Jumaat, 17 Mei 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Pameran fotografi amal Lahad Datu

Posted:

Pameran fotografi amal Lahad Datu

Pameran fotografi amal Lahad Datu

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SEKUMPULAN pengunjung turut menyumbang kepada Tabung Wira Lahad Datu pada pameran tersebut.


AIR MATA Alimah Bakar, 54, pantas mengalir membasahi pipinya apabila melihat gambar kemusnahan harta benda penduduk di Kampung Tanjung Batu akibat pertempuran antara kumpulan pengganas Sulu dan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.

Sambil menyeka air mata dengan lengan baju kurungnya, wajah Alimah kelihatan sebak apabila merenung gambar yang dipamerkan pada Pameran Fotografi Amal Lahad Datu baru-baru ini.

"Sebagai anak kelahiran Tawau, Sabah, saya juga merasai kesukaran dan kesedihan yang dialami oleh masyarakat di sana rentetan pencerobohan yang dilakukan pengganas Sulu.

"Peristiwa ini membuktikan bahawa keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara amat penting untuk dipertahankan oleh generasi masa hadapan," ujar Alimah yang mengakui dirinya tidak putus-putus berdoa untuk kesejahteraan negara selepas tragedi berdarah yang mengorbankan 10 anggota keselamatan itu.

Kesedaran patriotik

Berlangsung di Pudu Sentral, Kuala Lumpur pada 11 hingga 17 April lalu, pameran tersebut memberi peluang kepada khalayak untuk menatap koleksi gambar yang dirakam oleh jurufoto agensi media tempatan yang bertugas di sana.

Ia dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Rekreasi 1 Media (KKR1M) yang mula ditubuhkan pada awal Januari lalu. Presiden KKR1M, Abdul Rahman Salleh berkata, pameran ini merupakan program pertama yang dianjurkan mereka.

"Objektif utama pameran ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran patriotik kepada pengunjung dalam aspek mempertahankan kedaulatan negara yang menjadi tanggungjawab semua.


BEBERAPA pengunjung serius menyaksikan gambar yang dipamerkan pada Pameran Fotografi Amal Lahad Datu baru-baru ini.


"Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghargai jasa para anggota keselamatan dan petugas media yang telah banyak berkorban dalam melaksanakan tugas masing-masing," jelas Abdul Rahman sambil memberitahu pihaknya turut melancarkan kutipan derma bagi mengisi Tabung Wira Lahad Datu.

Terdapat lebih 40 koleksi gambar yang dirakam lensa jurugambar dari pelbagai sudut ketika membuat liputan di kawasan zon perang antara pasukan keselamatan negara dengan pengganas Sulu sempena Ops Daulat dipaparkan pada pameran berkenaan.

Tidak ketinggalan, orang ramai juga berpeluang berinteraksi dengan jurugambar-jurugambar yang bertugas di lokasi kejadian untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku di sebalik tugasan mereka.

Tambah Abdul Rahman, semua koleksi gambar tersebut dirakamkan oleh jurufoto media daripada Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Bernama, akhbar The Star dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Malah, KKR1M turut berbesar hati apabila mendapat kerjasama daripada Nikon Malaysia dan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur untuk menjayakan pameran ini," tutur beliau.

Pertembungan grafiti di Genting Highland

Posted:

Pertembungan grafiti di Genting Highland

Pertembungan grafiti di Genting Highland

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


ANTARA karya grafiti peserta yang boleh diundi menerusi Facebook.


SUHU sejuk di Taman Tema Resorts World Genting tidak menghalang peserta menyembur cat di dinding dan kepingan papan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Cat berwarna-warni merupakan keperluan asas peserta untuk menghasilkan karya grafiti terbaik dalam usaha merebut wang tunai keseluruhan bernilai RM40,000 dalam Pertandingan Seni Grafiti Resorts World Genting 2013 peringkat akhir pada 12 hingga 14 April lalu.

Pertandingan peringkat awal yang bermula pada 21 hingga 13 Mac itu berjaya mencungkil bakat seramai 30 peserta untuk bertanding pada peringkat akhir. Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu terbuka dan pelajar.

Sebelum pertandingan bermula, peserta perlu menghantar satu konsep visual karya grafiti yang bertemakan Fun & Excitement di laman Facebook Resorts World. Seramai 30 finalis pertandingan itu dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan, undian peminat di Facebook dan panel hakim.

Seorang finalis kategori terbuka, Fizzy Suhaimi, 31, memberitahu lakaran grafiti yang dipersembahkan pada peringkat akhir pertandingan itu merupakan idea spontan untuk menzahirkan keriangan kanak-kanak yang sedang bermain permainan di taman Taman Tema Resorts World Genting.

Gabungan warna cat

Dia yang tampil dengan grafiti bertajuk, Baby Evil Crown Enjoying Himself At Genting Highlands, Trying It All! Woohooo! menggabungkan pelbagai jenis warna cat untuk menyerlahkan karyanya itu.

"Saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Keriangan kanak-kanak yang sedang bermain permainan memberi inspirasi kepada saya dalam penghasilan karya ini.

"Pesaing utama saya pada pertandingan ini ialah Hafiz Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Katun. Grafiti yang dihasilkan olehnya mempunyai pelbagai karakter dan tona warnanya juga bertepatan dengan tema," ujarnya mempunyai lapan tahun pengalaman dalam lakaran grafiti.

Hadiah utama untuk kategori terbuka merupakan wang tunai berjumlah RM3,000 dan pakej percutian ke Resorts World Langkawi. Pemenang tempat kedua dan ketiga, masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 serta baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World, Genting Highlands.

Bagi kategori pelajar pula, pemenang hadiah utama akan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World.


GRAFITI di Taman Tema Resorts World Genting merupakan antara tarikan baharu kepada pengunjung ke kota keriangan itu.


Karya grafiti kesemua peserta peringkat akhir akan dipaparkan di laman sosial Facebook Resorts World Genting. Pemilihan untuk menentukan pemenang bagi kedua-dua kategori pertandingan tersebut akan dinilai berdasarkan keputusan para juri dan jumlah undian Like.

Kesemua karya grafiti itu turut menjadi tarikan baharu kepada pelancong ke Taman Tema Genting. Selepas pertandingan tersebut berakhir, ia tidak akan dipadam sebaliknya dibiarkan sahaja untuk tatapan pelancong.

Seorang pelancong dari Thailand, Washirasak Charoenhiruntorn, 23, berpendapat bahawa karya grafiti yang dihasilkan oleh kebanyakan peserta ternyata lebih realistik jika dibandingkan karya-karya yang biasa dilihatnya.

"Ia satu pengalaman yang menarik apabila datang bercuti dan berpeluang melihat karya-karya unik daripada pelukis grafiti dari Malaysia," ujarnya.

Persediaan

Sementara itu, seorang peserta, Chai Vui Yung, 31, atau lebih dikenali dengan nama Kenji Black Fryday dalam arena seni grafiti negara memberitahu, dia mengambil masa selama lapan jam untuk menghasilkan grafiti untuk dipersembahkan kepada juri dan pengunjung.

"Saya membuat persediaan rapi terutama aspek lukisan dan warna yang ingin ditonjolkan. Lakaran awal merupakan langkah penting dalam penghasilan grafiti yang mengikut tema yang ditetapkan," ujar anak jati Sandakan, Sabah itu.

Orang ramai boleh mengundi peserta yang menyertai Pertandingan Seni Grafiti Resorts World Genting 2013 dengan menekan butang Like pada karya grafiti pilihan anda di www.facebook.com/resortsworldgenting. Tarikh tutup undian dan keputusan pemenang akan diberitahu oleh pihak penganjur kelak.

Graduan Kolej Saito cemerlang

Posted:

Graduan Kolej Saito cemerlang

Graduan Kolej Saito cemerlang


SERAMAI 412 pelajar menerima diploma masing-masing pada majlis Konvokesyen Kolej Saito, Petaling Jaya, baru-baru ini.


ULANG tahun ke-25 Kolej Saito, Petaling Jaya, Selangor tahun ini diraikan dengan penuh bersejarah apabila mencatatkan jumlah graduan paling ramai pada upacara konvokesyen yang berlangsung baru-baru ini.

Seramai 412 pelajar kolej tersebut menerima diploma dalam pelbagai jurusan seperti Reka Bentuk Kreatif, Reka Bentuk Grafik, Seni Reka Dalaman, Reka Bentuk Multimedia, Pengurusan Keselamatan dan Teknologi Maklumat Perniagaan.

Dalam ucapan perasmian istiadat konvokesyen tersebut, Pengarah Eksekutif Kolej Saito, Datuk Mustapha Abdul Hamid mencabar graduan baharu supaya melakukan perubahan, kreatif dan belajar bersungguh-sunguh.

"Matlamat utama kami adalah mendidik dan membentuk pelajar menjadi insan yang berguna sekali gus menarik minat pihak industri. Selain itu, melahirkan para pelajar yang mempunyai pelbagai kemahiran, cekap, yakin dan kreatif.

"Kami berbangga dengan kejayaan yang dicipta malah graduan Saito amat dihormati atas keupayaan teknikal dan kesediaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan," ujar Mustapha.

Pada upacara konvokesyen tersebut, Grace Chia Choi Hoong menerima Anugerah Pengerusi manakala Chan Yuen Yin, Pang Si Yu, Lee Kok Siong dan A. Sumathi menerima anugerah atas prestasi cemerlang dalam projek akhir masing-masing.

Selain itu, enam pelajar turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik.

Mereka terdiri daripada Loh Kiang Peng (Sijil Reka Bentuk Kreatif), Cedric Cha Jyoong (Diploma Rekaan Grafik), Lee Kok Siong (Diploma Reka Bentuk Multimedia), Grace Chia Choi Hoong (Diploma Seni Reka Dalaman), Mohd. Halim Haron (Diploma Pengurusan Keselamatan) dan S. F. Jacyita (Diploma Teknologi Maklumat Perniagaan).

Tidak ketinggalan, seramai 26 pelajar dipilih bagi menerima hadiah berupa buku yang ditaja oleh International Business Machines Corp., Evo Pictures, Musework, Sungei Wang Plaza Management Corporation dan Monster Interactive.

"Kami sedang menaik taraf sistem pengurusan kolej bagi membolehkan perkongsian maklumat antara semua jabatan dan pelajar menjadi lebih efektif. Ia juga bertujuan mewujudkan persekitaran kerja dan pembelajaran yang lebih sinergi," jelas Mustapha.

Difahamkan, pendaftaran pelajar di Kolej Saito meningkat sepanjang beberapa tahun lepas. Mustapha menjangkakan bilangan pelajar di kolej itu akan meningkat kepada 3,000 orang menjelang tahun 2015.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved