Khamis, 23 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Brazil hadapi tekanan ekonomi

Posted:

Brazil hadapi tekanan ekonomi

Brazil hadapi tekanan ekonomi

BANDAR Sao Paulo di Brazil mempunyai populasi rakyat Itali yang besar. Justeru, tidak hairanlah jika banyak restoran dengan cita rasa Itali terdapat di sana. Namun, agak mengejutkan apabila beberapa pengusaha restoran di bandar tersebut mengumumkan bahawa mana-mana hidangan yang dibuat berasaskan tomato akan digugurkan daripada senarai menu yang ada.

Pengurus Restoran Nello, Augusto Mello membuat keputusan menggugurkan tomato sebagai bahan dalam sajian mereka sekali gus menarik perhatian agensi media tempatan dan antarabangsa.

"Kami lakukan ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. Kami selalu membayar dua reais (RM2.96) untuk satu kilogram tomato segar. Tetapi kini, kami perlu membayar sehingga tujuh reais (RM10.37) untuk kuantiti serupa yang mana jumlahnya terlalu tinggi.

"Pengusaha restoran seperti kami biasanya membeli secara pukal iaitu kira-kira satu tan tomato setiap bulan," ujar Mello kepada agensi berita BBC.

Tindakan mengejut Mello itu dibuat rentetan krisis kenaikan harga tomato yang kini melanda Brazil dan berlarutan sejak setahun lalu.

"Saya sudah bekerja di restoran ini sejak 48 tahun dan ini merupakan harga paling teruk yang pernah dicatatkan," kata Walter Taverna, pemilik restaurant Conchetta di daerah bersejarah Itali Sao Paulo, Bixiga.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah tersebut beliau mengimport puri tomato dari Itali.

"Saya mempunyai empat buah restoran dan harga tomato yang meningkat menyebabkan kami mengalami kerugian yang banyak iatu sekitar 5 hingga 10 peratus setiap bulan. Ia suatu jumlah yang besar kepada seorang ahli perniagaan," luah Taverna dengan rasa kesal.

Pada satu ketika harga tomato direkod meningkat sehingga 150 peratus terutama pada pertengahan April lalu, menurut Institut Geografi & Statistik Brazil (IBGE).


MESKIPUN harga tomato naik berganda, rakyat Brazil masih memerlukan sayuran tersebut dalam menu harian mereka.


Isu kenaikan harga tomato ini membuatkan pengguna bertindak mengurangkan pengambilan tomato dalam menu harian mereka.

"Saya sudah lama tidak mengambil tomato dalam diet berasaskan sayuran kerana harganya semakin tinggi dan saya tidak mampu," tegas seorang guru muzik bersara, Mariliza Leitao.

Ironinya, peningkatan harga tomato bukan sekadar memberi kesan terhadap pengusaha restoran mahupun rakyat biasa, tetapi turut memberi tekanan kepada kerajaan Brazil untuk membendung masalah tersebut.

Cabaran besar

Peningkatan kadar inflasi merupakan satu isu yang sangat sensitif di negara terbesar di Amerika Selatan itu. Ini kerana Brazil pernah berdepan krisis inflasi paling teruk sekitar tahun 1990-an yang mencapai kenaikan harga sehingga 2,000 peratus.

Lantaran itu, Presiden Brazil, Dilma Rousseff berdepan cabaran besar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya menjelang pilihan raya tahun depan.

Penganalisis tempatan daripada Persekutuan Agrikultur dan Ternakan, Leonardo Machado berkata, peningkatan harga tomato berlaku disebabkan gabungan beberapa faktor.

"Masalah cuaca seperti hujan lebat, kenaikan harga minyak, permintaan yang tinggi dan paling penting pengurangan di kawasan yang digunakan untuk penanaman menjadi punca kepada kenaikan harga tomato," jelas Machado yang berpangkalan di negeri Goias, wilayah yang merupakan pengeluar terbesar tomato di negara itu.


Tomato bukan sekadar sayur di Brazil bahkan ia mempunyai kuasa dalam menentukan jatuh bangun ekonomi negara tersebut.


Selain itu, faktor kekurangan tenaga buruh atau pekerja di ladang-ladang turut menyumbang kepada kenaikan harga tomato.

Menurut Mauro Lopes, pakar pertanian di pertubuhan pemikir Yayasan Getulio Vargas yang bertapak di Rio de Janeiro, kebanyakan pekerja ladang terdiri daripada individu yang tiada kemahiran khusus.

Lantaran itu, apabila ditawarkan pekerjaan dengan suasana kerja yang lebih selesa dan mempunyai faedah-faedah perkhidmatan tertentu, sudah tentu mereka akan menerimanya.

"Bekerja di kedai-kedai yang mempunyai pendingin hawa pasti satu pilihan lebih baik berbanding berada di bawah panas terik matahari di ladang-ladang tomato," ujar Lopes.

Rumah hijau

Perkara itu diakui oleh seorang peladang tomato, Cyro Cury yang menanam 10 jenis tomato di sebuah ladang yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Sao Paulo.

Katanya, dia berminat untuk mengusahakan penanaman tomato di beberapa rumah hijau yang dimiliki untuk membantu memenuhi permintaan yang tinggi musim ini. Namun, dia gagal untuk mendapatkan pekerja tambahan yang sanggup menerima upah kira-kira AS$500 (RM1,500) sebulan.

Dalam pada itu, Cyro memberitahu, kenaikan harga tomato sebenarnya tidak menjadikan mereka kaya walaupun ramai yang menganggap pengeluar tomato pasti gembira dengan situasi tersebut.

Ia disebabkan perbezaan yang besar di antara harga pemborong dan pengguna. Biasanya, satu kotak tomato segar berharga 3.5 reais (RM5.18) tetapi, ia dijual empat kali ganda daripada harga asal di pasar raya tempatan.

Katanya, keuntungan kecil telah membataskan keupayaan peladang untuk meningkatkan pengeluaran walaupun kitaran harga yang sering meningkat berlaku setiap tahun.

"Ia sebenarnya tidak mengubah apa-apa. Jika kami tidak menerima polisi untuk skala kecil bagi tanaman dan makanan, kami akan menghadapi masalah yang lebih besar dalam tempoh 10 tahun akan datang," ungkapnya.

Brazil kini merupakan pengeluar utama dunia untuk pasaran gula, tumbuhan citrus dan kopi. Malah, ia juga pengeksport utama ayam, itik dan daging di samping bakal menjadi antara negara teratas dalam pengeluaran soya.

Bagaimanapun, masalah kekurangan tanah untuk tanaman bukan eksport semakin meruncing. Data yang diperoleh daripada agensi IBGE menunjukkan bahawa kawasan yang ditanam dengan makanan ruji seperti kekacang dan padi telah menjunam kepada 30 peratus sejak tahun 1990 sedangkan populasi rakyat di negara itu mengecil kepada 25 peratus. Meskipun penganalisis menjangka inflasi akan kembali sederhana tahun ini, kenaikan harga memberi cabaran kepada Presiden Rousseff, yang berusaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negaranya.

"Kenaikan kadar inflasi telah mencetuskan penggera di dalam kerajaan memandangkan pengundi Rousseff sangat sensitif terhadap isu pekerjaan dan harga barang," jelas Profesor Sains Politik di Universiti Katholik Rio de Janeiro, Ricardo Ismael.

Tetapi, dalam perjuangan beliau mengatasi kenaikan harga tomato, Rousseff tidak bersendirian. Beliau telah disokong oleh mantan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang masih popular dalam kalangan jutaan rakyat miskin negara tersebut.

"Seorang pemimpin wanita yang berpengalaman seperti Dilma (Rousseff) tidak akan membenarkan isu kecil seperti tomato menghancurkan ekonomi dan negara yang mana rakyatnya telah belajar untuk hidup dengan inflasi kawalan," tegas Lula da Silva dalam satu majlis parti pemerintah baru-baru ini.

Dalam pada itu, banyak lawak jenaka mengenai kenaikan harga tomato di buat terutama di laman-laman sosial seperti Facebook.

Salah satu laman itu dipanggil Tomato caro atau bermakna Tomato mahal yang dipaparkan dalam bentuk kartun dan gambar montaj pada buah tersebut.

"Saya tidak mahu menjadi kaya, cuma tingkatkan penanaman tomato," komen seorang pengguna laman sosial berkenaan.

Ia satu jenaka yang perlu diharapkan kerajaan kerana seperti tomato itu sendiri, ia juga mempunyai jangka hayat yang singkat.

Dilma Rousseff mungkin merupakan antara presiden yang terkenal di dunia, namun peluang beliau untuk dipilih semula pada tahun hadapan dicabar oleh pesaing yang cukup berkuasa iaitu tomato.

Perarakan khas Hari Wesak

Posted:

Perarakan khas Hari Wesak

Perarakan khas Hari Wesak

SEBAGAI komuniti minoriti di Malaysia, masyarakat Sri Lanka atau dikenali Sinhalese di Malaysia lebih tertumpu di kuil-kuil Buddha sekitar Brickfields dan Sentul di Kuala Lumpur. Menjelang kedatangan bulan purnama penuh pada bulan ini iaitu pada 24 Mei, etnik Sinhalese paling aktif dalam menjayakan Hari Wesak.

Tertumpu di kuil Maha Vihara di Jalan Berhala, Brickfields dan Kuil Buddha Sri Lankan di Jalan Sentul, Sentul, Kuala Lumpur, elemen kebudayaan dan pengaruh Sri Lanka dilihat masih tebal di sebalik percampuran budaya tempatan.

Antara pengaruh Sinhalese dalam sambutan Wesak ialah kereta berhala yang melibatkan sekumpulan besar tenaga kerja, masa yang lama, kos dan kreativiti yang tinggi. "Kami memberi keutamaan kepada pembinaan kereta berhala kerana ia memainkan peranan penting sewaktu perarakan pada malam Hari Wesak.

"Selaku kuil Buddha utama, kuil Maha Vihara bertanggungjawab membina satu struktur yang bukan sekadar kegunaan perarakan tetapi menyebarkan mesej," kata Ven. Siridhamma yang bertanggungjawab dalam pembinaan struktur kereta berhala itu.

Melibatkan kos antara RM30,000 hingga RM35,000, kereta berhala yang didana oleh orang ramai, dibina dengan pimpinan tenaga kerja mahir dari Sri Lanka. Ia sekali gus mengekalkan sentuhan kebudayaan Sinhalese selain memberikan satu persembahan yang benar-benar hebat pada malam perarakan.

"Kedua-dua artis seni ini, bekerja pertama kali dengan Maha Vihara tahun lalu. Tujuan kami menjemput mereka selepas melihat hasil kerja mereka yang penuh ketelitian," tambah Siridhamma. Beliau berperanan sebagai penterjemah kepada kedua-dua artis yang hanya mampu berbahasa Sinhalese.

Leelasena Kalappreya, 68, dari selatan Sri Lanka membina kereta berhala sebesar 9 meter panjang dan 4 meter tinggi memberitahu, ia adalah satu pekerjaan tradisi yang diwarisi sejak zaman bapanya.

Berpengalaman lebih 35 tahun, Leelasena mengakui tugasnya itu memerlukan kesabaran dan minda yang tajam.


SUMITH dan Leelasena melakukan kerja-kerja waktu akhir iaitu memotong tulisan 'Happy Wesak' sebelum diwarna dan ditampal pada kereta berhala.


Membina struktur

"Saya belajar daripada bapa kerana sejak kecil saya melihat beliau melakukan kerja-kerja ini," kata Leela merujuk kepada kerja memasang papan dan besi, dekorasi dan membentuk struktur.

Walau bagaimanapun, di Sri Lanka budaya berarak menggunakan kereta berhala berhias pada hari Wesak bukan satu amalan. Di Sri Lanka, Leelasena memberitahu, tugasnya hanya melibatkan kerja membina struktur pintu masuk, dekorasi 'tidak bergerak' pada hari kebesaran lain dan struktur komersial.

"Perarakan kereta berhias di Sri Lanka diadakan pada sambutan-sambutan lain seperti Tahun Baru Sinhalese dan bukan untuk Wesak. Namun, saya dan seorang lagi pembantu tidak keberatan melakukannya di Malaysia kerana asas pembuatan sama," tambah Leelasena yang dibantu oleh Sumith Rajapssa, 33.

Sumith yang berasal dari selatan Sri Lanka dilihat lebih cenderung membuat kerja-kerja pertukangan manakala Leelasena pula mereka bentuk dan kreativiti.

"Saya tidak belajar daripada sesiapapun. Sebaik saya melihat sesuatu lakaran, saya sudah boleh membuat kerja pertukangan," jelas Sumith tentang kemahirannya.

Lelaki ini juga antara tukang kayu yang terkenal di Sri Lanka dan pernah membuat kerja pertukangan untuk upacara terkenal sama ada keagamaan atau komersial di negara itu.

Amalan membawa kereta berhala untuk perarakan pada hari Wesak menurut Sridhamma bermula sejak tahun 1950 lagi tetapi pada sekala kecil. Hanya sebuah patung tembaga berwarna keemasan diletakkan di atas kereta berhala beroda dan ditarik oleh penganut sepanjang perarakan.

Kini, ia berbeza apabila kuil-kuil besar menggunakan khidmat kenderaan seperti lori untuk menarik kereta berhala kerana saiznya yang lebih besar dan kepentingan lain seperti tenaga elektrik yang diperlukan untuk hiasan bercahaya.

"Tahun ini, struktur kami mengetengah sebuah patung angsa keemasan sebagai imej utama. Mesej di sebaliknya ialah haiwan ini berupaya mengasingkan susu dan air, oleh itu ia signifikan kepada sikap yang perlu ada pada manusia dalam mengasingkan perkara yang negatif daripada roh kita yang asalnya positif," kata Siridhamma.


Biarawan-biarawan tempatan serta dari Sri Lanka bertungkus-lumus menyiapkan kereta berhala di Kuil Budhha Sri Lanka di Sentul.


Imej Makara

Selain burung angsa putih, struktur itu juga dihias dengan pelbagai input seni halus Sri Lanka yang terkenal dengan seni imaginasi.

Antaranya imej daun Liyawala di sisi kereta berhala yang dipercayai mampu menghalau kejahatan. Imej sejenis makhluk bernama Makara yang menggabungkan enam elemen tubuh badan penting haiwan iaitu belalai gajah, telinga khinzir, mulut buaya, mata ikan, kaki singa dan badan ikan duyung juga turut dipasang. Imej tersebut juga satu imej mitologi Hinduisme yang mempunyai pengaruh besar terhadap Buddhisme.

Dekorasi lain termasuk bunga-bunga segar, pelita, dan pintu gerbang seperti di bilik pemujaan.

Pegawai Tadbir Kuil Maha Vihara, Hema Jayasinghe, 58, yang akan mengawasi hari Wesak di kuil itu memberitahu, Wesak yang jatuh pada hari Jumaat, hujung minggu, akan menerima kunjungan lebih ramai penganut. Mereka juga dijangka menyertai perarakan yang akan diadakan pada waktu malam sambutan Wesak.

Kira 30 kereta berhala pelbagai saiz dari kuil Maha Vihara serta kuil-kuil lain akan mengikuti perarakan sepanjang 12 kilometer. "Ia akan melalui Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Petaling, Jalan Yap Ah Loy, Jalan Hang Lekiu, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sultan Abdul Samad dan kembali ke kuil," ujar Hema.

Dalam pada itu, Kuil Buddha Sri Lanka di Sentul pula memilih untuk membina kereta berhala yang ringkas, menggunakan kerja pertukangan sepenuhnya dengan kos yang kecil.

Ketua Paderi kuil tersebut, Ven. B. Sri Saranankara Nayaka Maha Thero ketika ditemui berkata, pihak kuil mengambil keputusan untuk mengadakan sambutan berskala sederhana dari segi dekorasi kereta berhala dan perarakan. Namun berharap supaya penganutnya melebihkan tiga pegangan murni Buddhisme iaitu 'thana' (derma), 'seena' (moral) serta 'bhavna' (meditasi).

"Sambutan Wesak kali ini lebih bersifat keagamaan berbanding festival seperti tahun-tahun lepas. Salah satu sebab, kuil kami hanya bertumpu di sekitar komuniti kecil Sentul di samping tujuan untuk berjimat," kata Saranankara.

Mesra alam

Kereta berhala kuil Sentul itu disiapkan oleh kira-kira 15 hingga 20 orang biarawan tempatan serta Sri Lanka yang datang untuk menyambut Hari Wesak di sini. Mereka merancang menempatkan patung Buddha utama berlatarkan stupa dan dikelilingi sembilan patung kecil dan lapan imej Buddha. Kerja-kerja mengecat, menghias dengan bunga segar dan lampu serta hiasan tambahan yang lain.

"Selama ini kami menggunakan lori untuk mengangkut kereta berhala, tetapi tahun ini kuil memberi peluang kepada penganut menarik sendiri kereta berhala yang siap dipasang dengan roda. Selain jimat dan mesra alam, ia juga untuk memenuhi permintaan penganut yang bernazar untuk menarik kereta berhala," ujar Saranankara.

LEBIH 25,000 penganut dipercayai mengikuti perarakan di samping beratus ribu yang menontonnya.


Dua buah kereta berhala kecil, diangkut oleh 10 orang setiap satu juga disiapkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang menjunjung patung Buddha yang dianggap satu jenis restu.

Tahun ini, Kuil Buddha Sri Lanka merancang mengadakan perarakan malam Jumaat iaitu pada 23 Mei meliputi jarak sekitar lima kilometer sahaja. Saranankara turut menambah elemen kebudayaan Sinhalese yang dipraktik semasa sambutan Wesak hanya kereta berhala dan tarian pooja. Walau bagaimanapun, beliau memberitahu tarian itu hanya satu nilai kebudayaan dan tidak ada dalam ajaran Buddha.

Saranankara juga menekankan pihak kuil sangat tegas dalam memastikan semua makanan pada hari Wesak diderma kepada penganut dan urusan berjual beli dalam premis kuil dihalang.

"Ramai penganut percaya, makanan itu sendiri satu restu daripada Buddha dan kami tidak mahu melibatkan nilai komersial walaupun ia boleh menjana duit," katanya.

Myanmar giat memulihara landasan kereta api maut

Posted:

Myanmar giat memulihara landasan kereta api maut

Myanmar giat memulihara landasan kereta api maut


LANDASAN kereta api di Sungai Kwai kini menjadi tumpuan pelancong asing.


KELIHATAN ramai pelancong sedang menyeberangi jambatan kereta api di Sungai Kwai, di wilayah Kanchanaburi, Thailand. Jambatan itu menjadi terkenal apabila sebuah filem Hollywood mengenainya diterbitkan pada tahun 1957 iaitu The Bridge Over the River Kwai.

Terdapat sebuah tanah perkuburan berhampiran jambatan yang dibina pada era Perang Dunia Kedua itu. Ia merupakan tempat persemadian ribuan tawanan perang yang mati ketika bekerja membina landasan kereta api maut.

Sebagai sebuah negara yang membangun, Myanmar mempertimbangkan untuk membaik pulih kawasan bersejarah Perang Dunia Kedua itu sebagai salah satu tarikan pelancongan. Selain itu, ia juga sebagai langkah membantu pembangunan di kawasan sempadan negara tersebut yang penuh dengan konflik dan kemiskinan.

Peperangan

Seorang petani tempatan, Myat Soe sedang memetik rumpai dan bunga di kawasan berdekatan Tanah Perkuburan Perang Thanbyuzayat di daerah Mon. Ia menempatkan 3,000 tentera bersekutu yang gugur di antara sempadan Myanmar dan Thailand itu.

"Selepas melawat tanah perkuburan ini, manusia pasti tidak mahu peperangan berlaku. Mati di medan perang sememangnya mulia tetapi amat menyedihkan," ujar Soe.

Banyak tugu yang mengandungi tulisan di tanah perkuburan itu dibiayai oleh Suruhanjaya Komanwel Tanah Perkuburan Perang yang beribu pejabat di Britain. Tulisan tersebut berbentuk lirik lagu dan sajak merupakan bukti yang menyayat hati tentang peperangan yang pernah berlaku di sana.

"Kami bukan ke medan perang untuk berpeluk tubuh. Kami meninggal dunia tanpa ucapan selamat tinggal," petikan daripada salah satu tulisan daripada Lans Koperal Sarjan Rejimen Askar Setia, Harry Dawes yang gugur di medan perang pada bulan September, 1943.

Keletihan, kelaparan, penyakit dan diseksa merupakan punca utama kematian askar-askar yang dipaksa oleh tentera Jepun untuk mengorek laluan kereta api melalui hutan tebal dan batu pejal pada Oktober 1942 hingga Disember 1943.

Kira-kira 13,000 tawanan perang yang ditangkap di Singapura, Semenanjung Malaysia dan Indonesia mati ketika pembinaan laluan tersebut. Selain itu, seramai 100,000 orang awam di kawasan tersebut turut dikerah bagi membina landasan kereta api berkenaan.

Seorang veteran dari Australia, Robert Goodwin yang bekerja dengan syarikat Hellfire Pass di sempadan Thai, memberitahu, kesemua yang terlibat dalam pembinaan laluan kereta api itu mengalihkan batu-bata menggunakan tangan.

"Sekiranya seseorang itu melakukan kerja dengan perlahan, mereka bukan sekadar memukulnya dengan tangan dan tukul malah menggunakan cemeti atau apa sahaja yang mereka pegang. Orang Jepun sememangnya kejam," katanya.

Di Thailand, segerombolan pelancong asing dilihat berduyun-duyun ke landasan dan jambatan yang masih beroperasi. Ia juga sama seperti yang digambarkan dalam filem The Bridge Over the River Kwai.

Kanchanaburi terletak kira-kira tiga jam dari Bangkok dan terkenal sebagai destinasi pelancongan di negara tersebut. Menurut pegawai pelancongan Thailand yang enggan dikenali, negara itu memperoleh pendapatan sebanyak 2.4 juta bath (RM240,597) pada tahun lalu hasil pelancongan di Kanchanaburi.


UPACARA mengingati kematian tentera Perang Dunia Kedua diadakan pada setiap tahun.


Pembangunan pelancongan

Berdasarkan fakta tersebut, Myanmar turut berminat untuk membangunkan kawasan tenggara negara itu sebagai tarikan pelancongan.

Menurut seorang pegawai perkhidmatan kereta api Myanmar, kajian sedang giat dijalankan bagi mengesan laluan dari Thanbyuzayat hingga ke Three Pagodas Pass di sempadan Thai.

Pegawai Lembaga Pelancongan Myanmar, Phyoe Wai Yar Zar memberitahu, kawasan Landasan Kereta Api Maut mempunyai potensi yang besar dalam pembangunan pelancongan di Myanmar.

Menurutnya, usaha pembangunan itu tidak semestinya fokus pada kisah-kisah lampau di situ. Sebaliknya ia harus mempamerkan warisan penduduk etnik minoriti tempatan.

Bagaimanapun, usaha untuk membangunkan kawasan tersebut turut mengundang keraguan.

Menurut Rod Beattie, pengkaji sejarah yang menjalankan kajian mengenai pembangunan Pusat Kereta Api Kanchanaburi's Thailand-Burma, pembinaan itu merupakan satu usaha yang tidak masuk akal kerana empangan hidro Thailand menghalang laluan asal landasan itu.

Laluan sepanjang 420 kilometer itu merupakan penghubung antara negara Thailand dan Myanmar. Ia digunakan untuk laluan askar Jepun dalam usaha melawan tentera British dan sekutu-sekutunya.

Selepas perang tamat pada tahun 1945, landasan tersebut menjadi hutan belantara. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved