan hidangan yang mengekalkan cita rasa Thai asli bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Katanya, keenakan cita rasa masakan Thai yang sebenar dapat dinikmati kerana restoran tersebut menggunakan khidmat chef yang didatangkan khas dari negara Gajah Putih itu.

"Tukang masak dari Thailand dipilih bagi mengekalkan rasa asli masakan tradisi negara tersebut selain memastikan pelanggan yang datang berpuas hati dengan hidangan yang disediakan.

"Selain itu, pekerja kami juga terdiri daripada rakyat tempatan bagi memastikan tiada sebarang masalah komunikasi antara pekerja dan pelanggan," katanya ketika ditemui Kosmo! di restorannya di Damansara Jaya baru-baru ini.

Menurut Alfred, antara masakan Thai yang menjadi pilihan pelanggan ialah tom yam, kari hijau, kerabu mangga, ikan keng som, sambal udang petai dan kari merah ayam.

"Hidangan kerabu mangga sering menjadi pilihan sebagai juadah pembuka selera memandangkan ia rangup dan tidak memuakkan. Selain itu, pelanggan juga menggemari hidangan klasik Thailand iaitu tom yam dan kari hijau yang boleh didapati dalam pilihan daging atau ayam.," ujarnya.

Tambahnya, bagi pengunjung yang menggemari rasa pedas dan masam, boleh mencuba juadah ikan keng som yang pastinya menjanjikan rasa asli Thai yang unik dan lazat.


RESTORAN Golden Orchid Oriental Thai Cuisine di Damansara, Petaling Jaya mengalu-alukan kedatangan pengunjung.


"Ikan stim ala Thai ini dihidangkan di atas periuk dengan api kecil bagi mengekalkan kesegaran ikan," katanya.

Jelas Alfred, Restoran Golden Orchid Oriental Thai Cuisine turut menawarkan makanan set tengah hari pada harga berpatutan yang jauh lebih murah berbanding dengan restoran lain yang menjual makanan khusus.

"Kami menawarkan set makanan tengah hari dari RM9.90 hingga RM13.90 termasuk minuman dan buah-buahan.

"Harga yang ditawarkan ini jauh lebih rendah berbanding restoran lain yang menjual makanan khusus seperti kami. Ini amat sesuai bagi golongan yang berpendapatan sederhana," tambahnya.

Dari segi makan malam pula, harga yang ditawarkan juga tidak mahal. Pelanggan hanya perlu berbelanja antara RM30 hingga RM40 untuk menjamu makanan kegemaran mereka.

Restoran Golden Orchid Oriental Thai Cuisine beroperasi dari pukul 11.30 pagi hingga 2.30 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan waktu perniagaan dilanjutkan dari pukul 5.30 petang hingga 10 malam pada setiap hari Ahad hingga Khamis. Masa perniagaan bagi hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum pula bermula dari pukul 5.30 petang hingga 11 malam.

Untuk maklumat lanjut layari facebook.com/mygoldenorchid/info.

Nilai warisan seni oud

Posted:

Nilai warisan seni oud

Nilai warisan seni oud

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

BUKU Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah dikaryakan hasil daripada pengalaman lebih 10 tahun Raja Zulkarnain bermain oud.


MEMBUKA helaian demi helaian buku bertajuk Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah amat mengujakan terutamanya bagi sesiapa yang mungkin tidak mengenali apa itu oud.

Merupakan salah satu peralatan muzik klasik dari Asia Barat, oud dalam bahasa Arab bermaksud kayu iaitu ranting atau tangkai mudah lentur. Dalam erti kata lain, ia bermakna sepotong kayu.

Di nusantara termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura, oud juga dikenali sebagai gambus. Ironinya, oud dan gambus ialah dua peralatan muzik berbeza meskipun rupanya hampir sama.

Menurut penulisnya, Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof, 41, buku itu dihasilkan bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai oud dengan lebih mendalam kepada masyarakat.

"Di Malaysia, kita mengenali oud sebagai gambus yang popular di Johor, namun hakikatnya ia dua benda yang berbeza. Atas sebab itulah saya mengambil inisiatif menulis buku Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah berdasarkan pengalaman sepanjang belajar kesenian oud di Mesir," kata Raja Zulkarnain ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1971, Raja Zulkarnain mula mengenali oud ketika melanjutkan pengajian di Institut Persembahan Muzik Kontemporari, London, England dalam jurusan Persembahan Gitar selama dua tahun bermula 1998 hingga 2000.

Selepas tamat belajar, Raja Zulkarnain masih menetap di London dan ketika itulah beliau terpandang oud di sebuah kedai muzik di sana.

"Pandangan kali pertama terus membuatkan saya jatuh cinta lantas membelinya pada harga RM1,800. Kemudian, pemilik kedai memperkenalkan saya dengan guru muzik dari Iraq yang mahir dalam kesenian oud.

"Apabila pulang ke Malaysia pada tahun 2003, saya bekerja sebagai ahli muzik di Majlis Perbandaran Subang Jaya. Di situlah saya terjumpa dengan Allahyarham Fadzil Ahmad yang digelar Raja Gambus yang seterusnya melantik saya menjadi tutornya di Akademi Seni Kebangsaan yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)," terang Raja Zulkarnain.

Pada 2004, Raja Zulkarnain merantau ke Kaherah, Mesir selama tiga bulan untuk mendalami muzik di sebuah tempat bernama Bayt el-Oud Oud. Ia merupakan sekolah pondok untuk sesiapa yang berminat mempelajari kesenian oud.


CINTA Raja Zulkarnain terhadap alat muzik oud membawanya banyak mengembara ke Mesir.


Selepas itu, setiap tahun Raja Zulkarnain tidak pernah melepaskan peluang untuk berbuat demikian apabila tiba cuti semester di Aswara. Di sana dia banyak menimba ilmu tentang oud dari Naseer Shamma, seorang guru muzik berpengalaman dari Iraq, Nehad Sayed dan Mustafa Antar (Mesir).

"Boleh dikatakan, semua bahan yang diperoleh dikumpulkan dalam tempoh 10 tahun termasuk sejak saya berada di London.

"Buku ini mengemukakan satu informasi padat berkenaan alat muzik oud untuk memberi pendedahan dan pengetahuan khusus dalam kaedah pembelajaran serta permainan yang lebih teratur," jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Merangkumi beberapa bab termasuk sejarah asal, cara pembuatan, gaya permainan dan teori muzik dari Asia Barat, buku itu sesuai untuk dibaca oleh semua penggemar alat muzik unik tersebut.

Buku itu telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan mula dipasarkan pada Januari lalu. Ia dijual pada harga RM35 senaskhah di Semenanjung Malaysia manakala RM40 bagi Sabah dan Sarawak.

Untuk sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Raja Zulkarnain melalui e-mel di zulkarnainyusof@gmail.com atau laman sosial Facebook di group page Oud: Warisan Seni Dari Timur Tengah.

Kasut merah jambu Barbie

Posted:

Kasut merah jambu Barbie

Kasut merah jambu Barbie

Oleh NIZHA PERIASWAMY


KASUT balet merah jambu yang dipakai Kristyn akan membawanya ke dunia fantasi baharu.


BARBIE Entertainment baru-baru ini mengeluarkan cakera video digital (DVD) bertajuk Barbie In The Pink Shoes. yang mengisahkan perjalanan hidup seorang penari balet, Kristyn Farraday.

Dalam filem itu, watak Kristyn dibawakan oleh Barbie merupakan seorang penari balet yang mempunyai impian besar.

Impian Kristyn adalah untuk mementaskan tarian di sebuah pentas besar yang diiktiraf ramai. Suatu hari sekolah tariannya dibawa menyertai satu sesi latihan tarian milik sebuah syarikat tarian terkenal. Ketika itu, Kristyn mendapati kasut baletnya koyak.

Kristyn dan rakannya, Hailey menuju ke sebuah pusat beli-belah untuk mendapatkan kasut baharu dan menemui sepasang kasut berwarna merah jambu yang bersinar-sinar di atas rak kasut.

Apabila mereka memegang kasut berkenaan, Kristyn dan Hailey telah dibawa ke sebuah dunia magis yang diperintah oleh seorang wanita jahat, Snow Queen.

Terjebak dalam dunia itu, Kristyn dan Hailey berubah menjadi penari balet dari Giselle dan Swan Lake. Mereka perlu menari balet bagi menentang kejahatan Snow Queen. Menariknya, mereka turut dibantu oleh seorang lelaki kacak, Prince Siegfried.

Dalam pementasan tersebut, Kristyn telah menyarungkan kasut merah jambu yang membawa imej balet Giselle dan Swan Lake.

Patung Krisytn yang melalui transformasi dalam kasut merah jambu kini boleh didapati di pasaran.

Ia dilengkapi elemen-elemen khas seperti pakaian Kristyn boleh ditukar hanya dengan memusingkan patung tersebut.

Selain itu, watak Giselle juga mempunyai keunikan tersendiri terutama dari segi pakaian, warna dan lengkap bertiara.

Patung Barbie watak Kristyn boleh didapati pada harga RM89.90 manakala Giselle RM59.90. Watak tambahan, Prince Siefried pula berharga RM54.90.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved